08 March 2012

02. Manusia kembali ke kampung halaman,kepada asal usul permulaan mereka

Manusia dipandang daripada dua sudut; wujud lahiriah dan wujud rohani. Dalam segi kewujudan lahiriah keadaan kebanyakan manusia adalah berlebih kurang sahaja di antara satu sama lain. Oleh yang demikian peraturan kemanusiaan yang umum boleh digunakan untuk sekalian manusia bagi urusan lahiriah mereka. Dalam sudut kewujudan rohani yang tersembunyi di sebalik wujud lahiriah, setiap manusia adalah berbeza. Jadi, peraturan yang khusus mengenai diri masing-masing diperlukan.

Manusia boleh kembali kepada asalnya dengan mengikuti peraturan umum, dengan mengambil langkah-langkah tertentu. Dia mestilah mengambil peraturan agama yang jelas dan mematuhinya. Dengan demikian dia boleh maju ke hadapan. Dia boleh meningkat dari satu peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi sehingga dia sampai dan memasuki jalan atau peringkat kerohanian, masuk ke daerah makrifat. Peringkat ini sangat tinggi dan dipuji oleh Rasulullah s.a.w, "Ada suasana yang semua dan segala-galanya berkumpul di sana dan ia adalah makrifat yang murni".

Untuk sampai ke peringkat tersebut Perlulah dibuang kepura-puraan dan kepalsuan yang melakukan kebaikan kerana menunjuk-nunjuk. Kemudian dia perlu menetapkan tiga matlamat. Tiga matlamat tersebut sebenarnya adalah tiga jenis syurga. Yang pertama dinamakan Ma'wa - syurga tempat kediaman yang aman. Ia adalah syurga duniawi. Kedua, Na'im - taman keredaan Allah dan kurniaan-Nya kepada makhluk-Nya. Ia adalah syurga di dalam alam malaikat. Ketiga dinamakan Firdaus - syurga alam tinggi. Ia adalah syurga pada alam kesatuan akal asbab, rumah kediaman bagi roh-roh, medan bagi nama-nama dan sifat-sifat. Kesemua ini adalah balasan yang baik, keelokan Allah yang manusia berjasad akan nikmati dalam usahanya sepanjang tiga peringkat ilmu pengetahuan yang berturut-turut; usaha mematuhi peraturan syariat; usaha menghapuskan yang berbilang-bilang pada dirinya, melawan penyebab yang menimbulkan suasana berbilang-bilang itu, iaitu ego diri sendiri, bagi mencapai peringkat penyatuan dan kehampiran dengan Pencipta; akhirnya usaha untuk mencapai makrifat, di mana dia mengenali Tuhannya. Peringkat pertama dinamakan syariat, kedua tarekat dan ketiga makrifat.

Nabi Muhammad s.a.w menyimpulkan keadaan-keadaan tersebut dengan sabda baginda s.a.w, "Ada suasana di mana semua dan segala-galanya dikumpulkan dan ia adalah hikmah kebijaksanaan (makrifat)". Baginda s.a.w juga bersabda, "Dengannya seseorang mengetahui kebenaran (hakikat), yang berkumpul di dalamnya sebab-sebab dan semua kebaikan. Kemudian seseorang itu mesti bertindak atas kebenaran (hakikat) tersebut. Dia juga perlu mengenali kepalsuan dan bertindak ke atasnya dengan meninggalkan segala yang demikian". Baginda s.a.w mendoakan, "Ya Allah, tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami mengikuti yang benar itu. Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar dan permudahkan kami meninggalkannya". Orang yang kenal dirinya dan menentang keinginannya yang salah dengan segala kekuatannya akan sampai kepada mengenali Tuhannya dan akan menjadi taat kepada kehendak-Nya.

Semua ini adalah peraturan umum yang mengenai diri zahir manusia. Kemudian ada pula aspek diri rohani atau diri batin manusia yang merupakan insan yang tulen, suci bersih dan murni. Maksud dan tujuan diri ini hanya satu iaitu kehampiran secara keseluruhan kepada Allah s.w.t. Satu cara sahaja untuk mencapai suasana yang demikian, iaitu pengetahuan tentang yang sebenarnya (hakikat). Di dalam daerah wujud penyatuan mutlak, pengetahuan ini dinamakan kesatuan atau keesaan.

Matlamat pada jalan tersebut harus diperolehi di dalam kehidupan ini. Di dalam suasana itu tiada beza di antara tidur dengan jaga kerana di dalam tidur roh berkesempatan membebaskan dirinya untuk kembali kepada asalnya, alam arwah, dan dari sana kembali semula ke sini dengan membawa berita-berita dari alam ghaib. Fenomena ini dinamakan mimpi. Dalam keadaan mimpi ia berlaku secara sebahagian-bahagian. Ia juga boleh berlaku secara menyeluruh seperti israk dan mikraj Rasulullah s.a.w. Allah berfirman:
"Allah memegang jiwa-jiwa ketika matinya dan yang tidak mati, dalam tidurnya, lalu Dia tahan yang dihukumkan mati atasnya dan Dia lepaskan yang lain". (Surah Zumaar, ayat 42).

Nabi s.a.w bersabda, "Tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil". Orang alim adalah orang yang telah memperolehi pengetahuan tentang hakikat atau yang sebenar, yang tidak berhuruf, tidak bersuara. Pengetahuan demikian diperolehi dengan terus menerus berzikir nama keesaan Yang Maha Suci dengan lidah rahsia. Orang alim adalah orang yang zat dirinya ditukarkan kepada cahaya suci oleh cahaya keesaan. Allah berfirman melalui rasul-Nya:
"Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya. Pengetahuan batin tentang hakikat roh adalah rahsia kepada rahsia-rahsia-Ku. Aku campakkan ke dalam hati hamba-hamba-Ku yang baik-baik dan tiada siapa tahu Keadaannya melainkan Aku."
"Aku adalah sebagaimana hamba-Ku mengenali Daku. Bila dia mencari-Ku dan ingat kepada-Ku, Aku besertanya. Jika dia mencari-Ku di dalam, Aku mendapatkannya dengan Zat-Ku. Jika dia ingat dan menyebut-Ku di dalam jemaah yang baik, Aku ingat dan menyebutnya di dalam jemaah yang lebih baik".

Segala yang dikatakan di sini jika berhasrat mencapainya perlulah melakukan tafakur - cara mendapatkaan pengetahuan yang demikian jarang digunakan oleh orang ramai. Nabi s.a.w bersabda, "Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada satu tahun beribadat". "Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada tujuh puluh tahun beribadat". "Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada seribu tahun beribadat".

Nilai sesuatu amalan itu tersembunyi di dalam hakikat kepada yang sebenarnya. Perbuatan bertafakur di sini nampaknya mempunyai nilai yang berbeza.

Sesiapa merenungi sesuatu perkara dan mencari penyebabnya dia akan mendapati setiap bahagian mempunyai bahagian-bahagian sendiri dan dia juga mendapati setiap satu itu menjadi penyebab kepada berbagai-bagai perkara lain. Renungan begini bernilai satu tahun ibadat.

Sesiapa merenungi kepada pengabdiannya dan mencari penyebab dan alasan dan dia dapat mengetahui yang demikian, renungannya bernilai lebih daripada tujuh puluh tahun ibadat.

Sesiapa merenungkan hikmah kebijaksanaan Ilahi dan bidang makrifat dengan segala kesungguhannya untuk mengenal Allah Yang Maha Tinggi, renungannya bernilai lebih daripada seribu tahun ibadat kerana ini adalah ilmu pengetahuan yang sebenarnya.

Pengetahuan yang sebenarnya adalah suasana keesaan. Orang arif yang menyintai menyatu dengan yang dicintainya. Daripada alam kebendaan terbang dengan sayap kerohanian meninggi hingga kepada puncak pencapaian. Bagi ahli ibadat berjalan di dalam syurga, sementara orang arif terbang kepada kedudukan berhampiran dengan Tuhannya.
Para pencinta mempunyai mata pada hati mereka
mereka memandang sementara yang lain terpejam
sayap yang mereka miliki tanpa daging tanpa darah
mereka terbang ke arah malaikat Tuhan jualah yang dicari!

Penerbangan ini terjadi di dalam alam kerohanian orang arif. Para arifbillah mendapat penghormatan dipanggil insan sejati, menjadi kekasih Allah, sahabat-Nya yang akrab, pengantin-Nya. Bayazid al-Bustami berkata, "Para Pemegang makrifat adalah pengantin Allah Yang Maha Tinggi".

Hanya pemilik-pemilik ‘pengantin yang pengasih' mengenali mereka dengan dekat dan secara mesra.. Orang-orang arif yang menjadi sahabat akrab Allah, walaupun sangat cantik, tetapi ditutupi oleh keadaan luaran yang sangat sederhana, seperti manusia biasa. Allah berfirman melalui rasul-Nya:
"Para sahabat-Ku tersembunyi di bawah kubah-Ku. Tiada yang mengenali mereka kecuali Aku".

Kubah yang di bawahnya Allah sembunyikan sahabat-sahabat akrab-Nya adalah keadaan mereka yang tidak terkenal, rupa yang biasa sahaja, sederhana dalam segala hal. Bila melihat kepada pengantin yang ditutupi oleh tabir perkahwinan, apakah yang dapat dilihat kecuali tabir itu?

Yahya bin Muadh al-Razi berkata, "Para kekasih Allah adalah air wangi Allah di dalam dunia. Tetapi hanya orang-orang yang beriman yang benar dan jujur sahaja dapat menciumnya". Mereka mencium keharuman baunya lalu mereka mengikuti bau itu. Keharuman itu mengwujudkan kerinduan terhadap Allah dalam hati mereka. Masing-masing dengan cara tersendiri mempercepatkan langkahnya, menambahkan usaha dan ketaatannya. Darjah kerinduannya, keinginannya dan kelajuan perjalanannya bergantung kepada berapa ringan beban yang dibawanya, sejauh mana dia telah melepaskan diri kebendaan dan keduniaannya. Semakin banyak seseorang itu menanggalkan pakaian dunia yang kasar ini semakin dia merasakan kehangatan. Penciptanya dan semakin hampirlah kepada permukaan akan muncul diri rohaninya. Kehampiran dengan yang sebenar (hakikat) bergantung kepada sejauh mana seseorang itu melepaskan kebendaan dan keduniaan yang menipu daya.

Penanggalan aspek yang berbilang-bilang pada diri membawa seseorang hampir dengan satu-satunya kebenaran. Orang yang akrab dengan Allah adalah orang yang telah membawa dirinya kepada keadaan kekosongan. Hanya selepas itu baharulah dia dapat melihat kewujudan yang sebenarnya (hakikat). Tidak ada lagi kehendak pada dirinya untuk dia membuat sebarang pilihan. Tiada lagi ‘aku' yang tinggal, kecuali kewujudan satu-satunya iaitu yang sebenarnya (hakikat). Walaupun berbagai-bagai kekeramatan yang muncul melalui dirinya sebagai membuktikan kedudukannya, dia tidak ada kena mengena dengan semua itu. Di dalam suasananya tidak ada pembukaan terhadap rahsia-rahsia kerana membuka rahsia Ilahi adalah kekufuran.

Di dalam buku yang bertajuk "Mirsad" ada dituliskan, ‘Semua orang yang kekeramatan zahir melalui mereka adalah ditutup daripadanya dan tidak memperdulikan keadaan tersebut. Bagi mereka masa kekeramatan muncul melalui mereka dianggap sebagai masa perempuan keluar darah haid. Wali-wali yang hampir dengan Allah perlu mengembara sekurang-kurangnya seribu peringkat, yang pertamanya ialah pintu kekeramatan. Hanya mereka yang dapat melepasi pintu ini tanpa dicederakan akan meningkat kepada peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi. Jika mereka leka mereka tidak akan sampai ke mana-mana.

01. Permulaan Penciptaan

Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.

Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi Dia berfirman:
"Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku".

Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya

"Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci".
"Mula-mula Allah ciptakan qalam".
"Mula-mula Allah ciptakan akal".

Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad s.a.w, Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat jalal Allah. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan". (Al-Maaidah, ayat 15)

Dia dinamakan akal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Dia dinamakan qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.

Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan sabdanya, "Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku". Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda s.a.w di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad' adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.

Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.
"Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah". (Surah Tin, ayat 15)

Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal). Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘roh pemerintah'. Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani'. Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia'. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.
"Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi". (Surah Ta Ha, ayat 55)

Selepas peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk.
"Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku...". (Surah Shad, ayat 72)
Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah Dia telah bertanya kepada mereka:
"Adakah aku Tuhan kamu? Mereka telah menjawab:Iya, bahkan!."

Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya. Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.
"Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa (membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami mengatakan): hendaklah kamu keluarkan kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan ingatkan mereka kepada hari-hari Allah". (Surah Ibrahim, ayat 5)
Iaitu ‘ingatkan roh-roh tentang hari-hari di mana mereka tidak terpisah dengan Allah'.

Ramai rasul-rasul telah datang ke dunia ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta menyedarkan manusia dari kelalaian mereka. Tetapi mereka yang mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal usul mereka, menjadi semakin berkurangan dan terus berkurangan ditelan zaman.

Nabi-nabi terus diutuskan dan perutusan suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran dan kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata manusia iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan manusia dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk menyatukan mereka dengan keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah. Allah berfirman:
"Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)". (Surah Yusuf, ayat 108).

Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda, "Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang benar".

Pandangan yang jelas (basirah) datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah. Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran Ilahi.
"Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)". (Surah Kahfi, ayat 65).

Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.

Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah. Allah memerintahkan:
"Dan berlumba-lumbalah kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas) langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma di waktu senang dan susah, dan menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah kasih kepada mereka yang berbuat kebajikan". (Surah Imraan, ayat 133 & 134).

Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merosakkan dunia ini. Kita dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan berak. Roh penghulu kita menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan kamu. Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila baginda s.a.w bersabda, "Dukacitaku adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian".

Apa sahaja yang datang kepada kamu datang dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata atau tersembunyi; nyata dalam bentuk peraturan syarikat dan tersembunyi dalam bentuk hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Allah Yang Maha Tinggi memerintahkan kita supaya mensejahterakan zahir kita dengan mematuhi peraturan syarikat dan meletakkan batin kita dalam keadaan yang baik dan teratur dengan memperolehi hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Bila zahir dan batin kita menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau makrifat dengan peraturan agama (syarikat) bersatu, seseorang itu sampai kepada makam yang sebenarnya (hakikat).

"Dia alirkan dua laut, padahal kedua-duanya bertemu. Antara dua itu ada dinding yang kedua-duanya tidak mampu melewatinya". (Surah Imraan, ayat 19 & 20).

Kedua-duanya mesti menjadi satu. Kebenaran atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya menggunakan pengetahuan melalui pancaindera dan deria-deria tentang alam kebendaan. Dengan cara tersebut tidak mungkin mencapai matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat dan penyembahan memerlukan kedua-duanya iaitu peraturan syarikat dan makrifat. Allah berfirman tentang ibadat:
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah Dzaariyat, ayat 56).

Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali Daku'. Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya dengan sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan berkhidmat kepada-Nya?

Makrifat yang diperlukan bagi mengenali-Nya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin hati seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan menggilapkannya sehingga bercahaya. Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar pada rahsia cermin hati.

Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui rasul-Nya:
"Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali".

Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.

Ada dua peringkat makrifat yang suci. Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut. Satu lagi ialah mengenali Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau roh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.
"Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan roh kudus". (Surah Baqarah, ayat 87).

Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan kepada mereka.

Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan. Nabi s.a.w bersabda, "Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita".

Pada peringkat permulaannya seseorang itu memerlukan pengetahuan syarikat. Ini memerlukan pendidikan yang mengenalkan dalil-dalil luar tentang Zat Allah yang menyata di dalam alam sifat-sifat dan nama-nama ini. Apabila bidang ini telah sempurna sampailah giliran pendidikan kerohanian tentang rahsia-rahsia, di mana seseorang itu masuk ke dalam bidang makrifat yang murni untuk mengetahui yang sebenarnya (hakikat). Pada peringkat yang pertama seseorang itu mestilah meninggalkan segala-galanya yang tidak dipersetujui oleh syariat malah, kesilapan di dalam melakukan perbuatan yang baik mestilah dihapuskan. Perbuatan yang baik mestilah dilakukan dengan cara yang betul, sebagaimana keperluan pada jalan sufi. Keadaan ini boleh dicapai dengan melatihkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang tidak dipersetujui oleh ego diri sendiri dan melakukan amalan yang bertentangan dengan kehendak hawa nafsu. Berhati-hatilah di dalam beramal agar amalan itu dilakukan bukan untuk dipertontonkan atau diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah, demi mencari keredaan-Nya. Allah berfirman:
"Barangsiapa berharap menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Surah Kahfi, ayat 110).

Apa yang dihuraikan sebagai daerah makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi daerah kejadian yang pertama. Ia adalah permulaan dan merupakan rumah yang setiap orang kembali ke sana. Di samalah roh suci dijadikan. Apa yang dimaksudkan dengan roh suci adalah roh insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang paling baik.

Kebenaran atau hakikat tersebut telah ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah, diamanahkan kepada manusia agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan menyata melalui taubat yang sungguh-sungguh dan usaha sebenar mempelajari agama. Keindahannya akan memancar ke permukaan apabila seseorang itu mengingati Allah terus menerus, mengulangi kalimah "La ilaha illah Llah". Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.

Sufi menggambarkan keadaan kerohanian yang demikian dengan menganggapnya sebagai bayi, iaitu bayi yang lahir di dalam hati, dibela dan dibesarkan di sana. Hati memainkan peranan seperti ibu, melahirkannya, menyusun, memberi makan dan memeliharanya. Jika anak-anak diajarkan kepakaran keduniaan untuk kebaikannya, bayi hati pula diajarkan makrifat rohani. Sebagaimana kanak-kanak bersih daripada dosa, bayi hati adalah tulen, bebas daripada kelalaian, ego dan ragu-ragu. Kesucian bayi biasanya menyata dalam bentuk zahir yang cantik. Dalam mimpi, kesucian dan ketulenan bayi hati muncul dalam rupa malaikat. Manusia berharap mendapat ganjaran syurga sebagai balasan kepada perbuatan baik tetapi hadiah-hadiah yang didatangi dari syurga didatangkan ke mari melalui tangan-tangan bayi hati.
"Dalam kebun-kebun kenikmatan...melayani mereka anak-anak muda yang tidak berubah keadaan mereka". (Surah Waqi'ah, ayat 12 - 17 ).
"Melayani mereka adalah anak-anak muda laksana mutiara yang tersimpan". (Surah Tur, ayat 24).

Mereka adalah anak-anak kepada hati, menurut yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil anak-anak kerana keelokan dan ketulenan mereka. Keindahan dan ketulenan mereka menyata dalam kewujudan zahir, dalam darah daging, dalam bentuk manusia. Oleh kerana keelokan dan kelembutan sifatnya ia dinamakan anak-anak hati, tetapi dia adalah manusia sejati yang mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan kerana dia berhubung erat dengan Pencipta sendiri. Dia adalah wakil sebenar kemanusiaan. Di dalam kesedarannya tidak ada sesuatu malah dia tidak melihat dirinya sebagai sesuatu. Tiada hijab, tiada halangan di antara kewujudannya dengan Zat Allah.

Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan suasana demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w, "Ada masa aku dengan Allah di mana tiada malaikat yang hampir dan tidak juga nabi yang diutus". Maksud ‘nabi' di sini ialah kewujudan lahiriah yang sementara bagi Rasulullah s.a.w sendiri. Malaikat yang paling hampir dengan Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w, kejadian pertama. Dalam suasana kerohanian itu baginda s.a.w sangat hampir dengan Allah sehingga wujud zahirnya dan rohnya tidak berkesempatan menghijabkannya dengan Allah. Baginda s.a.w menggambarkan lagi suasana demikian, "Ada syurga Allah yang tidak ada mahligai dan taman-taman atau sungai madu dan susu, syurga yang di dalamnya seseorang hanya menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci". Allah s.w.t berfirman:
"Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya dia memandang". (Surah Qiamat, ayat 22 & 23).

Pada suasana atau makam tersebut jika seseorang makhluk termasuklah malaikat mendekatinya kewujudan badannya akan terbakar menjadi abu. Allah s.w.t berfirman melalui rasul-Nya:
"Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja, semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku".

Jibrail yang menemani Nabi Muhamamd s.a.w pada malam mikraj, apabila sampai di Sidratul Muntaha, telah mengatakan jika dia melangkah satu langkah sahaja lagi dia akan terbakar menjadi abu.

00. Sirrul Asrar

Pengenalan
Segala puji dan puja untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang mengumpul segala pengetahuan di dalam Zat-Nya dan Dia jualah Pencipta segala pengetahuan dengan keabadian. Segala kewujudan bersumberkan Wujud-Nya. Segala puji bagi Allah lantaran Dia menghantarkan Quran yang mulia yang mengandungi di dalamnya sebab-sebab ia diturunkan iaitu untuk memperingatkan manusia tentang Allah. Dihantarkan-Nya kepada pembimbing yang memandu manusia pada jalan yang benar dengan yang paling Perkasa di antara agama-agama. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang tidak diajar oleh makhluk tetapi diajar oleh-Nya sendiri. Baginda s.a.w adalah nabi-Nya yang terakhir, penyambung terakhir pada rantaian kenabian yang diutus kepada dunia yang sedang hanyut di dalam huru hara, yang paling mulia di kalangan nabi-nabi-Nya, dimuliakan dengan kitab suci yang paling suci dan paling mulia. Keturunan baginda s.a.w adalah pembimbing bagi orang-orang yang mencari. Sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah pilihan dari kalangan orang yang baik-baik dan murah hati. Semoga kesejahteraan dan keberkatan yang melimpah-limpah dikurniakan kepada ruh-ruh mereka.

Tentu sekali yang paling berharga di antara yang berharga, paling tinggi, permata yang tidak ternilai, barang perniagaan yang paling menguntungkan manusia, adalah ilmu pengetahuan. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mencapai keesaan Allah, Tuhan sekalian alam. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mengikuti rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-Nya. Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana, adalah hamba-hamba Allah yang tulen yang Dia pilih untuk menerima perutusan Ilahi. Dia lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan rahmat-Nya yang Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah pewaris nabi-nabi, pembantu-pembantu mereka, yang dipilih oleh rasul-rasul-Nya untuk menjadi khalifah kepada sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan perasaan yang amat seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi.

Allah Yang Maha Tinggi memuji orang-orang yang memiliki hikmah kebijaksanaan:
"Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada mereka yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami, tetapi sebahagian daripada mereka menganiayai diri mereka sendiri, dan sebahagian daripada mereka cermat, dan sebahagian daripada mereka ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan dengan izin Allah, yang demikian adalah kurniaan yang besar". (Surah Fatir, ayat 32).

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Pemegang hikmah kebijaksanaan adalah pewaris nabi-nabi. Penduduk langit mengasihi mereka dan di atas muka bumi ini ikan-ikan di laut bertasbih untuk mereka hingga kepada hari kiamat".

Dalam ayat lain Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
"Tidak takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya melainkan orang-orang yang berilmu Pengetahuan" (Surah Fatir, ayat 28).

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Pada hari pembalasan, Allah akan mengumpulkan sekalian manusia, kemudian mengasingkan yang berilmu di antara mereka dan berkata kepada mereka: ‘Wahai orang-orang yang berilmu. Aku kurniakan kepada kamu ilmu-Ku kerana Aku mengenali kamu. Tidak aku kurniakan hikmah kebijaksanaan kepada kamu untuk Aku hukumkan kamu pada hari ini. Masuklah ke dalam syurga-syurga-Ku. Aku telah ampunkan kamu' ".

