17 December 2011

AD-DAULAH ISLAMIAH

Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Tidaklah mencukupi kalau hanya kita menjadi muslim pada diri kita sendiri. Kita hanya bertindak
sebagai individu muslim yang beribadat kepada Allah (s.w.t), menghiasi dirinya dengan akhlak yang
baik dan tidak menyakiti seseorang, kemudian tidak ada lagi yang lain dari itu. Itu belum mencukupi
lagi.

Lebih dari itu, Islam kita adalah merangkumi urusan-urusan jemaah (masyarakat). Ia adalah
satu-satunya sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Satu pemerintahan dan perundangan Islam.
Satu daulah dan negara. Islam kita adalah jihad dan satu umat. Inilah fahaman yang benar dan sahih
terhadap Islam. Fahaman itulah yang mengajarkan kita berbagai tanggungjawab dan kewajipan yang
meliputi kita. Wajiblah kita menyempurnakan dan melaksanakannya kerana ianya telah diperintahkan
oleh Allah (s.w.t). Dengan pelaksanaan itu dapat dibangunkan satu masyarakat manusia berasaskan
kaedah-kaedah atau dasar-dasar Islam di dalam segala jurusan; samaada dari segi politik, ekonomi,
perundangan, kemasyarakatan dan seterusnya. Kita mestilah memahami bahawa Islam ini mewajibkan
kita berusaha dan berjuang dengan bersungguh-sungguh supaya Islam berkuasa di muka bumi. Firman
Allah Taala:

"...sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah semata-mata." (Al
Baqarah: 193)

Jadi wajiblah kita menyampaikan seruan agama ini kepada manusia seluruhnya. Seorang muslim tidak
mungkin boleh hidup sebagai muslim dengan KeIslaman yang sahih dan sempurna kalau dia
mengasingkan dirinya dari saudara-saudara muslimin dan tidak memperdulikan segala apa yang terjadi
kepada mereka, segala gangguan, sama ada berupa fitnah dan serangan dari musuh-musuh Allah
(s.w.t), musuh-musuh Islam, dari berbagai ceruk rantau di muka bumi.

"Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin maka dia bukanlah dari mereka. " (Maksud
Hadith)

Tuntutan dakwah Islamiah di hari ini mewajibkan setiap umat Islam berusaha bersungguh-sungguh
membangunkan Ad Daulah al-Islamiah (pemerintahan Islam) yang melaksanakan syariat Islam. Bertitik
tolak dari situlah kita akan membangunkan kembali Al Khilafatul Islamiah (pemerintahan Islam sejagat).
Al Khilafatul Islamiah itu dahulunya telah ditipu dan dihancurkan oleh musuh-musuh Islam.

Betapa besarnya bahaya dan bencana yang telah menimpa umat Islam pada hari ini. Perpecahan di
kalangan umat Islam, serangan dari musuh-musuh Allah (s.w.t) sama ada dari luar atau dari dalam,
fitnah-fitnah terhadap muslimin yang bertujuan merosakkan akidah muslimin, masjid-masjid muslimin
yang dirosakkan, kehormatan wanita mereka yang dicabul, harta kekayaan dan bumi mereka telah
dirompak dan anak-anak muslimin dibentuk menurut kemahuan mereka. Ini semua adalah akibat dari
tidak adanya Ad Daulah Islamiah. Hanya AdDaulah Islamiah sahajalah yang mampu menyerang balas
segala anasir jahat musuh-musuh Islam itu.

Ad-Daulah-Islamiah yang mampu menyatu-padukan umat Islam dan melaksanakan ajaran Islam serta
menegakkan syariat Islam di selurnh dunia. Perlu juga dijelaskan bahawa mas'uliah atau tanggungjawab
mendirikan Ad Daulah Islamiah bukan sahaja terhad di kalangan Al Umara' dan Al Ulama (pemerintah
dan ulama). Tanggungjawab ini hendaklah dipikul bersama. Wajib dipikul oleh setiap muslimin laki-laki
dan perempuan yang sedang berada di dalam zaman ini, di zaman kebangkitan Islam, di zaman
kebangkitan Dakwah Islam. Sesungguhnya seluruh muslimin di mana jua pun mereka berada, akan
menanggung dosa besar apabila mereka tidak berusaha dan tidak bekerja untuk membangunkan Ad
Daulah Islamiah.

[Utz Mustafa Masyhur]

No comments: