25 February 2020

Qiamullail

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh






Subhanallah 100X سبحان الله
Alhamdulillah 100X الحمد لله
LA ILAHA ILLALLAH 100X  لا إله إلا الله
Allāhu akbar 100X  الله أكبر

Alhamdulillah syukur kepada ALLAH




Panduan Melaksanakan Qiamullail

qiamullail
Ini adalah panduan mengerjakan Qiamullail.
Panduan ini disediakan secara lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda mengikutinya secara langkah-demi-langkah.
Apa yang menarik:
Ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam panduan ini bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga panduan ini dapat membantu anda.

Apakah Makna Qiamullail?

Apakah yang dimaksudkan dengan Qiamullai?
Sebenarnya qiamulail bermaksud ‘bangun malam’ iaitu bangun untuk beribadah kepada Allah SWT.
Orang yang berqiamullail akan meninggalkan tempat tidur semata-mata untuk mengerjakan solat, bertakbir membesarkan Allah SWT, bertasbih mensucikanNya dan berdoa pada waktu malam.
Sabda Rasulullah SAW:
Hendaklah kamu berqiamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya qiamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan.
—  Riwayat Tirmizi
Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dari dahulu lagi.

Waktu Qiamullail

Qiamullail dilakukan pada 2/3 malam iaitu kira-kira jam 4.30 pagi.
Memperbanyakkan amalan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadhan sangat diutamakan, semoga-moga insyaAllah bertemu dengan Malam Lailatul Qadar.

Persediaan Sebelum Qiamullail

1. Apabila Bangun Tidur

Setiap hari kita diizinkan Allah untuk hidup kembali setelah beberapa jam dimatikan oleh Allah, atau dengan kata lain, menikmati nikmat tidur yang nyenyak.
Islam telah menganjurkan sunnah yang sangat baik iaitu membaca doa bangun tidur.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَحْيَانَا بَعْدَمَآ اَمَاتَنَا وَاِلَيْهِ النُّشُوْرُ
 Alhamdu lillahil ladzii ahyaanaa ba’da maa amaa tanaa wa ilahin nusyuuru 
Maksudnya:
Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan”

2. Menyucikan Tubuh Badan

Biasanya jika kita bangun tidur, pasti kita tidak sedar apa yang berlaku sepanjang kita tidur.
Mungkin najis keluar dari mulut seperti air liur basi, ataupun keluar dari kemaluan.
Sama ada bermimpi ataupun yang seumpama dengannya.
Jika bermimpi yang menyebabkan hadas besar, wajiblah kita mandi junub.
Jika yakin tidak bermimpi, adalah baik untuk tetap membersihkan juga badan.
Kemudian, bersugi dan mengambil wudhu untuk persediaan solat sunat (qiamullail)

Perlaksanaan Solat Sunat Dalam Qiamullail (Solat Yang Terlibat)

Terdapat beberapa jenis solat sunat dilakukan dalam Qiamullail.
Antara solat yang biasanya dikerjakan mengikut tertib adalah Solat Tahajjud, Solat Taubat, Solat Hajat, Solat Tasbih dan diakhiri dengan Solat Witir.
Mari kita perhalusi satu per satu:

1. Solat Sunat Tahajjud

Solat Tahajjud
Solat Tahajjud adalah solat untuk menolak daripada tidur kerana ia adalah solat pada akhir malam.
Fadilat solat ini sangat besar.
Allah SWT berfirman:
Dan daripada sebahagian malam bertahajjudlah kamu sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu menempatkan di tempat yang terpuji.
— Al-Isra’ 17:79
Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Baginda sendiri tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajjud walau satu malam pun sehingga kedua-dua kaki baginda bengkak-bengkak kerana terlalu banyak berdiri.
Baginda bersabda yang ertinya;
Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (solat tahajjud)”
— H.R Muslim
Niat Tahajjud
Niat Solat Tahajjud adalah seperti berikut:
niat solat sunat tahajjud
 Usolli Sunnatal Tahajjudi Rak’ataini Lilaahi Ta’ala 
Maksudnya:
Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala
Jumlah Rakaat
Tidak ada keterangan khusus berkenaan solat sunat tahajjud secara terperinci.
Bilangan rakaatnya tidak terbatas, tetapi sekurang-kurangnya dilakukan dua rakaat dengan satu salam.
Bacaan Surah
Bacaan surah selepas al-Fatihah tidak ditetapkan.
Boleh sahaja dibaca sebarang surah yang diingini.
Selepas solat tahajjud, hendaklah memperbanyakkan doa dan beristigfar kerana waktu ini merupakan salah satu waktu mustajab Allah SWT menerima segala doa hambaNya.
Doa Tahajjud
Selesai solat, baca doa berikut:
doa tahajjud
Maksudnya:
Ya Allah, bagiMu segala puji, Engkaulah penegak langit dan bumi serta segala isinya.
BagiMulah segala puji, Engkau raja penguasa langit dan bumi. BagiMulah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi.
BagiMulah segala puji, Engkaulah yang benar, Engkaulah yang benar, janjiMu adalah benar, perjumpaanMu itu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah, kepadaMulah aku berserah diri, kepadaMulah aku kembali, kepadaMulah aku rindu, dan kepada Engkaulah aku berhukum. Ampuni aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, baik yang aku sembunyikan mahupun yang dinyatakan.
Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah.
NOTA

Seboleh-bolehnya setiap hari kita bangun berqiamullail sekadar melakukan solat tahajjud 2 rakaat.

Jika ada kekuatan bolehlah tambah dengan solat-solat sunat berikutnya.

2. Solat Sunat Taubat

Solat Taubat
Daripada Abdullah bin Buraidah daripada bapanya:
Pada pagi satu hari, Rasulullah SAW memanggil Bilal, sabdanya: “Wahai Bilal! Dengan apa engkau mendahului aku masuk syurga? Semalam aku masuk syurga dan aku mendengar suaramu di hadapanku”.

Maka jawab Bilal: “Wahai Rasulullah! Setiap kali aku berdosa aku solat dua rakaat, dan setiap kali aku berhadas aku berwuduk dan aku solat dua rakaat.”
Mari kita lihat kaedah perlaksanaan solat sunat taubat
Niat Solat Taubat
Niat solat taubat adalah seperti berikut:
cara solat taubat
 Usolli sunnatal taubati rak’ataini lillahi taala 
Maksudnya: 
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala
Cara Mengerjakan
Solat Taubat adalah sebanyak 2 rakaat dan bacaannya seperti solat biasa.
Bacaan surah tidak ditentukan.
Selepas solat hendaklah mengucapkanlah istigfar berulang kali:
cara solat taubat
 Astagfirullah hal ‘azim allazi laa ilaaha illa huwalhayyu-qoyyum wa atu bu ilaih 
Akhir sekali adalah berdoa.
Doa memohon keampunan Allah adalah seperti berikut:
doa solat taubat
 Allahumma inni zholamtu nafsi zull-man kasiran walaa yagh-firu zunuuba illa anta, fagh-firli min indika magfirotan innaka antal rgho-fuu rur-rahim.  
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar.
Dan tiada siapa yang akan mengampuni dosa-dosaku melainkan Engkau.
Maka ampunilah aku dengan keampunan yang besar daripada sisiMu.
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.

3. Solat Sunat Hajat

Solat Hajat
Dianjurkan untuk melakukan Solat Hajat dua rakaat.
Bacaannya seperti solat biasa. Bacaan surah adalah bebas dan tidak ditentukan.
Niat Solat Hajat
Lafaz niat solat hajat seperti berikut:
niat solat sunat hajat
 Usolli sunnatal hajati rak’ataini lillahi taala 
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.
Semasa dalam sujud terakhir:

Pohonlah sebarang hajat di dalam hati sewaktu masih dalam keadaan sujud sebelum memberi salam.
Kemudian selepas memberi salam terus berdoa:
doa solat sunat hajat
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.
Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.
Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.
Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.
Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.

4. Solat Sunat Tasbih

Solat Sunat Tasbih
Solat sunat tasbih sangat dituntut untuk dikerjakan bagi mereka yang ingin mencari keredhaan Allah SWT.
Solat ini pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya Sayidina Abbas bin Abdul Mutalib r.a.
Solat sunat tasbih diberikan nama sedemikian kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 tasbih semasa mengerjakannya.
Jumlah Rakaat
Oleh kerana solat ini akan dilakukan pada waktu malam (qiamullail), kaedah perlaksanaannya adalah sebanyak empat rakaat dengan setiap dua rakaat satu salam.
Lafaz Niat
Lafaz niat solat sunat tasbih dua rakaat adalah seperti berikut:
niat solat sunat tasbih 2 salam
 Usolli sunnatal tasbihi rak’ataini lillahi taala  
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.
Bacaan Surah
Surah-surah yang baik untuk dibaca pada tiap-tiap rakaat sesudah bacaan al-Fatihah adalah sebagaimana berikut:
  1. Surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-Adiyat pada rakaat kedua, surah An-Nasr pada rakaat ketiga, dan surah Al-Ikhlas pada rakaat keempat.
  2. Surah Ad-Dhuha pada rakaat pertama, surah al-Insyirah pada rakaat kedua, surah al-Kauthar pada rakaat ketiga, dan surah an-Nasr pada rakaat keempat.
Jika tidak menghafal surah-surah tersebut tersebut bolehlah membaca surah yang mudah baginya.
Lafaz Tasbih
Lafaz bacaan tasbih yang dibaca di dalam solat sunat ini adalah:
bacaan tasbih dalam solat sunat tasbih
Maksudnya:
Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.
Tempat Bacaan Tasbih
Bacaan tasbih ini dibaca selepas bacaan yang biasa dalam solat.
Contohnya, membaca tasbih tiga kali yang biasa dibaca dalam rukuk dan sujud kemudian barulah membaca tasbih tersebut sebanyak 10 kali.
Bacaan tasbih adalah pada tempat-tempat berikut pada rakaat pertama:
  • Dibaca selepas membaca al-Fatihah dan surah (seeloknya az-Zalzalah) 15 kali.
  • Dibaca dalam rukuk 10 kali.
  • Dibaca dalam iktidal 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud 10 kali.
  • Dibaca di antara dua sujud 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud kedua 10 kali.
  • Dibaca ketika duduk istirahah 10 kali.
Jumlah tasbih pada rakaat pertama adalah 75 kali.
Kemudian dibaca pula tasbih pada tempat-tempat seperti berikut pada rakaat kedua:
  • Dibaca selepas membaca al-Fatihah dan surah (seelok-eloknya surah al-‘Adiyat) 15 kali.
  • Dibaca dalam rukuk 10 kali.
  • Dibaca dalam iktidal 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud 10 kali.
  • Dibaca di antara dua sujud 10 kali.
  • Dibaca dalam sujud kedua 10 kali.
  • Dibaca selepas tahiyat 10 kali.
Jumlah tasbih pada rakaat kedua juga adalah 75.
Semua tasbih dibaca dalam kedua-dua rakaat adalah 150 kali. Jumlah bacaan tasbih bagi keempat-empat rakaat adalah 300 kali.
Doa Solat Tasbih
Doa solat tasbih boleh dibaca di hujung tasyahud akhir ataupun setelah memberi salam.
doa solat sunat tasbih
Maksudnya:
Ya Allah, aku bermohon taufiq daripadaMu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikan amalan ini seperti mana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazamanku seperti mana orang-orang yang takut.
Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak.
Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau.
Ya Allah, aku memohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehinggalah aku beramal yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakkal kepadaMu dalam setiap perkara.
Dan aku memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau Pencipta Cahaya kebenaran.
Ya Tuhan kami, sempurnakanlah kepada kami cahaya kebenaran, dan ampunilah kami.
Sesungguhnya di atas sesuatu itu Engkau Maha Berkuasa

5. Solat Sunat Witir

Solat Witir
Witir bermakna ganjil.
Solat Witir hukumnya sunat muakkad (sunat yang amat dituntut) untuk kita melakukannya.
Jumlah Rakaat
Jumlah rakaat sekurang-kurangnya satu rakaat tetapi lebih akmal (sempurna) ialah tiga rakaat.
Selepas itu, yang lebih akmal ialah lima, selepas itu tujuh dan selepas itu sembilan dan yang paling banyak ialah 11 rakaat.
Lafaz Niat Witir
Niat Solat Witir tiga rakaat (dua rakaat satu salam dan satu rakaat satu salam) adalah seperti berikut:
witir 2 rakaat
 Usolli sunnatal witri rak’ataini lillahi taala 
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala.
witir 1 rakaat
 Usolli sunnatal witri rak’atan lillahi taala 
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala.
Bacaan Surah
Bacaan surah selepas al-Fatihah, dianjurkan membaca surah ini:
RakaatBacaan Surah
Pertamaal-A’la
Keduaal-Kafirun
Ketigaal-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas
Solat Witir awal malam atau akhir malam?
Solat Witir itu sebaik-baiknya dikerjakan akhir sekali daripada solat-solat pada malam hari.
Jika dikerjakan Solat Witir selepas Isyak, maka tidak perlu diulang jika hendak bertahajjud (qiam) selepas bangun daripada tidur pada waktu sahur.
Diterangkan dalam sebuah hadis:
Daripada Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan solat dua rakaat sesudah witir dalam keadaan duduk

(Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Tirmizi)
Boleh juga dilakukan sebelum tidur ataupun selepas bangun daripada tidur pada akhir malam.
Melakukan Witir pada akhir malam adalah afdal jika yakin boleh terjaga untuk bertahajjud.
Jika melakukan witir sebelum tidur, dibolehkan juga melakukan Solat Tahajjud apabila bangun daripada tidur dan tidak perlu mengulangi Witir sekali lagi.
Diterangkan dalam sebuah hadis:
Tiada dua witir (dikerjakan) dalam satu malam.

