03 January 2020

KONSEP NUR MUHAMMAD: HURAIAN DAN PENJELASAN






 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎
3X سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 




Assalammualaikum



Credit to KIAS..



Jurnal KIAS   JURNAL BILANGAN IX : MUHARRAM 1436H/NOVEMBER 2014M





 TAJUK : KONSEP NUR MUHAMMAD: HURAIAN DAN PENJELASAN

               Oleh : Zakaria @ Mahmod bin Daud







ABSTRAK :



Konsep Nur Muhammad telah lama diperkata dan diperbincangkan oleh ulama Nusantara semenjak dahulu sampai ke hari ini. Ada segolongan umat Islam menerima konsep tersebut dengan mengemukakan dalil-dalil dan hujah-hujah yang tersendiri termasuk apa yang dikatakan hadis-hadis Rasulullah SAW. Manakala segolongan yang lain pula tidak menerimanya, bahkan menolaknya dengan mengemukakan dalil-dalil yang lain pula. Setiap golongan mendakwa pendapat mereka lebih betul dan benar, sedangkan pendapat kumpulan yang satu lagi dianggap salah, tidak betul, bahkan perlu ditolak dan tidak boleh diterima. Justeru artikel ini akan membuat penjelasan terhadap dalil-dalil daripada kedua-dua golongan tersebut, kemudian di akhirnya dikemukakan ulasan-ulasan sebagai perbandingan untuk ditarjih pendapat mana yang lebih kuat dan patut diterima.









PENDAHULUAN







Bagi mengetahui erti “Nur Muhammad” dari segi istilah, terlebih dahulu perlu dijelaskan erti perkataan “Nur” dan “Muhammad” dari segi bahasa. Perkataan “Nur” berasal dari bahasa Arab “al-Nur”; iaitu cahaya atau sinaran, lawan kepada perkataan “zalam” yang bermaksud gelap. Nur juga merupakan salah satu daripada sifat Allah SWT, sepertimana disebut di dalam al-Quran:









ª!$# â‘qçR ÅVºuq»yJ¡¡9$# ÇÚö‘F{$#ur 4 ã@sWtB ¾ÍnÍ‘qçR ;o4qs3ô±ÏJx. $pkŽÏù îy$t6óÁÏB ( ßy$t6óÁÏJø9$# ’Îû >py_%y`ã— ( èpy_%y`–“9$# $pk¨Xr(x. Ò=x.öqx. A“Íh‘ߊ ߉s%qム`ÏB ;otyfx© 7pŸ2t»t6•B 7ptRqçG÷ƒy— žw 7p§‹Ï%÷ŽŸ° Ÿwur 7p¨ŠÎ/óxî ߊ%s3tƒ $pkçJ÷ƒy— âäûÓÅÓムöqs9ur óOs9 çmó¡|¡ôJs? Ö‘$tR 4 î‘qœR 4’n?tã 9‘qçR 3 “ωöku‰ ª!$# ¾ÍnÍ‘qãZÏ9 `tB âä!$t±o„ 4 ÛUÎŽôØo„ur ª!$# Ÿ@»sWøBF{$# Ĩ$¨Y=Ï9 3 ª!$#ur Èe@ä3Î/ >äóÓx« ÒOŠÎ=tæ ÇÌÎÈ







Maksudnya; “Allah (Pemberi) Nur atau cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan Nur (cahaya) Allah adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca, (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah Timur dan tidak di sebelah Baratnya yang minyaknya (sahaja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah membimbing kepada cahayaNya sesiapa yang Dia kehendaki”.



Al-Nur (24): 35







Jadi Nur di dalam ayat di atas bemaksud cahaya. Selain itu perkataan “al-Nur” banyak disebut di dalam al-Quran dalam banyak ayat dan surah.







Manakala perkataan “Muhammad” yang dimaksudkan di sini ialah Nabi Muhammad SAW, iaitu nabi akhir zaman yang diutuskan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia. Baginda dilahirkan di Makkah al-Mukarramah daripada bangsa Arab kabilah Quraisy daripada Bani Hashim, ayahandanya bernama Abdullah dan bondanya bernama Aminah.







Apabila kedua-dua perkataan di atas digabung menjadi satu perkataan dengan sebutan “Nur Muhammad”, maka ia bermaksud; “roh Nabi Muhammad” atau “hakikat Muhammad” (Haqiqah Muhammadiah), yang dianggap sebagai makhluk Allah yang mula-mula dijadikan, dan semua makhluk yang ada di langit dan di bumi dijadikan dari Nur Muhammad tersebut[1].







Konsep Nur Muhammad ini dikatakan pada mulanya dibawa oleh Ibn Arabi, kemudian diikuti oleh Abdul Karim al-Jili dan seterusnya oleh tokoh-tokoh sufi yang lain. Al-Jili menyebut benda-benda yang diciptakan daripada Nur Muhammad adalah yang diciptakan daripada Nur Allah. Oleh itu pada setiap benda terdapat Nur Muhammad, dan yang paling sempurna terdapat pada diri nabi-nabi dan yang paling sumpurna sekali adalah pada diri Nabi Muhammad SAW[2].







Ada banyak buku atau kitab sama ada dalam bahasa Arab dan Melayu (jawi dan rumi) yang menulis mengenai perkara ini, seperti “Kitab Hikayat Nur Muhammad”, “Kitab Kasyfu al-Ghaibiyyat”, “Kitab Berzanji” dan lain-lain lagi. Ramai penulis menyebut bahawa Hikayat Nur Muhammad ini memang masyhur dan popular diperbincangkan terutama sewaktu keagungan Kerajaan Islam Acheh dan Melaka lagi[3].







Bagi golongan yang mengatakan konsep Nur Muhammad ini ada, mereka mengatakan ia ada kaitan dengan apa yang dipanggil “Martabat Tujuh” yang membicarakan asal kejadian alam ini, dan ada kaitan dengan cara bagi meningkatkan kefahaman tauhid[4]. “Tujuh Martabat” itu ialah:







Ahadiah; ia diumpamakan sebagai sehelai kertas putih yang lapang dan kosong. Ia juga dipanggil “La Ta’yyun” (yang tidak nyata), sebab tidak nyata suatu juapun. Ia juga dipanggil martabat “Ghaib al-Mutlaq”, iaitu ghaib yang sepenuhnya daripada akal dan pancaindera. Dalam martabat ini, kejadian Nabi Muhammad adalah tidak nyata meskipun pada perhitungannya ada. Ini kerana memandangkan hakikat Allah sebagai Maha Pencipta.















Wahdah; atau (dipanggil Hakikat Muhammad). Martabat ini diumpamakan sebagai “noktah” (titik), dan noktah ini asal bagi segala huruf yakni menerima dan mengandungi segala huruf yang hendak disuratkan (dituliskan). Martabat ini dipanggil juga dengan “Ta’yyun Awwal” (iaitu nyata yang pertama), kerana sebelum daripada ini kejadian Nabi Muhammad SAW dan sarangnya (acuan bentuk rupanya) masih belum nyata sebagai nyata yang pertama iaitu pada martabat wahdah. Nyata pada peringkat ini bukanlah dari segi Hakikat Muhammad, cuma nyata pada sarangnya sahaja.







Wahidiah. Peringkat ini diumpamakan sebagai “alif” yang terhasil daripada “noktah” yang ada pada martabat Wahdah, kerana itu ia dipanggil “Ta’yyun Thani”, atau nyata yang kedua daripada Hakikat Muhammad. Juga martabat ini dipanggil “A’yan Thabitah” (benda-benda yang tetap). Ini bererti kejadian Nabi Muhammad sebelum ini masih belum wujud. Yang wujud (ada) hanya Wahdah atau sarangnya sahaja, tetapi dia dikira wujud juga kerana ada sarangnya. Jadi kewujudan diri Hakikat Muhammad di peringkat Wahidiah ini ialah wujud dan nyata di dalam sarangnya. Syaikh Daud al-Fatani mengumpamakan martabat ini sebagai huruf alif yang terhasil daripada noktah yang ada pada martabat Wahdah.







Ramai golongan tasawwuf menganggap martabah Ahadiah, Wahdah dan Wahidiah ini adalah qadim dan azali kerana ia merupakan martabat yang disandarkan kepada ketuhanan disebabkan tidak ada kewujudan atau makhluk lagi ketika itu melainkan hanya Allah dan sifat-sifatNya sahaja. Manakala segolongan lain mengatakan martabat itu adalah hadith (baharu).







Alam arwah; (Roh Nabi Muhammad atau Nur Muhammad). Martabat ini bermaksud mengeluar atau menampak kejadian Nabi Muhammad SAW yang sebenar yang sebelumnya hanya wujud i‘tibari (wujud pada anggapan sahaja). Pada peringkat ini Nabi Muhammad adalah wujud hakiki. Yakni kejadian dan kewujudan baginda ketika ini adalah wujud yang hakiki yang dijadikan daripada tiada kepada ada, sehingga boleh didapat dengan menggunakan pancaindera. Walaupun Hakikat Muhammad atau kejadian Roh Muhammad ini satu, namun oleh kerana ia mengandungi beberapa cabang yang sangat banyak maka kejadian roh yang satu itu turut menjadi banyak dan bercambah dan akan diasing atau dipisahkan di antara satu sama lain dalam “Alam Mithali” (iaitu martabat kelima). Kerana itu martabat ini dipanggil “Alam Arwah”.







Fenomena ini dapat diumpamakan seperti satu biji benih pokok yang mengandungi batang atau pokok. Pokok itu pula akan menerbitkan dahan, ranting, daun, bunga, buah dan sebagainya. Sebarang hasil yang terbit atau keluar dari pohon itu akan dapat diasingkan antara satu sama lain. Oleh kerana roh yang satu tadi mengandungi banyak cawangan dan cabangnya, maka ia dinamakan dengan “Alam Arwah” yang bererti banyak roh. Sedangkan pada hakikatnya hanya ada satu roh sahaja iaitu yang dipanggil dengan “Roh Muhammad” atau “Nur Muhammad”. Kerana itu kejadian Nabi Muhammad pada peringkat ini dinamakan “Nur Muhammad”, atau “Roh Muhammad”, atau “Haqiqah Muhammadiah” dan “A’yan Kharijiyyah”.







Alam Mithali. Martabat yung ke lima ini, Roh Muhammad atau Nur Muhammad ada pada martabat yang berkumpul atau yang ada pada “Alam Arwah” itu telah berpecah dan terpisah secara berasingan dengan bermacam-macam mithal (bermacam-macam rupa bentuk) yang dikehendaki oleh Allah. Kerana itu roh pada peringkat ini dinamakan sebagai “Alam Mithali”, atau alam rupa kerana pada setiap cawangan itu ada mithal atau rupa. Pada peringkat ini adanya makhluk dengan berbagai-bagai rupa dan ada berbagai-bagai makhluk seperti Arasy, Kursi, langit, bumi, matahari dan sebagainya. Namun sebenarnya maksud daripada Alam Mithali ini ialah bentuk roh manusia sahaja.







Alam Ajsam. Ia dinamakan juga Alam Syahadah atau Alam al-Mulk. Ia adalah alam kasar yang dapat diasingkan, dibahagikan dan disusun daripada beberapa unsur kejadian, iaitu tanah, air, api dan angin. Alam ini membentuk benda-benda yang tidak bernyawa (jamadat), tumbuh-tumbuhan (nabatat), haiwan-haiwan (hayawanat) dan manusia dan jin (insan wa jin). Pada peringkat ini badan-badan itu dirupakan dalam bentuk malaikat, jin, binatang atau manusia. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah jenis manusia sahaja kerana perbincangan hanya mengenai roh-roh manusia.







Alam Insan atau Insan Kamil. Martabat ini ialah martabat alam kejadian manusia yang sempurna atau Insan Kamil. Kejadian Nabi Muhammad SAW disebut sebagai Insan Kamil kerana kejadiannya pada martabat ini cukup sempurna, iaitu roh, badan, sifat-sifat luaran dan dalaman terkumpul pada kejadian ini[5].











KEDUDUKAN DAN KISAH NUR MUHAMMAD







Kalau dilihat kepada bahan penulisan yang membicarakan mengenai Nur Muhammad, didapati ada hubungan rapat dengan tiga perkara penting, iaitu;







Nur Muhammad adalah makhluk Allah yang mula-mula sekali diciptakan oleh Allah Taala. Tidak ada makhluk lain yang mendahului kewujudan Nur Muhammad sama ada langit, bumi, matahari bulan dan lain-lain.







Nur Muhammad adalah asal atau punca segala kejadian makhluk ini. Atau dengan kata lain makhluk keseluruhannya dijadikan daripada Nur Muhammad sama ada melalui Nur Muhammad secara langsung atau melalui peluh-peluhnya (akan dibincangkan selepas ini).







Dikatakan kerana Nabi Muhammad SAW, segala makhluk sama ada bumi, langit dan makhluk lain yang ada di langit dan di bumi yang dijadikan oleh Allah adalah kerana Nabi Muhammad SAW. Jika tidak kerana Nabi Muhammad SAW maka semua makhluk tidak dicipta dan dijadikan oleh Allah SWT.













PENJELASAN PENDAPAT YANG MENERIMA DAN MENOLAK NUR MUHAMMAD







Bagi membicarakan mengenai konsep Nur Muhammad dan ketiga-tiga perkara di atas secara lebih detail, kita perlu mengetahui pandangan dan pendapat para ulama dan umat Islam mengenainya. Apabila dikaji mengenai konsep Nur Muhammad ini, kita dapati umat Islam ada dua pendapat yang berbeza dan bertentengan di antara satu sama lain, iaitu yang menyokong dan yang menolak. Di bawah ini dijelaskan kedua-dua pendapat tersebut bersama dalil masing-masing. Lepas itu dalil kedua-dua golongan itu diulas dan ditarjihkan:







Pendapat Golongan Yang Menyokong







Bagi ahli tasawuf dan tarikat serta mereka yang menyokong pendapat tersebut, mengatakan konsep Nur Muhammad adalah suatu perkara yang nyata wujud. Mereka menyakini dan percaya bahawa Nur Muhammad adalah makhluk yang awal dicipta oleh Allah SWT. Sebelum wujudnya alam ini Nur itu telah ada. Ia dicipta daripada Nur Ilahi. Kemudian daripada Nur Muhammad inilah diciptanya segala makhluk yang ada di dunia ini sama ada yang di bumi dan di langit.







Melalui penelitian dan penyelidikan yang dilakukan oleh penulis, didapati ada dua sumber penting yang dijadikan alasan oleh golongan yang menyokong adanya konsep Nur Muhammad dan mereka yakin ia adalah satu kejadian yang memang benar dan betul di sisi Allah SWT, iaitu:







Golongan ini bersandarkan kepada banyak hadis-hadis yang mereka yakini bahawa ia sahih dan benar.Bersandarkan kepada perasaan halus bahawa kejadian tersebut adalah suatu perkara yang mungkin berlaku dan ia adalah dalam ilmu dan kudrat Allah SWT, kerana Nabi Muhammad SAW adalah makhluk Allah yang paling agung.



  



Bagi membuktikan pendapat mereka adalah betul dan benar, golongan ini mengemukakan berbagai-bagai dalil dan cerita, sebagaimana berikut:







Nur Muhammad adalah makhluk mula-mula diciptakan.



Banyak dalil yang dibawa oleh golongan ini untuk menyokong dan menguatkan pendapat mereka, antaranya ialah;







Dalam kitab “Hikayat Nur Muhammad Dan Nabi Bercukur Dan Nabi Wafat” dan kitab lain lagi ada menyebutkan bahawa Nur Muhammad adalah makhluk Allah yang paling awal dicipta/dijadikan. Ia diciptakan sebelum terbentuknya alam dan makhluk ini. Di antaranya mereka berdalilkan kepada hadis Nabi SAW[6]:







أول ما خلق الله نوري







Maksudnya; Pertama benda yang diciptakan oleh Allah SWT ialah Nurku / hakikat ku / cahayaku.







Mengikut riwayat ini jelas bahawa Nur Muhammad adalah makhluk Allah yang pertama diciptakan olehNya.



Al-Fakir Syaikh Yusoff Ismail al-Nabhani dalam kitabnya, “Al-Anwar al-Muhammadiah”, membawa dalil (yang dikatakan) hadis daripada Rasulullah SAW yang menjelaskan perkara ini. Disebut satu riwayat ada seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW tentang kewujudan baginda. Rasulullah SAW menjawab[7];







“Iaitu (sewaktu) Adam AS masih lagi di antara roh dan jasad, dan ketika itu Allah SWT telah mengambil perjanjian (al-mithaq) dariku”. Nabi SAW menyatakan bahawa baginda adalah makhluk yang paling awal menjadi nabi, tetapi akhir sekali dibangkitkan.







Golongan pertama ini menguatkan lagi pendapat mereka dengan hadis, Rasulullah SAW yang bersabda[8];







قالوا: يا رسول الله صلى الله عليه وسلم: متى وجبت لك النبوة ؟قال: وأدم بين الروح والجسد







Maksudnya; Mereka (Sahabat RA) bertanya Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, bilakah diwajibkan ke atas kamu menjadi Rasul?”, Baginda SAW menjawab: “Iaitu ketika Nabi Adam AS masih lagi di antara roh dan jasad”.







Syaikh Abd. Razak menyebut bahawa Rasulullah SAW memberitahu Jabir RA sesungguhnya Allah mencipta Nur Nabi Muhammad SAW daripada NurNya sebelum dijadikan makhluk-makhluk lain; sebelum dijadikan Lauh Mahfuz, Qalam, syurga, neraka, malaikat, langit, bumi, matahari, bulan, manusia, jin dan sebagainya. Disebutkan apabila Allah SWT hendak mencipta makhluk, dibahagikan Nur Muhammad kepada empat bahagian. Daripada bahagian pertama dijadikan Qalam, daripada bahagian kedua dijadikan Lauh Mahfuz, daripada bahagian ketiga dijadikan Arasy Kemudian daripada bahagian keempat dibahagi pula kepada empat bahagian lagi; bahagian pertama dijadikan para malaikat yang memikul Arasy Allah, bahagian kedua dijadikan Kursi Allah, bahagian ketiga dijadikan para malaikat yang lain. Kemudian bahagian yang keempat dibahagi lagi kepada empat bahagian lain pula; daripada bahagian pertama dijadikan tujuh petala langit, bahagian kedua dijadikan tujuh petala bumi, bahagian ketiga dijadikan syurga dan neraka. Kemudian bahagian yang keempat dibahagi lagi kepada empat bahagian lain pula. Bahagian pertama dijadikan cahaya pandangan orang mukmin, daripada bahagian kedua dijadikan cahaya hati mereka untuk dapat mengenal Allah, daripada bahagian ketiga dijadikan cahaya manusia (nur insani) iaitu tauhid Lailahaillah, Muhammad Rasulllah.[9]







Cerita lain ada menyebut bahawa Ali bin Abu Talib RA bertanya Rasulullah SAW:







“Daripada apakah engkau dijadikan?”, Baginda SAW menjawab: “Apabila Allah mewahyukan kepadaku apa yang diwahyukan, aku bertanya Allah: “Wahai Tuhanku daripada apakah Mu jadikan aku?”, Allah menjawab: “Dengan kebesaran dan keagunganKu, kalau tidak kerana engkau aku tidak jadikan bumi dan langit”. Nabi bertanya lagi: “Daripada apakah aku dijadikan?”, Allah menjawab: “Wahai Muhammad, Aku melihat kepada kebersihan putih NurKu yang Ku jadikannya dengan kudratKu, kemudianKu keluarkan satu bahagian daripadanya, lalu bahagian itu Aku bahagikan kepada tiga bahagian. Daripada bahagian pertama Aku jadikan engkau dan kaum keluarga engkau. Daripada bahagian kedua Aku jadikan isteri-isteri dan sahabat engkau, daripada bahagian ketiga Aku jadikan orang-orang yang sayangkan kepada engkau. Apabila datang hari kiamat Aku kembalikan Nur itu kepada NurKu dan Aku masukkan kamu, kaum keluarga kamu, isteri-isteri kamu, sahabat-sahabat kamu dan orang-orang yang sayangkan kamu ke dalam syurgaKu dengan rahmatKu”.[10]



Dalam kitab; “Kasyfu al-Ghaibiyyat”, karangan Syaikh Zainal Abidin al-Fatani menyebut cerita yang berbeza dari cerita di atas, katanya;







“Allah menjadikan sepohon pokok ada empat cabang dinamakan “Pokok al-Muttakin” atau “al-Yakin”. Kemudian Nur Muhammad itu diletak di dalam hijab daripada permata putih menyerupai burung merak; burung itu bertasbih di atas pokok tersebut selama 70 ribu tahun. Apabila ia melihat rupanya di dalam cermin dan malu kepada Allah lalu berpeluh sebanyak enam titik. Daripada titik peluh pertama, jadi roh Saidina Abu Bakar, daripada titik peluh kedua jadi roh Saidina Umar al-Khattab, daripada titik peluh ketiga jadi roh Saidina Uthman bin Affan, daripada titik peluh keempat jadi roh Saidina Ali bin Abi Talib. Daripada titik peluh kelima jadi pokok bunga mawar dan daripada titik keenam jadi padi. Kemudian Nur itu (burong Merak itu) sujud sebanyak lima kali sujud yang menyebabkan wajib sembahyang lima kali sehari semalam. Kemudian ia menilik kali kedua dan berpeluh lagi. Daripada peluh hidungnya dijadikan malaikat, daripada peluh mukanya dijadikan Arasy Allah, Kursi Allah, Lauh Mahfuz, Qalam, matahari, bulan, bintang-bintang dan benda-benda lain di langit. Daripada peluh dadanya dijadikan para nabi, ulama-ulama, syuhada dan orang-orang salih. Daripada peluh belakangnya dijadikan Baitul Makmur, Ka’bah, Baitul Maqdis dan tapak-tapak masjid di seluroh dunia. Daripada peluh dua keningnya dijadikan umat Nabi Muhammad yang mukmin lelaki dan perempuan. Daripada peluh dua telinganya dijadikan roh orang-orang Yahudi, Nasrani, Majusi, Mulhid dan Munafik. Daripada peluh dua kakinya dijadikan bumi dan isi kandungannya.[11]







Daripada kisah di atas jelas bahawa makhluk semuanya dijadikan daripada peluh-peluh Nur Muhammad yang digambarkan seperti seekor burung merak.







Cerita lain yang hampir sama maksudnya ada disebut dalam kitab, “Daqaiq al-Akhbar”, karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad Yunus Langka. Dalam kitab ini ada sedikit perbezaan dengan yang disebut di atas yang mana kitab ini menyebut daripada peluh Nur Muhammad yang kelima dijadikan air mawar (bukan pokok bunga mawar). Kedua-dua itu memang berbeza. Dan daripada titik peluh yang keenam dijadikan beras (bukan padi). Manakala yang lain sama dengan kitab di atas.[12]







Dalil lain menyebut bahawa Nur Muhammad ini telah lama dijadikan Allah SWT iaitu kira-kira dua ribu tahun sebelum Nabi Adam AS diciptakan. Cerita itu menyebut bahawa kira-kira dua ribu tahun sebelum Nabi Adam AS dijadi/diciptakan oleh Allah SWT, Nur Muhammad bertasbih memuji-muji Allah dan para malaikat juga turut bertasbih bersama. Apabila Adam AS diciptakan oleh Allah SWT, maka Nur Muhammad tadi disimpan di dalam tanah lembaga Adam. Apabila Adam diturunkan ke bumi, Nur itu berada di dalam belakang sulbinya. Manakala sewaktu Nabi Nuh berada dalam bahteranya sewaktu taufan besar, Nur Muhammad itu bepindah ke dalam sulbi Nabi Nuh. Kemudian berpindah lagi ke sulbi Nabi Ibrahim AS sewaktu baginda dicampak ke dalam api. Kemudian begitulah seterusnya Nur Muhammad itu berpindah-randah dari satu sulbi ke satu sulbi yang lain sampai masuk ke sulbi datuk nenek baginda Nabi Muhammad SAW sehinggalah akhirnya Nur itu berada dalam kandungan perut bondanya Siti Aminah. Kemudian apabila baginda dilahirkan, maka lahirlah seorang manusia yang diberi nama Muhammad.[13]







Dari sini jelaslah bahawa golongan pertama ini yakin bahawa Nabi Muhammad SAW dicipta dan dijadikan daripada Nur tersebut dan Nur itu daripada Nur Ilahi. Apabila baginda berumur 40 tahun, Allah SWT melantik baginda menjadi rasul dan nabi akhir zaman.   Mengikut pendapat golongan pertama ini, Nur Muhammad ini adalah qadim kerana ia dari Nur Ilahi, sebab itu dalam kitab Berzanji pengarangnya ada menyebut;







“Aku (yakni pengarang kitab) berselawat dan memberi salam ke atas Nur (Muhammad) yang disifatkan qadim dan awal yang berpindah-pindah dari keturunan yang mulia …”.[14]







Daripada petikan-petikan dan dalil-dalil yang panjang lebar di atas, jelas bahawa pendapat pertama ini yakin Nur Muhammad adalah makhluk yang mula-mula dicipta oleh Allah SWT. Kemudian daripadanyalah pula dijadikan berbagai-bagai jenis makhluk lain yang ada di dunia ini.







Makhluk seluruhnya dijadikan daripada Nur Muhammad







Perkara kedua yang diyakini oleh golongan pertama ini ialah makhluk keseluruhannya sama ada yang di langit seperti matahari, bulan, bintang, awan dan lain-lain lagi juga yang ada di bumi seperti bukit-bukau, gunung-ganang, bahan-bahan logam, galian yang berada di dalam bumi, pokok-pokok, sungai dan lain-lain semuanya dicipta atau dijadikan daripada Nur Muhammad. Bagi membuktikan pendapat mereka dengan dalil-dalil berikut;







Ada sumber yang dikatakan hadis diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa baginda SAW bersabda;[15]







أن الله خلق روح النبي صلى الله عليه وسلم من ذاته وخلق العالم بأسره من نور محمد صلى الله عليه وسلم.







Maksudnya; Sesungguhnya Allah mencipta roh Nabi Muhammad SAW dari zatNya dan dicipta alam selurohnya dari Nur Muhammad SAW.











Hadis lain ada menyebut;[16]







أنا من الله والمؤمن مني







Maksudnya; Aku dijadikan daripada Allah (daripada Nur Ilahi) dan orang mukmin dijadikan daripada aku.







Daripada kedua-dua dalil yang disebutkan di atas jelaslah bahawa makhluk keseluruhannya dijadikan daripada Nur Muhammad dan Nur tersebut adalah daripada Nur Ilahi. Nur Muhammad itu merupakan makhluk pertama dijadikan oleh Allah SWT. Oleh itu Nur itu dianggap qadim.







Al-Marhum Ustaz Abdullah Muhammad (Naqula) dari Kelantan apabila ditanya pandangannya, beliau menjawab bahawa Roh atau Nur Muhammad adalah segala umbi (asal) segala isi alam ini.[17]







Daripada alasan-alasan dan dalil-dalil yang dikemukakan di atas - mengikut golongan pertama ini - jelas mereka tetap menerima kebenaran adanya Nur Muhammad, dan ia adalah asal bagi kejadian semua makhluk yang ada. Kerana itu golongan ini tidak mudah untuk menerima pendapat lain yang berlawanan dengan pandangan mereka.









Kerana Muhammad SAW, makhluk lain dicipta/dijadikan.



Ekoran dari kepercayaan kepada Nur Muhammad seperti yang diterangkan di atas, lahir pula satu anggapan yang ketiga iaitu makhluk keseluruhannya dijadikan kerana Nabi Muhammad SAW. Kalau tidak kerana Nabi Muhammad SAW, makhluk tidak akan dijadikan oleh Allah. Bagi menjelaskan pendapat mereka, golongan ini membawa beberapa dalil, antaranya;







Mereka berkata ada hadis Qudsi menyebut;







لولا ك لما خلقت الأفلاك







Maksudnya; Kalau tidak kerana engkau (wahai Muhammad) tentu Aku (Allah) tidak mencipta cakerawala (alam ini).[18]







Hadis lain lagi menyebut;[19]







خلقت الأشياء لأجلك وخلقتك لأجلي







Maksudnya; Aku (Allah) menciptakan segala benda kerana kamu (Muhammad) dan Aku jadikan kamu kerana Aku (Allah).







