30 November 2011

Doa-doa Selepas Solat Fardhu

Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

SELASA, 13 MEI 2008

098 - Doa-doa dan Zikir-zikir Selepas Solat Fardhu Yang Sahih Dari Sunnah

Doa-doa dan Zikir-zikir Selepas Solat Fardhu Yang Sahih Dari Sunnah

Adab Berzikir Selepas Solat:

1 – Dilaksanakan (dibaca/diwiridkan) secara sendiri-sendiri (individu/bukan secara berjma’ah).

2 – Dilaksanakan (dibaca/diwiridkan) secara perlahan-lahan (direndahkan suara) dan tidak dikuatkan atau dinyaringkan semasa membacanya. Cukup sekadar diri sendiri yang mendengar dan memahaminya atau menghayatinya.

3 – Tiada contohnya (daripada sunnah) bentuk perlaksanaan zikir selepas solat dengan secara berjama’ah dan dengan dengan suara yang kuat, melainkan bagi tujuan mengajar.

4 – Zikir-zikir dan doa-doa ini dilaksanakan (diwiridkan) sebaik sahaja selepas salam (tamat solat fardhu).

Imam asy-Syafi'e rahimahullah berkata di dalam kitabnya yang terkenal, al-Umm:


وَأَخْتَارُ للامام وَالْمَأْمُومِ أَنْ يَذْكُرَا اللَّهَ بَعْدَ الِانْصِرَافِ من الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ الذِّكْرَ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يَجِبُ أَنْ يُتَعَلَّمَ منه فَيَجْهَرَ حتى يَرَى أَنَّهُ قد تُعُلِّمَ منه ثُمَّ يُسِرُّ فإن اللَّهَ عز وجل يقول {وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِك وَلَا تُخَافِتْ بها} يعنى وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ الدُّعَاءَ وَلَا تَجْهَرْ تَرْفَعْ وَلَا تُخَافِتْ حتى لَا تُسْمِعَ نَفْسَك

Terjemahan: Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah di setiap kali selepas solat, dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, melainkan bagi seseorang imam yang mahu menunjuk ajar para makmumnya berkenaan zikir, maka dia boleh mengeraskan suara/bacaan zikirnya, sehingga apabila dia telah mengetahui bahawa para makmum telah tahu, maka hendaklah dia kembali merendahkan suara zikirnya, kerana Allah 'Azza wa Jalla berfirman (maksudnya):

وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلا

Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya. (Surah al-Israa', 17: 110)

Maksud kata الصلاة (ash-Sholah) wallahu Ta'ala a'lam adalah doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau mengangkat suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhofit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya. (Rujuk: Imam asy-Syafi'e, al-Umm, 1/127)

Zikir-zikir tersebut adalah sebagaimana berikut:

Zikir 1 -

أَسْتَغْفِرُ الله َ(ثلاث) اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ، وَمِنْكَ السَّلاَمُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ

“Aku minta ampun kepada Allah,” (dibaca tiga kali). Kemudian baca: “Ya Allah, Engkaulah pemberi keselamatan, dan dari-Mu keselamatan, Maha Suci Engkau, wahai Tuhan Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/254, no. 931)

Zikir 2 -

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ، اَللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya puji dan bagi-Nya kerajaan. Dia Maha Kuasa atas se-gala sesuatu. Ya Allah, tidak ada yang menghalang apa yang Engkau berikan dan tidak ada yang memberi apa yang Engkau cegah. Tidak berguna kekayaan dan kemuliaan itu bagi pemiliknya (selain iman dan amal sholehnya). Hanya dari-Mu kekayaan dan kemuliaan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/348, no. 799 dan Muslim, 3/256, no. 933. at-Tirmidzi, 2/4, no. 275)

Zikir 3 –

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ، وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ

“Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujaan. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Tidak ada daya dan kekuatan kecuali (dengan pertolongan) Allah. Tiada Tuhan (yang hak disembah) kecuali Allah. Kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya. Bagi-Nya nikmat, anugerah dan pujaan yang baik. Tiada Tuhan (yang hak disembah) kecuali Allah, dengan memurnikan ibadah kepada-Nya, sekalipun orang-orang kafir membenci.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/258, no. 935)

Zikir 4 –

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membaca kalimat berikut di setiap selesai solat,

سُبْحَانَ اللهِ(33 ×) وَالْحَمْدُ لِلَّهِ (33 ×)وَاللهُ أَكْبَرُ (33 ×) لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah. Dan Allah Maha Besar. (Tiga puluh tiga kali). Tidak ada Tuhan (yang hak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan. Bagi-Nya pujaan. Dia-lah Yang Mahakuasa atas segala sesuatu.”

... maka akan diampuni kesalahannya, sekalipun seperti buih di laut.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/262, no. 939. Dalam riwayat al-Bukhari disebutkan bertasbih (Subhanallah) 10x, Tahmid (Alhamdulillah) 10x, dan Takbir (Allahu Akbar) 10x. Kedua-duanya sahih daripada Nabi dan boleh dipilih yang mana sahaja untuk dibaca)

Zikir 5 –

Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas setiap kali selesai solat (fardhu):

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (١) اللَّهُ الصَّمَدُ (٢) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (٣) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (١) مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (٢) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (٣) وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (٤) وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (١) مَلِكِ النَّاسِ (٢) إِلَهِ النَّاسِ (٣) مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (٤) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (٥) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاس

(Hadis Riwayat Abu Dawud, 2/86, an-Nasai 3/68. Lihat pula Shohih Sunan at-Tirmidzi, 2/8. Kumpulan ketiga-tiga surah ini dinamakan al-mu’awidzat - lihat Fathul Baari Syarah Shohih al-Bukhari, 9/62)

Zikir 6 –

Membaca ayat Kursi (ayat ke 255 dari surah al-Baqarah) setiap kali selesai solat (fardhu):

اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

“Sesiapa membacanya setiap selesai solat, tidak yang menghalanginya masuk Syurga selain mati.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i dalam Amalul Yaum wal-Lailah No. 100 dan Ibnus Sunni no. 121, dinyatakan shahih oleh al-Albani dalam Shohih al-Jami’, 5/329 dan Silsilah Hadis Shohih, 2/697 no. 972)

Zikir 7 –

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. 10× بعد صلاة المغرب والصبح

“Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan, bagi-Nya segala puja. Dia-lah yang menghidupkan (orang yang sudah mati atau memberi roh janin yang akan dilahirkan) dan yang mematikan. Dia-lah Yang Mahakuasa atas segala sesuatu.”

Dibaca sepuluh kali setiap sesudah solat Maghrib dan Subuh. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi 11/377,no. 3396. Beliau berkata: Hadis ini hasan ghoreeb Sahih)

Doa-doa Setelah Salam Dari Solat:

Doa 1 –

Ummu Salamah berkata, “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila selesai solat subuh beliau berdoa,

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

“Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amal yang diterima.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 3/179, no. 915. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Doa 2 –

Sa’ad B. Abu Waqqash berkata, “Di setiap kali selesai solat, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan berdoa memohon perlindungan kepada Allah dari beberapa perkara (dengan doa berikut):

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ اَلْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ اَلْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ اَلْعُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ اَلدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ اَلْقَبْرِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat nyanyuk. Dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah dunia dan siksa kubur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 19/470, no. 5897)

Doa 3 –

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Aku wasiatkan kepada kamu wahai Mu’adz, janganlah engkau tinggalkan pada setiap kali selesai solat untuk membaca (berdoa),

اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/430, no. 22119. Al-Bukhari, Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Doa 4 –

Al-Baraa’ radhiyallahu ‘anhu berkata, “Bahawasanya apabila kami solat di belakang Rasulullah, kami lebih suka berada di saf sebelah kanannya kerana beliau akan menghadapkan wajahnya kepada kami. Dan aku mendengar beliau berdoa (dengan doa berikut),

رَبِّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ أَوْ تَجْمَعُ عِبَادَكَ

“Wahai Tuhan-Ku, jauhkanlah aku dari azab-Mu pada hari di mana engkau membangkitkan hamba-hamba-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/20, no. 1159)

Doa 5 –

Abu Bakrah berkata, “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa di akhir solatnya (dengan doa berikut),

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kekufuran dan kefakiran. Aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad, 34/52, no. 20409. Sanadnya kuat di atas syarat Muslim sebagaimana kata Syu’aib al-Arnauth)

Download Versi PDF – [Klik, 77.4kb)]

13 ULASAN:

asyrafdinie berkata...

assalamualaikum nawi,

tanya skt, betul ke dlm hisnul muslim ada hadis yg didhaifkan oleh ulama' hadis yg lain?..soalan ni bukan nak bermaskud kondem ke ape, tak..tp just nak tau..just kalau ada..wallahua'lam..

asyrafdinie berkata...

Lupa lak..

Syukran jazilan atas artikel ni..Jazakallahukhairan kathiran..

budak baru belajar berkata...

hanya berkongsi

Sunnah perlahan zikir, doa elak ganggu Muslim lain bersolat

PENDAPAT Imam Syafie mengenai zikir berjemaah ialah: "Imam dan makmum boleh memilih sama ada ingin berzikir kepada Allah selepas salam atau tidak. Jika berzikir, mereka hendaklah memperlahankan zikir kecuali imam. Imam wajib mengajar makmum berzikir. Imam saja boleh menguatkan zikir sehingga mereka mempelajari zikir itu. Kemudian, imam hendaklah berzikir secara perlahan."

Al-Nawawi al-Syaife berkata, “Imam Syafie berpegang pada hadis menyatakan bahawa zikir boleh dikuatkan sekali sekala. Tetapi, pendapat yang paling tepat ialah makmum dan imam memperlahankan suara ketika berzikir dan boleh menguatkannya ketika mengajar makmum.”

Apa yang menghairankan pada hari ini, kebanyakan mereka mengaku bermazhab Syafie menguatkan bacaan zikir dan doa selepas solat fardu setiap waktu. Sedangkan beliau sendiri melarang perbuatan itu.

Mengenai doa beramai-ramai pula, Nabi SAW tidak pernah melakukannya. Bahkan Imam Syafie tidak pernah menukilkan pendapat mengenai harus berdoa secara berjemaah selepas solat. Adakah Imam Syafie tidak mengetahui bahawa ia juga termasuk bidaah hasanah?

Ketika mengulas hadis Ibn Abbas, Imam Syafie menegaskan mengenai sunnah berzikir selepas solat. Katanya: “Aku berpendapat, Baginda menguatkan suara ketika berzikir hanya untuk seketika (sekejap) saja. Tujuannya supaya sahabat dapat mempelajari zikir itu daripadanya. Kebanyakan riwayat yang telah kami tulis sama ada bersama kitab ini (al-Umm) atau selainnya langsung tidak menyebut adanya bacaan tahlil atau takbir selepas Baginda memberi salam.

Kadang-kadang riwayat yang datang menyebut Baginda SAW berzikir selepas solat seperti apa yang aku nyatakan (secara kuat) dan kadangkala Baginda beredar (meninggalkan saf) tanpa berzikir. Menurut apa yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, Baginda tidak berzikir secara kuat selepas solat.

Oleh itu, aku berpendapat bahawa Baginda SAW tidak akan duduk sama sekali kecuali untuk berzikir secara perlahan.”

Kesimpulannya, sunnah berzikir dengan perlahan namun, imam boleh menguatkan suaranya sekali-sekala untuk mengajar makmum. Imam juga berhak meninggalkan saf tanpa berzikir jika dia kehendaki.

Bukan seperti apa yang disangkakan oleh sebahagian pengikut Syafie yang jahil lalu memandang serong terhadap imam yang meninggalkan perbuatan berzikir selepas solat.

