29 February 2012

1000 DINAR

HIKMAT AYAT 1000 DINAR



Jika kita makan di Restoran Islam, didinding selalunya tergantung ayat 1000 dinar yang tulisannya dapat kita baca dari jauh. Ayat 1000 dinar ini adalah sebahagian dari ayat kedua dan sebahagian dari ayat ketiga Surah At-Talaq.

Ramai orang menganjurkan supaya mengamalkan ayat ini untuk memperolehi kejayaan atau keuntungan. Ramai peniaga menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan mereka, dengan harapan supaya perniagaan bertambah maju. Ramai pula yang menghafal ayat ini untuk dibaca dimasa-masa yang sesuai, seperti selepas solat.

Memang kita tidak boleh menafikan kelebihan ayat 1000 dinar. Malangnya, pendekatan sebahagian orang mengenai ayat ini, adalah sesat dan tidak betul. Jika kita lihat terjemahan ayat ini, ia mengandungi dua pengajaran iaitu supaya kita bertaqwa dan bertawakkal. Oleh itu, pendekatan yang betul untuk mengamalkan ayat 1000 dinar ini ialah dengan bertaqwa dan bertawakkal. Kenalah kita pelajari bab bertaqwa dan bertawakkal.

Kalau menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan, tapi solat tidak dikerjakan, amalan tidak jujur dalam perniagaan terus dibuat atau sebagainya, ini tidak bermakna kita mengamalkan ayat 1000 dinar.

Tujuan menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu beringat untuk bertaqwa dan bertawakkal. Begitu juga kalau kita baca ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertaqwa dan bertawakkal, itu juga bukan cara yang betul mengamalkan ayat 1000 dinar.

Sebenarnya ayat seribu dinar adalah sebaik-baik segala doa untuk segala masalah. Banyak doa-doa lain untuk perlindungan diri dari musibah dan ketika susah. Tetapi mampukah kita menghafal kesemua doa-doa tersebut. Hanya segelintir diantara kita yang mampu menghafal banyak doa-doa yang khusus untuk sesuatu tujuan.

Tetapi ayat seribu dinar merangkumi kesemuanya untuk mendapatkan rezki yang banyak, melindungi diri dari bala dan musibah serta perlindungan dari syaitan, jin dan iblis. Di kala kita dalam kesusahan yang seperti dialami oleh pelajar-pelajar di Mesir yang terkini terkepung. Ada kalanya kita terlupa, apakah doa yang hendak dibaca. Yang sebaik-baiknya ayat seribu dinar yang mudah dibaca dan dihafal sewaktu dalam keadaan darurat.

Ini ayat seribu dinar namanya, ayat ini diamal oleh seorang hamba yang mendapat hikmat ini dari Nabi Allah Khidhir ketika belayar di laut dengan berkata berkat amal ayat ini hamba itu mendapat kemuliaan dan menjadi raja.

Ayat ini mengandungi seribu faedah jikalau di amalkan tiap-tiap kali lepas sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah, barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.

Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh.

Jikalau mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala.

Jikalau masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika di pukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.

Selepas mengetahui hikmat ayat ini, eloklah dihafalkan dan fahamkan maknanya sekali sebagai bekalan kita ketika menghadapi segala kesusahan dan kesengsaraan yang tidak kita jangkakan. Jazakallah Khairan.




Maksudnya:

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."


BETINA NI MEMANG ZALIM DAN KEJAM!!

BETINA NI MEMANG ZALIM DAN KEJAM!!


Captain ambil gambar ini dari blog Siasahkini. Sebab apa?? Supaya kita lihat betapa seseorang itu begitu kejam dan zalim kerana hendak terkenal di seanterio dunia. Cara lain semua orang sudah lakukan untuk terkenal. Dengan cara ini pasti sangat berkesan dan menyentuh hati kita apabila melihat seekor anak kucing yang comel di perlakukan dengan memijak sehingga mati.

Sesiapa yang melihat pasti marah punya. Celaka sungguh betina ini. Rasa-rasa macam nak sepak betina sundal ni! ..geram sungguh. Moga-moga dapat balasan segera dari Allah SWT kerana menzalimi binatang yang Rasulullah SAW sayang.

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw pernah bercerita,

“Pada suatu ketika ada seorang lelaki sedang berjalan melalui sebuah jalan, lalu dia merasa sangat haus. Lalu dia turun ke sumur untuk minum. Setelah keluar daripada sumur, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya, Alangkah hausnya anjing itu, seperti yang baru kualami”. Lalu dia turun kembali ke sumur, dicedoknya air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diberi minum kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada lelaki itu (diterima amalnya) dan diampuni dosanya”.Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah saw. Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan ini?” Jawab rasulullah saw, “Menyayangi setiap makhluk hidup (termasuk tumbuhan dan haiwan) adalah berpahala”.

























Sumber: http://siasahkini.blogspot.com/

BADRUL AMIN

BADRUL OH BADRUL AMIN !!


Semalam kebanyakan blog-blog pencacai UMNO rata-rata membuat N3 tentang berita Ustaz Badrul Amin kena tangkap berkhalwat dengan isteri orang jam 3.00 pagi oleh JAIP di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

Captain bukan nak membela atau mengutuk Ustaz Badrul Amin kerana berkhalwat dengan isteri orang bukan bermakna Ustaz itu ada niat lain tetapi hanya nak menolong si isteri orang yang menghadapi masalah rumahtangga.

Walaupun niatnya baik tetapi caranya tetap salah tak kiralah tengah malam atau tengah hari. Beliau boleh minta bantuan dari kawan-kawan yang berada di Kuantan. Mesti diaorang datang jika Ustaz menelefon pada masa itu.

Jika seorag Ustaz pun kadang-kadang pun tersilap membuat perkiraan bagaimana kita orang biasa ini yang kurang ilmu agama. Jika berkenaan menyelesaikan masalah isteri orang yang sekarang captain sedang hadapi berpuluh-puluh masalah dari isteri orang, tunang orang, janda dan anak-anak gadis yang mempunyai berbagai masalah peribadi.

Kejadian ini sikit sebanyak memberi pengajaran kepada captain dalam menyelesaikan masalah isteri orang yang menghadapi masalah rumahtangga. Niat baik jika dapat menolong orang dengan cara yang betul.

Walau apa pun captain percayai Ustaz Badrul ini difitnah kerana beliau memang banyak musuh politik yang akan mengambil peluang jika ada. Berhati-hatilah jika hendak menolong orang lain kadang-kadang boleh merbahayakan diri sendiri kerana tindakan sendiri yang kurang bijak..

Wasallam.

Ph.D

Ph.D MEMBINASAKAN DIRI.


Dalam sebuah hadis, baginda Rasulullah s.a.w ada menyebutkan yang bermaksud:
Ketahuilah bahawa pada tubuh manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah tubuh itu dan apabila ia buruk, buruklah tubuh itu. Segumpal daging itu adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Salah satu penyakit mental yang semua orang ada samada sikit atau banyak adalah sifat hasad dengki. Apa itu hasad? Hasad adalah seseorang yang menginginkan hilangnya kesenangan yang dimiliki oleh orang lain dan berusaha memindahkan kesenangan itu agar berpindah kepada dirinya. Dalam pemahaman dari sudut bahasa kita, hasad seringkali disebut sebagai iri hati atau dengki terhadap prestasi atau keberuntungan yang dicapai oleh orang lain. Urutan daripada sikap ini ialah berusaha menghilangkan keberuntungan itu agar beralih kepada dirinya.

Kerana hasad dengki juga, menjurus kearah bermacam kes jenayah kecil sehingga besar. Kerana hasad dengki, banyak orang menggunakan sihir keatas orang lain. Sifat hasad dengki boleh merosakkan perpaduan ummah.

Allah SWT telah berfirman, yang bermaksud:
Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (Ali-Imran: 120)
Membicarakan perkara berkaitan dengan hasad dengki ini. Sememangnya, sebagai seorang hamba Allah yang biasa, yang selalu sering sahaja terlupa. Perasaan hasad dengki boleh dikatakan dirasai oleh semua orang. Yang menyedihkan, seringkali disinonimkan sikap hasad dengki itu dengan orang Melayu.

Di Malaysia, apabila disebut sahaja berkaitan dengan hasad dengki (Phd), maka sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Seolah-olahnya bangsa Melayu memang terkenal dengan sebuah masyarakat yang mempunyai hasad dengki yang tinggi jika boleh digredkan mungkin dapat Ph.D, bukan "Doctor of Philosphy".

Adakah tanggapan ini benar?

Sekiranya kita mengatakan benar, adakah hanya masyarakat Melayu sahaja mempunyai sifat mazmumah ini? Sekiranya kita mengatakan tidak benar, seolah-olahnya kita menafikan realiti yang berlaku dalam masyarakat. Sedangkan realiti yang pernah disaksikan memperlihatkan bagaimana jatuh bangunnya pemimpin Melayu, perniagaan Melayu, dan sebagainya akibat hasad
dengki.