Segala puji milik Allah, Tuhan sekalian alam lantaran Dia kurniakan makam yang tinggi kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan memelihara mereka daripada dosa dan menyelamatkan mereka daripada diseksa. Dia berkati ahlul hikmah dengan menghampiri mereka.

Sebahagian daripada murid-murid kami meminta supaya kami sediakan sebuah buku yang memadai buat mereka. Sesuai dengan permintaan dan keperluan mereka kami siapkan buku yang ringkas ini Semoga ia dapat mengubati dan memuaskan mereka serta yang lain juga. Kami namakan buku ini "Sirr al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar" atau "rahsia dalam rahsia-rahsia yang Kebenarannya sangat diperlukan". Dalam pekerjaan ini kenyataan di dalam kepercayaan dan perjalanan kami dibukakan. Setiap orang memerlukannya.

Dalam menyampaikan hasil kerja ini kami bahagikannya kepada 24 bab kerana terdapat 24 huruf di dalam pengakuan scui "La ilaha illah Llah, Muhammadun rasulu Llah" dan juga terdapat 24 jam dalam satu hari.

Umat Yang Diasuh Oleh nabi Muhammad s.a.w

Umat Yang Diasuh Oleh nabi Muhammad s.a.w PDF | Print | E-mail

40. Umat Yang Diasuh Oleh nabi Muhammad s.a.w

Para sahabat Rasulullah s.a.w boleh dibahagikan kepada tiga golongan. Pertama adalah mereka yang memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Kedua adalah mereka yang memeluk Islam selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Ke tiga adalah mereka yang memeluk Islam sesudah pembebasan Makkah. Al-Quran telah meletakkan ketentuan bahawa golongan pertamalah yang paling mulia, diikuti oleh golongan ke dua dan seterusnya golongan ke tiga. Berdasarkan kenyataan al-Quran itulah Abu Bakar as-Siddik berhujah dengan kaum Ansar berhubung dengan isu perlantikan pengganti Rasulullah s.a.w. Kaum Ansar memperakui memang demikianlah kenyataan al-Quran. Oleh yang demikian golongan pertamalah yang berhak memegang jawatan amir dan golongan kedua jawatan wazir. Di antara yang paling mulia dalam golongan pertama, maka Abu Bakar as-Siddik adalah yang paling mulia. Neraca keadilan Umar al-Khattab telah menunjukkan keutamaan Abu Bakar as-Siddik. Sekalian kaum Muslimin membenarkan pertimbangan Umar dan Abu Bakar as-Siddik dilantik menjadi khalifah umat Islam yang pertama.

Golongan pertama telah melalui jalan yang tidak dilalui oleh golongan-golongan yang lain. Mereka adalah yang pertama beriman kepada Rasulullah s.a.w. Mereka terpaksa membayar harga yang mahal demi agama mereka dan iman mereka. Hak asasi mereka dirampas oleh kaum Quraisy. Ketahanan iman mereka benar-benar diuji. Setelah mereka lulus ujian iman baharulah Allah s.w.t mengeluarkan mereka daripada Makkah untuk melakukan satu laku pekerjaan yang sangat mulia, yang tidak dilakukan oleh golongan yang lain. Mereka memperolehi fadilat hijrah.

Setelah hijrah golongan pertama ini menjadi seumpama air meresap ke dalam golongan kedua untuk memberi kehidupan kepada mereka. Golongan kedua yang telah bersatu dengan golongan pertama telah menjadi kuat, dan kedua-duanya menjadi tentera Allah, para mujahidin. Hasil daripada perjuangan mereka itulah muncul golongan ke tiga dan seterusnya berkembang hingga ke hari ini dan sampai ke hari kiamat.

Di dalam golongan ke tiga terdapat orang-orang yang satu ketika dahulu sangat-sangat memusuhi Rasulullah s.a.w, kaum Muslimin dan agama Islam. Dari kalangan mereka ada orang yang pernah menyiksa kaum Muslimin, malah ada yang pernah membunuh orang Islam. Perjuangan golongan pertama dan ke dua bukanlah untuk membalas dendam atau untuk mencari keuntungan diri. Mereka adalah tentera Allah yang berkewajipan membawa agama Allah kepada umat manusia. Mereka adalah golongan manusia yang dipilih khusus untuk memimpin umat manusia agar selamat daripada neraka.

Ada sebahagian cendikiawan yang datang kemudian tidak bersetuju dengan beberapa tindakan para Mujahidin itu. Mereka perlu memahami daya nilai kemanusiaan dan daya nilai Muslim. Manusia umum menggunakan bakat fitrah kemanusiaan dalam membuat penilaian. Fitrah kemanusiaan hanya berupaya menggunakan kekuatan akal fikiran sebagai sumber yang paling kuat. Fitrah Muslim pula tunduk menyerah kepada wahyu. Penyerahan kepada wahyu Tuhan dilakukan dengan iman, bukan dengan hujah dan takwil. Kaum Muslimin berkewajipan menundukkan fitrah asas kepada fitrah Muslim yang menyerah kepada berita yang datang dari Tuhan. Kaum Muslimin hendaklah tidak membuang perkataan Tuhan kerana melihat kepada hukum logik fitrah asas.

Golongan pertama dan kedua menerima dengan baik orang-orang yang telah memusuhi mereka, menindas mereka, berperang dengan mereka dan membunuh saudara-saudara mereka. Keadaan demikian boleh terjadi kerana sifat pemaaf yang kuat tertanam dalam jiwa kaum Muslimin yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w.

Umat yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w berpusat kepada dua perkara penting iaitu al-Quran dan masjid. Mereka menjadi umat yang belajar al-Quran, mengamalkan al-Quran dan menyebarkan al-Quran. Islam dan al-Quran bergandingan. Tidak dinamakan Islam tanpa al-Quran. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan mempelajari al-Quran secara membaca, menghafal dan mengamalkan. Mereka juga berkewajipan menyebarkan apa yang mereka pelajari dan amalkan. Sesiapa yang menerima agama Islam daripada Nabi Muhammad s.a.w melalui proses yang demikian. Setiap orang dibawa tunduk kepada perkataan Tuhan, bukan kepada fikiran, ilham atau kasyaf orang tertentu. Orang yang memiliki fikiran, ilham atau kasyaf berkewajipan mengharmonikan apa yang ada dengan mereka itu dengan perkataan Tuhan. Apa sahaja yang bercanggah dengan perkataan Tuhan mesti ditolak.

Masjid adalah tempat yang paling mulia bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w banyak menghabiskan waktu baginda s.a.w di dalam masjid. Baginda s.a.w bersembahyang di dalam masjid. Baginda s.a.w menerima tetamu di dalam masjid. Baginda s.a.w menyusun strategi peperangan di dalam masjid. Peraturan yang baginda s.a.w lakukan di salam masjid menjadi asas kepada perlantikan Abu Bakar sebagai pengganti baginda s.a.w, kerana Abu Bakar dipilih oleh baginda s.a.w menjadi imam sembahyang semasa ketiadaan baginda s.a.w. Orang yang menjadi ketua kaum Muslimin adalah imam bagi saf yang berjemaah di dalam masjid. Begitulah pentingnya institusi masjid yang kepada umat yang dididik oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Quran dan masjid menjadi dasar yang kukuh kepada umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi golongan yang mencintai jihad. Mereka adalah golongan yang telah menjualkan harta dan nyawa mereka kepada Tuhan. Kecintaan mereka adalah kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya. Tidak ada yang mereka cintai melebihi yang tiga itu.

Semangat jihad pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang tidak ada tolok bandingnya dapat dilihat pada peristiwa Perang Uhud. Dalam peperangan tersebut 70 orang tentera Muslimin gugur syahid. Setelah para syuhada tersebut dikebumikan Nabi Muhammad s.a.w membawa mereka yang masih hidup pulang ke Madinah. Kebanyakan daripada mengalami kecederaan yang serius. Abdul Rahman bin Auf mendapat luka 20 liang. Hanya satu malam sahaja mereka berkesempatan berehat dan merawat luka mereka. Keesokan paginya para petugas telah menyeru semua tentera Muslimin yang menghadiri Perang Uhud kelmarin keluar untuk mengejar tentera musyrikin yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Hanya mereka yang menyertai peperangan kelmarin sahaja yang dibenarkan ikut serta. Betapa iman mereka diuji begitu hebat sekali oleh Tuhan. Mereka menyahut seruan tersebut tanpa ragu-ragu dan membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang yang benar-benar menjualkan diri dan harta mereka kepada Allah s.w.t. Mereka keluar semula daripada Madinah mengejar musuh yang telah mengalahkan mereka kelmarin. Mereka sanggup berbuat demikian kerana iman. Mereka percaya kepada janji Allah s.w.t bahawa para syuhada sebenarnya tidak mati. Mereka terus memperolehi nikmat dan kurniaan Tuhan sekalipun mereka tinggal di dalam alam yang berbeza.

Selepas Perang Uhud, Jabir bin Abdullah duduk termenung mengenangkan ayahnya yang telah syahid, di antara 70 syuhada Uhud itu. Rasulullah s.a.w bertanyakan keadaannya dan dia menceritakan punca kesugulannya. Rasulullah s.a.w bersabda: "Kalau Tuhan hendak berbicara dengan seseorang hanyalah dari sebalik hijab tetapi ayahmu dihidupkan dan Tuhan bercakap dengannya berhadapan. Lalu Tuhan berfirman, ‘Wahai hamba-Ku! Sebutlah apa yang engkau ingini nescaya Aku beri'. Dia menjawab, ‘Pintaku hanya satu wahai Tuhanku. Hidupkan aku sekali lagi supaya aku mati terbunuh kali ke dua pada jalan-Mu'. Tuhan menjawab, ‘Telah tertulis bahawa orang yang mati tidak akan kembali lagi'. Maka berkata pula hamba yang memohon tadi, ‘Wahai Tuhanku! Jika demikian sampaikanlah kepada makhluk-Mu yang telah aku tinggalkan bahawa betapa bahagianya daku sekarang'". Rasulullah s.a.w bersabda: "Kawan-kawanmu yang syahid di Uhud itu, arwah mereka disimpan oleh Tuhan di dalam rongga burung hijau, terbang dan hinggap di sekitar sungai-sungai syurga, makan buah-buahannya dan hinggap pada kidil-kindil emas yang tergantung di bawah naungan Arasy. Setelah mereka merasai kelazatan makanan dan minuman dan sambutan yang amat baik atas mereka, berkatalah mereka, ‘Alangkah baiknya kalau kawan-kawan kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa yang diperbuat oleh Tuhan untuk menyambut kita ini. Siapakah agaknya yang kan menyampaikan kepada mereka di dunia bahawa kita ini hidup di dalam syurga dan tetap diberi rezeki, supaya mereka jangan enggan berjihad dan jangan takut berperang'. Tuhan menjawab, ‘Aku sendiri akan menyampaikannya'".

Para mujahidin bergerak ke medan perang dengan ucapan: "Cukuplah Allah bagi kami dan Dia jualah sebaik-baik Penjaga". Tekad mereka bulat. Keyakinan mereka penuh kepada kempimpinan Rasul Allah. Penyerahan mereka hanyalah kepada Allah s.w.t. Tugas mereka adalah menyebarkan apa yang Allah s.w.t sampaikan kepada Rasul-Nya. Mereka bekerja untuk menyelamatkan diri mereka, ahli mereka dan umat manusia umumnya daripada azab api neraka.