Dari kedua-dua dalil di atas jelas sekali bahawa semua makhluk sama ada yang di langit dan di bumi diciptakan semata-mata kerana Nabi Muhammad SAW. Kalau tidak kerana baginda, Allah tidak akan menciptakannya.







Demikianlah sebahagian daripada dalil-dalil dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan yang menyokong konsep Nur Muhammad dan perkara-perkara yang berhubung dengannya. Kerana itu mereka tetap menerima dan berpegang dengannya. Mereka tetap menganggap hujah yang dibawa adalah kuat dan boleh diterima, walaupun dalil-dalil dan hujah yang mereka bawa itu ditolak oleh golongan kedua yang tidak menerimanya.







Pendapat Golongan Yang Menolak







Selain daripada golongan pertama, ada segolongan ramai umat Islam menolak dan tidak menerima konsep Nur Muhammad. Mereka tidak dapat menerima pendapat pertama di atas dan dikatakan dalil-dalil dan hujah yang dibawa oleh golongan itu dianggap lemah dan perlu ditolak serta perlu diberi penjelasan.







Golongan kedua ini mengemukakan beberapa dalil dan hujah, selain menolak hujah-hujah yang dipegang oleh golongan pertama di atas. Hujah-hujah dan dalil-dalil mereka disebutkan dalam banyak artikel, buku, fatwa dan sebagainya. Di antara hujah-hujah dan dalil-dalil mereka ialah;







Mereka berkata, Ibn Kathir - seorang ulama tafsir terkenal - semasa menjelaskan mengenai makhluk pertama dicipta oleh Allah, beliau hanya menyebut perselisihan pendapat di antara ulama hanya dalam menentukan adakah arasy Allah makhluk yang mula-mula diciptakan atau qalam atau air atau sebagainya. Beliau tidak menyebut ada pendapat yang mengatakan Nur Muhammad adalah makhluk pertama dijadikan. Kalau Nur Muhammad adalah makhluk pertama dijadikan oleh Allah, tentulah ada ulama mengemukakan pendapat mereka mengenainya[20].







Mereka juga berkata, Ibn Hajar al-Asqalani seorang ulama hadis sewaktu mengulas hadis-hadis mengenai makhluk Allah yang mula-mula dicipta, didapati tidak ada menyebut satu hadis pun yang dibawa ada hubungan dengan Nur Muhammad atau yang mengatakan Nur Muhammad makhluk pertama diciptakan. Apa yang disebut ialah perselisihan pendapat ulama sesama mereka mengenai arasy Allah, qalam dan air. Apa yang dibawa oleh beliau sama seperti yang dibawa oleh Ibn Kathir sebelum ini. Ketiga-tiga makhluk itu yang mana lebih awal atau lebih dahulu dicipta oleh Allah SWT. Di dalam kitab tersebut Ibn Hajar tidak menyebut pendapat ulama mengenai Nur Muhammad sebagai makhluk Allah yang mula-mula (yang terawal) diciptakan. Beliau tidak menyebut makhluk kesemuanya dijadikan daripada Nur Muhammad. Juga beliau tidak mengatakan bahawa arasy, qalam dan air dan lain-lain terjadi daripada Nur Muhammad[21].







Yusuf al-Qaradhawi seorang ulama besar masa kini apabila ditanya orang; “Benarkah Nabi Muhammad makhluk yang mula-mula dijadikan oleh Allah, dan adakah baginda dijadikan daripada Nur?”. Beliau menjawab dengan panjang lebar menafikan perkara itu. Antara lain beliau menyebut bahawa hadis-hadis yang dipegang oleh golongan yang mengatakan Nur Muhammad adalah makhluk yang awal dicipta dan Nabi Muhammad dijadikan daripada Nur, adalah hadis-hadis yang tidak sahih. Manakala hadis-hadis yang menjelaskan mengenai makhluk yang terawal dijadikan bertentangan antara satu sama lain. Juga tidak sabit satu dalil pun yang mengatakan Rasulullah SAW sebagai makhluk Allah yang pertama (terawal) sekali dijadikan. Sebaliknya apa yang sabit secara mutawatir ialah Nabi Muhammad SAW adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib dari keturunan Bani Hasyim dari kaum Quraisy. Baginda dilahirkan di Mekah pada tahun gajah, daripada bapanya bernama Abdullah bin Abdul Muttalib dan bondanya Aminah binti Wahhab. Baginda dilahir dan dibesarkan sama seperti kanak-kanak lain, diutus menjadi nabi sama seperti nabi-nabi lain. Baginda hidup sama seperti orang lain hidup dan baginda adalah pilihan Allah yang paling mulia.[22]







Said Sadiq Muhammad ada menyebut bahawa orang yang percaya kepada konsep Nur Muhammad adalah salah dan dianggap berpegang dengan bid‘ah. Hadis yang menjelaskan kewujudan Nur Muhammad adalah hadis-hadis maudu‘ (palsu) dan dusta.[23] Umpamanya hadis;







كنت نبيا والأدم بين الماء و الطين







Maksudnya: Aku (Nabi Muhammad) telah menjadi nabi sedangkan masa itu belum ada bumi dan tanah.







Beliau berkata bahawa hadis ini tidak diketahui sumber pengambilannya. Kalau mengikut Ibn Taimiyyah, hadis ini tidak diketahui asalnya dan dari mana ia diambil. Tambahan pula tidak ada ulama hadis yang menyebutnya di dalam kitab hadis mereka[24].







Syaikh Abd al-Aziz bin Baz salah seorang ulama Saudi Arabia dan pernah menjadi Naib Canselor Universiti Islam Madinah al-Munawwarah, menyebut bahawa hadis-hadis mengenai Nur Muhammad adalah tergolong daripada hadis maudu‘ (palsu). Sesiapa yang mengkaji al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang sahih, akan yakin bahawa berita mengenainya tergolong daripada perkara-perkara batil yang tidak ada asas.[25]







Bagi golongan kedua ini, selain daripada mengemukakan dalil-dalil mereka yang tersendiri seperti yang disebutkan, mereka turut menolak dalil-dalil yang dikemukakan oleh golongan pertama di atas dengan berbagai-bagai jawapan. Antaranya seperti berikut;











Dakwaan pertama;







كنت أول الناس فى الخلق وأخرهم فى البعث







Maksudnya; Aku (Muhammad) adalah manusia pertama dari segi kejadian dan yang akhir dari segi kebangkitan.







Ramai para ulama menegaskan bahawa hadis ini adalah da‘if (lemah) kerana terdapat seorang perawinya bernama Sa‘ad bin Basyir yang dianggap seorang perawi yang da‘if oleh Ibn Ma‘in dan lain-lain ulama Ahl al-Sunnah. Hadis da‘if dalam perkara akidah tidak boleh dipegang apatah lagi apabila ia berlawanan dengan ayat al-Quran dan dengan hadis-hadis lain yang sahih.



















Dakwaan kedua;







كنت نبيا والآدم بين الماء والطين







Maksudnya; Aku telah menjadi Nabi sedangkan (Nabi) Adam a.s. di antara air dan tanah (Adam masih belum ditiup rohnya).







Golongan kedua ini berkata hadis ini dianggap hadis maudu‘ (palsu) oleh Imam al-San‘ani dan Ibn Taimiah. Manakala Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan hadis ini tidak diketahui dari mana ia diambil[26]. Selain itu Muhammad Ahmad Abd. Kadir al-Shanqiti seorang ulama yang mengarang kitab tafsir al-Quran menolak pendapat yang menyokong adanya Nur Muhammad secara panjang lebar. Antara lain dijelaskan bahawa apa yang dikatakan oleh ramai orang bahawa hadis Nur Muhammad ada disebut dalam kitab “Musnad Abd al-Razak” itu adalah karut. Beliau telah perolehi kitab tersebut yang dicetak di India dan dibaca serta dikajinya dan didapati tidak ada hadis-hadis tersebut di dalamnya[27].







Tambahan pula gaya bahasa hadis mengenai Nur Muhammad adalah tidak seperti gaya bahasa hadis Nabi yang sebenar. Yang lebih berat lagi ia bercanggah dan berlawanan dengan ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih yang menjelaskan asal kejadian makhluk termasuk malaikat, jin, manusia dan sebagainya[28].







Golongan kedua ini berkata banyak ayat al-Quran menjelaskan bahawa manusia dijadikan daripada tanah, bukan daripada Nur Muhammad. Umpamanya firman Allah;











ô‰s)s9ur $oYø)n=yz z`»|¡SM}$# `ÏB 9@»|Áù=|¹ ô`ÏiB :*uHxq 5bqãZó¡¨B ÇËÏÈ ¨b!$pgø:$#ur çm»uZø)n=yz `ÏB ã@ö6s% `ÏB Í‘$¯R ÏQqßJ¡¡9$# ÇËÐÈ







Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas.



Al-Hijr (15): 26-27







Ayat di atas menjelaskan bahawa Nabi Adam AS dijadikan daripada tanah. Manakala Nabi Muhammad SAW adalah daripada keturunan Adam AS, maka tentulah baginda daripada tanah bukan daripada Nur Ilahi.







Disamping itu al-Shanqiti menguatkan pendapatnya dengan memetik pandangan Ibn Qayyim al-Jauziah yang menyebut bahawa di antara tanda-tanda bagi mengetahui sesuatu hadis itu palsu didapati ada berlawanan atau ada perbezaan dengan al-Quran[29]..Hadis mengenai Nur Muhammad memang berlawanan dan bercanggah dengan ayat-ayat al-Quran seperti mana disebutkan di atas.







Dakwaan ketiga;







لولا ك لما خلقت الأفلاك







Maksudnya; Jika tidak kerana engkau (wahai Muhammad) tentu aku tidak menciptakan cakerawala-cakerawala.







Hadis ini mengikut ramai ulama seperti Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain mereka mengatakan ia adalah hadis maudu’ (palsu). Begitu juga hadis lain sebagaimana disebutkan di bawah ini yang maknanya hampir sama dengan hadis di atas yang dihukumkan maudu‘ (palsu) oleh Imam al-Zahabi[30], iaitu maksudnya;







Jika tidak kerana Muhammad, Aku tidak ciptakan Adam, dan jika tidak kerana Muhammad Aku tidak ciptakan syurga dan neraka.



        



Dakwaan keempat; iaitu hadis Saidina Jabir RA yang disebut sebelum ini yang bermaksud;







“Wahai Jabir, sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan Nur Nabi Ku daripada NurNya sebelum diciptakan makhluk”.







Muhammad Nasiruddin al-Albani menyatakan hadis itu adalah hadis maudu’. Ia berlawanan dengan hadis sahih yang menerangkan asal kejadian malaikat, jin dan manusia, iaitu hadis riwayat Imam Muslim yang berbunyi;







خلقت الملائكة من نور وخلق الجان من مارج من نار وخلق أدم مما وصف لكم







Maksudnya; Diciptakan malaikat daripada Nur (cahaya) dan diciptakan jin daripada api, dan diciptakan manusia (Adam) daripada (tanah) seperti yang disifatkan (dijelaskan) kepada kamu.







Kemudian al-Albani menambah lagi dengan berkata bahawa hadis sahih ini membatalkan hadis Jabir RA di atas dan hadis-hadis lain lagi (mengenai Nur Muhammad) yang memang tersebar di kalangan orang ramai yang menyokong konsep Nur Muhammad. Dari hadis sahih ini juga jelas bahawa malaikat sahaja makhluk Allah yang diciptakan daripada Nur (cahaya)[31]. Sedangkan Nabi Muhammad SAW daripada keturunan Nabi Adam AS yang diciptakan daripada tanah.







Tambahan lagi hadis-hadis mengenai konsep Nur Muhammad ini bertentangan dengan ayat-ayat al-Quran termasuk ayat; 38 (Surah al-Kahfi, ayat; 110).











ö@è% !$yJ¯RÎ) O$tRr& ׎|³o0 ö/ä3è=÷WÏiB #Óyrqム¥’n<Î) !$yJ¯Rr& öNä3ßg»s9Î) ×m»s9Î) Ó‰Ïnºur ( `yJsù tb%x. (#qã_ötƒ uä!$s)Ï9 ¾ÏmÎn/u‘ ö@yJ÷èu‹ù=sù WxuKtã $[sÎ=»|¹ Ÿwur õ8ÎŽô³ç„ ÍoyŠ$t7ÏèÎ/ ÿ¾ÏmÎn/u‘ #J‰tnr& ÇÊÊÉÈ







Maksudnya: Katakan olehmu (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku adalah manusia sama seperti kamu, (hanya perbezaan aku dengan kamu) ialah diwahyukan oleh Allah kepadaku”. Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu yang disembah adalah Tuhan Yang Esa”.



Al-Kahf (18): 110







Hadis-hadis mengenai Nur Muhammad yang disebut di atas, bukan sahaja berlawanan dengan ayat yang dibawa, tetapi juga berlawanan dengan hadis-hadis sahih yang lain termasuk dengan hadis di bawah ini;







كلكم من آدم وآدم من تراب لا فضل لعربي على عجمي الا بالتقوى







Maksudnya; Semua kamu (manusia termasuk Nabi Muhammad SAW) adalah daripada Adam, dan Adam daripada tanah, tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab di atas bangsa ‘ajam kecuali dengan takwa (kepada Allah)”.







Dari ulasan yang disebutkan, jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW adalah daripada keturunan Nabi Adam AS dan Nabi Adam AS pula berasal daripada tanah. Oleh itu Nabi Muhammad SAW bukan daripada Nur Ilahi seperti yang didakwa oleh segolongan orang Islam, bahkan memang daripada keturunan Nabi Adam AS, dan Nabi Adam AS berasal daripada tanah.







Jika dikaji dalam kitab-kitab sirah dan sejarah Rasulullah SAW yang muktabar seperti kitab Sirah Ibn Hisyam, kitab-kitab hadis dan kitab-kitab Syama’il al-Rasul tidak ada menyebut dan yang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW dijadikan daripada Nur Ilahi. Cerita-cerita Nur Muhammad hanya ada dalam kitab-kitab karangan ulama terkemudian seperti dalam kitab-kitab yang disebut sebelum ini, termasuk dalam kitab al-Barzanji karangan Syaikh Jaafar al-Barzanji. Apakah tokoh-tokoh sirah Rasulullah SAW yang masyhur seperti Ibn Hisyam, al-Tabari, Ibn Kathir dan lain-lain lagi tidak cukup ilmu sehingga tidak berjumpa fakta yang begitu penting? Sehingga mereka tidak memasukkannya di dalam kitab-kitab mereka. Ini tidak mungkin kerana fakta-fakta penting yang lain yang begitu banyak mereka jumpai dan dimasukkan di dalam penulisan mereka, sedangkan fakta mengenai Nur Muhammad tidak dijumpai, ini tidak mungkin sedangkan perkara ini adalah perkara akidah yang ada hubungan dengan kepercayaan kepada Nabi Muhammad SAW yang setiap orang Islam wajid mengetahui dan beriman dengannya.







Dengan hujah-hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan di atas, golongan kedua ini yakin dan pecaya bahawa konsep Nur Muhammad adalah suatu perkara yang tidak sabit dengan dalil yang sahih dan tidak perlu dipercayai, bahkan perlu ditolak.











PERBANDINGAN DALIL DAN HUJAH KEDUA GOLONGAN







Setelah diteliti dalil-dalil dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-kedua golongan di atas, didapati dalil dan hujah pendapat golongan pertama tidak kuat sebab hadis-hadis yang dikemukakan adalah hadis-hadis maudu’(palsu) dan ada yang tidak dapat dikesan dari mana sumbernya, bahkan ada yang bukan hadis dikatakan hadis dan sebagainya.







Di samping itu ada satu dua hadis yang berstatus da’if, maka para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menyebut bahawa hadis da‘if tidak boleh dijadikan hujah atau dalil dalam perkara akidah, apatah lagi apabila didapati hadis-hadis itu berlawanan dan bercanggah pula dengan ayat al-Quran dan hadis sahih. Hadis da‘if boleh diterima mengenai perkara fada’il al-a‘mal. Hadis-hadis yang dikemukakan oleh golongan yang menyokong konsep Nur Muhammad - sebagaimana yang telah disebut di atas - pada umumnya berlawanan dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih serta telah dijawab oleh ulama golongan yang kedua. Dengan itu, dalil-dalil yang dipegang oleh golongan pertama mengenai konsep Nur Muhammad adalah tidak kuat dan tidak boleh diterima. Yang sebenarnya Nabi Muhammad SAW berasal daripada keturunan manusia iaitu Nabi Adam AS bukan daripada Nur Ilahi. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT melalui firmanNya dalam surah al-Kahf ayat 110 yang lepas.







Hadis sahih yang disebut sebelum ini menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah daripada keturunan Nabi Adam AS, dan Nabi Adam daripada tanah. Oleh itu Nabi Muhammad SAW bukan daripada Nur Ilahi sepertimana yang dipercayai oleh golongan pertama, bahkan baginda daripada keturunan Nabi Adam AS.









Selain itu hadis-hadis mengenainya tidak disebut dalam kitab-kitab hadis yang muktabar seperti kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Nasa’i, juga tidak disebut dalam kitab-kitab syarah kepada semua kitab Sunan tersebut. Jikalau perkara itu betul dan benar, tentunya ada disebut dalam kitab-kitab tersebut. Apatah lagi perkara itu ada hubungan dengan Nabi Muhammad SAW yang merupakan tajuk penting dalam ilmu akidah, sedangkan perkara itu tidak disebutnya. Ini bererti perkara itu tidak sahih.



Tambahan lagi, jika dilihat kepada cerita-cerita yang disebut sebelum ini yang dijadikan dalil oleh golongan pertama yang menyokong konsep Nur Muhammad, didapati ada perbezaan dan percanggahan antara satu sama lain. Sebagai contoh, ada cerita menyatakan Nur itu pada awalnya dibahagi kepada tiga bahagian; daripada bahagian pertama dijadikan Qalam, daripada bahagian kedua dijadikan Lauh Mahfuz, bahagian ketiga djadikan Arasy Allah dan begitulah seterusnya. Manakala cerita lain pula menyebut daripada bahagian pertama dijadikan keluarga baginda, daripada bahagian kedua dijadikan isteri-isteri baginda, bahagian ketiga dijadikan orang-orang yang sayangkan kepada baginda. Manakala cerita-cerita lain pula menyebut bahawa Nur Muhammad tersebut dijadikan seperti burung merak. Apabila burung merak itu melihat rupanya di dalam cermin, ia berpeluh sebanyak enam titik. Dari titik peluh pertama dijadikan roh Saidina Abu Bakar, titik peluh kedua dijadikan roh Saidina Umar, titik peluh ketiga dijadikan roh Saidina Othman, titik peluh keempat dijadikan roh Saidina Ali, titik peluh kelima dijadikan pokok bunga mawar dan titik peluh keenam dijadikan padi. Lepas itu ia berpeluh lagi kali kedua, dan daripada peluh-peluh itu pula dijadikan malaikat-malaikat dan makhluk-makhluk lain seluruhnya.







Cerita-cerita tersebut jelas bercanggah dan berlawanan antara satu sama lain. Ini dapat dibuktikan dan difahamkan bahawa cerita-cerita tersebut adalah tidak benar dan tidak diterima, tambahan pula jika dilihat pada cerita yang menyatakan dari peluh dua kening burung merak dijadikan umat nabi Muhammad (orang-orang Islam), manakala orang Yahudi, Kristian, Majusi, munafik dan lain-lain dijadikan dari peluh dua telinganya. Yakni orang Islam dan orang Yahudi, Kristian dan munafik dijadikan daripada peluh dua anggota burung tersebut yang berlainan dan berbeza. Adakah orang-orang Yahudi, Kristian, Majusi, munafik dan lain-lain yang kafir itu mereka tidak boleh memeluk Islam kerana mereka dijadikan daripada peluh dua telinga burung merak yang memang dijadikan sebagai orang kafir, bukan daripada peluh dua keningnya?. Ini tidak mungkin kerana apa yang berlaku ramai daripada mereka itu telah memeluk Islam, sedangkan mereka tidak dijadikan daripada peluh dua kening burung merak tersebut. Manakala orang Islam pula yang dikatakan dijadikan daripada peluh dua kening burung merak itu ada yang menjadi kafir kerana memeluk Kristian dan sebagainya. Dengan itu jelas bahawa cerita-cerita seperti ini memang bercanggah dengan realiti yang sebenar, juga ia tidak boleh diterima oleh akal yang waras dan ia berlawanan dengan ajaran Islam yang sebenarnya.







Jika dilihat kepada apa yang dikatakan hadis oleh golongan pertama; iaitu Nabi Muhammad telah menjadi nabi sebelum ada air dan tanah (sebelum dijadikan dunia). Juga yang disebut Nabi Muhammad adalah makhluk paling awal menjadi nabi dan paling akhir sekali dibangkit atau diutus menjadi nabi, ini jelas bercanggah dengan jawatan dan tugas Nabi Muhammad. Tidakkah kita diajar dalam ilmu tauhid bahawa para nabi dan rasul diutus termasuk Nabi Muhammad SAW adalah untuk berdakwah dan mengajak umat masing-masing supaya beriman kepada mereka sebaik sahaja mereka dilantik dan dipilih menjadi nabi dan rasul. Sedangkan dalam cerita tadi Nabi Muhammad telah dilantik menjadi nabi semenjak alam belum dijadikan lagi dan belum ada umat, kemudian baru menjalankan tugasnya di akhir zaman selepas pengutusan nabi Isa AS. Mengapa Allah melantik baginda sebegitu awal? Apa tujuannya? Mengapa selepas berakhirnya tugas nabi Isa AS baru baginda SAW menjalankan tugas dakwahnya? Ini semua nampak berlawanan dengan akidah yang kita pelajari semenjak kecil, terutama semasa belajar tentang tugas-tugas Nabi Muhammad SAW. Sebab itu pendapat golongan pertama boleh dipertikaikan.