Kata Imam Al-Ghazali, hasad dengki ialah sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, "Ketahuilah hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu," – (Hidayatus Salikin 206).

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya. Rasulullah bersabda bermaksud:
“Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” – (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah – Riadus Salihin 4:1441)
Dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian.
Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2. Berasa Diri Mulia.
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.

3. Takbur.
Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diriterhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan
seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.

4. Ujub.
Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.
Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.

6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.
Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7. Busuk Hati.
Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati.

Bersama-samalah kita menjauhi perbuatan hasad dengki ini. Ayuhlah kita suburkan persaingan yang bersifat sihat yang digalakkan di dalam Islam. Sesungguhnya sifat hasad dengki ini hanyalah akan merugikan umat semata-mata.

Sekian, Wasallam.

RUMAHTANGGA

KEGETIRAN RUMAHTANGGA



Peribahasa Melayu ini "Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua". Maknanya kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya. Jika suami atau isteri melakukan kesilapan dalam rumahtangga sehingga bercerai. Anak-anak yang akan menerima akibatnya. Suami atau isteri boleh kahwin lain. Anak-anak bagaimana?

Dalam mengharungi kehidupan berumahtangga ada masa-masa manisnya dan ada masa-masa pahitnya. Sekiranya ada sedikit kesilapan yang boleh diselesaikan. Maka perbetulkan jika boleh atau rujuk kepada kedua ibubapa atau mendapatkan nasihat dari kaunselor perkahwinan untuk menyelesaikan kekusutan secara baik. Bab perkahwinan bukan ada orang yang pakar atau sempurna tentangnya.

Pakar perkahwinan pun kadang-kadang perlu rujuk kepada pihak lain untuk membetulkan keadaan rumahtangganya. Kita mana tahu masalah rumahtangaa orang lain yang kelihatan sempurna dimata kasar kita. Mungkin cara penyelesaian mereka membuat mereka itu kelihatan sempurna. Yang menasihat orang lain kadang-kadang minta pendapat orang lain untuk dirinya.

Setiap orang melakukan kesilapan kecil atau besar. Tidak ada yang tidak boleh diselesaikan secara yang baik. Hanya diri kita yang mahu yang terbaik atau sebaliknya. Hidup berumahtangga bagaikan "Aur Dengan Tebing". Saling membantu jika ada kesusahan. Barulah aman damai sesebuah rumahtangga itu.

Hari ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya kerana tiada persefahaman, akibat masalah remeh atau tiada masalah langsung tetapi itu yang berlaku bila jodoh tidak berpanjangan.

Ada mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami. Anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Isteri mengadu mengenai masalah rumah tangga. Ironinya, hampir semua kesulitan dialami boleh diselesaikan tetapi titik penyelesaian bukan di pundak salah seorang pasangan tetapi kedua-dua suami isteri.

Malangnya, ramai mengambil mudah dan melepaskan kepada salah satu pihak saja berusaha menyelesaikan kemelut dihadapi. Akibatnya, banyak syurga cinta dibina bertahun lama runtuh begitu saja.

Permulaan membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan ialah menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang dan ketenangan terhasil dari sebuah ikatan yang suci.

Selain memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat dan keturunan sebagai penyambung tugas khalifah Allah di muka bumi di samping mengelak pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing.

Asas sebuah perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur.

Penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita daripada institusi perkahwinan tidak timbul dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan suami, maka isteri berhak menuntut perceraian.

Antara konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada
tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Talak perkara paling dibenci Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah perceraian.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Langkah mengembalikan hubungan tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika masalah mengganggu keharmonian, elok diselesaikan seberapa upaya. Pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelak salah faham berlarutan. Tetapi ini boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, tiada perdamaian ‘hati’ yang boleh diusahakan lagi.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi menidakkan ajaran dan bimbingan dalam keluarga, akhirnya wujud anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina ‘jati diri’ menghadapi kemungkinan di kemudian hari.

Akhirnya rumah tangga yang bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak.

Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan yang membawa kepada krisis besar sehingga pasangan bertindak tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu tetapi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar.

Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 226)
Wassalam

BERTENGKAR

BERTENGKAR SECARA POSITIF


Rasulullah bersabda,

"Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga." (Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedangkan idah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula,mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor." (Riwayat Ibnu Mas’ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi,janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap.

Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan.

Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada kelemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya.

Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan.

Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah

Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara.

Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja.

Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.

8. Elakkan terlalu emosional.

Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik

Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur.

Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri.

Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak.

Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar.

Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party.

Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah

Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai.

Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan.

Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda.Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan.

Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dalam buku Manual Kerja Super Suami. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my.

Sedekah itu payung di akhirat

Sedekah itu payung di akhirat





Di bulan Mac yang lalu banyak orang mengeluh kerana tidak tahan dengan cuaca panas dan selalu mencari tempat redup dan berhawa dingin untuk menyejukkan badan. Kadang-kadang tidur pun badan berpeluh dan bangun mandi tengah malam baru sedap untuk tidur kembali.

Itu baru kat atas dunia ini. Bayangkan cerita dari orang tua kita semasa kecil dahulu, katanya di Padang Masyar nanti. Matahari hanya sejengkal dari kepala kita. Tak boleh nak bayangkan betapa dasyatnya nanti. Sebagai seorang Muslim sentiasa khuatir akan nasib kita di hari kiamat nanti kerana memikirkan umat manusia bakal dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar sedangkan matahari berada sangat dekat di kepala.


Bagaimanapun, umat Nabi Muhammad SAW bertuah kerana baginda sudah menjelaskan bagaimana untuk mendapat naungan di hari kiamat seterusnya berusaha melaksanakan apa yang patut demi kebahagiaan di akhirat nanti. Antara keterangan Rasulullah SAW ialah hadis menyatakan bahawa naungan orang beriman di hari kiamat sangat terkait dengan kebiasaannya mengeluarkan sedekah sewaktu hidupnya di dunia.




Ketika di Padang Mahsyar, setiap manusia menunggu giliran untuk diadili. Semua akan merasakan panasnya matahari di atas kepala namun bagi yang rajin bersedekah, bakal memperoleh naungan daripada matahari kerana sedekahnya itu.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia atau ia berkata: “Ditetapkan hukuman di antara manusia.” Yazid berkata: “Abul Khair tidak pernah melewati satu hari pun melainkan ia bersedekah padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kuih atau bawang merah atau seperti ini.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi, Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW dengan jelas menyatakan:

“Naungan orang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Menyedari hakikat itu, rajin-rajinlah bersedekah supaya memperoleh naungan di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah SWT. Jangan meremehkan amalan sedekah.




Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang bersedekah dengan sebutir kurma dari usaha yang halal, maka Allah akan menerimanya dengan baik, lalu dipelihara-Nya seperti kamu memelihara anak kambing atau anak unta sehingga sedekahmu itu bertambah besar menjadi sebesar gunung atau lebih besar daripada itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah kami meremehkan sedikitpun perbuatan makruf sekalipun kamu sekadar menemui saudaramu dengan wajah berseri.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada dua hadis di atas, ketahuilah dan janganlah sekali-kali kita memandang remeh pemberian diberikan. Sesungguhnya bukan banyaknya sedekah yang dikira, tetapi keikhlasan hati. Sedekahlah apa saja mengikut kemampuan




Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya,

“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak dapat berbuat demikian, maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendaklah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Suatu ketika, seorang sahabat pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa seorang miskin berdiri di depan pintu rumahnya. Maka dia tidak menemukan sesuatu yang dapat di berikan kepada orang miskin itu.


Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud:
“Jika kamu tidak menemukan sesuatu yang dapat kamu berikan kepadanya selain kuku binatang yang dibakar, maka serahkanlah kepadanya di tangannya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan serta sikap pengecut dan kebakhilan.” (Hadis riwayat Muslim)
Membantu orang yang tidak berada dan berkongsi menggunakan suatu kemudahan juga merupakan sedekah dan salah satu daripada sifat yang amat dituntut di dalam Islam. Setiap umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam hidupnya sama ada dengan memberikan bantuan tenaga, buah fikiran atau memberikan nasihat yang berguna kepada orang lain di mana semua ini dinilai sebagai sedekah.




Kategori sedekah yang paling minimum adalah dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang jahat (buruk) di mana dengan cara itu seseorang telah dianggap menyelamatkan masyarakat sekitarnya daripada keburukan dirinya yang boleh membahayakan orang lain.




Bersedekah hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan bukan diiringi dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk (riya’) kerana ini akan menghilangkan pahala bersedekah.




Tujuh golongan insan contoh




Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Hadis riwayat AbuDaud dan Ibnu Majah)
Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :




a) Pemerintah yang adil – Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.




b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.




c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid – Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.




d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah – Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.




e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata, “Aku takut kepada Allah!” – Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.




f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya – Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya itu.




g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.




Renung-renungkan!




Wassalam.