ALLAH اللهَ ALLAH اللهَ ALLAH اللهَALLAH اللهَALLAH اللهَ
Zikrullah Melekat abadi DiHatie
.............................................................
.........................................................................
Keturunan terpilih
JALUR keturunan baginda sampai kepada Nabi Ibrahim yang menyembah Allah bahkan dalam kalangan orang yang sujud.Ada seorang lelaki pernah menuduh ibu bapa Nabi masuk neraka. Apabila isu itu diajukan kepada Al-Qadhi Abu Bakar al-'Arabi al-Maliki lantas beliau menjawab bahawa lelaki berkenaan dilaknat oleh Allah SWT dengan katanya: "Sesungguhnya mereka yang mencaci Allah dan Rasul-Nya dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang hina. Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan Rasulullah SAW selain menyatakan ayah Baginda diazab di dalam neraka."
Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah bersepakat dalam menjelaskan ibu bapa Baginda SAW terdiri dalam kalangan ahli fatrah. Iaitu mereka yang hidup di zaman tidak diutuskan Nabi AS. Kedua-dua mereka tidak menyahut seruan dakwah kerana ketika itu Nabi SAW masih dalam kandungan. Manakala antara kerasulan Rasulullah SAW dengan Nabi Isa AS mempunyai tempoh selama 500 tahun tidak ada Nabi yang diutuskan. Merekalah yang dipanggil generasi ahli fatrah. Walaupun tidak sampai seruan dakwah, tetapi mereka tidak boleh dipersalahkan atas faktor itu.
Firman Allah SWT: "Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). " (QS: Al-Isra', 15)
Imam Baijuri berkata: "Apabila kamu mengetahui bahawa ahli fatrah adalah golongan yang terselamat (di akhirat) menurut pendapat yang terpilih, maka kamu juga akan mengetahui bahawa kedua-dua ayahanda dan bonda Rasulullah juga terselamat, disebabkan mereka juga tergolong dalam kalangan ahli fatrah. Bahkan semua nenek moyang Rasulullah terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun di antara mereka yang (terjebak di dalam kancah) kekufuran, kekotoran serta perkara yang mengaibkan (menjatuhkan maruah) yang dilakukan oleh kaum Arab Jahiliyyah."
Keturunan Rasulullah keturunan terpilih, mulia
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menjadikan makhluk, lalu Dia menjadikan aku daripada sebaik-baik makhluk, daripada sebaik-baik kurun. Kemudian Allah memilih kabilah-kabilah, maka Dia memilih aku daripada sebaik-baik kabilah. Kemudian Dia memilih keluarga, maka Dia menjadikan aku daripada sebaik-baik keluarga. Maka aku adalah yang terbaik daripada kalangan mereka pada diri dan juga keluarga." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda: "Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan aku oleh ibu dan ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan jahat orang jahiliyyah." (Hadis Riwayat Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn 'Asakir)
Rasulullah SAW bersabda: "Allah sentiasa memindahkan aku daripada sulbi yang baik ke dalam rahim yang suci, suci dan memberi petunjuk. Tidaklah tumbuh dua cabang kecuali aku yang terbaik." (Hadis Riwayat Ibnu Asakir dan Ibnu Abbas)
Nasab Baginda suci daripada syirik
Jalur keturunan baginda sampai kepada Nabi Ibrahim. Semuanya mengamalkan agama Hanif yang menyembah Allah. Bukan sahaja tidak dinodai zina, bahkan dalam kalangan orang yang sujud. Keimanan nasab ini bukti makbulnya doa Nabi Ibrahim yang bermunajat: "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. QS: al-Baqarah, 128)
Allah berfirman yang bermaksud: "Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud." (QS: Syu'ara', 218- 219)
Sayyidina Ibn Abbas mentafsirkan firman Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi seterusnya ke dalam sulbi daripada kalangan Sajidiin (yang sujud dan beriman kepada Allah).
Kadangkala berlaku salah faham terhadap hadis berikut: Daripada Anas RA bahawa ada seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, ayahku berada di mana?" Nabi SAW menjawab: "Di dalam neraka." Apabila lelaki itu berpaling pergi, Baginda SAW, memanggilnya lalu bersabda: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka." (Hadis Riwayat Muslim)
Jawapan: Lafaz 'ayah' dalam hadis ini bermaksud 'ayah saudara' Nabi. Adat bangsa arab, kalimat 'abi' yang bermakna 'ayah' di situ membawa makna umum, tidak semestinya makna bapa kandung, boleh jadi bapa saudara. Kalimat yang paling tepat untuk ayah kandung ialah 'walid.'
Kata-kata Nabi ini bertujuan agar lembut hati lelaki tersebut, tidak kembali murtad dan tidak mengeluarkan kata-kata sumpahan dan caci-maki terhadap Rasulullah SAW kerana lelaki 'arabi terkenal dengan sikap degil dan keras hati. Ia juga suatu strategi untuk menarik lebih ramai kaum kerabatnya memeluk Islam.
Al-Quran merekodkan yang Nabi Ibrahim pernah berdoa supaya 'abi'nya diampunkan, tetapi dilarang Allah. Namun, pada ayat lain, Nabi Ibrahim berdoa supaya 'walid'nya diampunkan, hal ini dibenarkan Allah. Perbezaan dua keadaan ini menunjukkan ada beza antara makna 'abi' untuk ayah saudara dengan ayah kandung.
Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Saidatina Aminah sendiri pernah berwasiat kepada Nabi Muhammad yang ketika itu berusia 5 tahun. Rasulullah sewaktu itu menemani ibunya yang sedang sakit tenat.
Bondanya berkata: "Semoga Allah memberkatimu daripada kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; daripada sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliyyah."
Bersama kita renungkan jika Baginda SAW adalah manusia terpilih sebaik-baik makhluk maka sudah tentu status ini turut merangkumi ibu bapa Baginda SAW. Jika makam yang menempatkan jasad Rasulullah itu paling mulia di atas muka bumi maka mana mungkin ayahnda dan bonda Baginda SAW dipandang hina oleh Allah Yang Maha Bijaksana.
Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
© New Straits Times Press (M) Bhd
.....................
............YA Allah Sucikanlah Hatieku ini YA ALLAH ✔..... Keturunan terpilih Moga Bermanfaat
..................... From..............................
......RedzWang-..................................
301020
.............................................................R@
No comments:
Post a Comment