Berdasarkan cerita-cerita di atas, susah bagi kita menerimanya, kerana ia bukan sahaja berlawanan dengan akal bahkan bertentangan, juga berlawanan dengan nas al-Quran dan hadis-hadis sahih seperti yang disebut sebelum ini. Sebab itu penulis berpendapat bahawa dalil dan hujah pendapat golongan kedua lebih kuat sedangkan dalil dan hujah golongan pertama adalah lemah dan tidak kuat. Jadi pendapat yang mengatakan Nur Muhammad tidak ada lebih baik diterima pakai.













PENUTUP







Daripada penjelasan di atas, dan dengan melihat kepada dalil-dalil daripada kedua-dua golongan yang menyokong dan menolak konsep Nur Muhammad, dapatlah difahami bahawa ada satu perkara khilafiah (perselisihan pendapat) yang berlaku sejak dahulu sehingga sekarang dan mungkin ke akhir zaman. Kedua-dua pendapat dengan dalil-dalil dan hujah-hujah tersendiri menganggap pendapat mereka adalah pendapat yang benar dan betul. Tetapi bagi kita orang yang berlapang dada dan yang ingin mencari kebenaran berasaskan dalil-dalil dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua golongan juga dengan melihat pada perbandingan dalil dan hujah kedua-dua golongan di atas, didapati dalil dan hujah golongan kedua adalah lebih kuat, tidak bercanggah dengan hadis-hadis sahih dan dengan ayat al-Quran. Oleh itu penulis menyokong pendapat golongan yang kedua dan sekaligus menolak pendapat golongan pertama.







[1] Ismail Muhammad (2002), Isu Akidah dan Pemikiran Islam, Open University Malaysia, h. 121-122.



[2] Ibid., h. 121.



[3] Jamaluddin Husin (1978), Nur Muhammad; Bagaimana Hikayatnya, dalam: Majalah al-Islam, bil; 6, th5, Julai, hal: 48.



[4] Syaikh Abd al-Samad al-Palembani (t.t), Kitab Siyar al-Salikin, juz. 4, hal: 102-106.



[5] Syaikh Abd al-Samad al-Palembani, op. cit., hal: 103-104, Ahmad Khatib bin Abd al-Latif al-Mankabawi (1357H), Al-Syumus al-Lamiah fi al-Rad Bida‘ Ahl al-Sab‘ah, hal. 5.



[6] Lihat: Inilah Hikayat Nur Muhammad Dan Nabi Bercukur Dan Nabi Wafat (t.t), Pulau Pinang: Dar al-Maarif.



[7] Al-Fakir Syaikh Yusuf bin Ismail al-Nabhani (t.t.), Al-Anwar al-Muhammadiah Min al-Mawahib al-Ladunniyyah, Bayrut: T.P, hal. 10.



[8] Al-Tarmidhi (t.t.), Al-Jami‘ al-Sahih, Bab Fadl Rasulullah SAW, juz. 5, al-Madinah al-Munawwarah: Maktabah al-‘Itimad, hal. 245.



[9] Ibn Hajar al-Haytami, Al-Fatawa al-Hadithah, T.T.P: Syarikat Mustafa al-Babi al-Halabi, juz. 2, hal. 59-60.



[10] Syaikh Abd al-Rahman al-Safuri (t.t), Kitab Nuzhah al-Majalis wa Muntakhab al-Nafa’is, Misr: Maktabah al-Qahirah, juz. 1, hal. 418-419.



[11] Syaikh Zainal Abidin al-Fatani (1951), Kasyfu al-Ghaybiyyat, Pulau Pinang: Persama Press, hal. 3-4. H. Aboebakar Acheh (t.t.), Pengantar Sejarah Sufi dan Tasawwuf, Semarang: Ramadhani, hal. 179-181.



[12] Syaikh Ahmad bin Muhammad Yunus Langka (t.t.), Daqa’iq al-Akhbar, Pulau Pinang: Dar al-Ma‘arif, hal. 1-2.



[13] Hj. Othman bin Abdullah (1982), Panduan Ratib al-Attas, t.per, hal. 52.



[14] Jaafar al-Barzanji, Hazihi Majmu’ Syaraf al-Anam, Pulau Pinang: Matba‘ah Dar al-Ma‘arif, hal. 74-75.



[15] Salim Usman (1980), Nur Muhammad SAW, M.A, Jaya,Jakarta, hal. 7.



[16] Ibid, hal; 7.



[17] Wan Mariam Wan Harun (1991), Konsep Nur Muhammad Mengikut Pandangan Islam; Satu Kajian Khusus Terhadap Kitab Nur Muhammad, Kertas Projek Fakulti Usuluddin, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hal. 96.



[18] Ibid, hal. 107.



[19] Ibid.



[20] Abu al-Fidaa Ismail Ibn Kathir (1985), Bidayah al-Khalq, Dar al-Kitab al-‘Arabi, hal: 45-46.



[21] Ibn Hajar al-Asqalani (1988), Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, Dar al-Diyan, juz. 6, hal: 331-334.



[22] Yusuf al-Qaradawi (1978), Al-Fatawa al-Muasirah, Dar al-Ataq, h. 178.



[23] Said Sadiq Muhammad (1978), Sira’ Bayna al-Haq wa al-Batil, Dar al-Liwa’, h. 23



[24] Ibid.



[25] Muhammad bin Ahmad bin Abd. Kadir al-Syanqiti (t.t.), Tanbih al-Huzzaq ‘Ala Butlan ma Sya’ Bayna al-Anam min Hadith al-Nur al-Mansub li Masnad Abd.Razzak, h. 5-6.



[26] Abd. Fatah bin Ibrahim, Sunnah Dan Kedudukanya Dalam Pandangan Islam, Jawatan kuasa Pengelola (NADI), Negeri Terengganu, kertas kerja, h. 11.



[27] Muhammad Ahmad Abd. Kadir, op,cit, hal; 10



[28] Ibid,hal; 11-14



[29] Muhammad Ahmad Abd. Kadir al-Syanqiti, op, cit, hal; 14



[30] Udah bin Muhsin, Nur Muhammad,(Kertas kerja),1997, h. 3.



[31] Muhammad Nasiruddin al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, Bayrut: al-Maktabah al-Islamiyyah, hadith no; 459.



 -- TAMAT --



PENAFIAN



KIAS adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.



Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox atau Google Chrome yang terkini dengan resolusi skrin 1280 x 1024 piksel.



Tarikh Kemaskini : Isnin 25 Jun 2018.



HUBUNGI



NO. TEL



609-7129386 / 609-7129387



FAKS



609-7129444 / 7126100


Wallahu Alam Bishshawab.


Moga Bermanfaat.


Insya ALLAH 

.........................................................