05 March 2018

Budak 11 tahun dipaksa kawin masih perawan





Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Siti Nor Hidayah Razali
bhnews@bharian.com.my
2010/03/15

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tabligh lebih tiga minggu lalu sebelum ditemui ditinggalkan di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Samudera, Batu Caves, Jumaat lalu, disahkan masih perawan.
Pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak itu, Siti Nur Zubaidah Hussin, mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang kesan hubungan seksual.
Menurut sumber, kanak-kanak itu yang dirawat di Wad Pediatrik Hospital Sungai Buloh, juga dilaporkan semakin pulih daripada kesan trauma, tetapi masih diletakkan dalam pengawasan rapi. Sementara itu, ibu mangsa, Siti Sarnan Mat Ail, 42, bersyukur anak perempuannya semakin pulih, berbanding ketika mula-mula ditemui dalam keadaan murung dan tidak bermaya.
“Mulanya dia enggan bercerita apa yang berlaku, tetapi sekarang semua pengalaman itu sudah boleh diceritakannya, selain mula berselera untuk makan.
“Zubaidah memberitahu dia melawan dengan menendang lelaki itu ketika diajak tidur bersama sepanjang dibawa dari Kelantan ke Kuala Lumpur selepas majlis pernikahan mereka. Saya bersyukur kerana anak saya tidak diapa-apakan.
“Pemeriksaan perubatan juga mengesahkan tiada apa-apa berlaku pada anak saya,” katanya ketika dihubungi di rumah saudaranya di Batu Caves, semalam.
Mangsa dipercayai dilarikan dari rumah keluarganya di Jelawang, Dabong, Kelantan sebelum dinikahkan pada satu majlis yang dihadiri sekumpulan jemaah tabligh yang dipimpin lelaki itu di Machang, Kelantan pada 19 Februari lalu.
Siti Sarnan berkata, anak perempuannya itu pada mulanya diletakkan bawah jagaan isteri lelaki terbabit di Kubang Bemban, Pasir Mas, sebelum dibawa ke Kuala Lumpur selepas bersiar-siar di Kuala Terengganu.
“Sepanjang berada bersama isteri lelaki terbabit, dia dijaga dengan baik, tetapi wanita itu tidak mampu memujuk anak perempuan saya untuk terus tinggal di sana. Saya akan membawanya pulang ke Kelantan sebaik dibenarkan keluar dari hospital.
“Dia akan diletakkan di bawah jagaan seorang saudara terdekat yang boleh dipercayai sebelum didaftarkan di sebuah sekolah agama di Tanah Merah,” katanya.
Sambil menyifatkan kepulangan Zubaidah satu rahmat besar, Siti Sarnan berharap episod hitam keluarganya akan memberi pengajaran kepada semua pihak agar ia tidak berulang lagi.
Siti Sarnan juga berharap tuntutan mufarakah yang difailkan di mahkamah terhadap pernikahan anaknya itu akan diselesaikan secepat mungkin supaya Siti Nur Zubaidah dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang gangguan.

No comments: