Walaupun usia Miera baru mencecah 19 tahun tetapi keyakinan yang diberikan oleh Shahz untuk menjadi suami dan ketua keluarga meyakinkan gadis tinggi lampai itu untuk menamatkan zaman solonya. Impian dan harapan murni mereka berdua juga mendapat restu kedua-dua belah keluarga. Ketika ditemui sewaktu menjalani penggambaran telefilem Teguh arahan MP Roslin di Serdang, Selangor, baru-baru ini, Miera memberitahu hatinya kembali tenang selepas dihambat kontroversi bermula dengan fesyen baju yang dipakainya dan pelakon Lash Mokhtar mendakwa mereka berdua dilamun cinta.
“Saya tidak kisah lagi orang mahu anggap saya seperti apa dan siapa saya. Baru-baru ini ada pula yang menuduh saya mabuk. Selepas bertemu semula dengan Shahz sehingga menimbulkan bibit cinta antara kami, hati dan perasaan saya lebih aman berbanding dulu.
“Tumpuan saya kini hanya pada cinta kami dan kerjaya seni. Kami sudah pun memikirkan untuk menyimpul ikatan hati yang lebih kukuh namun segalanya terpulang kepada ketentuan Allah SWT. Hidup ini mesti ada perancangan di samping berdoa kepada-Nya, mohon diberikan yang terbaik.
“Kalau ikut kata hati kami berdua, perkara yang baik itu mahu disegerakan. Jangan bimbang apabila sahih kami akan bertunang dan tarikh dah dapat, akan saya beritahu pada semua. Tiada apa yang mahu dirahsiakan malah kami mohon doakan kebahagiaan kami,” katanya.
Ini bukan kali pertama mereka berlakon bersama-sama. Miera dan Shahz pernah berkongsi lokasi dalam drama on-line GUA, Luna Fantasiku dan filem Rentaz.
“Di lokasi, kami profesional dengan buat kerja sendiri tanpa perlu berkepit ke sana ke mari. Kami memberi ruang kepada diri masing-masing kerana kami juga tak mahu kru berasa tidak selesa atau menjadi bahan umpatan di set. Kami tetap pasangan yang bercinta tetapi kalau tiba urusan kerja, kami tidak mencampuradukkannya dengan hal peribadi. “Bagi saya, kalau bercinta pun kena beri ruang kepada kepada pasangan, tak perlulah jadi belangkas. Nanti orang tengok pun menyampah. Kami buat biasa-biasa saja dan mesti ada had dalam pergaulan, barulah indah bila hidup bersuami isteri nanti,” katanya.
Dalam telefilem Teguh, Miera memegang watak Suhaila yang bercinta dengan Darul (Shahz). Mereka bekerja di hotel sama. Suatu hari hotel itu didatangi pelanggan yang tampan dan kaya raya bernama Suhaimi (Zul Ariffin). Kedatangan Suhaimi ke hotel itu memberi kesan kepada cinta Suhaila dan Darul bila mana Suhaimi menggunakan kelebihan dirinya untuk merebut cinta Suhaila. Terbaru, Miera turut berlakon drama 13 episod berjudul Cendana bersama Deanna Yusof dan Iqram Dinzly. Peranannya dalam drama itu sebagai Farah yang terpaksa mengorbankan cintanya kerana mahukan ibunya bahagia. Dia juga muncul dalam drama Psikik sebagai gadis yang koma 10 tahun.
“Dalam banyak drama dan filem lakonan saya, saya sukakan watak Dina dalam Rentaz, Cici (Apokalips) dan Sukma kerana setiap karakter berkenaan berat. Saya mahu kikis imej glamor dan jauh daripada berita sensasi sebaliknya mahu penonton kenal saya kerana bakat.
“Saya mahu lupakan segala kontroversi yang pernah menghantui diri. Sebagai perempuan, saya mesti jaga harga diri,” katanya. Bagi Shahz pula, dia sememangnya mengharapkan mereka berdua cepat naik pelamin. “Saya sudah bersedia untuk berkahwin dan bina rumah tangga yang bahagia. Keluarga beritahu saya kalau sudah suka sama suka, tidak perlu tunggu lama-lama. Orang tua saya pun dah tua, bapa 70 tahun, emak pula 61 tahun. Saya mahu mereka tengok saya naik pelamin.
“Bapa berasal daripada Bukit Tinggi, Padang, dan emak pula berdarah campuran Cina Yunan daripada Hong Kong, manakala datuk asal Pakistan. Bapa mewarisi sikap ayahnya yang sangat tegas membesarkan kami. Kalau berkenan sesuatu barang, dia ajar kami cari duit dan beli sendiri. Sejak umur 17 tahun lagi saya berdikari dan Alhamdulillah berkat didikan bapa, kami adik-beradik membesar dengan baik.
“Apatah lagi perkara yang membabitkan keluarga dan maruah, bapa sangat mengambil berat mengenai hal itu. Justeru, dia mahu kami segera bernikah bagi mengelakkan fitnah dan daripada terjadinya perkara yang tidak elok,” katanya.
Sebaik saja selesai penggambaran Teguh, Shahz akan berehat sebentar sebelum menyambung penggambaran drama 13 episod untuk siaran TV3 di Australia. “Hampir sebulan juga saya akan berada di sana. Sempatlah menyambut tahun 2012 di negara itu. Balik sekejap ke Kuala Lumpur dan selepas itu saya akan ke Australia lagi untuk penggambaran drama 80 episod, berjudul Adam dan Hawa, terbitan Global Station.
“Penggambaran Adam dan Hawa turut membabitkan lokasi di India dan Makkah. Lamalah nampaknya saya akan berjauhan dengan Miera,” katanya.
No comments:
Post a Comment