Perbincangan mengenai hukum berdoa selepas solat bersendirian secara berterusan tidak sabit dan tidak pernah diamalkan oleh salafussoleh. Apatah lagi secara berjemaah dan diaminkan oleh makmum kerana boleh mengganggu seseseorang sedang solat.

Pendapat terpilih, diharuskan berdoa secara bersendirian sekali sekala selepas berzikir secara perlahan kecuali doa tertentu diamalkan oleh salafussoleh pada waktu tertentu. Ia boleh diamalkan secara berterusan seperti doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada Mu’az bin Jabal tanpa mengangkat tangan.

Mengenai perbuatan berdoa tanpa zikir, ia dianggap menyanggahi sunnah Nabi SAW sedangkan tidak ada seorang pun generasi terdahulu melakukannya. Semoga Allah memberi hidayah kepada hamba-Nya menyanggah sunnah Rasul-Nya.

faza4peace berkata...

Zaman ini, timbul fenomena di mana ada di kalagan golongan “muda” yang cuba mengetengahkan isu-isu remeh yang telah lama dibahaskan oleh para ulama’ dan ianya sama sekali tidak membawa kepada pengingkaran. Ia merupakan masalah-masalah khilafiyah, yang menunjukkan kekayaan perbendaharaan intitusi ilmu fiqh Islam yang dicemburui oleh golongan bukan Islam.



Bertolak dari kegagalan sesetengah pihak, memahami fiqh ikhtilaf dalam masalah fiqh, menyebabkan mereka tampil ke hadapan, untuk, kononnya menentang bid’ah dan menegakkan sunnah, dengan masalah-masalah khilaf tersebut.



Golongan ulama’ Islam yang mempunyai latar-belakang yang kukuh dalam bidang fiqh Islami pada mulanya memberi teguran secara umum, mengenai golongan yang cuba memperbesarkan masalah khilaf ini, tanpa menjawab satu persatu persoalan yang ditimbulkan oleh golongan tersebut. Namun, kemelaratan sehingga menuduh seolah-olah golongan lain yang tidak sependapat dengan mereka dalam masalah-masalah khilaf tersebut, sebagai ahli bid’ah dan hanya mereka yang sependapat dengan mereka sahaja sebagai ahli sunnah, memaksa ramai para ulama’ Islam tampil menjawab persoalan-persoalan remeh-temeh mereka (yang mereka besar-besarkan sehingga jadi pintu saling salah-menyalahkan).



Antara para ulama’ yang menjawab kekeliruan golongan (separa ilmuan)tersebut adalah seperti Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (yang mana ulama’-ulama’ tersebut dikafirkan oleh sesetengah golongan salafi), Dr. Umar Abdullah Kamil, Sheikh Sayyid Muhammad bin ‘Alawi Al-Maliki, Sheikh Abdullah Siddiq Al-Ghumari. Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Shiekh Dr. Ali Jum’ah (mufti Mesir hari ini) dan sebagainya.



Antara masalah-masalah kecil yang cuba diperbesarkan oleh golongan tersebut ialah masalah zikir selepas solat dengan suara yang kuat. Mereka tampil memberi tamparan yang hebat khususnya kepada institusi-institusi ibadah di Malaysia, seperti masjid-masjid dan surau-surau yang mengamalkan zikir dengan kuat setelah solat.



Pelbagai kritikan yang tidak ilmiah, dilemparkan atas nama keilmuan, terhadap tradisi masyarakat Melayu di Malaysia, yang sudah lama mengamalkan zikir setelah solat secara jihar (terang-terangan) dan jama’i (berjamaah). Mereka terlupa, atau sengaja mengelirukan diri sendiri, takkala berhadapan dengan dalil-dalil Sunnah yang membela

faza4peace berkata...

amalan tersebut.