(Riwayat Abu Dawud, Nasa’i dan Tirmizi dan beliau mengatakan ia hadis hasan)

Turutan Dalam Membaca Doa

Ada turutan (keutamaan) dalam membaca doa, iaitu:
  1. Mulakan dengan memuji Allah SWT.
  2. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda dan para Sahabat.
  3. Memohon keampunan untuk diri sendiri, kedua ibu bapa, isteri serta anak-anak dan seluruh kaum muslimin.
  4. Memohon dicukupkan keperluan di dunia; rezeki halal, dipanjangkan umur, dijauhkan daripada bala, direzekikan rasa kemanisan dalam beribadah.
  5. Memohon dikurniakan husnul khatimah, mati dalam keadaan beribadah kepada Allah dan dijauhkan fitnah ketika sakaratul maut.
  6. Memohon diberikan nikmat kubur yang indah seperti dijauhkan daripada seksa kubur yang dahsyat dan diluaskan kubur sejauh mata memandang.
  7. Memohon agar dipermudahkan di Padang Mahsyar, mendapat syafaat Rasulullah, berpeluang minum air di Telaga Nabi, dipermudahkan hisab, menerima kitab amal suratan dengan tangan kanan, termasuk dalam kalangan orang yang mendapat maqam yang terpuji, dipermudahkan melalui Titian Sirat, dijauhkan daripada seksa api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.
  8. Yang terakhir moga mendapat darjat yang tinggi di dalam syurga dan berdamping dengan Rasulullah di dalam syurga.
  9. Akhiri doa dengan selawat dan puji-pujian kepada Allah SWT.

Amalan Lain Yang Disunatkan Semasa Qiamullail

Antara amalan-amalan lain yang disunatkan semasa qiamullail ialah:

1. Membaca al-Quran

Membaca al-Quran adalah satu ibadat yang mempunyai pahala yang besar kerana setiap huruf yang dibaca itu akan digandakan sepuluh kebajikan.
Dalam perkara tersebut Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda yang bermaksud:
Bacalah olehmu al-Quran kerana pada hari kiamat ia akan memberikan syafaat kepada pengamalnya.”

(Riwayat Muslim)
Antara surah-surah yang sangat baik untuk dibaca ialah:
  1. Surah Yasin, ia merupakan surah jantung al-Quran (Hadith riwayat Ahmad).
  2. Surah al-Rahman, ia diibaratkan gadis pengantin (Hadith riwayat Ahmad).
  3. Surah al- ‘Ala, ia adalah surah yang sangat digemari oleh baginda Rasulullah SAW (Hadith riwayat al-Bukhari).
  4. Surah al-Fatihah, ia adalah pokok al-Quran (Hadith riwayat al-Bukhari).
  5. Surah al-Kahfi, ia adalah tempat naungan pada hari akhirat (Hadith riwayat al-Bukhari)
  6. Surah al-Kahfi, ia merupakan tempat naungan para malaikat (Hadith riwayat Muslim)
  7. Surah al-Sajadah, ia sangat digemari oleh baginda Rasulullah SAW (Hadith riwayat al-Tarmizi)
  8. Surah al-Mulk, ia adalah surah yang memberi syafaat pada hari akhirat nanti (Hadith riwayat Ibn Majah).
  9. Surah al-Nas dan al-Falaq, ia adalah surah yang memberi perlindungan pada hari akhirat nanti (Hadith Abu Daud)

2. Zikir

Berzikir ialah sama ada menyebut kalimah لا إلهَ إِلاَّ اللهُ (Laa Illahaillah) atau سُبْحَانَ الله (Subhanallah)
Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman ingatlah kepada Allah melalui zikir yang banyak.”

(Surah al-Ahzab: 41)
Antara Fadilat Zikir Adalah:
  1. Mengubati hati yang lalai dan leka.
  2. Untuk mendapatkan darjat dan kurniaan yang melimpah pada hari akhirat nanti.
  3. Bagi sesiapa yang bertasbih seratus kali dan tahlil seratus kali selepas sembahyang Subuh maka Allah akan mengampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan sekalipun.

Penutup

Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa qiamullail merupakan amalan sunat yang sangat tinggi ganjarannya dari Allah SWT.
Amalan ini boleh dikerjakan secara persendirian atau bersama anak isteri di rumah ataupun secara berjemaah sama ada di masjid atau di surau.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada semua pembaca.
InsyaaAllah.




No comments:

Post a Comment