Pengikut Nabi Muhammad s.a.w hidup bersama-sama tiga perkara pokok iaitu al-Quran, masjid dan jihad. Jihad bukan sahaja mengangkat senjata. Dalam keadaan aman jihad mereka adalah memperkuatkan umat Islam secara rohani dan jasmani. Ahli ilmu memberi tumpuan kepada urusan mempelajari ilmu dan menyampaikannya kepada orang ramai. Dalam keadaan aman juga mereka berjihad merombak apa juga adat, kebudayaan dan peraturan yang tidak bersesuaian dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Apabila datang hukum Tuhan mengharamkan arak, maka dengan senang hati mereka melepaskan keinginan dan tabiat meminum arak. Begitu juga dengan lain-lain peraturan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Mereka menerima perintah Tuhan dengan penuh kerelaan, tidak berdolak-dalih atau berhujah dengan kekuatan akal mereka bagi tujuan mengabaikan perintah Tuhan.

Nabi Muhammad s.a.w mengajar umat baginda s.a.w supaya memelihara ketulinan, keaslian dan kemurnian Islam. Baginda s.a.w mahu umat baginda s.a.w membawa identiti sendiri yang mudah dikenal dan dibezakan daripada kaum lain. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan memelihara ibadat mereka, upacara keagamaan mereka, adat dalam masyarakat, kebudayaan dan sebagainya agar semua itu benar-benar bersih daripada pengaruh agama lain.

Kaum Muslimin diberi kesedaran bahawa kemasukan pengaruh agama atau adat lain walaupun dipandang kecil, akan membuka jalan kepada kemasukan pengaruh yang lebih besar. Mempertahankan ketulenan Islam merupakan jihad juga. Umat Islam seharusnya boleh berkata dan menunjukkan dengan pasti bahawa yang ini Islam dan yang itu bukan Islam. Seharusnya ada sempadan yang jelas di antara Islam dengan bukan Islam. Misalnya, bagi upacara perkahwinan, seharusnya dikenalpasti sempadan Islam, yang dibolehkan oleh Islam dan yang dilarang oleh Islam. Begitu juga bagi bidang-bidang perekonomian, politik pendidikan dan lain-lain. Apa juga yang datang dari luar yang boleh diterima oleh peraturan Islam hendaklah ‘diIslamkan' terlebih dahulu, seumpama kulit binatang halal yang hendak digunakan disamakkan terlebih dahulu. Pekerjaan ‘menyamakkan' segala ilmu, sistem, adat, kebudayaan, hukum dan lain-lain menjadi medan jihad yang sangat luas bagi cendikiawan Muslim. Setiap Muslim yang diberi kepakaran dalam sesuatu bidang sebenarnya diberi amanah oleh Tuhan supaya memelihara bidang yang menjadi kepakarannya itu agar berada dalam keadaan Islam. Kepentingan ekonomi, politik, kuasa atau sesuatu tidak seharusnya melunturkan warna Islam. Jihad cendikiawan Muslim dalam medan ini tidak akan habis sampai ke hari kiamat.

Makam Penetapan

Makam Penetapan PDF | Print | E-mail

39. Makam Penetapan

Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan masuk kepada suasana penetapan, hidup sebagai seorang Muslim biasa. Orang arif dan orang awam dalam agama Islam tertakluk kepada hukum dan peraturan yang sama. Semuanya bertuhankan Tuhan Yang Satu. Semuanya berpenghulukan Nabi yang satu. Semuanya berkiblatkan Kiblat yang satu. Semuanya berimamkan Kitab yang satu. Sekalian kaum Muslimin bersaudara.

Aku reda Allah adalah Tuhan, Islam adalah agama, Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah ikutan, Kaabah adalah Kiblat dan semua mukminin dan mukminat adalah saudara.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah.

Pada makam penetapan orang arif bergerak dalam masyarakat seperti air yang mengalir pada bumi, menghidupkan bumi yang mati. Bila bumi sudah hidup akan tumbuhlah pokok Islam yang akar tunjangnya teguh di dalam bumi dan pucuknya menggamit langit. Daunnya rendang menjadi tempat berteduh bagi musafir yang lalu sebentar di atas muka bumi. Buahnya enak dan lazat memberi kekuatan kepada musafir berjalan menuju destinasi.

Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan) berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil, sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan (kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah janjikan mereka yang beriman dan beramal salih dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )

Setiap Muslim mestilah memilih benih yang baik untuk di tanam. Tuhan hanya menyediakan satu tempat sahaja sebagai kebun untuk bercucuk tanam. Tuhan memberikan kepada manusia satu peluang sahaja untuk mengusahakan ladangnya. Kebun tersebut adalah dunia dan peluang tersebut adalah hidup di dalam dunia ini. Tidak ada kebun lain dan tidak ada peluang lain. Pokok yang paling baik ditanam adalah pokok yang batangnya berdiri tegak, dahannya rukuk merendahkan diri dan julainya yang berat dengan buah sujud mencecah bumi dengan penuh kehambaan. Pokok yang baik mengeluarkan buah yang baik untuk kehidupan dunia dan ia terus berbuah di dalam kubur. Di akhirat kelak buahnya akan memberikan kegembiraan yang abadi.

Pengalaman zauk dan jazbah hanyalah kedudukan yang sementara, bukan penetapan dan bukan matlamat. Nabi Muhammad s.a.w memasuki pengalaman Israk dan Mikraj hanya satu bahagian daripada malam sahaja. Dalam perjalanan yang mengambil masa yang singkat itu baginda s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu. Perintah sembahyang yang diterima dalam masa yang singkat itu membawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan sembahyang sepanjang hayat baginda s.a.w. Pengalaman yang singkat membuka jalan kepada penetapan. Baginda s.a.w yang dikeluarkan daripada dunia sebahagian daripada malam kembali semula ke dunia untuk meneruskan baki umur baginda s.a.w dan di dunia ini juga baginda s.a.w menghabiskan umur baginda s.a.w. Di sini juga jasad baginda s.a.w disemadikan. Begitulah jalan yang Tuhan tentukan untuk manusia yang paling mulia, paling sempurna.

Tuhan ciptakan Adam a.s tanpa ibu dan ayah. Tuhan ciptakan Isa a.s tanpa ayah. Tuhan ciptakan Kekasih-Nya, Muhammad s.a.w dengan beribu dan berbapa. Tuhan jadikan Kekasih-Nya itu merasai lapar, dahaga, sakit dan mati di dalam dunia. Sahabat-sahabat baginda s.a.w yang merupakan manusia pilihan kelas pertama melalui jalan yang demikian juga. Orang-orang yang benar yang datang kemudian melalui jalan itu juga. Itulah sebaik-baik jalan dan ia dinamakan Jalan Nabi atau Sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Pada Jalan Nabi tentera Muslimin berperang dengan menggunakan pedang, kepintaran akal dan kekuatan jasmani. Mereka memukul dan dipukul. Mereka menerima luka-luka. Mereka membunuh dan dibunuh. Mereka selalu menang tetapi ada juga kekalahan. Namun mereka terus juga berjuang di dalam perbatasan manusia biasa. Mereka tidak bersandar kepada ilmu kebal atau ilmu menutup pandangan musuh. Mereka tidak bersandar kepada mukjizat. Jika Tuhan kirimkan mukjizat melalui Nabi-Nya mereka menerimanya dengan syukur. Jika Tuhan tetapkan mereka berperang dengan menggunakan bakat kemanusiaan biasa mereka terus juga berjuang dengan penuh semangat dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah menunjukkan cara menghadapi kehidupan sebagai manusia biasa. Baginda s.a.w bersama-sama sahabat yang paling mulia, Abu Bakar as-Siddik, telah menunjukkan contoh yang paling baik dalam menghadapi cabaran sewaktu melakukan hijrah. Konsep bertawakal yang sebenarnya diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui peristiwa hijrah tersebut. Baginda s.a.w diutuskan untuk membimbing umat manusia yang tidak boleh terbang di udara atau berjalan di atas air dan juga tidak kebal. Jika orang yang membimbing menggunakan cara terbang di udara, berjalan di atas air, kenyang tanpa makan, tidak ditimpa penyakit, maka yang boleh mengikuti pembimbing yang demikian hanyalah para malaikat. Nabi Muhammad s.a.w dan pewaris perjuangan baginda s.a.w perlu bergerak dan bertindak di dalam sempadan kemanusiaan agar orang ramai boleh mengikuti mereka. Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan akan bergerak sebagai manusia biasa juga. Mungkin ada perkara yang luar biasa keluar daripada mereka. Itu adalah sebagai anugerah Tuhan kepada mereka. Perkara tersebut tidak boleh dipandang sebagai identiti mereka.

Ahli hakikat yang kembali kepada kesedaran biasa akan hidup seperti manusia lain juga. Pekerjaan utama mereka adalah menyeru umat manusia ke jalan Tuhan. Di samping itu mereka juga melakukan apa yang layak dilakukan sebagai manusia. Mereka membuat pekerjaan menurut bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka. Sebahagian daripada mereka menceburkan diri ke dalam bidang perdagangan untuk menjadi model kepada pedagang-pedagang yang lain. Ada yang menjadi pengusaha, nelayan, pemandu teksi, petani dan lain-lain. Golongan pilihan itu menyerap ke dalam masyarakat melalui semua bidang kehidupan agar umat manusia boleh menguruskan setiap bidang dengan mencontohi model yang Tuhan hantar kepada mereka. Manusia pilihan itu akan meneruskan kehidupan masing-masing menurut warna pencelupan pilihan Tuhan, sehinggalah mereka kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda meredai.

Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali. Di awal perjalanan kerohanian seseorang itu merasakan kehadiran Pembimbing Ghaib yang mengiringinya. Hadrat (kehadiran) tersebut sentiasa bersama-samanya sehingga dia sampai ke gerbang penetapan. Selama ‘dikuasai' oleh Hadrat tersebut si hamba berada dalam suasana tidak bernama atau tidak ada identiti sendiri. Apa juga keberkatan yang diperolehinya diisbatkan kepada keberkatan Hadrat tersebut. Segala pengetahuannya diisbatkan kepada pengetahuan Hadrat berkenaan. Si hamba tidak mengakui sesuatu kebaikan itu sebagai kebaikan dirinya. Semuanya diisbatkan kepada Hadrat yang bersamanya.

Penguasaan Hadrat ghaib itu menjadi jazbah yang paling kuat menguasai seseorang yang berjalan pada jalan kerohanian. Hadrat inilah yang paling akhir berpisah dengan si hamba berbanding dengan semua pengalaman jazbah yang lain. Apabila si hamba masuk ke dalam kota penetapan, secara tiba-tiba sahaja si hamba menyedari Hadrat ghaib itu sudah kembali ke Hadrat Ilahi. Tugas Hadrat ghaib itu sebagai Pembimbing dan Protokol sudah selesai. Hadrat tersebut telah melaksanakan tugasnya membentuk si hamba itu menurut kehendak Allah s.w.t. Bila si hamba sudah boleh menguruskan dirinya sendiri Hadrat tersebut pun kembali kepada kedudukan urusan Allah s.w.t. Si hamba telah kembali kepada dirinya dengan lengkap dan sempurna. Dia sudah boleh memakai identitinya semula. Dia kembali kepada namanya yang sekian lama terpisah daripadanya. Peringkat perpisahan dengan Hadrat ghaib dan bersatu dengan nama dan identiti sendiri merupakan penetapan yang sebenarnya. Ia dinamakan makam penetapan yang teguh. Si hamba kembali kepada kedudukan sebagai satu individu yang memikul amanah dan ada tugas yang perlu dilaksanakannya. Pada tahap ini baharulah bakat khalifah yang dikenalinya pada peringkat Hakikat Khalifah dahulu menjadi bakat dirinya. Khalifah Allah berurusan secara langsung dengan Allah s.w.t, tidak melalui perantaraan yang nyata atau yang ghaib, tidak ada tawasul. Orang yang masih menggunakan cara tawasul menandakan kesan mabuk belum lagi habis daripadanya.

Khalifah pada makam penetapan bukan seperti khalifah pada makam hakikat. Khalifah Allah pada makam penetapan berpijak pada bumi nyata, tidak lagi ‘mencari-cari' atau ‘memandang ke atas' atau ‘menantikan sesuatu.' Khalifah yang sudah menetap adalah golongan salihin dan siddiqin. Benar kedudukan syariat, benar kedudukan tarekat, benar kedudukan hakikat dan benar kedudukan makrifat pada satu kedudukan iaitu syariat yang lengkap. Inilah makam khalifah Allah yang menjadi pewaris nabi.

Khalifah Allah menguruskan daerah kekhalifahannya iaitu dirinya sendiri dan bidang pengkhususannya. Bidangnya yang paling penting adalah berdakwah ke jalan Allah. Bagi melakukan semua itu dia kembali ke dunia, menghadapi dunia yang diporak-perandakan oleh syaitan dan hawa nafsu. Dalam melaksanakan tugasnya dia dijaga oleh Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t menentukannya menguruskan hal-ehwal makhluk maka diberinya petunjuk dan kekuatan dalam melaksanakan tugasnya.

Allah s.w.t kurniakan kepada para khalifah-Nya kurniaan yang tidak rosak binasa. Mereka diberi kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan kesedihan. Nasib mereka menjadi baik dan tidak buruk lagi. Apa sahaja perkara keduniaan yang sampai kepada mereka sudah ditapis dan mereka menerima yang baik-baik sahaja. Kedudukan mereka akan ditinggikan dan tidak rendah lagi. Mereka menjadi pusat pertemuan orang ramai. Melalui sembahyang mereka kesulitan orang ramai dapat diselesaikan. Melalui doa mereka bala terangkat daripada orang ramai. Mereka menjadi pengawal kerohanian kepada orang-orang yang di dalam daerah kekhalifahan mereka. Apabila mereka sudah bersesuaian dengan Allah s.w.t dan perintah-Nya maka seluruh alam tunduk kepada mereka dalam keadaan merendah diri. Apabila mereka teguh menjaga diri daripada perkara yang haram, maka yang haram akan lari daripada mereka walau ke mana sahaja mereka pergi. Khalifah Allah adalah mereka yang kuat memerhatikan larangan Allah s.w.t, menjaga diri daripada terjerumus ke dalam perkara yang tidak disukai oleh Allah s.w.t dan mereka sangat bersegera di dalam melakukan ketaatan kepada-Nya.

Apa sahaja yang dari Allah s.w.t adalah nur. Malaikat yang bertugas menjalankan perintah Allah s.w.t adalah nur. Khalifah Allah diselimuti oleh nur suci. Nur pada matanya, nur pada telinganya, nur pada lidahnya, nur di kanannya, nur di kirinya, nur di hadapannya, nur di belakangnya dan seluruh maujudnya diselimuti oleh nur.

Takutlah kamu firasat orang mukmin kerana mereka melihat dengan nur Ilahi. ( Maksud Hadis ) Si hamba yang dibaluti oleh nur tidak dibahayakan oleh kegelapan. Ilmunya adalah nur yang dari Allah s.w.t. Nur membuka tutupan sehingga yang benar nyata kebenarannya dan yang salah tidak dapat berselindung. Tidak ada lagi syak dan wasangka. Nur Ilmu menghapuskan kesamaran dan teka teki. Segala perkara adalah jelas dan nyata. Yang jelas dan nyata itu adalah kebenaran al-Quran dan as-Sunah.

Si hamba yang telah kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan berupaya menguruskan hal-ehwal dirinya dan orang lain, diizinkan menikmati sepenuhnya bahagian yang baik-baik yang diperuntukkan kepadanya. Bahagian tersebut telah dipegang oleh Pemegang Amanah iaitu al-Waliyyu (Yang Memelihara) selama si hamba itu di dalam perjalanan demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila keupayaan khalifah dikurniakan kepadanya bahagiannya juga dikembalikan. Apa yang menjadi bahagiannya tidak dapat diambil oleh orang lain.

Ketika berjalan kepada Allah s.w.t dahulu diserahkannya semua hak dirinya kepada Allah s.w.t. Diserahkannya dirinya, namanya, sifatnya, bahagiannya dan sekalian makhluk kepada Allah s.w.t. Kini Allah s.w.t mengembalikan semuanya itu kepadanya. Dirinya, namanya, sifatnya dan bahagiannya kembali kepadanya. Makhluk juga kembali kepadanya. Dia menjadi pengurus terhadap apa yang Allah s.w.t kembalikan kepadanya. Pada zahirnya dia yang menguruskan tetapi pada hakikatnya Allah s.w.t, al-Waliyyu, yang menguruskan hal-ehwal si hamba itu. Hamba yang diuruskan oleh Allah s.w.t itulah yang dimaksudkan sebagai wali Allah dan khalifah Allah.

Si hamba yang sampai kepada makam penetapan menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai ibadat. Lidahnya basah dengan zikir. Dia mengucapkan zikir yang biasa diucapkan oleh orang Islam biasa dan hatinya terikat dengan masjid. Dia juga berbakti kepada orang tuanya selaku anak yang salih. Allah s.w.t kurniakan kedudukan yang tinggi lagi mulia kepada hamba-Nya yang sentiasa ingat kepada-Nya, yang hatinya terikat dengan masjid dan yang berbakti kepada orang tuanya. Kedudukannya satu tingkat di bawah kedudukan nabi-nabi. Hamba yang demikian diliputi oleh Nur Arasy, sebagaimana yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w sewaktu baginda s.a.w Mikraj melepasi Sidratul Muntaha. Maha Suci Allah s.w.t yang menciptakan satu golongan daripada umat manusia sebagai hamba-Nya yang pilihan untuk Dia taburkan rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia, sekalian makhluk-Nya dan sekalian alam ciptaan-Nya.

Menuju Penetapan Insan Hamba Tuhan

Menuju Penetapan Insan Hamba Tuhan PDF | Print | E-mail

38. Menuju Penetapan Insan Hamba Tuhan

HAKIKAT HABIBALLAH

Kehadiran Habiballah berbeza daripada kehadiran Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil membawa makrifat tentang urusan dan pentadbiran Tuhan. Habiballah pula memperingatkan si hamba tentang kedudukannya sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi, di dalam dunia, mempunyai tugas untuk dilaksanakan. Kehadiran Habiballah membawa si hamba menyaksikan seorang insan yang paling sempurna bergelar kekasih Allah. Insan tersebut adalah Nabi Muhammad s.a.w, manusia maksum yang tidak pernah melakukan kesalahan. Inilah manusia yang paling baik untuk dijadikan contoh teladan. Selagi belum sesuai dengan Sunah baginda s.a.w selagi itulah pencarian belum berakhir. Jangan menyangka orang yang asyik dengan Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil itu telah mencapai kesempurnaan. Kesempurnaan yang sebenar telah ditunjukkan oleh seorang manusia yang telah menerima dengan lengkap, penuh dan sempurna segala bakat dan keupayaan yang tersimpan pada Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Nabi Muhammad s.a.w, Muhammad bin Abdullah yang berbangsa Arab, itulah cermin yang sempurna bagi Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Jika ada orang mendakwa dirinya bermakrifat dengan Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil sedangkan dia berada pada jalan yang berbeza daripada jalan Nabi Muhammad s.a.w, sesungguhnya dakwaan orang itu adalah tidak benar. Orang berkenaan telah diserkup oleh kekeliruan di suatu peringkat dalam perjalanannya. Pencariannya belum berakhir. Kebenaran yang sejati belum ditemuinya. Mungkin kesan kefanaan dan mabuk belum terhapus sepenuhnya daripada hatinya.

Tanda seseorang itu belum pulih daripada kefanaan, mabuk dan kebaqaan adalah dia masih mencari-cari hakikat dirinya, makam dirinya dan mengintai-intai kalau-kalau namanya ada dalam senarai wali-wali agung. Dia masih lagi melihat hakikat dirinya pada makam ketuhanan, masih dikuasai oleh suasana Ilmu dan dia tidak berselera melakukan amalan syariat. Dia masih lagi dalam keadaan menanti-nanti sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa yang dinantikannya. Orang seperti ini perlu mengucapkan salawat banyak-banyak, mudah-mudahan dia mengenali Muhammad Habiballah yang sebenarnya. Bila Muhammad Habiballah sudah dikenali, maka semua pengalaman kerohanian yang sudah dilalui akan menjadi kenangan manis. Ia menjadi modal bagi seseorang mencari keuntungan di dalam syariat. Syariat adalah medan perniagaan yang luas. Modal yang tidak dilaburkan di dalam syariat tidak akan berkembang. Lama kelamaan modal tersebut akan kehabisan.

Ada orang yang telah mengalami hakikat mendapati sukar untuk masuk semula kepada syariat. Sekalipun mereka tidak membuang syariat mereka lebih suka ‘membawa diri' daripada menyertai kegiatan orang ramai seperti yang dianjurkan oleh syariat. Ada di antara mereka yang tidak bersembahyang Jumaat bersama-sama dengan orang ramai. Mereka tidak mencegah kemunkaran yang berlaku di hadapan mata mereka. Mereka tidak mengajak orang lain kepada yang makruf. Sikap menyepi diri biasa ditemui pada orang yang melalui jalan hakikat.

Dalam perjalanan menaik seseorang itu mengalami keadaan fikirannya menjadi tidak aktif, kehendaknya menjadi lemah dan perhatian terhadap diri sendiri dan orang lain menjadi berkurangan. Dia kemudian sampai kepada satu tahap di mana semua itu tidak berfungsi seperti biasa. Segala-galanya hilang daripada kesedarannya, yang ada hanyalah Allah s.w.t. Dia hanya inginkan Allah s.w.t, ingatkan Allah s.w.t dan kasihkan Allah s.w.t. Hal ini meninggalkan kesan yang lama pada hati walaupun dia telah kembali kepada kesedaran kemanusiaan. Hati yang sudah dipenuhi dengan Allah s.w.t sukar menerima kehadiran yang lain, yang dirasakannya mencabar kedudukan Allah s.w.t dalam hatinya. Dia bimbang dengan memberi perhatian kepada makhluk akan berkurangan perhatiannya kepada Allah s.w.t. Suasana begini sukar diperbetulkan. Ia memerlukan kehadiran suasana yang lain yang lebih kuat baharulah hatinya tunduk dan menyerah kepada suasana baharu yang lebih kuat itu.

Kehadiran Habiballah memainkan peranan penting dalam menolak seseorang ahli hakikat ke dalam syariat secara menyeluruh. Tidak ada manusia yang kasihkan Allah s.w.t melebihi Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada manusia yang memberi perhatian kepada Allah s.w.t melebihi Nabi Muhammad s.a.w. Kasih dan perhatian Nabi Muhammad s.a.w kepada Allah s.w.t tidak menutup kasih dan perhatian baginda s.a.w kepada makhluk Allah. Kesibukan baginda s.a.w melayani orang ramai tidak menyebabkan baginda s.a.w lalai daripada mengingati Allah s.w.t. Pada yang demikian tersembunyi rahsia besar. Bagaimana hati yang mempunyai satu muka boleh berhadap kepada dua perkara dalam satu masa. Inilah yang dinamakan rahsia syariat. Syariat mengajar manusia mengenali Yang Esa melalui dua perkara yang berlawanan. Manusia yang mempunyai akal, hati dan dua aspek yang berlawanan pada dirinya, seperti kanan dengan kiri, menjadi bekas yang paling sesuai menerima syariat. Malaikat yang diciptakan dengan satu aspek sahaja, iaitu tidak ada lelaki dan perempuan juga tidak ada kanan dan kiri, tidak sesuai menanggung syariat. Manusia yang mempunyai dua nilai yang bertentangan pada dirinya boleh mengenal Tuhan melalui nilai-nilai tersebut. Semakin manusia menggunakan bakat dan nilai yang ada pada dirinya semakin dia mengenal Tuhan. Menggunakan bakat dan nilai yang ada pada diri merupakan sebaik-baik jalan untuk mengenal Tuhan. Tuhan dikenali kerana ada makhluk Tuhan. Berbakti kepada makhluk Tuhan atas dasar mentaati peraturan Tuhan menambahkan ingatan dan pengenalan kepada Tuhan. Sebab itulah kesibukan melayani makhluk Tuhan tidak membuat hati lalai daripada mengingati Tuhan, malah ingatan kepada-Nya menjadi lebih kuat lagi. Kesedaran tentang perkara ini diperolehi melalui kehadiran Muhammad Habiballah yang telah mempraktikkan yang demikian sepanjang hidup baginda s.a.w. Jika perhatian seseorang hanya tertumpu kepada Muhammad dalam hakikat atau Muhammad Insan Kamil, kesedaran tersebut tidak muncul. Muhammad Habiballah yang membimbing manusia kembali kepada kesedaran kemanusiaan sepenuhnya dan menggunakan bakat serta nilai diri untuk berbakti kepada Allah s.w.t secara langsung atau secara tidak langsung melalui khidmat-bakti kepada makhluk-Nya. Orang yang tidak berjumpa dengan kebenaran Muhammad Habiballah mendapati sukar untuk menetapkan kesedaran kemanusiaannya dan berkecimpung di dalam kegiatan masyarakat.

Orang yang memasuki jalan pelarutan diri ke dalam hakikat sukar kembali kepada kesedaran kemanusiaan. Bila ‘bertembung' dengan Hakikat Allah s.w.t dia merasakan dirinya adalah Allah s.w.t. Bila ‘bertembung' dengan Hakikat Muhammadiah dia merasakan dirinya adalah Muhammad. Bila ‘bertembung' dengan Hakikat Insan Kamil dia merasakan dirinya adalah Insan Kamil. Bila ‘bertembung' dengan Habiballah dia merasakan dirinya adalah Habiballah. Sukar baginya untuk keluar daripada mabuk untuk menyaksikan kebenaran yang sebenar-benarnya benar. Mabuk menjadi hijab menutup pandangannya daripada melihat dan menerima kenyataan. Orang yang seperti ini mungkin menerima penyerapan yang berkekalan oleh hakikat yang menguasai hatinya. Dia akan menjadi ujian kepada orang ramai, terutamanya mereka yang berminat kepada jalan hakikat.

Perkataan orang yang di dalam mabuk mengenai hakikat dan penyatuan dengan Tuhan memang seronok didengar. Manusia memang cenderung kepada perkara ganjil. Ujian akan berubah menjadi fitnah apabila orang yang di dalam mabuk mengeluarkan kekeramatan yang menyebabkan orang-orang jahil yang lemah iman memegang sepenuhnya perkataan orang yang di dalam mabuk itu. Orang yang di dalam mabuk berhak dimaafkan jika dia mengeluarkan ucapan yang menyalahi syariat tetapi orang yang di dalam kesedaran jika ikut yang demikian dia berhak dihukumkan kufur. Mereka wajib bertaubat dan kembali kepada jalan kenabian.

Orang yang berminat dalam soal-soal kerohanian mestilah yakin bahawa kebenaran yang paling tinggi bukanlah menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Kebenaran yang tertinggi adalah menjadi hamba Tuhan. Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil boleh dilihat sebagai Hamba Allah kerana kedua-duanya bergantung kepada Allah s.w.t, bukan berdiri dengan sendiri. Hamba Allah dalam suasana ketuhanan dipanggil Urusan Allah bagi membezakannya dengan makhluk yang mendiami alam. Urusan Allah adalah kewujudan di dalam Ilmu Allah, bukan kewujudan di dalam alam. Ilmu Allah tidak menempati ruang dan zaman. Ia juga bukan bertempat di dalam hati manusia. Hati hanya diizinkan merasai suasana Hadrat atau kehadiran hakikat bukan berhadapan dengan hakikat yang sebenar. Merasai kehadiran Insan Kamil bukan bermakna Insan Kamil benar-benar ada di hadapan. Merasakan menjadi Insan Kamil bukan bermakna benar-benar menjadi Insan Kamil. Merasakan menjadi Insan Kamil adalah suasana mabuk. Merasai kehadiran Insan Kamil pula adalah suasana menerima kenyataan Insan Kamil itu. Merasai kehadiran Allah s.w.t pula bermakna menerima kenyataan Allah s.w.t. Ia disebut juga ayat-ayat Allah, sifat-sifat Allah, nama-nama Allah, tanda-tanda Allah dan sebagainya. Walaupun digunakan istilah-istilah yang tidak pernah didengar seperti Lahut, Balhut, Ghaibul Ghuyub, Ghaibul Mutlak dan lain-lain, semuanya bukanlah Allah s.w.t tetapi hanyalah cerita tentang Allah s.w.t. Cerita yang paling baik dan paling benar mengenai Allah s.w.t adalah cerita daripada al-Quran. Tidak ada cerita lain yang kebenarannya mengatasi apa yang diceritakan oleh al-Quran. Oleh itu apabila mendengar cerita daripada mana-mana sumber rujuk semula kepada cerita al-Quran. Jangan diikuti orang yang di dalam mabuk kerana orang yang demikian sudah hilang pertimbangan.

Dalam perjalanan kerohanian, apabila ‘berjumpa' dengan kehadiran Habiballah baharulah fikiran terbuka luas, begitu juga dengan kesedaran diri. Sebelum itu jiwa seseorang seumpama berada di dalam laut, dilambung oleh gelombang. Sekalipun tidak mabuk namun ‘pening-pening lalat' tetap juga ada.

Dalam perjalanan kerohanian seseorang itu memasuki empat tahap kesedaran diri. Tahap pertama adalah kesedaran nafsu, dibahasakan sebagai Alam Nasut atau alam jasad. Kesedaran nafsu mengarahkan kepada ingatan yang jahat, melakukan dosa dan maksiat. Tahap ke dua adalah kesedaran kalbu atau hati, dibahasakan sebagai Alam Malakut. Dalam kesedaran hati timbul sifat patuh dan taat kepada perintah dan peraturan Allah s.w.t. Tahap ke tiga adalah kesedaran rohani, dibahasakan sebagai Alam Jabarut. Dalam kesedaran ini si hamba bebas daripada kegembiraan dan kerisauan, fikiran dan keinginan. Dia menjadi patuh kepada perintah rohani dan dia menjadi tenteram, dengan kepatuhan tersebut. Tahap ke empat adalah kesedaran Sir, dibahasakan sebagai alam Lahut. Dalam kesedaran ini si hamba tenggelam dalam tafakur tentang Tuhan. Penyaksiannya hanya kepada Tuhan, tidak kepada yang lain. Dia mengalami suasana hakikat-hakikat ketuhanan atau dikatakan juga hatinya menerima sinaran nur Ilahi. Selepas peringkat ini baharulah kesedaran diri kembali semula sedikit demi sedikit.

Permulaan jalan kembali kepada kesedaran itu dinamakan baqa. Kesedaran terhadap Insan Kamil muncul pada peringkat permulaan baqa. Baqa adalah suasana bergerak daripada Tuhan bersama Tuhan. Ada unsur perpisahan dan perbezaan dengan Tuhan tetapi masih lagi bersamaan. Kesedaran dalam peringkat inilah membuat seseorang bercakap secara berteka-teki dan samar-samar kerana suasana teka-teki dan kesamaran yang menguasai hatinya. Semakin jauh dia masuk ke dalam baqa semakin terhurai teka-teki tersebut dan semakin berkurangan kesamaran.

Baqa adalah salah satu daripada peringkat perjalanan kerohanian. Bila kesedaran pulih sepenuhnya kebaqaan tidak ada lagi.

Keseluruhan perjalanan boleh dibahagikan kepada empat peringkat. Peringkat pertama dinamakan jalan orang Islam biasa. Pada jalan ini penekanan adalah pada syariat zahir. Penggerak utama pada jalan ini adalah syurga dan peringatannya adalah neraka. Matlamat pada jalan ini adalah mencapai kedudukan sebagai seorang mukmin yang layak menjadi penghuni syurga. Jalan ini menjadi asas kepada jalan-jalan yang lain. Tanpa jalan ini jalan-jalan yang lain tidak dapat dibina. Orang yang meninggalkan jalan ini dan terus pergi ke jalan hakikat itulah yang mudah jatuh ke dalam jurang yang menyesatkan.

Sambungan kepada jalan syariat zahir adalah jalan syariat batin atau jalan tarekat tasauf. Jalan ini merupakan jalan hamba mencari Tuhan. Keinginan mengenal Tuhan mendorong mereka melakukan ibadat bukan kerana inginkan syurga atau takutkan neraka. Segala usaha dan ikhtiar digunakan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan. Pada peringkat awal mereka kuat bersandar kepada amal kerana menyangkakan kekuatan amal itulah yang mendekatkan mereka dengan Tuhan. Pada peringkat ini ada bahaya yang menanti. Bahaya tersebut adalah perasaan tidak sabar untuk cepat sampai kepada matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri tidak jelas. Sikap tidak sabar dan kurang penyerahan kepada Tuhan membuat seseorang mudah terdorong kepada amalan yang ganjil-ganjil yang diharapkan mempercepatkan perjalanan mereka. Sebahagian daripada mereka yang keliru pada peringkat ini mengambil amalan melihat jin dan bersahabat dengan khadam. Mereka menyangkakan amalan yang demikian adalah sebahagian daripada jalan ketuhanan yang mendekatkan diri mereka dengan Tuhan. Kesan daripada yang demikian ada yang gila akalnya atau pun gila hakikatnya. Gila hakikat adalah mendakwa diri sudah memiliki hakikat sedangkan dia belum memasuki jalan hakikat. Apa yang mereka anggapkan alam hakikat itu sebenarnya adalah alam khadam. Orang yang gila hakikat, dalam kesedaran biasa, mengaku mereka menjadi wali yang agung dan memiliki berbagai-bagai kekeramatan. Mereka menyangkakan mereka adalah manusia pilihan Tuhan atau pun mereka adalah nabi. Beginilah keadaan nabi palsu yang selalu muncul dalam sejarah. Nabi palsu itu yakin yang diri mereka adalah nabi, terutamanya jika pada diri mereka muncul sesuatu yang luar biasa. Perkara luar biasa itu mereka sangkakan mukjizat tetapi yang sebenarnya hanyalah perbuatan khadam yang mendampingi mereka.

Dalam melalui jalan ini seseorang mestilah membulatkan maksudnya kepada Allah s.w.t semata-mata, tidak dicampur dengan keinginan kepada kekeramatan dan pangkat kewalian. Apabila maksud sudah bulat kepada Allah s.w.t baharulah ada harapan untuk memasuki jalan kerohanian. Tanda seseorang itu telah memasuki jalan ketuhanan adalah dia dikurniakan Petunjuk Ghaib. Dia dapat merasakan kuasa ghaib mengheretnya dengan menangkis apa sahaja yang cuba membuatnya berhenti. Perhatian dan kesedaran terhadap segala sesuatu akan menjadi lemah. Dia masuk ke dalam kesedaran kebatinan. Dalam kesedaran tersebut dia mengalami kehadiran kenabian. Dia mengenali kenabian secara zauk.

Apabila hati sampai kepada suasana nama-nama Tuhan pula dia mengenali Tuhan melalui nama-nama tersebut. Di sini dia melihat urusan Tuhan menguasai perjalanan segala sesuatu. Seterusnya dia sampai kepada suasana keesaan Tuhan. Kemudian dia memasuki pula suasana yang menggambarkan bahawa tiada sesuatu yang serupa dengan Tuhan. Dia menemui kenyataan bahawa Tuhan tidak dijumpai melalui ilmu dan makrifat. Hamba yang sampai ke sini mengakui kelemahan dirinya di hadapan keperkasaan Tuhan. Wujudlah sifat kehambaan yang sejati dalam jiwanya. Kuatlah dia bersabar menanggung ujian Tuhan dan berserah diri kepada-Nya. Orang yang berhenti pada peringkat ini akan menjadi ahli ibadat yang tidak ada pekerjaan melainkan beribadat kepada Allah s.w.t. Akhir peringkat kedua adalah menyaksikan Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa.

Peringkat ke tiga dinamakan jalan hakikat. Dalam peringkat kedua dahulu si hamba menemui kenyataan bahawa ilmu dan amal tidak berupaya memecahkan benteng keperkasaan Tuhan. Penemuan tersebut membuat si hamba tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya. Apa juga amalan yang dilakukannya adalah kerana Allah s.w.t bukan kerana sesuatu kepentingan dirinya. Amal tidak lagi menjadi alat untuk mendapatkan sesuatu daripada Tuhan. Dia sudah memperolehi keyakinan bahawa yang dapat membawanya kepada Tuhan adalah Tuhan sendiri, dengan kehendak-Nya bukan dengan kehendak hamba-Nya, atau ilmu dan amal hamba-Nya.

Perjalanan pada peringkat ke tiga bermula daripada suasana keesaan. Si hamba dilambung oleh gelombang kefanaan yang kuat. Dia tidak lagi mengetahui siapakah dirinya. Dia terpisah daripada sifat kemanusiaan dan tidak lagi memperdulikan peraturan masyarakat. Orang yang berada pada peringkat ini patut dipisahkan daripada orang ramai supaya kehadirannya tidak mendatangkan fitnah terhadap dirinya dan juga orang lain. Ucapannya mengenai hakikat yang dialaminya mungkin akan menimbulkan salah faham orang lain. Pada peringkat ini si hamba berada ‘di luar' sesuatu dan dia hanya menyaksikan. Dia melihat perbuatan muncul daripada dirinya tetapi dia melihatnya ‘dari luar' dirinya, sebagaimana orang lain melihatnya. Dia merasakan yang dia tidak terlibat dengan perbuatan tersebut. Dia menyaksikan segala perkara sebagai tindak tanduk urusan Tuhan. Dalam suasana yang demikian dia mendapat pengertian bahawa sebenarnya bukan dirinya yang mencari Tuhan tetapi sebenarnya Dia yang mencari dan Dia yang dicari.Orang yang dalam kefanaan menggambarkan peringkat ini dengan ucapannya "Dia yang mencari dan Dia yang dicari. Dia yang bertemu dengan Diri-Nya sendiri!" Orang yang di dalam kesedaran pula menggambarkan suasana pada tahap ini dengan ucapannya, "Aku kenal Tuhanku melalui Tuhanku sekadar yang Tuhanku izinkan daku mengenali-Nya". Perjalanan yang bermula daripada suasana keesaan itu berakhir pada suasana Insan Kamil.

Insan Kamil adalah permulaan jalan peringkat ke empat, jalan menuju baqa, dinamakan jalan Diri mencari Diri. Pada peringkat suasana Insan Kamil ini kesedaran terhadap diri sendiri sudah mula datang kembali dalam keadaan dia tidak mengenali dirinya sendiri. Kesedaran yang sudah kembali sedikit itu menggerakkannya untuk mencari dirinya yang ‘hilang.' Pada suasana Insan Kamil itu si hamba menyaksikan hakikat dirinya dalam Hakikat Muhammadiah. Dia menyaksikan hakikat dirinya sebagai Hakikat Abdul Rab (hamba Tuhan). Si hamba ditarik kepada satu nama Tuhan yang menguasai dirinya. Dia ditarik kepada Yang Empunya nama. Tarikan ketuhanan Yang Empunya nama itu membawa si hamba keluar dari alam fana sedikit demi sedikit, masuk ke alam baqa. Dalam kebaqaan itu si hamba melihat hakikat dirinya yang tidak berpisah dengan Tuhan. Hakikat Abdul Rab (kewujudan kehambaan pada sisi Tuhan atau urusan Tuhan yang menguasai perjalanan kehambaan kepada Tuhan) tidak berpisah dengan Tuhan. Penyaksian terhadap hakikat diri yang tidak berpisah dengan Tuhan dan suasana hati yang merasakan tidak berpisah dengan Tuhan itulah dinamakan baqa.

Penghujung jalan baqa menemukan si hamba dengan Hakikat Ahmadiah. Pada tahap ini si hamba menemui dirinya sebagai rohani yang ‘menerima' bakat daripada hakikat kehambaan. Rohani hanya mempamerkan apa yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Penyaksian terhadap kewujudan rohani ini membuka perhatiannya kepada kewujudan jasadnya. Kesedaran kemanusiaan yang bertubuh badan kembali semula kepadanya secara sedikit demi sedikit. Dia (rohani) sudah memperakukan bahawa alam jasad itulah daerah kekhalifahannya atau tempat tinggalnya. Rohani dan jasad ‘bercantum' semula dalam suasana kehadiran Habiballah. Diri yang mencari berpadu dengan Diri yang dicari. Si hamba kembali mengenali dirinya. Pusingan perjalanannya menjadi lengkap.Awal perjalanannya berpadu dengan akhir perjalanannya. Batinnya berpadu dengan zahirnya.

Perpindahan daripada suasana kebaqaan kepada suasana kehambaan sepenuhnya diistilahkan sebagai hijrah kerohanian. Si hamba berpindah daripada kesedaran hakikat kepada kesedaran kemanusiaan, masuk ke dalam syariat zahir dan batin. Nabi Muhammad s.a.w berhijrah daripada Makkah yang padanya ada Kaabah, pergi ke Madinah yang padanya syariat diperlengkapkan. Ahli hakikat juga perlu berhijrah meninggalkan ‘Kaabatullah' (makam hakikat yang ada fana, bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan lain-lain suasana hakikat) pergi ke ‘Madinah' (makam kehambaan yang padanya ada agama yang sempurna, syariat yang sempurna, peraturan zahir yang sempurna, amalan batin yang sempurna, Islam yang sempurna, iman yang sempurna dan makrifat yang sempurna). ‘Hijrah' adalah makam hakikat dan makrifat yang paling tinggi. Apabila seseorang Ahli hakikat ‘berhijrah' baharulah kesedaran kemanusiaannya kembali sepenuhnya. Syariat zahir dan batinnya sempurna. Agamanya pun sempurna.

Hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu. Dan Aku cukupkan nikmat-Ku atasmu. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat)mu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa'idah )

Perjalanan yang tidak merialisasikan maksud ayat di atas adalah perjalanan yang tidak lengkap. Perjalanan kerohanian yang lengkap mengandungi:
1: Jalan orang Islam biasa
2: Jalan hamba mencari Tuhan
3: Jalan Dia yang mengenali Diri-Nya
4: Jalan Diri mencari Diri atau jalan mengenal diri.

Ada orang yang sengaja mengambil jalan Diri mencari Diri, iaitu jalan mengenal diri sahaja tanpa mengambil jalan-jalan yang lain. Jalan mengenal diri yang dilalui oleh orang yang mengalami kefanaan, kelenyapan terhadap kesedaran diri sendiri, berbeza daripada jalan mengenal diri yang digubah oleh orang yang tidak ada zauk, tidak hilang kesedaran diri, tidak hilang akal fikiran, tetap gelojoh dengan makan dan minum dan masih mahukan kesenangan dunia. Golongan ini mengambil perkataan ahli zauk untuk dijadikan iktikad dalam kesedaran mereka. Mereka menyamakan hamba dengan Tuhan. Iktikad mereka telah sesat dan menyesatkan.

Di antara semua peringkat perjalanan kerohanian yang paling sukar dilakukan adalah berhijrah daripada hakikat kepada syariat. Ramai di antara ahli sufi tidak melakukan hijrah. Mereka tidak dapat melepaskan diri daripada kesan kefanaan dan mabuk. Pengalaman bersatu dengan Tuhan yang mengasyikkan membuat mereka enggan melepaskan keghairahan tersebut.

Ahli sufi yang dipimpin kepada jalan mahabbah melakukan hijrah dan kembali kepada jalan kenabian dengan sempurna. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari Makkah ke Madinah mengambil masa tujuh hari. Bukan perkara yang ganjil jika hijrah ahli hakikat ke syariat secara sepenuhnya mengambil masa tujuh tahun. Kehadiran Habiballah yang membuka pintu hijrah kepada ahli hakikat. Orang yang melihat dengan ‘mata' Allah tidak dapat melihat kebenaran yang sejati. Orang yang melihat dengan ‘mata' Rasul Allah yang dapat melihat kepada Yang Haq. Walaupun Allah s.w.t memperkenalkan sifat-Nya melalui sifat manusia tetapi itu hanyalah sekadar iktibar. Allah s.w.t tidak jadikan sifat-Nya sebagai sifat manusia. Sesiapa yang cuba menggunakan sifat Allah s.w.t akan terbaliklah akal dan hatinya. Orang yang sengaja berbuat demikian berkemungkinan menjadi tidak stabil mentalnya, biasanya dipanggil ‘isim'. Keadaan akal dan hatinya seumpama tayar kereta yang tidak seimbang, menggegarkan keseluruhan bahagian kereta. Allah s.w.t telah meletakkan "mata kebenaran" pada Nabi Muhammad s.a.w. Hanya dengan memandang melalui ‘mata' Nabi Muhammad s.a.w seseorang itu dapat menyaksikan kebenaran yang sejati lagi tulen.

Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat ke seluruh alam. ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa' )

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu satu teladan yang baik bagi orang yang percaya kepada Allah dan Hari Kemudian dan menyebut Allah (sebutan) yang banyak. (Ayat 21 : Surah al-Ahzaab )

Orang yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w dan mengikuti jalan baginda s.a.w akan sampai kepada kesudahan makam iaitu makam penetapan.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada pada makam Amin (kedudukan yang aman). ( Ayat 51 : Surah ad-Dukhaan )

Makam Amin adalah makam penetapan, dikurniakan kepada mereka yang bertakwa. Tidak ada takwa jika tidak ada syariat kerana takwa adalah memelihara syariat. Orang yang bertakwa mengakui kewujudan sempadan dan hukum-hukum. Mereka memelihara sempadan jalan yang lurus itu dan juga memerhatikan hukum-hukumnya. Perkara yang menyalahi syariat adalah umpama duri-duri di atas jalan dan orang yang bertakwa berjalan dengan menjaga tapak kakinya agar tidak terpijak duri.

Tidak ada sesiapa yang masuk campur dalam urusan-Nya.

Menuju Kesedaran Insani

Menuju Kesedaran Insani PDF | Print | E-mail

37. Menuju Kesedaran Insani

HAKIKAT AHMADIAH

Suasana Ilmu Allah diumpamakan berada dalam Kaabatullah. Orang yang berada di dalam kota tidak dapat menyaksikan apa yang ada di luar kota. Kota menghalang perhubungan orang yang berada di dalam dengan orang yang berada di luar. Dalam perjalanan kerohanian kota yang menghijab adalah kesedaran yang menguasai hati. Hati yang terbungkus dan terikat oleh suasana kebatinan yang menguasainya. Hati yang ‘terkurung' di dalam suasana Ilmu tidak dapat bercampur gaul dengan orang ramai.

Suasana hakikat yang dialami oleh hati memberi kesan yang sangat mendalam. Ia tidak hilang dengan serta merta walaupun berlaku perubahan stesen dan makam. Apabila "dinding Kaabatullah terbuka" si hamba keluar daripada kesedaran Ilmu dan masuk kepada kesedaran rohani yang belum terikat dengan jasad. Pada permulaan peringkat ini kesan daripada ‘pertemuan' dengan hakikat-hakikat masih lagi mempengaruhi kesedarannya. Pengaruh atau kesan daripada hakikat-hakikat tersebut membawa ke dalam kesedarannya penyaksian terhadap Hakikat Ahmadiah. Hatinya menyaksikan bahawa Ahmad adalah suasana roh yang paling latif, paling suci dan paling murni. Ahmad adalah nama bagi roh yang mempunyai kesempurnaan makrifat, kesempurnaan ilmu dan kesempurnaan kehambaan. Ahmad atau roh yang paling latif itulah menjadi roh kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Dan ingatlah tatkala berkata Isa anak Maryam: "Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku ini adalah Utusan Allah kepada kamu, membenarkan apa yang ada di antara kedua tanganku daripada Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya AHMAD!" Maka tatkala dia telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, "Ini adalah sihir yang nyata". ( Ayat 6 : Surah as-Saff )

Sebelum Nabi Muhammad s.a.w lahir ke dunia baginda s.a.w disaksikan pada Alam Arwah sebagai Ahmad. Sesudah baginda s.a.w dilahirkan baginda s.a.w dinamakan Muhammad dan juga bergelar Ahmad. Dalam kesedaran peringkat Ilmu, si hamba merasai kehadiran Hakikat Muhammadiah, Hakikat Insan Kamil dan hakikat hamba Tuhan. Dia melihat Hakikat-hakikat tersebut sebagai urusan Tuhan yang menguasai perjalanan sekalian makhluk. Dalam kesedaran rohani pula si hamba merasai kehadiran Hakikat Ahmadiah dan dia menyaksikan bahawa roh yang paling latif itulah penjana segala urusan Tuhan kepada makhluk.

Dan mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah: "Roh itu adalah urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit". ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )

(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah kamu meniarap kepadanya dalam keadaan sujud". ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )

Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy. Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada barangsiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu'min )

Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )

Kewujudan roh yang paling latif itulah menyebabkan manusia memiliki bakat dan nilai kemanusiaan; manusia menjadi hidup, berkuasa, berkehendak, mengetahui, mendengar, melihat dan berkata-kata. Tanpa kewujudan roh yang paling latif atau Ahmad sebagai pemangkin atau hijab, apa yang daripada Tuhan tidak dapat diterima oleh makhluk. Makhluk yang selain roh yang paling latif itu tidak ada kekuatan untuk menyambut apa yang Tuhan ‘hantarkan' daripada Hadrat-Nya.


HAKIKAT KHALIFAH

Dari kalangan hamba-hamba-Nya dipilihnya sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan dibukakan hijab di antara hamba-Nya itu dengan cahaya roh yang paling latif itu. Hamba yang ada perkaitan dengan roh yang paling latif secara demikian berkedudukan sebagai khalifah Allah. Khalifah Allah peringkat paling tinggi adalah golongan nabi-nabi, diikuti oleh golongan wali-wali dan orang salih. Khalifah Allah bertugas memberi peringatan tentang hari pertemuan dengan Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa. Mereka membimbing umat manusia kepada jalan yang lurus iaitu jalan Tuhan sekalian alam.

Hamba yang berkedudukan sebagai khalifah Allah telah dibawa kepada makam penyaksian yang meneguhkan keyakinan mereka, sebagaimana Allah s.w.t meneguhkan keyakinan Nabi Ibrahim a.s.

Dan demikianlah Kami bukakan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi supaya jadilah dia daripada orang-orang yang benar-benar yakin. ( Ayat 75 : Surah al-An'aam )

Keyakinan yang sebenarnya membawa hamba kepada suasana:

Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada yang menjadikan semua langit dan bumi, dengan ikhlas, dan tidaklah aku daripada orang-orang yang mempersekutukan-Nya. ( Ayat 79 : Surah al-An'aam )

Hamba yang sejati adalah hamba yang dapat melakukan "menghadap wajahnya kepada Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, dengan ikhlas dan tidak mempersekutukan-Nya". Inilah makam yang paling tinggi boleh dicapai oleh seorang hamba Tuhan. Wajah hamba Tuhan menghadap kepada Yang Hakiki. Dia juga menyaksikan kerajaan-Nya. Perbuatan zahirnya dan amalan hatinya ikhlas kerana Allah s.w.t, bersih daripada syirik. Itulah para hamba yang layak bergelar khalifah Allah. Kepada mereka Allah s.w.t tujukan firman-Nya:

Sesungguhnya orang-orang yang berkata: "Tuhan kami adalah Allah!" kemudian mereka tetap lurus, nescaya akan turun kepada mereka malaikat (yang berkata), "Jangan kamu takut dan jangan kamu berdukacita dan bergiranglah dengan syurga yang pernah dijanjikan kepada kamu. Kami adalah pelindung-pelindung kamu pada penghidupan di dunia dan pada akhirat, dan untuk kamu di dalamnya apa sahaja keinginan dirimu dan untuk kamu di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai jamuan dari Pengampun, Penyayang". ( Ayat 30 - 32 : Surah Fussilat )

Mereka adalah golongan yang menerima pembentukan yang paling baik daripada Allah s.w.t.
Pencelupan Allah! Dan siapakah yang lebih baik pencelupannya daripada Allah? Dan akan Dia jualah kami menyembah. ( Ayat 138 : Surah al-Baqarah)

Mereka yang menerima pencelupan yang paling baik adalah yang kekal di dalam kehambaan, mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, menyembah-Nya dan melaksanakan perintah dan peraturan-Nya. Mereka memulakan perjalanan sebagai hamba dan kembali sebagai hamba juga. Segala pengalaman kerohanian yang dilalui adalah untuk memperteguhkan kehambaan itu, menyesuaikan diri dengan al-Quran dan as-Sunah, mencontohi kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat yang mendapat keredaan Allah s.w.t. Mereka kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa seperti semula kerana tanpa kesedaran kemanusiaan hukum dan peraturan Tuhan tidak dapat dilaksanakan. Manusialah yang diangkat menjadi Rasul dan manusia juga yang mengembangkan ajaran Tuhan. Malaikat tidak diangkat menjadi Rasul untuk memimpin manusia. Tuhan memilih dari kalangan manusia juga untuk memimpin umat manusia. Sekalipun ada orang yang diizinkan mengalami berbagai-bagai suasana hakikat tetapi itu bukanlah matlamat. Matlamatnya adalah membentuk insan yang layak dipanggil umat Nabi Muhammad s.a.w yang berkedudukan sebagai hamba Tuhan.

Si hamba telah memanjat gunung yang tinggi. Dengan izin dan melalui bimbingan-Nya si hamba itu terselamat daripada segala bahaya yang ada di sepanjang jalan. Bahaya yang besar ada dua jenis. Bahaya jenis pertama datangnya daripada luar, dibawa oleh syaitan, dunia yang menipu daya dan makhluk yang menjadi agen syaitan. Bahaya tersebut dijumpai dalam perjalanan menuju Tuhan. Penghapusan kesedaran diri menjadi penawar bagi menghancurkan bahaya tersebut. Setelah melepasi bahaya yang datang daripada luar itu si hamba berhadapan pula dengan bahaya yang datang daripada dirinya sendiri yang bergerak melalui hawa nafsunya, memakai pakaian kehendak, cita-cita, angan-angan dan harapan. Selagi si hamba mempunyai kemahuan yang keras atau cita-cita yang kuat dia tidak akan selamat daripada bahaya dirinya. Nafsu mudah terangsang oleh sifat Rabbaniah (sifat ketuhanan). Nafsu mudah lupa diri dan memakai sifat yang tidak layak dipakai olehnya. Bahaya jenis ini hanya terhapus melalui penyerahan kepada Allah s.w.t secara menyeluruh dan mengikat dirinya dengan tali kehambaan walau bagaimana tinggi kedudukan yang dicapainya.

Dalam perjalanan menaik si hamba melepaskan segala hak kepada Yang Empunya Hak seperti orang membuka pakaiannya dan diserahkannya kepada Tuan pakaian. Penelanjangan secara menyeluruh atau tajrid menjadi kenderaannya. Di dalam kenderaan tajrid tidak ada ilmu dan tidak ada makrifat. Si hamba semata-mata berdiri tegak demi Wajah Allah s.w.t, untuk-Nya semata-mata dan bersama-Nya dalam segala perkara dan semua ketika. Si hamba menitipkan namanya, sifatnya dan kewujudannya kepada Allah s.w.t sehingga dia masuk ke Hadrat-Nya tanpa nama, tanpa sifat, tanpa perhatian kepada diri sendiri dan makhluk lainnya juga tidak ada. Pengalaman hakikat-hakikat tidak melepaskan pandangannya kepada Allah s.w.t. Insan kamil juga tidak boleh menjadi hijab di antara hamba dengan Allah s.w.t. Si hamba masuk ke Hadrat Allah s.w.t tanpa sebarang bekal. Penyerahan itulah kekuatan sejati yang menggerakkannya untuk maju terus sehingga sampai kepada matlamat.

Kini Allah s.w.t kembalikan apa yang diserahkan kepada-Nya untuk dijaga. Tuan pakaian mengembalikan pakaiannya dan dia diizinkan memakai pakaian tersebut sebagai menyatakan bahawa dia adalah hamba Tuhan. Bila si hamba memakai pakaian hamba Tuhan maka Tuhan menguruskan kehidupannya, sebagaimana yang dilakukan oleh Tuan terhadap hamba-Nya.

Peringkat permulaan kembali kepada kesedaran kemanusiaan si hamba hanya menyaksikan kekuasaan Tuhan semata-mata. Dia tidak melihat keberkesanan hukum yang Tuhan letakkan pada makhluk-Nya. Hatinya melihat bahawa makhluk dengan zat dirinya tidak memiliki apa-apa kuasa, tidak berupaya mendatangkan manfaat atau mudarat. Dalam kesedaran yang demikian jika dia berhadapan dengan ribut kencang dia tidak akan mencari perlindungan. Jika dia berhadapan dengan kilat dan petir juga dia tidak mencari perlindungan. Jika matanya berbetulan memandang kepada matahari dia tidak bersegera mengalihkan pandangannya. Dalam menghadapi semua yang kelihatan memberi kesan itu hatinya berkata, "Kamu adalah makhluk Tuhan. Kamu tidak ada kuasa membinasakan daku. Hanya Tuhan yang memiliki kekuasaan". Keyakinan yang kuat kepada Tuhan melindunginya. Bila dia menghadapi anasir alam dengan meletakkan pergantungan bulat kepada Tuhan perkara yang menggerunkan bertukar menjadi ‘jinak' dan ‘mesra.' Angin kencang mengeluarkan lagu yang merdu. Cahaya kilat menjadi permainan bunga api yang indah. Matahari yang sedang terik memancar kelihatan suram, menyentuh bola mata dengan lemah lembut.

Ketika berada pada tahap ini si hamba tidak tahu berterima kasih kepada sesama manusia. Dia hanya melihat Tuhan yang memberi. Bila dia bergerak lebih jauh ke dalam kesedaran keinsanan pandangannya akan berubah. Jika dia menerima sesuatu daripada makhluk, sekalipun dia melihat Pemberi sebenar adalah Tuhan, tetapi dia sudah dapat menghargai makhluk yang dipilih oleh Tuhan menjadi utusan yang menyampaikan kurniaan Tuhan itu dan dia berterima kasih kepadanya. Terima kasih kepada makhluk dan syukur kepada Tuhan boleh berlaku dalam satu masa. Dia juga sudah boleh menghormati anasir-anasir alam yang memberi kesan kerana dia melihat Tuhan yang meletakkan kesan tersebut kepada mereka. Sebagai menghormati dan menerima peraturan Tuhan dia memperakui kesan yang ada dengan anasir-anasir tersebut. Dia sudah boleh melihat bahawa angin, kilat dan matahari boleh membinasakan dengan izin Allah s.w.t. Kesan yang Tuhan letakkan kepada anasir-anasir tersebut merupakan keizinan Tuhan kepada mereka untuk berfungsi menurut fitrah masing-masing.

Si hamba yang dibawa kembali kepada kesedaran keinsanannya dan ditentukan untuk menjalani sesuatu tugas khusus sebagai hamba Tuhan akan terlebih dahulu dibawa kepada pengalaman kehadiran Hakikat Habiballah, kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w.