Cerita-cerita hantu, puaka, atau jembalang begitu sebati dan
menjadi satu rencah di dalam alam Melayu. Malah dewasa ini banyak cerita-cerita
seram dihidangkan kepada kita baik di dalam media cetak mahupun media
elektronik. Ada yang tidak percaya dan tak kurang pula yang percaya kewujudan
dan pengaruhnya kepada kehidupan manusia. Kerana itulah institusi-institusi
bomoh atau pawang masih bertahan dalam dunia yang semakin maju dan moden ini.
Pontianak, langsuir, pocong, dan pelbagai lagi panggilan
sering dinisbatkan pada makhluk yang menjadi igauan ngeri kebanyakaan kita.
Wajah yang hodoh dan menakutkan sering menjadi satu label kepada hantu-hantu
ini. Tanah perkuburan, hutan tebal, dan rumah tinggal pula sering dikaitkan
dengan kemunculan mereka.
Kerana takut kepada hantu-hantu inilah ada yang memakai
tangkal, ada yang membuat semah, ada yang meminta izin kepada penunggu laut,
hutan, dan gua takala ingin masuk ke dalamnya, dan pelbagai lagi kaedah dicipta
manusia untuk terhindar dari kecelakaan yang dibawa oleh mereka. Tak kurang
pula yang meminta nombor ekor, minyak pengasih, dan ilmu-ilmu paranormal dari
mereka ini. Begitulah kuatnya kesan hantu dalam masyarakat kita.
Di sini saya ingin menyatakan bahawa hantu-hantu tersebut
tidaklah menakutkan jika dibandingkan dengan hantu yang akan saya nyatakan di
bawah ini.
Hakikat Hantu
Hantu yang saya maksudkan ini sememangnya menakutkan. Mereka
berupaya memporak-peranda dan memusnahkan hidup seseorang insan. Hantu-hantu
ini dapat merenggangkan hubungan suami-isteri, merosakkan ikatan
kemasyarakatan, dan juga melemahkan perpaduan sesama insan. Malah mereka dapat menimbulkan seribu-satu
masalah dalam kehidupan manusia.
Mereka mampu merasuk diri manusia yang tidak memakai apa-apa
‘pendinding’. Pendinding yang paling baik adalah tangkal yang diambil dari
Al-Quran al-karim. Bagaimanapun, rasukan hantu dan puaka ini masih boleh
terjadi andai ikatan tangkal itu longgar atau diikat dengan cara yang salah
iaitu bukan dari cara yg ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW.
Bagaimanakah untuk kita melawan hantu-hantu ini? Caranya
kita perlu membersihkan atau menyucikan tempat berkumpul atau sarang
hantu-hantu tersebut. Nampak mudah tetapi perlaksanaannya memerlukan semangat
dan keazaman yang kuat. Andai sarangnya telah dibersihkan maka hantu dan puaka
tersebut tidak dapat menggangu manusia sewenang-wenangnya.
————————————————————————————
Bismillahirahmanirahim. Sesungguhnya hantu-hantu tersebut
adalah hasad, dengki, khianat, ujub, riak, bongkak, sombong, malas,
syak-wasangka, penakut, tidak amanah, kedekut, tamak haloba dan berbagai-bagai
lagi . Segala sifat-sifat keji itulah sebenarnya hantu-hantu yang dapat
merosakkan diri manusia. Untuk menghalaunya dari diri kita, kita perlu
membersihkan sarang berkumpulnya hantu-hantu tersebut. Di mana?
….inna fil jasadi mudghah, iza solahat, solahal jasadu
kulluh, wa iza fasadat, fasadal jasadu kulluh, ala wa hial qalb’
Di dalam jasad ada seketul daging. Jika ia baik maka baiklah
keseluruhan jasad, andai ia buruk maka buruklah sekalian jasad. Sesungguhnya ia
adalah hati.
Kita mengunakan tangkal al-Quran sebagai pendinding kita.
Ianya perlu diikat kemas dan kuat supaya tidak terjatuh atau terlucut. Ia perlu
diikat pada apa? Pada lengan? Pada kaki? Pada pinggang? Pada leher? Ianya perlu
diikat pada kehidupan kita. Jangan tanggalkan tangkal itu walau sekejap
sekalipun.
Sememangnya kita perlu takut kepada hantu-hantu ini. Kerana apa? Kerana
kita takut jika ianya merosakkan iman kita, ketakwaan kita, keikhlasan kita,
dan juga akhlak kita. Atas sebab itulah kita perlu melawannya sekuat hati.
Inilah yang dipanggil jihad al-kubra (jihad paling besar) oleh Rasulullah SAW.
Wahai
sahabat sekalian, kenapa kita takut kepada hantu-hantu di perkuburan cina, di
bawah pokok besar, di dalam rumah tinggal, atau yang berada tengah belantara
sedangkan hantu yang paling besar dan menakutkan itu berada di dalam diri kita
sendiri?
Di dalam kehidupan nabi dan para sahabat, pernahkah kita
mendengar penekanan mereka mengenai kaedah-kaedah menghalau pontianak, mengusir
polong, atau menangkap toyol.? Akan tetapi nabi Muhammad SAW menekankan supaya
kita bersifat amanah dalam hati, benar dalam percakapan, dan jujur dalam
perbuatan. Baginda mengajar kita supaya tidak dengki-mendengki,
hasut-menghasut, riak, sombong, dan segala sifat yang negatif dalam diri
manusia.
Sesungguhnya itulah hakikat hantu yang sebenarnya. Semoga
Allah SWT meredhai kita dan memberi kita kekuatan melawan nafsu kita yang
mengila. Wabillahi taufik wal hidayah. Wasalam.
No comments:
Post a Comment