Bahkan, ada yang sampai sanggup mengatakan: Nabi dan para sahabat hanya membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum. Kita sekarang, para makmum sudah menjangkau usia lebih daripada 60 tahun takkanlah, tak tahu membaca doa dan berwirid?



Selain daripada ianya merupakan ayat berbentuk penghinaan dan sikap memperlekehkan amalan tersebut, ianya juga merupakan suatu kenyataan yang tidak berasas dan menjadi hujah ke atas dirinya sendiri.



Kalau kita lihat perkataan berikut, kita dapati bahawa, dia sendiri mengakui Nabi s.a.w. membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum. Kemudian, mengetengahkan contoh di mana, masyarakat kita, takkala mengamalkan amalan yang sama, dia berkata: “Kita sekarang, para makmum sudah menjangkau usia lebih daripada 60 tahun takkanlah, tak tahu membaca doa dan berwirid?”



Apa, zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada makmum yang sudah menjangkau usia 60 tahunkah, yang membuatkan Nabi s.a.w. turut berzikir dengan kuat untuk mengajar para sahabat Baginda s.a.w. pada ketika itu?



Kalau saudara yang berkata perkataan ini cuba bermaksud, semua orang yang sudah berumur 60 tahun ke atas pandai baca zikir dan wirid sendiri, ini merupakan perkataan yang tidak barasas.



Penolakan yang pertama terhadap perkataan beliau: Rasulullah s.a.w. juga ketika membaca zikir secara kuat untuk mengajar para sahabat Baginda s.a.w., ada di kalangan mereka yang sudah melebihi 60 tahun juga.

faza4peace berkata...

Penolakan yang kedua: Adakah saudara yang berkata sedemikian tidak pernah ke masjid, kerana di masjid, bukan semua makmumnya melebihi 60 tahun. Ada dari kalangan remaja (walaupun sedikit), ada dari kalangan dewasa yang tidak pernah belajar membaca, bahkan ada dari kalangan mereka melebihi 60 tahun, namun masa mudanya tidak pernah belajar tentang ilmu agama langsung. Ini realiti di Malaysia.



Jadi, amalan berzikir secara terang merupakan suatu amalan yang digalakkan, di samping ianya turut dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., ianya juga turut memberi kesan positif dalam mengajar masyarakat kita yang secara umumnya, jauh lebih jahil dari masyarakat zaman Rasulullah s.a.w. itu sendiri.



Ada juga yang berkata: “Oleh yang demikian (berzikir dengan kuat) masjid dan surau sudah menjadi seperti majlis nasyid. Ada di antaranya menjadi bising sehingga mengganggu jemaah yang sedang sembahyang, sedang masbuk dan di antaranya baru hendak bersembahyang. Seolah-olah mereka tidak menghirau orang masbuk yang sedang bersolat atau orang baru datang untuk bersolat.”



Pertama, ianya seolah-olah menujukan persoalan tersebut kepada Rasulullah s.a.w. sendiri, kerana Baginda s.a.w. yang memulakan amalan berzikir secara kuat untuk mengajar para sahabat Baginda s.a.w..



Sememangnya adab perlu dijaga, takkala mendapati ada orang yang masih bersolat, dan sebagainya. Maka, pada ketika itu, perlulah diperlahankan sedikit, sehingga tidak mengganggu orang yang bersolat. Namun, pengingkaran terhadap amalan zikir dengan kuat setelah solat berjemaah semata-mata kerana takut mengganggu orang yang sedang solat, bererti pengingkaran terhadap Rasulullah s.a.w., sendiri, kerana Baginda s.a.w. lah yang mula-mula melakukan zikir secara kuat tersebut, berdasarkan hadis yang akan dibincangkan nanti. Adakah kita sanggup menuduh Rasulullah s.a.w. tidak merai orang-orang yang solat takkala Baginda s.a.w. sendiri membaca zikir dengan kuat untuk mengajarkan para sahabatnya zikir tersebut? Ini tidak benar. Konsep pengajaran zikir dalam hadis tersebut jelas, di mana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berzikir secara terang-terangan sehingga didengari olah orang yang di luar masjid, untuk mengajar para sahabat berzikir setelah solat.



Tidak boleh dinafikan kemungkinan bahawa, takkala Rasulullah s.a.w. berzikir secara kuat juga, ada yang masih solat kerana masbuq dan sebagainya. Namun, Rasulullah s.a.w. mengutamakan pengajaran zikir kepada para sahabat yang lain sambil merai adab-adab supaya tidak mengganggu mereka yang masih lagi sedang solat.

faza4peace berkata...

Apa yang kita perlu lakukan, bukanlah mengingkari amalan berzikir secara kuat setelah solat tersebut, tetapi memberitahu adab-adab yang perlu dijaga dalam merai mereka yang sedang solat. Itu sahaja. Siapalah kita untuk mengingkari amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tersebut?



Ada hadis yang menyebutkan tentang mengeraskan suara dengan zikir iaitu hadis riwayat Ibnu Abbas:



“Bahawasanya mengangkat suara dengan zikir sewaktu orang ramai selesai solat fardu adalah dilakukan pada zaman Rasulullah. Berkata Ibnu Abbas lagi: “Aku mengetahuinya setelah mereka selesai solat fardu itu apabila aku mendengarnya.” Hadis riwayat Bokhari.



Ada orang mengulas: “Hadis ini ditujukan kepada keperluan mengajar zikir yakni nabi dan para sahabat pernah mengeraskan suara membaca zikir buat sementara waktu sahaja, bukan terus-menerus secara tetap.”



Persoalan yang pertama, di manakah petunjuk dalam hadis tersebut, menunjukkan Rasulullah s.a.w. hanya mengeraskan suara membaca zikir buat sementara waktu sahaja?



Jika kita lihat dari perkataan Ibn Abbas takkala mengulas bahawa, beliau r.a. mengetahui solat jemaah habis dengan mendengar bacaan zikir secara kuat tersebut, bahkan menunjukkan amalan tersebut kerap dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., sehingga ianya menjadi seolah-olah satu petunjuk bahawa, solat jemaah sudah selesai di masjid tersebut.



Kalaupun ada hadis yang menjelaskan amalan tersebut hanya sementara sahaja, kerana ianya merupakan suatu pengajaran terhadap para sahabat r.a., yang dapat kita ambil darinya ialah illah (sebab) Rasulullah s.a.w. mengeraskan suara dalam zikir setelah solat jemaah untuk untuk mengajar zikir setelah selesai solat kepada para sahabat.



Oleh itu, jika tiada illah (iaitu untuk mengajar) maka Rasulullah s.a.w. pun meniggalkan amalan tersebut. Persoalannya, illah tersebut akan tiada bila Baginda s.a.w. dapati para sahabatnya sudah boleh berzikir sendiri setelah solat, maka ditinggalkanlah amalan tersebut.

faza4peace berkata...

Tapi, fenomena di Malaysia, tidak sedemikian. Janganlah anda bercakap seolah-olah anda sebagai seorang sahabat yang hidup di zaman Baginda s.a.w. tersebut. Anda berada di abad ke 21 di mana, masyarakat Malaysia umumnya, amat jahil hatta dalam hukum agama sekalipun, inikan pula dalam bab zikir selepas solat.



Fiqh merupakan solusi realiti. Realiti masyarakat Malaysia masih memerlukan pengajaran yang berterusan khususnya dalam perkara-perkara agama. Oleh yang demikian, illah untuk membaca zikir secara kuat setelah solat berjemaah di Malaysia (iaitu mengajar masyarakat awam tentang zikir tersebut) masih lagi wujud, dengan wujudnya kejahilan dalam diri mereka.



Jadi, golongan yang lantang mengkritik amalan tersebut samada tidak faham dengan konsep sunnah Rasulullah s.a.w. itu sendiri, ataupun tidak faham dengan realiti masyarakat. Cukuplah dari memperdebatkan tentang perkara ini.



Kalaupun ada ulama’ yang menolak amalan tersebut seperti Ibn Qayyim (beliau orang Malaysiakah yang hidup dalam realiti kita hari ini) dan sebagainya, ada juga ulama’ muktabar yang membenarkan bacaan zikir secara kuat untuk tujuan mengajar masyarakat.



Bagi mereka yang mengamalkan, mereka ada dalil yang tersendiri. Bagi mereka yang tidak mengamalkan, mereka ada dalil yang tersendiri. Tetapi, bagi mereka yang sibuk berdebat, bergaduh, tuduh-menuduh, salah-menyalahkan satu sama lain dalam masalah ini, mereka sebenarnyalah yang membawa bid’ah, kerana menjadikan masalah khilafiyah yang tidak sepatutnya timbul pengingkaran sesama manusia di dalamnya, mereka canang merata-rata seolah-olah ianya suatu racun masyarakat Islam di Malaysia, padahal ramai dari kalangan umat Islam di Malaysia sendiri, yang sentiasa meninggalkan solat dan jahil dalam ilmu agama.

faza4peace berkata...

Apa gaduh-gaduh tentang perkara zikir setelah solat. Kalau anda mahu ikut serta dengan imam untuk baca zikir secara kuat, kalau anda sudah rasa “pandai” berzikir setelah solat sendiri, tidak ada sesiapa paksa anda zikir secara kuat, berjemaah. Ianya bukan suatu yang wajib. Orang-orang awam yang solat jemaah di masjid sendiri tidak pernah kata: “Zikir secara kuat lepas solat itu wajib”! Anda yang buruk sangka terhadap mereka, dengan mendakwa mereka anggap ianya wajib.



Semoga Allah s.w.t memelihara kita dari perpecahan dan dari sikap memecah-belahkan umat Islam…Amin…



Wallahu ‘alam…



Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

23 November 2006

UTM, Kuala Lumpur

budak baru belajar berkata...

entahlah...tak samakah islam yang rasullulah bawa ngan islam yang ada skrg..
nape zaman tu lain dan zaman ni lain...
islam org malaysia kene lain ngan org arab ke??
islam ikut zaman atau zaman yang ikut islam??
otak kene ikut islam ..atau islam yang kene ikut otak??
beza ke islam untuk org cerdik (yang tahu nas2) dan islam bagi org awam..
sapa yang pandai2 buat ukuran ini??

aiii entahlahhh...fikirlah sendiri

budak baru belajar berkata...

ulamak salafi yang mana ni enta baca mengkafirkan ulama'
adakah ulama' besar salafi yang mcm aid al qorni yang mengarang kitab la tahzan tu ???
atau pun ahmad hassan??
atau pun anda baca salafi tiruan agaknya..

entahlah.....
mungkin anda lagi banyak tahu dari ana..jazakallah khiaral jaza'

Tanpa Nama berkata...

Maaf dengan sedikit teguran di sini. Adab berdakwah, jaranglah kita menonjolkan diri kita melebihi dari yang lain kerana ditakuti berlaku ketaksuban dan sifat ujub. Jika orang tidak mahu menerima apa yang kita sampaikan, usah merungut, menyebarkan dan menyatakan kekecewaan kita. Ini adalah kerana tugas hamba Allah adalah berdakwah tetapi hidayah cuma datangnya dari Allah. Seperkara lagi, jangan menganggap ilmu yg kita ada dan sudah diperolehi oleh kita sudah mencukupi, kajilah dan rujuklah ilmu dari semua sudut iaitu dari ilmuwan rujukan salafiyyah atau ilmuwan yang tidak sealiran dengannya. Ini adalah kerana kita wajib berlaku adil.

Nawawi berkata...

Artikel Baru: Berzikir Dengan Suara Perlahan Atau Kuat? Mari Kita Lihat Pendapat Mazhab Syafi'e. Klik -

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2009/11/166-berzikir-dengan-suara-perlahan-atau.html - Sebar-sebarkan...

No comments: