Nabi Muhammad saw penyelamat umat
01. Nabi Muhammad saw penyelamat umat
KEADAAN DUNIA SEBELUM KELAHIRAN NABI MUHAMMAD S.A.W:
Dunia pada abad ke enam Masehi adalah umpama seorang yang sedang sakit tenat, tersangat memerlukan kepada penyelamat dan perawat yang mahir untuk mengubati penyakitnya dan menyelamatkannya daripada berbagai-bagai huru-hara dan kemusnahan. Semua bangsa-bangsa di seluruh pelusuk dunia dicengkam oleh kegelapan akidah dan kehancuran moral. Bangsa Aria di Sepanyol dan di selatan Perancis terlibat di dalam perebutan kuasa dengan kerajaan Clovis yang bermazhab Katholik. Bangsa Aria yang mendapat bantuan daripada kerajaan Roman Timur berjaya menewaskan kerajaan Clovis. Setelah berjaya menewaskan kerajaan Clovis, bangsa Aria berperang pula menentang kerajaan Roman Timur yang telah membantu mereka, kerana berebut kuasa ke atas tanah jajahan. Di negeri Inggeris pula bangsa Anglo dan bangsa Saxon terlibat di dalam kes perebutan tanah juga. Di Itali, kekuasaan kerajaan Roman sudah sangat lemah, lalu ia berpindah kepada kekuasaan gereja (agama Masehi). Kerajaan Yunani pula sudah dijajah oleh kerajaan Roman Timur.
Bangsa-bangsa yang kuat di Eropah sering menceroboh kedaulatan bangsa-bangsa yang lemah di Eropah Selatan. Bangsa Got dan bangsa Han berlumba-lumba memperluaskan tanah jajahan. Di tengah-tengah Asia Kecil muncul bangsa Turki yang berjaya menyekat perkembangan kekuasaan Yunani. Mana-mana bahagian dunia yang dikuasai oleh kerajaan Roman Timur mengalami kerosakan teruk akibat kekejaman perang dan kezaliman pemerintah. Bukan kerajaan Roman Timur sahaja yang melakukan kerosakan di atas muka bumi malah, sesiapa sahaja yang berjaya memperolehi kemenangan telah melakukan keganasan dan kerosakan, bahkan ada yang lebih ganas dan kejam daripada Roman Timur.
Bukan di Eropah sahaja bergolak. Pergolakan berlaku juga di Asia. Di Tibet, India dan Cina muncul fahaman-fahaman yang ganjil-ganjil dan kepercayaan mistik yang sukar difahami, baik dalam bidang keagamaan dan falsafah dan juga dalam bidang siasah. Perbezaan fahaman keagamaan, falsafah dan siasah sering menjadi isu yang menyebabkan persengketaan sesama sendiri. Keadaan diburukkan oleh lagi oleh peperangan yang berlaku dengan orang luar.
Kerajaan Masehi Roman Timur yang berpusat di Konstantinopal terlibat di dalam kancah peperangan dengan kerajaan Parsi. Kemenangan sering bertukar tangan di antara mereka. Selain kerajaan Parsi, kerajaan lain yang lebih kecil dapat dikalahkan oleh kerajaan Roman. Sayap penindasan kerajaan Roman sampai juga ke Mesir.
Dunia pada ketika itu penuh dengan kebuasan, kezaliman dan pertumpahan darah. Umat manusia lebih berminat melakukan kerosakan daripada berbuat kebaikan dan perdamaian. Pemimpin bukan lagi menjadi pelindung dan penyelamat rakyat malah, merekalah yang lebih dahulu menindas rakyat yang mereka pimpin. Nyawa manusia menjadi tidak berharga asalkan nafsu buas pemimpin yang berkuasa mendapat kepuasan. Sikap belas kasihan kepada rakyat yang lemah sangat jarang ditemui di kalangan golongan yang berkuasa.
Pada ketika itu masih ada golongan yang berpegang kepada nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama tetapi mereka tidak ada kekuatan untuk melakukan perubahan atau menyekat kerosakan yang melanda dunia dan umat manusia. Suara keagamaan tidak cukup lantang untuk sampai ke telinga orang-orang yang berkuasa. Di kebanyakan tempat pihak yang berkuasa mengadakan tekanan dan kongkongan terhadap ahli-ahli agama sehingga cahaya agama yang sebenar tertutup dan diperlihatkan cahaya agama yang telah diwarnai oleh pihak pemerintah. Seluruh pelusuk bumi sudah dicalarkan oleh kuku kuasa-kuasa besar, hanya satu tempat sahaja pada ketika itu yang masih selamat daripada kuku kerosakan penjajah. Tempat tersebut adalah Tanah Arab. Semenanjung Arab bukan diselamatkan oleh kekuatan dan kepintaran penduduknya tetapi ia diselamatkan oleh kekuatan alam semula jadi bumi bertuah itu. Lautan padang pasir dan gunung-ganang menjadi benteng pertahanan yang kuat menghalang percubaan kuasa besar untuk masuk ke dalamnya.
Umat manusia sangat berhajat kepada penyelamat yang mampu mengadakan perubahan, membela nasib golongan yang lemah dan memperbaiki segala macam kerosakan yang telah melanda dunia. Seluruh dunia sudah berada di dalam keadaan huru-hara, hanya bumi Arab yang masih bertahan. Bumi yang dipelihara itu menjadi tempat yang paling sesuai untuk dijadikan markas bagi penyelamat yang akan datang memulakan tugas demi umat manusia seluruhnya.
SEMENANJUNG ARAB SEBELUM KELAHIRAN NABI MUHAMMAD S.A.W:
Walaupun sebahagian besar daripada Semenanjung Tanah Arab tidak berjaya dijajah oleh kuasa-kuasa besar namun, sebahagian daripadanya tidak terlepas daripada kuku penjajah. Bahrain dan Irak dijajah oleh kerajaan Parsi. Syria pula dijajah oleh kerajaan Masehi Roman Timur. Arab Hijaz dan Arab Tengah agak bernasib baik, walaupun mereka ada persefahaman untuk tunduk kepada kerajaan Parsi tetapi ia tidak dikuatkuasakan.
Di antara semua penduduk Arab, kaum Badwi yang tinggal di pergunungan dan padang pasir menjadi satu-satunya puak Arab yang benar-benar bebas daripada mana-mana kekuasaan penjajah. Mereka jugalah kemudian hari kelak menjadi tenaga pejuang yang paling kuat di dalam menyebarkan agama Islam ke seluruh pelusuk bumi Arab dan juga lain-lain tempat di atas muka bumi.
Sebelum Islam muncul di Tanah Arab, agama-agama Masehi dan Yahudi dan juga agama menyembah berhala sudah pun bertapak di sana. Di antara mereka penganut agama Yahudilah yang paling fanatik dan agresif. Mereka bukan sekadar mahu menjajah untuk mendapatkan kuasa dan harta malah mereka sangat benci dan memusuhi sesiapa sahaja yang tidak seagama dengan mereka. Mereka menganggapkan kekuasaan ke atas bangsa-bangsa lain sebagai satu jihad yang mulia. Di dalam melakukan jihad tersebut mereka membolehkan diri mereka melakukan apa sahaja asalkan tujuan mereka tercapai. Penindasan keagamaan yang berlaku di Tanah Arab biasanya ada kaitan dengan penganut agama Yahudi. Ketika berkuasa di Yaman orang-orang Yahudi telah membakar 20,000 penganut agama Masehi yang enggan menerima agama Yahudi. Pembunuhan beramai-ramai manusia yang tidak bersalah itu telah mencemarkan kemurnian agama Yahudi dan pencemaran tersebut diperturunkan kepada generasi Yahudi yang di belakang.
Agama Masehi pula kurang mendapat tempat di hati orang-orang Arab. Agama yang telah diresapi oleh fahaman mistik yang pelik-pelik itu tidak menarik minat orang Arab yang umumnya bersifat kebendaan. Walaupun ada sebilangan kecil orang Arab yang memeluk agama Masehi namun, agama tersebut tidak berjaya disebarkan dengan meluas.
Agama yang paling popular kepada orang-orang Arab adalah agama menyembah berhala. Mereka yang masih percaya kepada Tuhan Pencipta langit dan bumi tidak terlepas daripada perbuatan syirik iaitu mengadakan berhala-berhala sebagai perantaraan di antara mereka dengan Tuhan. Beberapa buah berhala besar dibina di beberapa tempat. Di samping mempertuhankan berhala-berhala besar, suku dan keluarga Arab mempunyai berhala-berhala kecil yang juga dipertuhankan.
Selain daripada penyembah berhala ada juga suku-suku Arab yang menyembah bulan dan bintang, seperti suku-suku Kinanah, Lakham, Jurhum, Asad dan Tayyi. Kebanyakan daripada orang Arab tidak percaya kepada hari akhirat. Mereka beranggapan hidup ini berakhir dengan kematian. Oleh itu segala perkara mesti diselesaikan di dunia ini juga. Ada juga sebahagian daripada mereka yang percaya kematian bukan kesudahan kehidupan, terutamanya bagi orang yang mati dibunuh. Golongan ini percaya mangsa pembunuhan tidak dapat hidup aman pada alam lain sebelum dilakukan pembalasan terhadap pembunuhnya.
Ada juga segelintir puak Arab yang percaya kepada malaikat. Mereka percaya malaikat berhubung dengan orang-orang suci di kalangan mereka. Mereka yang dianggap suci itu dijadikan perantaraan untuk berhubung dengan malaikat dan juga dengan Tuhan. Selain daripada golongan tersebut ada pula puak yang percaya kepada dua tuhan iaitu tuhan kebaikan dan tuhan kejahatan. Tuhan kebaikan menjadikan yang baik-baik sahaja dan tuhan kejahatan menjadikan yang jahat-jahat sahaja.
Puak yang paling mulia di Makkah iaitu puak Quraisy menganut fahaman zindik, iaitu kepercayaan kepada cahaya dan gelap. Fahaman ini menolak kewujudan akhirat dan Tuhan. Fahaman yang demikian pada masa ini dipanggil ateis. Walaupun puak Quraisy ini tidak percaya kepada Tuhan tetapi mereka menyembunyikan fahaman mereka dengan cara berpura-pura mempercayai Tuhan supaya mereka tidak terasing daripada puak-puak Arab yang lain yang percaya kepada kewujudan Tuhan. Fahaman seperti fahaman zindik ini juga dipegang oleh golongan bangsawan di Yasrib, dan mereka kemudiannya membentuk kumpulan munafik yang menentang Rasulullah s.a.w secara sembunyi.
Agama Yahudi tidak dikembangkan kepada orang-orang Arab. Orang Yahudi beranggapan bangsa Arab lebih hina daripada mereka dan tidak layak diterima sebagai penganut agama mereka. Agama Yahudi dijadikan agama yang khusus untuk bangsa mereka sahaja. Selain daripada sikap orang Yahudi yang demikian, permusuhan dengan kerajaan Masehi Roman Timur juga menyebabkan pergerakan kaum Yahudi terhalang. Kerajaan Roman Timur berjaya mengalahkan kerajaan Yahudi di Yaman dan mereka memperhebatkan gerakan memburu orang Yahudi sebagai membalas dendam terhadap perbuatan Yahudi membakar kaum Masehi di Yaman. Di mana sahaja dijumpai, tentera Roman Timur akan membunuh orang Yahudi. Orang Yahudi terpaksa melarikan diri ke seluruh pelusuk muka bumi. Sebahagian besar daripada mereka membuat tempat tinggal di Khaibar dan Yasrib. Mereka membina benteng yang kukuh di sekeliling perkampungan mereka. Mereka tidak berani keluar jauh daripada benteng pertahanan mereka. Oleh yang demikian mereka terpaksa menggunakan khidmat orang-orang Arab di dalam menguruskan perniagaan dan perladangan mereka. Jadi, tekanan daripada pihak kerajaan Roman Timur dan keegoan mereka sendiri menyebabkan agama Yahudi tidak berkembang di Semenanjung Arab.
Ada sebilangan kecil puak Arab yang masih mengesakan Tuhan. Mereka terdiri daripada pemimpin Banu Hasyim yang menguasai pengurusan Kaabah. Mereka tetap melakukan ibadat haji, umrah, bertawaf mengelilingi Kaabah dan menyembelihkan binatang korban. Pegangan mereka bersumberkan ajaran Nabi Ibrahim a.s.
Secara umumnya orang Arab percaya kepada Tuhan yang menciptakan alam tetapi mereka beranggapan Tuhan terlalu tinggi dan mereka tidak mampu berhubung secara langsung dengan Tuhan. Mereka percaya ada benda-benda alam yang dikasihi oleh Tuhan. Mereka berpendapat perhubungan dengan Tuhan perlu dibuat melalui benda-benda yang Tuhan kasihi. Bagi memudahkan upacara perhubungan dan penyembahan mereka membina patung-patung yang menyerupai sesuatu yang dianggap sebagai dikasihi oleh Tuhan. Mereka mengadakan penyembahan dan persembahan kepada patung-patung tersebut sebagai cara untuk menyampaikan hajat kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.
Umat manusia di seluruh Semenanjung Arab dan juga di seluruh pelusuk dunia dibungkus oleh kegelapan akidah dan dicengkam oleh keruntuhan moral. Ajaran nabi-nabi yang pernah diutuskan oleh Tuhan telah dipinda oleh orang-orang yang gila kuasa sehingga ketulenan ajaran tersebut tidak dapat dikenalpasti lagi. Apa juga ajaran agama yang tidak disenangi oleh pihak yang berkuasa akan diubahsuai. Bumi Parsi menyaksikan banyak agama-agama dihancurkan oleh pemerintah. Agama-agama Zoroaster, Manu dan Mazdak menemui kehancuran di Parsi.
Agama Masehi pula diputarbelitkan oleh orang-orang Masehi yang tunduk kepada pemerintahan kerajaan Roman Timur. Agama Yahudi dirosakkan oleh kaum Yahudi sendiri. Di tempat-tempat lain muncul agama falsafah yang direka oleh akal dan khayalan manusia sendiri. Kemusnahan akidah berlaku di merata tempat dan ia diikuti oleh kehancuran nilai-nilai akhlak yang murni. Banyak perkara yang diterima pakai sebagai adat dan kebudayaan telah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan. Di dalam kebudayaan orang Arab Jahiliah dan juga bangsa-bangsa lain, arak merupakan minuman kegemaran orang ramai. Darah umat manusia yang bercampur dengan najis arak menjadi medan yang luas bagi syaitan melakukan kerosakan ke atas Banu Adam. Puisi dan syair yang memuji dan memuja arak sering diperdendangkan. Arak menjadi pintu kepada berbagai-bagai lagi perlakuan akhlak yang hina. Judi dan zina berleluasa di dalam masyarakat. Di dalam tradisi mereka juga kaum lelaki boleh berkahwin seberapa ramai yang mereka mahu asalkan mereka mampu. Kaum lelaki juga berhak menceraikan isteri mereka sesuka hati mereka. Kaum wanita menerima nasib yang lebih malang apabila mereka yang kematian suami dikira sebagai sebahagian daripada harta pusaka suami yang berhak dituntut oleh waris si suami. Tradisi yang demikian menyebabkan sistem kekeluargaan menjadi kucar kacir. Dan, yang paling buruk berlaku di dalam tradisi Arab Jahiliah adalah adat kejam menanam anak perempuan yang baharu lahir.
Kerosakan akidah dan akhlak yang menyerang penduduk di Tanah Arab tidak mampu dibendung oleh orang Masehi dan orang Yahudi. Orang Yahudi lebih berminat mengembangkan perniagaan mereka yang berasaskan riba. Perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat Arab memudahkan kaum Yahudi mengembangkan ekonomi mereka tanpa persaingan besar daripada puak Arab.
Jika kaum Yahudi sibuk mengumpulkan harta kaum Masehi pula tidak mempunyai kepimpinan yang berkaliber untuk mengadakan pembaikan ke atas umat manusia. Ajaran mistik yang kompleks menyebabkan agama tersebut menjadi satu agama yang sukar difahami oleh orang ramai. Oleh kerana itu banyak daripada urusan agama dilakukan oleh pihak gereja sahaja. Orang ramai yang telah menyerahkan urusan agama mereka kepada pihak gereja sudah dianggap mendapat keselamatan.
Orang Arab secara umumnya mempunyai fikiran yang terbuka dalam banyak perkara tetapi mereka sangat fanatik dalam soal kepercayaan dan adat resam. Prinsip mereka dalam perkara tersebut adalah berpegang teguh dengan apa juga yang mereka pusakai daripada nenek moyang mereka. Pusaka nenek moyang yang menyentuh soal kepercayaan dan adat resam tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapapun.
NABI MUHAMMAD S.A.W DAN KAUM MUSLIMIN BERTANGGUNGJAWAB MENYELAMATKAN UMAT MANUSIA DAN DUNIA SELURUHNYA:
Di tengah-tengah kerosakan akidah dan akhlak yang melanda umat manusia di Semenanjung Tanah Arab dan di seluruh dunia itulah Allah s.w.t mengutuskan Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Pada masa Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan, di dalam dunia ini ada tidak lebih daripada tiga puluh orang yang mengenal Allah s.w.t sebagaimana yang patut dikenali. Kenyataan ini diterima oleh Salman al-Farisi daripada pendeta terakhir yang beliau temui di Ammuria, dalam perjalanannya mencari kebenaran, sehinggalah beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w di Madinah. Pertemuan dengan Nabi Muhammad s.a.w mengakhirkan pencarian Salman. Dia telah menemui kebenaran.
Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan membaiki seluruh dunia. Hanya satu agama yang lengkap dan sesuai dengan fitrah asli sekalian manusia yang mengimbangi soal lahiriah dengan soal batiniah mampu menangani masalah berat yang sedang melanda dunia dan penghuninya. Agama tersebut adalah ISLAM! Baginda s.a.w diutuskan bagi menyampaikan risalat dari Allah s.w.t dan mentadbir urusan makhluk di dalam dunia ini agar peraturan Allah s.w.t dipatuhi oleh sekalian manusia. Kaum Muslimin yang menjadi umat baginda s.a.w juga memikul amanah tersebut, bertanggungjawab menyambung perjuangan baginda s.a.w. Tugas tersebut terletak di atas bahu umat Nabi Muhammad s.a.w hinggalah kepada hari kiamat. Jalan yang telah dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah sebaik-baik dan sebenar-benar jalan. Jalan yang paling baik dan paling benar ini juga dilalui oleh para pengikut baginda s.a.w yang datang kemudian.
Dasar agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah mengabdikan diri kepada Tuhan Yang Maha Esa dan mencari kesejahteraan hidup di akhirat tanpa melupakan tanggungjawab terhadap kehidupan dunia dan makhluk Tuhan sekaliannya. Tugas utama mereka adalah menyucikan akidah mereka sendiri, kaum keluarga dan umat manusia sekaliannya. Tugas susulan yang tidak kurang penting adalah memurnikan akhlak diri sendiri, kaum keluarga dan umat manusia sekaliannya. Akidah dan akhlak merupakan dua agenda paling penting di dalam tarekat Nabi Muhammad s.a.w yang juga diikuti oleh para sahabat baginda s.a.w.
Related posts
BismillahHirahmanirRahim... الحمد لله syukur kepada الله Everything happening with الله permission : #Sesungguhnya Aku berniat kerana الله:Tugasan geraktubuh badanKu Daku Niatkan Tasbih anggota tubuhku buat الله. Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya kepada~Mu Ya الله.. Setiap Detik Hatiku menyebut Subhanallah سبحان الله Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah الحمد لله Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH لا إله إلا الله Nafasku berzikir Allāhu akbar الله أكبر
14 December 2019
Rahsia syariat….
Rahsia Syariat Dan Nama Ilahi
Yang Memiliki Keagungan menuntut keagungan daripada Yang Memiliki Keagungan.
Lalu Yang Memiliki Keagungan enggan menyaksikan selain keagungan.
Apabila dia menyaksikan kewujudan keperkasaan Allah,
hamba Allah bermain mata.
Dia sejahtera dengan dirinya
bangga, sombong, meninggi diri, bongkak.
Dia beritahunya tentang Syariat yang dipelihara
lalu kuasanya menghinanya sungguh-sungguh.
Hamba menjerit dengan kehilangan dan kehinaan,
“Wahai Engkau yang keagungan-Mu dimuliakan dan ditinggikan!”
[Nama-nama Ilahi adalah bahasa bagi suasana yang sesuai dengan hakikat-hakikat]
Allah berfirman,
“Katakanlah: Sekiranya di bumi ini kedapatan malaikat berjalan dengan aman. Kami tentunya akan utuskan daripada langit kepada mereka malaikat juga yang menjadi Utusan” (17:95)
dan Dia berfirman,
“Kami tidak datangkan hukuman sehinggalah Kami hantarkan Utusan” (17:15).
Ketahuilah bahawa Nama-nama Ilahi mempunyai lidah hal yang sesuai dengan hakikat-hakikat mereka. Penuhilah diri kamu dengan apa yang kamu dengar dan jangan khayalkan yang berbilang-bilang atau perkumpulan yang bebas bertindak sendiri. Dalam tajuk ini banyak daripada hakikat-hakikat yang mampu difikirkan akan disusun menurut hubungan itu, bukan menurut sumber kewujudan. Zat Allah adalah Esa sebagaimana keadaan zat. Daripada pandangan itu kewujudan kita, keperluan dan kemungkinan, kita ketahui bahawa kita mesti ada sesuatu yang harus yang boleh kita pegangi. Dasar yang daripadanya kewujudan kita tuntuti mesti ada beberapa asbab. Nabi memanggil mereka Wahai Nama-nama Yang Paling Indah. Dia memanggil diri-Nya “Berkata-kata” melalui mereka oleh kerana Dia berkata-kata dalam darjat kewujudan bagi Wujud ketuhanan-Nya yang tidak boleh dikongsikan. Sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Esa. Tiada Tuhan kecuali Dia.
[Pertemuan Nama-nama dalam hadrat Yang Dinamai dan kenyataan keputusan mereka]
Selepas kepastiannya pada permulaan perkara ini dan keutamaan dan penguasaan dalam alam yang mungkin ini, saya katakan bahawa nama-nama dikumpulkan bersama dalam hadrat (kehadiran) yang di Namai. Mereka menyaksikan hakikat-hakikat mereka dan maksudnya dan memintakan kenyataan bagi keputusan mereka agar sumber mereka akan terpisah daripada kesannya. Pencipta adalah Dia Yang Menentukan, Yang Mengetahui, Yang Mentadbir, Yang Membezakan, Yang Membentuk, Yang Memulakan, Yang Mengulangi, Dia yang mengadakan kematian, Yang Mewarisi, Yang Bersyukur. Semua nama-nama Ilahi memandang kepada zat mereka, tetapi tidak melihat apa yang sudah diciptakan, diuruskan, dibezakan atau dibekalkan. Mereka berkata, “Bagaimana ada tindakan kecuali sumber-sumber ini dinyatakan yang dalamnya keputusan kami muncul lalu penguasaan kami menyata?”
Jadi selepas kemunculan sumber bagi alam, Nama-nama Ilahi yang sebahagian daripada hakikat alam tuntutkan mencari perlindungan Nama, al-Bari (Permulaan). Mereka berkata kepada-Nya, “Bolehkah Engkau bawakan kepada kewujudan sumber-sumber ini agar menyata keputusan kami dan penguasaan kami didirikan kerana kehadiran yang kami berada di dalamnya tidak menerima kesan kami?” Al-Bari berkata, “Itu mesti dirujukkan kepada Nama, Yang Berkuasa. Aku di bawah kuasa-Nya”.
[Yang harus dalam suasana mereka yang tidak wujud dan bagaimana sumber mereka muncul]
Asas ini ialah dalam keadaan mereka tidak wujud, ‘yang mungkin’ membuat permohonan kepada Nama-nama Ilahi daripada keadaan kehinaan dan pergantungan. Kata mereka, “Ketidakwujudan membutakan kami daripada pengertian satu sama lain dan kepada mengenali apa yang kami berhutang denganmu. Jika kamu menyatakan sumber kami dan pakaikan kami dengan pakaian wujud, kamu merahmati kami dengannya dan kami akan menanggung kemuliaan dan ketinggian itu kewajipan berhubung dengan kamu. Penguasaan adalah sah bagi kamu dalam kenyataan kami yang sebenarnya. Kini kamu adalah Tuan bagi kami semua melalui kuasa dan keupayaan. Inilah yang kami cari daripada kamu adalah lebih banyak daripadanya dalam hubungannya dengan kami.” Nama-nama menjawab, “Ini, apa ‘yang mungkin’ katakan itu adalah sah.” Mereka bergerak untuk mencari yang demikian.
Kemudian mereka menghadap nama, al-Qadir (Yang Berkuasa). Dia berkata, “Aku di bawah penguasaan Yang Menjadikan. Aku tidak boleh membawa sebarang sumber daripada kamu kepada kewujudan melainkan dengan arahan-Nya. Tidak ada yang mungkin bagi-Ku kecuali perintah daripada Yang Memerintah datang kepadanya daripada Tuhannya. Apabila Dia perintahkannya supaya mengambil bentuk dan berkata, ‘Jadi!’ maka Aku boleh melakukannya dan hubungkannya kepada pembawaannya kepada kewujudan, maka Aku berikannya bentuk dari saat itu. Pergilah kepada nama Yang Menjadikan. Boleh jadi Dia akan berkenan dan jadikan lebih berpengaruh aspek kewujudan di atas aspek tidak wujud. Yang Memerintah, Yang Berkata-kata dan Diri-Ku akan bergabung bersama dan membawa kamu kepada kewujudan.”
Mereka pergi kepada nama, Yang Menjadikan, dan berkata kepada-Nya, “Kami telah bertanyakan nama Yang Berkuasa, untuk membawa sumber kami kepada kewujudan. Dia merujukkan perkara ini kepada kamu. Apakah kata kamu?” Yang Menjadikan berkata, “Yang Berkuasa berkata benar, tetapi aku tidak memiliki berita tentang nama Yang Mengetahui telah putuskan berhubung dengan kamu, samada ilmu-Nya untuk membawa kamu kepada kewujudan sudah mendahului secara khusus ataupun tidak. Aku di bawah penguasaan nama Yang Mengetahui. Pergilah kepada-Nya dan ceritakan hal kamu”.
Mereka kemudian pergi kepada nama, yang Mengetahui, dan menceritakan kepada-Nya apa yang nama, Yang Menjadikan katakan kepada mereka. Yang Mengetahui berkata, “Yang Menjadikan berkata benar. Ilmu-Ku mengenai kamu keluar kepada kewujudan sudahpun mendahului, tetapi adab adalah lebih sesuai. Di sana ada hadrat (kehadiran) yang mengawal kita, dan ia adalah nama Allah. Kita mesti menghadap-Nya, kerana ia adalah kehadiran bagi perkumpulan.”
Semua nama-nama berkumpul dalam kehadiran Allah. Dia berkata, “Apakah keperluan kamu?” Mereka menceritakan kepada-Nya. Dia berkata, ” Aku adalah nama yang mengumpulkan semua hakikat-hakikat kamu. Aku adalah bukti bagi yang dinamakan, dan ianya adalah Zat yang murni yang memiliki sifat kesempurnaan dan ‘tiada-hubungan’ (tanzih). Tunggu sehingga Aku masuk kepada pembuktian-Ku.” Dia pergi kepada pembuktian-Nya dan memberitahu-Nya apakah yang dikatakan oleh ‘yang mungkin’ kepada-Nya dan apa yang nama-nama rundingkan. Dia berkata, “Pergilah dan beritahu setiap Nama itu agar mengikat dirinya kepada apa yang hakikatnya tuntut dalam ‘yang mungkin’ itu. Aku adalah Esa dengan Diri-Ku dalam hubungan Diri-Ku. ‘Yang mungkin’ memerlukan darjat-Ku, dan darjat-Ku memerlukan mereka. Semua Nama-nama Ilahi kepunyaan darjat itu, bukan kepada-Ku, kecuali untuk Yang Esa. Ia adalah Nama khusus bagi-Ku, dan tidak ada yang berkongsikannya dengan-Ku dalam hakikatnya dalam aspek apa sekalipun, samada di kalangan nama-nama, darjat atau ‘yang mungkin’.
[Perseimbangan yang diketahui, had yang ditentukan dan Imam yang dipelihara]
Nama Allah keluar, dan dengan-Nya keluar nama, Yang Berkata-kata, untuk menterjemahkan bagi-Nya kepada ‘yang mungkin’ dan Nama-nama. Dia nyatakan kepada mereka apa Yang Dinamakan nyatakan. Maka Yang Mengetahui, Yang Menjadikan, Yang Berkata-kata dan Yang Berkuasa dihubungkan, dan ‘yang mungkin’ pertama muncul, melalui pilihan Yang Menjadikan dan keputusan Yang Mengetahui.
Apabila sumber dan kesan muncul dalam makhluk, sebahagian mula menekan yang lain dan mengatasi mereka menurut apa yang mereka diasaskan daripada nama-nama dan ini membawa kepada perselisihan dan perbalahan. Mereka berkata, “Kami bimbang susunan kami akan menjadi buruk dan kami akan disatukan dengan yang tidak wujud yang kami berada dalamnya”. ‘Yang mungkin’ mengingatkan Nama-nama tentang apa yang telah diberitahu kepada mereka oleh Nama-nama, Yang Mengetahui dan Yang Mentadbir. Mereka berkata, “Wahai Nama-nama! Jika keputusan kamu di atas perseimbangan yang diketahui, dan had yang ditentukan oleh Penghulu yang kamu rujukkan, kewujudan kami akan dipelihara untuk kami dan kami akan pelihara kesan kamu di atas kami untuk kamu. Itu adalah lebih baik bagi kami dan kamu. Jika tidak, kami akan musnah dan hilang”. Mereka berkata, “Ini adalah pendapat yang berguna dan benar”. Maka mereka lakukan yang demikian. Mereka berkata, “Nama, Yang Mentadbir, adalah yang menentukan hal kamu”. Mereka pergi kepada Yang Mentadbir membawa hal mereka. Dia berkata, “Aku akan lakukannya”.
Dia masuk dan muncul dengan perintah Hakikat kepada Nama, Rab. Dia berkata kepada-Nya, “Lakukan apa yang kemanfaatan perlukan bagi menjadikan sumber kepada yang mungkin ini berkesinambungan”. Dia melantik dua menteri untuk membantu-Nya sebagaimana perintah-Nya. Satu ialah Nama Yang Mentadbir dan satu lagi Nama Yang Membezakan. Allah berfirman,
“Dia mentadbir urusan itu dan membezakan tanda-tanda. Boleh jadi kamu menjadi yakin akan pertemuan dengan Rab kamu” (13:2)
iaitu Imam (Penghulu). Jadi perhatikan betapa bijaknya perkataan Allah bila Dia bawakan ayat menurut suasana yang mewajibkan hal itu didasarkan!
[Polisi (dasar) yang bijak dan peraturan yang lazim]
Nama, Rab, tentukan had bagi mereka dan letakkan peraturan bagi mereka untuk kebaikan kerajaan itu dan sebagai ujian siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Allah letakkannya kepada dua lategori. Satu kategori dipanggil polisi yang bijaksana yang Dia letakkan dalam sifat diri-diri mereka yang ternama. Had yang ditentukan dan dan peraturan yang digariskan melalui kuasa yang mereka temui dalam diri mereka dalam setiap bandar, arah dan cuaca, menurut penyusunan tempat itu dan pembawaan mereka perlukan melalui ilmu mereka mengenai apa yang sesuai dengan kebijaksanaan. Mereka panggilnya peraturan (nawamis) yang bermakna “sebab-sebab bagi kebaikan” kerana dalam penggunaan teknikal, Namus adalah yang membawa kebaikan. Pengintai (jasus) adalah yang berurusan dengan kejahatan.
Nawamis adalah peraturan kebijaksanaan yang digubalkan oleh manusia yang bijaksana, datangnya daripada ilham yang dari Allah padahal mereka tidak menyedarinya. Yang demikian adalah bagi kebaikan dunia, peraturannya dan hubungannya dalam tempat-tempat yang Syariat Ilahi tidak sampai, tidak juga ilmu tentang Yang Esa yang menurunkan peraturan ini dan perkara ini membawa hampir dengan Allah, mewarisi syurga atau neraka bukan juga sesuatu daripada asbab Alam Kemudian. Mereka tidak tahu adanya Alam Kemudian dan kebangkitan jasad selepas mati dalam bentuk jasad yang asli dan akan ada makanan, minuman, pakaian, persetubuhan dan keseronokan, dan dalamnya akan ada seksaan dan azab. Kewujudan yang demikian adalah harus, dan ketidak-wujudannya juga harus. Mereka tidak mempunyai bukti yang satu daripada dua itu lebih berat daripada yang satu lagi.
“Mereka melahirkan kependetaan” (57:27).
Oleh sebab itu asas peraturan mereka dan manfaatnya adalah untuk menjadikan faedah terlaksana di sini.
Dalam diri mereka, mereka memiliki ilmu Ilahi: tauhid tentang Allah dan ketinggian serta kemuliaan yang mesti ada dengan-Nya, sifat-sifat tanzih (tiada-hubungan) dan ketidak-wujudan sebarang tara atau persamaan. Orang yang menyaksikan yang demikian dan yang mengetahuinya menceritakannya kepada yang lain. Mereka menggalakkan orang ramai supaya melakukan penyelidikan yang benar dan mengajar mereka bahawa akal, dalam hubungan pemikirannya, ada had yang padanya ia berhenti dan tidak berupaya melepasinya, dan bahawa Allah kurniakan ilham suci kepada hati-hati sebahagian hamba-hamba-Nya yang dengannya Dia ajarkan kepada mereka ilmu yang langsung daripada-Nya agar ia tidak menjadi mustahil bagi mereka. Allah pertaruhkan kepada alam langit perkara-perkara yang dirumuskan melalui adanya kesan mereka pada alam anasir. Dia berfirman,
“Dia bukakan pada setiap langit peraturannya” (41:12).
Mereka mencari hakikat diri mereka melalui apa yang mereka lihat – apabila jasad yang berbentuk ini mati, tidak ada daripada pancaindera yang kurang. Lalu mereka tahu bahawa yang menyaksikan dan yang menggerakkan tubuh fizikal ini adalah unsur lain yang menjadi tambahan kepadanya. Mereka mencari unsur tambahan itu, maka mereka mengenali diri mereka. Kemudian mereka melihat apa yang diketahui sesudah kejahilan. Mereka tahu bahawa sekalipun ianya tubuh yang paling mulia, ianya disertai oleh kemiskinan dan kehilangan. Mereka mencari puncanya dengan penyelidikan, bergerak dari satu benda kepada yang lain. Bila sahaja mereka sampai kepada sesuatu perkara, mereka melihatnya memerlukan sesuatu yang lain sehinggalah pemerhatian membawa mereka kepada sesuatu yang tidak memerlukan apa-apa bukan juga serupa dengan sesuatu yang menyerupai sesuatu dan tidak juga sesuatu menyerupainya. Mereka berhenti padanya dan berkata, “Inilah Yang Pertama”. Ia mestinya Yang Satu dengan zatnya dalam hubungan zatnya, dan kepertamaannya tidak menerima yang kedua, tidak juga keesaan-Nya kerana Dia tidak mempunyai keserupaan dan tidak juga persamaan. Mereka mengesakan-Nya dengan tauhid wujud. Apabila mereka melihat yang demikian, dengan diri mereka, ‘yang mungkin’ tidak memiliki penguasaan dengan zat mereka, mereka tahu bahawa Yang Satu ini memberikan mereka kewujudan. Mereka memerlukan dan bergantung kepada-Nya dan kepada kekuatan-Nya untuk melepaskan daripada mereka semua yang dengannya zat mereka digambarkan. Inilah batas akal (dalam pemikiran).
[Polisi Syariat dan peraturan Ilahi]
Demikianlah kami jelaskan tentang mereka. Apabila seseorang dari kalangan mereka muncul yang mereka anggapkan orang itu tidak mempunyai darjat dalam ilmu untuk mereka percaya, dan mempunyai fikiran yang benar serta perhatian yang wajar, dan kemudian orang itu berkata kepada mereka, “Aku adalah Utusan Aallah kepada kamu,” mereka berkata, “Keadilan lebih sesuai. Lihatlah kepada dasar pengakuan itu. Adakah dia mengaku sesuatu yang mungkin ataupun mustahil?” Mereka berkata, “Sudah teguh pegangan dengan kami bahawa Allah memiliki limpahan suci yang Dia boleh kurniakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki sebagaimana Dia limpahkannya kepada roh-roh sfera-sfera dan akal-akal ini. Semuanya berkongsikan kemungkinan. Tidak ada daripada ‘yang mungkin’ itu lebih berhak daripada yang lain dalam apa ‘yang mungkin’. Terpulang kepada kami untuk melihat kepada kebenaran orang yang membuat pengakuan itu atau melihat samada dia berbohong atau tidak. Kami tidak simpulkan salah satu daripada dua pendapat ini tanpa bukti. Ia adalah adab yang buruk dengan ilmu kami”.
Mereka berkata, “Adakah kamu mempunyai bukti tentang kebenaran pengakuan kamu?” Dia membawakan kepada mereka bukti-bukti, dan mereka memerhatikan keterangan dan bukti-buktinya. Mereka memerhatikan untuk mengetahui apakah yang orang ini miliki daripada maklumat-maklumat mengenai hasil pemikiran dan apakah yang dia tidak perakui mengenainya. Mereka mengetahui bahawa sebagaian daripada yang dibukakan dalam setiap langit oleh Yang Esa, yang membukakan pada setiap langit peraturannya, adalah mengenai kedatangan orang ini dan apa yang dia bawakan. Mereka bersegera kepadanya dengan mempercayai dan memperakuinya. Mereka mengetahui bahawa Allah telah memperkenalkannya dengan apa yang Dia telah amanahkan dalam makrifat alam tinggi yang pemikiran mereka tidak sampai. Kemudian Dia berikannya sebahagian daripada makrifat Allah yang mereka tidak miliki.
Mereka melihat bahawa Dia menurunkan ilmu mengenai Allah kepada manusia biasa, pendapat yang lemah, adalah dengan yang demikian sesuai bagi akalnya dalam yang demikian, dan kepada manusia yang berakal cerdas dan pemerhatian yang kuat adalah juga dengan yang demikian sesuai bagi akalnya dalam yang demikian. Mereka tahu bahawa lelaki itu telah menerima wahyu Ilahi yang melampaui tahap akal, dan bahawa Allah telah mengurniakan kepadanya sebahagian ilmu mengenai-Nya dan kekuasaan keatasnya yang Dia tidak berikan kepada mereka. Mereka memperkatakan nikmat-Nya dan kelebihan yang Dia kurniakan kepadanya melebihi mereka. Mereka percaya kepadanya dan perteguhkan dan mengikutinya. Dia adakan bagi mereka amalan yang membawa seseorang hampir dengan Allah dan dia ajarkan mereka apa yang Allah ciptakan dari yang mungkin yang tidak kelihatan bagi mereka, dan apa yang Dia akan bentukkan dalam mereka pada masa akan datang. Dia ceritakan kepada mereka tentang Dihidupkan-semula, Kebangkitan, Dikumpulkan, Syurga dan Neraka.
[Asas pembentukan Syariat yang suci dalam dunia ini]
Kemudian Rasul-rasul diutuskan silih berganti pada masa dan suasana yang berlainan. Setiap mereka memperakui sahabat mereka. Mereka tidak berbeza sama sekali dalam prinsip asas yang atasnya mereka pegang dan yang mereka tunjukkan, sekalipun perutusan berbeza. Undang-undang Tuhan diturunkan dan perutusan juga diturunkan. Perutusan menurut masa dan suasana sebagaimana firman-Nya,
“Kami tentukan peraturan (Syariat) dan amalan bagi setiap orang daripada kamu” (5:48).
Prinsip asas mereka bersamaan tanpa ada percanggahan dalamnya.
Mereka mengadakan perbandingan di antara risalat nabi yang datang daripada Allah dengan apa yang ahli falsafah tetapkan mengenai peraturan kata-kata falsafah yang mereka anggap sebagai hasil proses pemikiran. Mereka ketahui bahawa perkara ini lebih lengkap dan ia daripada Allah tanpa keraguan. Oleh itu mereka menerima apa yang dia ajarkan kepada mereka daripada alam ghaib dan mereka percaya bahawa kepada Utusan-utusan. Tidak ada dari kalangan mereka yang membantah, tetapi sebahagiannya tidak memberikan keyakinan yang penuh kepadanya dan ilmunya dan mereka
“menurut hawa nafsu” (7:178)
dan melantik pemimpin dari kalangan mereka sendiri. Mereka jahil tentang diri mereka yang sebenar dan nilainya, dan mereka jahil tentang Tuhan mereka.
Akar dan sebab bagi diturunkan Syariat kepada dunia ini ialah untuk menjadikan dunia ini dalam keadaan sejahtera dan perakuan tentang apa yang tidak diketahui daripada Allah yang tidak diterima oleh akal, iaitu apa yang akal tidak miliki sendirinya dalam hubungan pemerhatiannya. Jadi Kitab diturunkan yang mengandungi ilmu ini, dan lidah Nabi dan rasul membacakannya. Dengan demikian orang yang berakal menegtahui bahawa mereka kekurangan dalam perkara penegtahuan mengenai Allah yang Rasul-rasul memilikinya dengan sempurna.
[Manusia berakal yang sebenarnya dan mereka yang memiliki kekhuatiran,
perselisihan dan perkataan-perkataan]
Dengan menggunakan manusia yang berakal, saya tidak maksudkan mutakallimun hari ini menurut kebijaksanaannya. Yang saya maksudkan ialah sesiapa yang mengikuti jalan Rasulullah s.a.w dengan memerhatikan dirinya, membentuk disiplin diri, bermujahadah, berkhalwat dan persediaan untuk kedatangan waridat yang akan datang ke dalam hati mereka apabila sifat mereka menjadi sebahagian daripada alam atas yang dalamnya pembukaan diberikan dalam langit yang tinggi. Mereka ini, iaitu mereka yang berakal, mengadakan celoteh, ucapan dan perbahasan dengan mereka yang menggunakan fikiran dalam perkara yang diperkatakan yang dikeluarkan oleh yang terdahulu. Mereka tidak melihat perkara itu daripada apa yang orang-orang itu perolehi. Begitulah keadaan kita hari ini, mereka tidak ada nilai dengan sebarang manusia berakal. Mereka memperolok-olokkan dan merendahkan hamba-hamba Allah, dan mereka hanya menghormati orang sama taraf dengan mereka. Kecintaan kepada dunia ini menguasai jiwa mereka, begitu juga cita-cita kepada pangkat dan kedudukan. Allah menghinakan mereka sebagaimana mereka menghina ilmu dan Dia merendahkan mereka. Dia jadikan mereka pergi kepada pintu-pintu raja dan gabernor yang jahil. Raja dan gabernor itu menghina mereka.
Perkataan orang-orang seperti itu tidak penting.
“Allah telah metrikan hati mereka” (7:2),
“jadikan mereka pekak dan adakan tutupan atas pandangan mereka” (47:23)
walaupun mereka mengaku merekalah yang terbaik di dalam dunia ini. Ahli feqah dan mufti yang di dalam naungan Allah adalah lebih baik daripada mereka sekalipun mereka kurang ketelitiannya dalam segala aspek. Orang yang mempunyai keyakinan, sekalipun dia mengambilnya melalui tiruan, berada dalam suasana yang lebih baik daripada mereka yang berakal itu dalam apa yang mereka dakwakan. Jauh sekali daripada kedudukan seorang yang berakal dengan keadaan mereka yang demikian!
Kami telah menyaksikan sebahagian daripada mereka yang merupakan orang-orang yang paling mengetahui tentang skop Rasul-rasul dan mengikuti sunnah dengan bersungguh-sungguh, dan sangat memelihara Sunnahnya, ahli makrifat mengenai apa yang perlu mengenai keagungan Yang Haq dalam ketinggian, mengetahui apa yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya di kalangan Nabi-nabi dan pengikut mereka dari kalangan aulia di atas jalan mengenali Allah dari arah limpahan suci yang pilihan yang terkeluar daripada pengajaran yang biasa pada jalan pembelajaran dan mujahadah yang akal tidak mampu mencapainya melalui pemikirannya.
Saya dengar salah seorang daripada orang yang terkenal dari kalangan mereka, yang telah menyaksikan sebahagian daripada apa yang Allah telah bukakan kepada saya mengenai ilmu tentang-Nya tanpa pemikiran dan pembacaan. Ianya daripada khlawat khusus yang saya lakukan dengan Allah ketika saya tidak berada bersama-sama mereka yang mencari. Dia berkata, “Segala puji bagi Allah yang mengizinkan daku berada dalam zaman yang dalamnya daku melihat seseorang yang Allah kurnikan rahmat daripada-Nya dan ilmu daripada hadrat-Nya!” Allah kurniakan rahmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah memiliki nikmat yang luas.
“Allah katakan yang benar dan memimpin kepada jalan yang benar”.
Related posts
Haji
HAJJI KE MEKAH DAN HAJJI ROHANI KE HAKIKAT HATI
Pekerjaan hajji menurut syariat ialah mengunjungi ka’abah di Makkah. Ada beberapa syarat berhubung dengan ibadat hajji: memakai ihram – dua helai kain yang tidak berjahit menandakan pelepasan semua ikatan duniawi; memasuki Makkah dalam keadaan berwuduk; tawaf keliling ka’abah sebanyak tujuh kali tanda penyerahan sepenuhnya; lari-lari anak dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali; pergi ke Padang Arafah dan tinggal di sana sehingga matahari terbenam; bermalam di Musdalifah; melakukan korban di Mina; meminum air zamzam; melakukan sembahyang dua rakaat berhampiran dengan tempat Nabi Ibrahim a.s pernah berdiri. Bila semua ini dilakukan pekerjaan hajji pun sempurna dan balasannya diperakui. Jika terdapat kecacatan pada pekerjaan tersebut balasannya dibatalkan. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
“Sempurnakan hajji dan umrah kerana Allah”. (Surah al-Baqarah, ayat 196).
Bila semua itu telah selesai banyak daripada hubungan keduniaan yang ditegah semasa pekerjaan hajji dibolehkan semula. Sebagai tanda selesainya pekerjaan hajji seseorang itu melakukan tawaf terakhir sekali sebelum kembali kepada kehidupan harian.
Ganjaran untuk orang yang mengerjakan hajji dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya:
“Dan barangsiapa masuk ke dalamnya amanlah ia, dan kerana Allah (wajib) atas manusia pergi ke rumah itu bagi yang berkuasa ke sana”. (Surah al-‘Imraan, ayat 97).
Orang yang sempurna ibadat hajjinya selamat daripada azab neraka. Itulah balasannya.
Pekerjaan hajji kerohanian memerlukan persiapan yang besar dan mengumpulkan keperluan-keperluan sebelum memulakan perjalanan. Langkah pertama ialah mencari juru pandu, pembimbing, guru, seorang yang dikasihi, dihormati, diharapkan dan ditaati oleh orang yang mahu menjadi murid itu. Pembimbing itulah yang akan membekalkan murid itu bagi mengerjakan hajji kerohanian, dengan segala keperluannya.
Kemudian dia mesti menyediakan hatinya. Untuk menjadikannya jaga seseorang itu perlu mengucapkan kalimah tauhid “La ilaha illa Llah” dan mengingati Allah dengan menghayati kalimah tersebut. Dengan ini hati menjadi jaga, menjadi hidup. Ia hendaklah mengingati Allah dan berterusan mengingati Allah sehingga seluruh diri batin menjadi suci bersih daripada selain Allah.
Selepas penyucian batin seseorang perlu menyebutkan nama-nama bagi sifat-sifat Allah yang akan menyalakan cahaya keindahan dan kemuliaan-Nya. Di dalam cahaya itulah seseorang itu diharapkan dapat melihat ka’abah bagi hakikat rahsia. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s melakukan penyucian ini:
“Janganlah engkau sekutukan Aku dengan sesuatu apa pun dan bersihkan rumah-Ku untuk orang-orang tawaf, dan yang berdiri, dan yang rukuk, dan yang sujud”. (Surah al-Hajj, ayat 26).
Sesungguhnya ka’abah zahir yang ada di Makkah dijaga dengan bersih untuk para pekerja hajji. Betapa lebih lagi kesucian yang perlu dijaga terhadap ka’abah batin yang ke atasnya hakikat akan memancar.
Selepas persediaan itu pekerja hajji batin menyelimutkan dirinya dengan roh suci, mengubah bentuk kebendaannya menjadi hakikat batin, dan melakukan tawaf ka’abah hati, mengucap di dalam hati nama Tuhan yang kedua- “ALLAH”, nama yang khusus bagi-Nya. Ia bergerak dalam bulatan kerana laluan rohani bukan lurus tetapi dalam bentuk bulatan. Akhirnya adalah permulaannya.
Kemudian ia pergi ke Padang Arafah hati, tempat batin yang merendahkan diri dan merayu kepada Tuhannya, tempat yang diharapkan seseorang dapat mengetahui rahsia “La ilaha illa Llah”, “Yang Maha Esa, tiada sekutu”. Di sana ia berdiri mengucapkan nama ketiga “HU” – bukan sendirian tetapi bersama-Nya kerana Allah berfirman:
“Dia beserta kamu walau di mana kamu berada”. (Surah al-Hadiid, ayat 4).
Kemudian dia mengucapkan nama keempat “HAQ”, nama bagi cahaya Zat Allah – dan kemudian nama kelima “HAYYUN” – hidup Ilahi tang darinya hidup yang sementara muncul. Kemudian dia menyatukan nama Ilahi Yang Hidup Kekal Abadi dengan nama keenam “QAYYUM” – Yang Wujud Sendiri, yang bergantung kepada-Nya segala kewujudan. Ini membawanya kepada Musdalifah yang di tengah-tengah hati.
Kemudian dia di bawa ke Mina, rahsia suci, intipati atau hakikat, di mana dia ucapkan nama yang ke tujuh “QAHHAR” – Yang Meliputi Semua, Maha Keras. Dengan kekuasaan nama tersebut dirinya dan kepentingan dirinya dikorbankan. Tabir keingkaran ditiupkan dan pintu kebatilan diterbangkan.
Mengenai tabir yang memisahkan yang dicipta dengan Pencipta, Nabi s.a.w bersabda, “Iman dan kufur wujud pada tempat di sebalik arasy Allah. Keduanya adalah hijab memisahkan Tuhan daripada pemandangan hamba-hamba-Nya. Satu adalah hitam dan satu lagi putih”.
Kemudian kepada roh suci dicukurkan daripada segala sifat kebendaan.
Dengan membaca nama Ilahi ke lapan “WAHHAB” – Pemberi kepada semua, tanpa batas, tanpa syarat – dia memasuki daerah suci bagi Zat. Kemudian dia mengucapkan nama kesembilan “FATTAH” – Pembuka segala yang tertutup.
Memasuki ke tempat menyerah diri di mana dia tinggal mengasingkan diri, hampir dengan Allah, dalam keakraban dengan-Nya dan jauh daripada segala yang lain, dia mengucapkan nama yang ke sepuluh “WAHID” – Yang Esa, yang tiada tara, tiada sesuatu menyamai-Nya. Di sana dia mula menyaksikan sifat Allah “SAMAD” – Yang menjadi sumber kepada segala sesuatu. Ia adalah pemandangan tanpa rupa, tanpa bentuk, tidak menyerupai sesuatu.
Kemudian tawaf terakhir bermula, tujuh pusingan yang dalam tempoh tersebut dia mengucapkan enam nama-nama yang terakhir dan ditambah dengan nama ke sebelas “AHAD” – Yang Esa. Kemudian dia minum daripada tangan keakraban Allah.
“Dan Tuhan mereka membuat mereka meminum minuman asli”. (Surah Insaan, ayat 21).
Cawan yang di dalamnya minuman ini disediakan ialah nama yang kedua belas “SAMAD” – Sumber, yang menunaikan segala hajat, satu-satunya tempat meminta tolong.
Dengan meminum dari sumber ini dia melihat semua tabir tersingkap daripada wajah keabadian. Dia mendongak melihat kepada-Nya dengan cahaya yang datang daripada-Nya. Alam ini tiada persamaan, tiada bentuk, tiada rupa. Ia tidak mampu diterangkan, diibaratkan, alam yang tidak ada mata pernah melihatnya, tiada telinga pernah mendengarnya dan tiada hati manusia yang ingat. Kalam Allah tidak didengar dengan bunyi atau dilihat dengan tulisan. Kesukaan yang tiada hati manusia boleh merasai ialah kelazatan menyaksikan hakikat Allah dan mendengar percakapan-Nya:
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah akan tukarkan kejahatan-kejahatan mereka kepada kebaikan-kebaikan”. (Surah al-Furqaan, ayat 70).
Kemudian pekerja hajji itu dibebaskan daripada semua perbuatan yang daripada dirinya dan bebas daripada ketakutan dan dukacita.
“Ketahuilah sesungguhnya pembantu-pembantu Allah, tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak akan mereka berdukacita”. (Surah Yunus, ayat 62).
Akhirnya tawaf selamat tinggal dilakukan dengan mengucapkan semua nama-nama Ilahi.
Kemudian pekerja hajji kembali ke rumahnya, ke tempat asalnya, bumi suci di mana Allah ciptakan manusia dalam bentuk yang paling baik dan paling indah. Ketika kembalinya itu dia mengucapkan nama kedua belas “SAMAD”, perbendaharaan yang daripadanya semua keperluan makhluk dibekalkan. Itu adalah alam kehampiran Allah. Itulah tempat kediaman pekerja hajji batin, dan ke sanalah mereka kembali.
Hanya itulah yang dapat diceritakan sekadar lidah mampu ucapkan dan akal mampu terima. Selepas itu tiada berita yang boleh diberi kerana selebih daripada itu tidak boleh disaksikan, tidak dimengerti, tidak mampu difikir atau diterangkan. Nabi s.a.w bersabda, “Ada ilmu yang tinggal tetap seumpama khazanah yang tertanam. Tiada siapa yang boleh mengetahuinya dan tiada siapa boleh mendapatkannya melainkan mereka yang menerima ilmu Ilahi”, tetapi bila diperdengarkan kewujudan ilmu demikian, yang ikhlas tidak menafikannya.
Manusia yang memiliki pengetahuan biasa mengumpulkan apa yang boleh dikumpulkan di permukaan. Orang yang memiliki ilmu ketuhanan mengeluarkan dasarnya. Hikmah kebijaksanaan orang arif adalah sebenar-benar rahsia bagi Allah Yang Maha Tinggi. Tiada siapa yang tahu apa yang Dia tahu kecuali Dia sendiri.
“Sedang mereka tidak meliputi (sedikit pun) daripada ilmu-Nya kecuali apa yang dikehendaki-Nya. Pengetahuan-Nya meliputi langit-langit dan bumi, dan memelihara keduanya tidaklah berat bagi-Nya”. (Surah al-Baqarah, ayat 255).
Mereka yang dirahmati, yang dikurniakan sebahagian ilmu-Nya adalah nabi-nabi dan kekasih-Nya yang berjuang untuk datang hampir kepada-Nya. Firman-Nya:
“Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi”. (Surah Ta Ha, ayat 7).
“Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Kepunyaan-Nya nama-nama yang sangat baik”. (Surah Ta Ha, ayat 8).
Dan Allah paling mengetahui.
Related posts
Menyaksikan yang Haq
MENYAKSIKAN YANG HAK MELALUI SUASANA KEDAMAIAN YANG DATANG DARIPADA PELEPASAN SEGALA KEDUNIAAN DAN MELALUI ZAUK.
Nabi s.a.w bersabda, “Satu ilham Ilahi yang memutuskan seseorang daripada dunia ini dan kurniaan atas seseorang akan kenyataan atau cermin sifat-sifat Tuhan, menampakkan kepada seseorang keesaan Ilahi, lebih baik daripada pengalaman dunia dan akhirat”. Dan, “Orang yang tidak mengalami zauk (keghairahan) yang daripadanya menerima kenyataan makrifat Ilahi dan yang hak adalah tidak hidup”.
Banyak ayat-ayat dan hadis-hadis serta perkhabaran daripada wali-wali menceritakan suasana ini.
“Dan apakah orang yang Allah luaskan dadanya kepada Islam, iaitu ia berjalan atas nur dari Tuhannya (sama dengan yang beku hatinya?). Maka kecelakaan (adalah) bagi mereka yang beku hatinya dari mengingat Allah. Mereka itu (adalah) dalam kesesatan yang nyata. Allah telah turunkan sebaik-baik perkataan, kitab yang sebahagiannya menyerupai sebahagiannya, yang diulang-ulangkan, yang seram lantarannya kulit-kulit badan orang yang takut kepada Tuhannya. Kemudian jadi lemas kulit-kulit mereka dan hati-hati mereka kepada mengingat Allah. Yang demikian itu pimpiman Tuhan, yang Ia pimpin dengannya siapa yang Ia kehendaki, dan barangsiapa disesatkan oleh Allah maka tidaklah ada baginya sebarang pimpinan”. (Surah az-Zummar, ayat 22 & 23).
Junaid al-Baghdadi berkata, “Bila zauk (keghairahan) bertemu dengan kenyataan Ilahi di dalam diri seseorang, dia itu berada di dalam keadaan samada kelazatan yang amat sangat atau keharuman yang mendalam”.
Ada dua jenis zauk: zauk lahiriah dan zauk rohaniah. Zauk lahiriah adalah hasil daripada ego diri. Ia tidak memberi kepuasan secara rohaniah. Ia dipengaruhi oleh pancaindera. Sering kali ianya kepura-puraan, berlaku agar dilihat atau diketahui oleh orang lain. Zauk jenis ini tidak berharga sedikit pun kerana ianya disengajakan, dengan kehendak atau niat: orang yang mengalaminya masih merasakan yang dia boleh berbuat dan memilih (tidak ada fana padanya). Tidak guna menganggap penting pengalaman yang demikian.
Zauk kerohanian, Bagaimanapun, keseluruhannya berbeza, suasana yang dihasilkan oleh pengaliran tenaga kerohanian yang melimpah ruah. Secara biasa, pengaruh luar – seperti puisi yang indah yang dibaca, atau Quran dibaca dengan suara yang merdu, atau keghairahan yang dicetuskan oleh upacara zikir sufi – boleh mengakibatkan peningkatan kerohanian. Ini berlaku kerana pada ketika itu penentangan lahiriah seseorang dihapuskan, kehendak dan kekuatan akal untuk memilih diatasi. Bila kekuatan badan dan fikiran sudah dilemahkan suasana zauk adalah semata-mata bersifat kerohanian. Meneruskan perjalanan dengan pengalaman yang demikian sangat besar gunanya bagi seseorang.
“Dan orang yang menjauhi berhala-hala daripada menyembahnya dan kembali kepada Allah adalah bagi mereka khabar yang menggirangkan. Oleh itu girangkanlah hamba-hamba-Ku. Yang mendengar perkataan lalu menurut yang sebaik-baiknya. Merekalah orang-orang yang dipimpin oleh Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang mempunyai fikiran”. (Surah az-Zumar, ayat 17 & 18).
Nyanyian merdu burung-burung, keluhan pencinta, adalah sebahagian daripada penyebab luar yang menggerakkan tenaga kerohanian. Dalam suasana tenaga kerohanian yang demikian syaitan dan ego tidak boleh campur tangan; iblis bertindak di dalam alam kegelapan perbuatan-perbuatan yang muncul daripada ego diri dan tidak boleh berbuat apa-apa di dalam alam kemurahan dan keampunan yang bercahaya. Dalam alam kemurahan dan keampunan Allah, syaitan menjadi cair laksana garam di dalam air, sama seperti ia hilang apabila dibaca:
“La haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim” – Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi, Maha Mulia.
Pengaruh-pengaruh yang merangsangkan zauk kerohanian diterangkan oleh hadis, “Ayat-ayat Quran, puisi yang berhikmah dan ajaib mengenai cinta dan bunyi serta suara kerinduan menyalakan wajah roh”.
Zauk sebenar adalah hubungan cahaya dengan cahaya bila roh insan bertemu dengan cahaya Ilahi. Allah berfirman:
“Yang suci untuk yang suci pula”. (Surah an-Nuur, ayat 26).
Jika zauk datang dari rangsangan ego dan syaitan tiada cahaya di sana. Di sana hanya ada kegelapan tanpa cahaya, ragu-ragu, penafian dan kekeliruan. Kegelapan menjadi bapa kepada kegelapan. Dalam bahagian roh dan jiwa, ego tidak ada bahagian. Firman Tuhan:
“Yang tidak suci untuk yang tidak suci pula”. (Surah an-Nuur, ayat 26).
Penzahiran suasana zauk ada dua jenis: penzahiran zauk lahiriah yang bergantung kepada kehendak diri sendiri dan penzahiran zauk kerohanian yang di luar pilihan dan kehendak seseorang. Dalam kes pertama yang nyata ialah disengajakan. Jika seseorang menggeletar, bergoyang dan meraung walaupun bukan di bawah pengaruh kesakitan atau gangguan dalam tubuh, ia tidak dianggap sah. Apa yang sah ialah perubahan yang nyata pada keadaan lahiriah yang tidak disengajakan dan disebabkan oleh keadaan batin seseorang.
Penzahiran yang tidak disengajakan adalah akibat tenaga kerohanian yang tidak dapat dikawal oleh seseorang. Rohnya yang di dalam zauk mengatasi pancaindera. Ia adalah umpama keadaan meracau orang yang demam panas, agak tidak mungkin mencegah orang yang demikian daripada terketar-ketar, bergoyang dan menjadi kaku di dalam meracau itu kerana dia tidak ada kuasa terhadap penzahiran yang keluar atau berlaku kepadanya itu. Begitu juga bila tenaga kerohanian membesar sehingga mengalahkan kehendak, fikiran dan tubuh badan, zauk yang lahir daripada yang demikian adalah benar, jujur dan bersifat kerohanian. Keadaan zauk kerohanian yang demikian, yang di masuki oleh para sahabat akrab Allah di dalam melakukan pergerakan dan pusingan pada upacara mereka, adalah cara untuk menimbulkan keghairahan dan dorongan pada hati mereka. Ini adalah makanan bagi mereka yang mengasihi Allah; ia memberikan tenaga di dalam perjalanan mereka yang sukar dalam mencari yang hak. Nabi s.a.w bersabda, “Upacara keghairahan yang dilakukan oleh para pencinta Allah, tarian dan nyanyian mereka, merupakan kewajipan bagi sebahagian, dan bagi sebahagian yang lain adalah harus sementara bagi yang lain pula adalah bidaah. Ia adalah kewajipan bagi manusia yang sempurna, harus bagi kekasih Allah dan bagi yang lalai adalah bidaah”. Dan, “Adalah sifat yang tidak sihat bagi orang yang tidak merasa kelazatan berada bersama kekasih Allah: puisi orang arif yang mereka nyanyikan, musim bunga, warna dan keharuman bunga, burung dan nyanyiannya”.
Orang yang lalai, yang menganggapkan mencari zauk kerohanian sebagai bidaah, orang yang tidak sihat sifatnya yang tidak dapat menikmati kelazatan yang indah, adalah sakit dan tidak ada penawar untuk penyakit ini. Mereka lebih rendah daripada burung dan haiwan, lebih rendah daripada keldai, kerana haiwan juga menikmati irama. Bila Nabi Daud a.s melagukan suaranya burung-burung terbang di sekelilingnya untuk menikmati kemerduan suaranya. Nabi Daud a.s berkata, “Orang yang tidak mengalami keghairahan tidak dapat merasai agamanya”.
Terdapat sepuluh suasana zauk. Sebahagiannya ketara dan tanda-tandanya kelihatan kepada orang lain, seperti kesedaran rohani dan berzikir mengingati Allah dan membaca Quran dengan senyap. Menangis, merasai penyesalan yang mendalam, takutkan azab Allah, kerinduan dan kesayuan, malu terhadap kelalaian diri; apabila seseorang menjadi pucat atau mukanya berseri-seri kerana keghairahan daripada suasana dalaman dan kejadian di sekelilingnya, membara dengan kerinduan terhadap Allah – semua ini dan semua keganjilan pada lahiriah dan rohaniah yang dihasilkan oleh perkara-perkara tersebut adalah tanda-tanda zauk atau keghairahan.
Related posts
Pengasingan Diri
PENGASINGAN DIRI DARI DUNIA DENGAN MEMASUKI KHALWAT DAN SULUK
Khalwat dan suluk harus dilihat secara zahir dan batin. Khalwat zahir ialah apabila seseorang mengambil keputusan untuk memisahkan dirinya daripada dunia, memencilkan dirinya di dalam satu ruang yang terpisah daripada orang ramai supaya manusia dan makhluk di dalam dunia selamat daripada kelakuan dan kewujudannya yang tidak diingini. Dia juga berharap agar dengan berbuat demikian sumber kepada kewujudan yang tidak diingini, egonya dan hawa nafsu badannya akan terpisah daripada bekalan hariannya dan terhenti juga segala yang memuaskan dan mengenyangkannya. Seterusnya dia berharap pengasingan itu akan mendidik egonya dan seleranya, memberi peluang kepada perkembangan diri rohaninya.
Bila seseorang memutuskan demikian niatnya mestilah ikhlas. Dalam satu segi dia seumpama meletakkan dirinya di dalam kubur, dalam keadaan mati, mengharapkan semata-mata keredaan Allah, berhasrat dalam hatinya melahirkan yang asli dan beriman, yang boleh lahir daripada kewujudannya yang hina ini. Nabi s.a.w bersabda, “Yang beriman adalah yang orang lain selamat daripada tangan dan lidahnya”.
Dia mengikat lidahnya dari berkata yang sia-sia kerana Nabi s.a.w bersabda, “Keselamatan manusia datang dari lidah dan kebinasaannya juga dari lidah”. Dia menutupkan matanya daripada yang diharamkan agar pandangannya yang khianat dan menipu daya tidak jatuh ke atas apa yang dimiliki oleh orang lain. Dia menutup telinganya dari mendengar pembohongan dan kejahatan, dan mengikat kakinya, membelenggunya dari pergi kepada dosa.
Nabi s.a.w bersabda menceritakan setiap anggota badan boleh melakukan dosa sendirian, “Mata boleh berzina”. Bila salah satu daripada pancaindera berdosa satu makhluk hitam yang hodoh diciptakan daripadanya dan pada hari pembalasan ia menjadi saksi terhadap dosa yang kamu lakukan. Kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.
Tuhan memuji orang yang menghindarkan dirinya daripada kesalahan kerana yang demikian merupakan penyesalan yang sebenar, taubat yang kuat.
“Adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya, dan menegah diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itu tempat kembalinya”. (Surah an-Naazi’aat, ayat 40 & 41).
Orang yang takutkan Tuhannya dan bertaubat, mengeluarkan kewujudannya yang hina daripada yang beriman dan mengeluarkan keburukannya daripada imannya, ditukarkan di dalam khalwatnya, sehingga jadilah ia jejaka tampan. Kewujudan yang elok ini menjadi khadam kepada penghuni syurga.
Mengasingkan diri adalah benteng menghalang musuh bagi dosa diri sendiri dan kesalahan. Di dalamnya, sendirian, seseorang terpelihara di dalam kesucian. Firman Allah:
“Barangsiapa percaya akan pertemuan Tuhannya hendaklah ia kerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan seseorang jua dalam ibadat kepada Tuhannya”. (Surah al-Kahfi, ayat 110).
Semua yang diceritakan hingga kini adalah maksud bagi suasana khalwat zahir. Maksud khalwat batin pula ialah mengeluarkan dari hati walaupun hanya memikirkan hal keduniaan, kejahatan dan ego, meninggalkan makan, minum. Harta, keluarga, isteri, anak-anak dan perhatian serta kasih sayang semuanya.
Anggapan orang lain melihat atau mendengar tentangnya jangan masuk kepada khalwat ini. Nabi s.a.w bersabda, “Kebesaran dan apa yang diburunya adalah bala, dan melarikan diri daripada kebesaran dan mengharapkan pujian orang dan apa yang dibawanya adalah keselamatan.”. Orang yang bercadang memasuki khalwat batin mestilah menutupi hatinya daripada kemegahan, sombong, takabur, marah, dengki, khianat dan yang seumpamanya. Jika sebarang perasaan yang demikian masuk kepadanya di dalam khalwatnya hatinya menjadi terikat. Ia tidak lagi terlepas daripada dunia dan khalwat demikian tidak berguna. Sekali kekotoran memasuki hati ia kehilangan kesuciannya dan semua kebaikan terbatal.
“Apa yang kamu bawa itu sihir, sesungguhnya Allah akan membatalkannya (kerana) Allah itu tidak membaguskan amal orang-orang yang berbuat bencana”. (Surah Yunus, ayat 81).
Walaupun perbuatan seseorang itu kelihatan bagus pada pandangan orang lain, bila sifat-sifat buruk memasukinya, orang itu dianggap berlaku khianat dan menipu dirinya sendiri dan juga orang lain. Nabi s.a.w bersabda, “Sombong dan takabur mencemarkan iman. Fitnah dan umpatan lebih buruk dari dosa zina”. Juga, “Sebagaimana api membakar kayu dendam membakar dan menghapuskan perbuatan baik seseorang”. Juga, “Fitnah itu tidur, laknati ke atas siapa yang mengejutkannya”. Juga, “Orang yang bakhil tidak masuk syurga walaupun dia habiskan umurnya dengan ibadat”. Juga, “Kepura-puraan adalah bentuk sembunyi mengadakan sekutu bagi Tuhan”. Juga, “Syurga menolak orang yang menolak orang lain”.
Banyak lagi tanda-tanda sifat buruk yang dikutuk oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang dinyatakan sudah memadai untuk menunjukkan kepada kita bahawa dunia ini adalah tempat yang memerlukan berterusan di dalam berhati-hati dan berwaspada, perlu berjalan melaluinya dengan penuh cermat dan perhatian. Matlamat pertama jalan kerohanian ialah menyucikan hati dan langkah untuk memperolehinya ialah membenteras keegoan dan keinginan hawa nafsu. Di dalam khalwat, dengan berdiam diri, bertafakur dan berzikir terus menerus, ego seseorang diperbaiki. Kemudian Allah Yang Maha Tinggi menjadikan hati seseorang itu bercahaya.
Tiada yang dilakukan di dalam khalwat secara perbuatan sendiri. Apa yang perlu ialah cinta, ikhlas dan keyakinan yang sebenar. Cara ini bukan cara orang tersebut sendiri. Dia menuruti cara para sahabat Rasulullah s.a.w, cara orang-orang yang mengikuti mereka dan cara orang yang mengetahui cara mereka dan mengikutinya.
Bila orang yang yakin berada pada jalan ini menurut jalan taubat, ilham dan menyucikan hatinya, Allah mencabut dari hatinya dan dirinya segala yang merosakkan dan yang keji dan melindunginya agar dia tidak kembali kepadanya. Wajahnya akan menjadi cantik; perasaannya, samada dipendamkan atau dizahirkan, menjadi tulen. Apa sahaja yang dia lakukan dilakukannya dengan cara yang terpuji kerana dia berada di dalam kehadiran Ilahi. “Allah mendengar orang yang memuji-Nya”. Jadi, Allah menjaganya. Allah menerima doanya, kerinduannya dan puji-pujiannya dan mengabulkan segala keinginannya.
“Barangsiapa mahukan kemuliaan maka bagi Allah jualah semua kemuliaan. Kepada-Nya naik perkataan yang baik, amal yang salih itu Dia angkat”. (Surah Fatir, ayat 10).
Perkataan yang baik menyelamatkan lidah daripada perkataan yang sia-sia. Lidah adalah alat yang baik untuk memuji Tuhan, mengulangi nama-nama-Nya yang indah, memperakui keesaan-Nya. Allah memberi amaran terhadap perkataan yang sia-sia:
“Tidak sekali-kali! Sesungguhnya yang demikian perkataan yang ia ucapkan padahal di belakang mereka satu dinding hingga hari mereka dibangkitkan (mereka tidak benar dalam perkataan mereka)”. (Surah Mukminuun, ayat 100).
Allah mengurniakan keampunan-Nya, kasihan belas-Nya kepada orang yang belajar dan mengamalkannya dengan niat yang baik. Dia membawanya hampir dengan membawanya kepada darjat yang lebih tinggi. Dia reda kepadanya, Dia maafkan kesalahannya.
Bila seseorang telah dinaikkan kepada darjat itu hatinya menjadi seperti laut. Bentuk dan warna laut itu tidak berubah kerana sedikit Kekejaman dan penganiayaan yang orang ramai Buangkan kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, “Jadilah seperti laut yang tidak berubah, tetapi di dalamnya tentera gelap (ego) kamu akan lemas”, seperti Firaun lemas di dalam Laut Merah. Dalam lautan itu kapal agama timbul dengan selamat dan sejahtera, ia berlayar di dalam lautan yang luas itu. Roh orang yang di dalam khalwat terjun ke dasarnya untuk mendapatkan mutiara kebenaran, membawa ke permukaan mutiara kebijaksanaan (makrifat) dari batu karang budi pekerti dan menyebarkannya ke tempat yang jauh. Firman Allah:
“Keluar daripadanya mutiara dan marjan (batu karang)”. (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
Untuk memelihara lautan tersebut zahir kamu mestilah sama dengan batin kamu, diri kamu mestilah sama dengan apa yang kelihatan pada diri kamu. Suasana zahir dan suasana batin kamu mestilah satu. Bila ini terjadi, tiada lagi penipuan, hasutan atau kekacauan di dalam laut hati kamu. Tiada ribut nakal yang boleh memabukkan di dalam lautan yang tenang itu. Orang yang memperolehi suasana tersebut berada di dalam keadaan taubat sepenuhnya; ilmunya luas dan bermanfaat, perbuatannya semuanya adalah khidmat untuk orang lain, hatinya tidak mengalir kepada kejahatan. Jika dia tersilap atau lupa dia dimaafkan kerana dia ingat bila dia lupa dan bertaubat bila dia bersalah. Dia berada dalam kehampiran dengan Allah dan dirinya sendiri.
Related posts
Doa dan Zikir
DOA DAN ZIKIR BERHUBUNG DENGAN JALAN SULUK
Sesiapa yang memilih untuk memisahkan dirinya daripada dunia supaya dia dapat menghampiri Allah hendaklah tahu ibadat-ibadat seperti doa dan zikir yang sesuai untuk tujuan tersebut. Melakukan ibadat tersebut memerlukan suasana yang suci dan sebaik-baiknya berada di dalam keadaan berpuasa. Bilik khalwat biasanya berhampiran dengan masjid kerana syarat bagi salik perlu meninggalkan bilik khalwatnya lima kali sehari bagi mengerjakan sembahyang berjemaah dan pada ketika tersebut hendaklah menjaga dirinya agar tidak menonjol, menyembunyikan diri dan tidak berkata-kata walau sepatah perkataan pun. Sesiapa yang di dalam suluk hendaklah mengambil langkah tegas untuk lebih menghayati dan mematuhi prinsip-prinsip, dasar-dasar dan syarat-syarat sembahyang berjemaah.
Setiap malam, ketika tengah malam, salik mestilah bangun untuk mengerjakan sembahyang tahajjud, yang bermaksud suasana jaga sepenuhnya di tengah-tengah tidur. Sembahyang tahajjud membawa symbol kebangkitan setelah mati. Bila seseorang berjaya bangun untuk melakukan sembahyang tahajjud dia adalah Pemilik hatinya dan pemikirannya bersih. Agar suasana jaga ini tidak rosak dia tidak seharusnya melibatkan diri dengan kegiatan harian seperti makan dan minum.
Sebaik sahaja bangun dengan menyedari dibangkitkan daripada kelalaian kepada kesedaran, ucapkan:
“Alhamduli-Llahi ahyani ba’da ma amatani wa-ilaihin-nusyur- Segala puji bagi Allah yang membangkitkan daku setelah mengambil hidupku. Selepas mati semua akan dibangkitkan dan kembali kepada-Nya”.
Kemudian bacakan sepuluh ayat terakhir surah al-‘Imraan, iaitu ayat 190 – 200. Selepas itu mengambil wuduk dan berdoa:
“Kemenangan untuk Allah! Segala puji untuk-Mu. Tidak ada yang lain daripada-Mu yang layak menerima ibadat. Daku bertaubat dari dosaku. Ampuni dosaku, maafkan kehadiranku, terimalah taubatku. Engkau Maha Pengampun, Engkau suka memaafkan. Wahai Tuhanku! Masukkan daku ke dalam golongan mereka yang menyedari kesalahan mereka dan masukkan daku ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang salih yang memiliki kesabaran, yang bersyukur, yang mengingati Engkau dan yang memuji Engkau malam dan siang”.
Kemudian dongakkan pandangan ke langit dan buat pengakuan:
“Aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah, Esa, tiada sekutu, dan aku naik saksi Muhamamd adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Daku berlindung dengan keampunan-Mu daripada azab-Mu. Daku berlindung dengan keredaan-Mu daripada murka-Mu. Daku berlindung dengan-Mu daripada-Mu. Aku tidak mampu mengenali-Mu sebagaimana Engkau kenali Diri-Mu. Aku tidak mampu memuji-Mu selayaknya. Daku adalah hamba-Mu, daku adalah anak kepada hamba-Mu. Dahiku yang di atasnya Engkau tuliskan takdir adalah dalam tangan-Mu. Perintah-Mu berlari menerusi daku. Apa yang Engkau tentukan untukku adalah baik bagiku. Daku serahkan kepada-Mu tanganku dan kekuatan yang Engkau letakkan padanya. Daku buka diriku di hadapan-Mu, mendedahkan semua dosaku. Tiada Tuhan kecuali Engkau, dan Engkau Maha Pengampun, aku yang zalim, aku yang berbuat kejahatan, daku menzalimi diriku. Untukku kerana daku adalah hamba-Mu ampunkan dosa-dosaku. Engkau jualah Tuhan, hanya Engkau yang boleh mengampunkan”.
Kemudian menghadap ke arah kiblat dan ucapkan:
“Allah Maha Besar! Segala puji untuk-Nya. Aku ingat dan membesarkan-Nya”.
Kemudian ucapkan sepuluh kali:
“Segala kemenangan buat Allah”.
Kemudian ucapkan sepuluh kali:
“Segala puji dan syukur untuk Allah”.
Kemudian ucapkan sepuluh kali:
“Tiada Tuhan melainkan Allah”.
Kemudian lakukan sembahyang sepuluh rakaat, dua rakaat satu salam. Nabi s.a.w bersabda, “Sembahyang malam dua, dua”. Allah memuji orang yang bersembahyang malam.
“Dan di sebahagian malam hendaklah engkau sembahyang tahajjud sebagai sembahyang sunat untukmu, supaya Tuhanmu bangkitkan kamu di satu tempat yang terpuji”. (Surah Bani Israil, ayat 79).
“Renggang rusuk-rusuk mereka dari tempat tidur, dalam keadaan menyeru Tuhan mereka dengan takut dan penuh harapan, dan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan itu mereka belanjakan”. (Surah as-Sajadah, ayat 16 & 17).
Kemudian pada akhir malam bangun semula untuk mengerjakan sembahyang witir tiga rakaat, sembahyang yang menutup semua sembahyang-sembahyang pada hari itu. Pada rakaat ketiga selepas al-Faatihah bacakan satu surah dari Quran, kemudian angkatkan tangan seperti pada permulaan sembahyang sambil ucapkan “Allahu Akbar!” dan bacakan doa qunut. Kemudian selesaikan sembahyang seperti biasa.
Setelah matahari terbit orang yang di dalam suluk perlu melakukan sembahyang isyraq, sembahyang yang menerangi, dua rakaat. Selepas itu melakukan sembahyang istihadha’ dua rakaat, mencari perlindungan dan keselamatan daripada syaitan. Pada rakaat pertama selepas al-Faatihah bacakan surah al-Falaq. Dalam rakaat kedua selepas al-Faatihah bacakan surah an-Nas.
Bagi mempersiapkan diri untuk hari itu lakukan sembahyang sunat istikharah, sembahyang meminta petunjuk Allah untuk keputusan yang benar pada hari itu. Pada tiap rakaat selepas al-Faatihah bacakan ayat al-Kursi. Kemudian tujuh kali surah al-Ikhlas. Kemudian pagi itu lakukan sembahyang dhuha, sembahyang kesalihan dan kedamaian hati. Lakukan enam rakaat. Bacakan surah asy-Syams dan surah ad-Dhuha. Sembahyang dhuha diikuti oleh dua rakaat kaffarat, sembahyang penebusan terhadap kekotoran yang mengenai seseorang tanpa boleh dielakkan atau disedari. Tersentuh dengan kekotoran walaupun secara tidak sengaja masih berdosa, boleh dihukum. Ini boleh berlaku walaupun di dalam suluk, misalnya melalui keperluan tubuh badan. Nabi s.a.w bersabda, “Jaga-jaga dari najis – walaupun ketika kamu kencing, satu titik tidak mengenai kamu – kerana ia adalah keseksaan di dalam kubur”. Setiap rakaat, selepas membaca al-Faatihah bacakan surah al-Kausar tujuh kali.
Satu lagi sembahyang – panjang, walaupun empat rakaat – harus dilakukan dalam satu hari semasa khalwat atau suluk. Ini adalah sembahyang tasbih – sembahyang penyucian atau pemujaan. Jika seseorang itu mengikuti mazhab Hanafi dia melakukannya empat rakaat satu salam. Jika dia berfahaman Syafi’e dilakukannya dua rakaat satu salam, dua kali. Ini jika dilakukan di siang hari. Jika dilakukan malam hari Hanafi dan Syafi’e sependapat, dua rakaat satu salam, dua kali.
Nabi s.a.w memberitahu mengenai sembahyang ini kepada bapa saudara baginda, Ibnu Abbas, “Wahai bapa saudaraku yang ku kasihi. Ingatlah aku akan berikan kepada kamu satu pemberian. Perhatikanlah aku akan Sampaikan kepada kamu satu yang sangat baik. Ingatlah aku akan berikan kepada kamu kehidupan dan harapan baharu. Ingatlah aku akan berikan kepada kamu sesuatu yang bernilai sepuluh daripada perbuatan-perbuatan yang baik. Jika kamu kerjakan apa yang aku beritahu dan ajarkan kepada kamu Allah akan ampunkan dosa-dosa kamu yang lalu dan yang akan datang, yang lama dan yang baharu, yang kecil dan yang besar. Lakukan secara diketahui atau tidak diketahui, secara tersembunyi atau terbuka”.
“Engkau kerjakan sembahyang empat rakaat. Pada tiap-tiap rakaat selepas al-Faatihah kamu bacakan satu surah dari Quran. Ketika kamu berdiri bacakan lima belas kali:
Subhana Llahi il-hamdu li-Llahi la ilaha illa Llahu wa-Llahu akbar, wa-la hawla wa-la quwwata illa billahil l-‘Ali I-‘Azim.
Bila kamu rukuk, tangan di atas lutut, bacakan sepuluh kali. Ketika berdiri ulanginya sepuluh kali lagi. Ketika kamu sujud bacakan sepuluh kali. Bila kamu bangun dari sujud bacakan sepuluh kali. Ketika duduk bacakan sepuluh kali. Sujud semula bacakan sepuluh kali. Duduk semula bacakan sepuluh kali. Kemudian bangun untuk rakaat kedua. Lakukan serupa untuk rakaat yang lain sehingga empat rakaat”.
“Jika kamu mampu lakukan sembahyang ini setiap hari. Jika tidak lakukan sekali sebulan. Jika tidak mampu juga lakukan sekali setahun. Jika masih tidak mampu lakukan sekali seumur hidup”.
Jadi, empat rakaat itu tasbih diucapkan sebanyak tiga ratus kali. Sebagaimana Nabi s.a.w ajarkan kepada bapa saudara baginda Ibnu Abbas, dianjurkan juga kepada orang yang bersuluk melakukan sembahyang tersebut.
Selain daripada tugas tersebut orang yang di dalam suluk juga dianjurkan membaca Quran sekurang-kurangnya sebanyak 200 ayat sehari. Dia juga hendaklah mengingati Allah secara terus menerus dan menurut suasana rohani, samada menyebut nama-nama-Nya yang indah secara kuat atau senyap di dalam hati. Ingatan di dalam hati secara senyap hanya bermula bila hati kembali jaga dan hidup. Bahasa zikir ini adalah perkataan rahsia yang tersembunyi.
Setiap orang mengingati Allah menurut keupayaan masing-masing. Allah berfirman:
“Hendaklah kamu sebut Dia sebagaimana Dia pimpin kamu”. (Surah al-Baqarah, ayat 198).
Ingatlah kepada-Nya menurut kemampuan kamu. Pada setiap tahap kerohanian ingatan itu berbeza-beza. Ia mempunyai satu nama lagi, ia mempunyai satu sifat lagi, satu cara lagi. Hanya orang yang ditahap itu tahu zikir yang sesuai.
Orang yang di dalam suluk juga dianjurkan membaca surah al-Ikhlas seratus kali sehari. Perlu juga membaca Selawat seratus kali sehari. Dia juga perlu membaca doa ini sebanyak seratus kali:
“Astaghfiru Llah al-‘Azim, la ilaha illa Huwa l-Hayy ul-Qayyum – mimma qaddamtu wa-ma akhkhartu wa-ma ‘alantu wa-ma asrartu wa-ma anta a’lamu bihi minni. Anta l-Muqaddimu wa-antal Muakhkhiru wa-anta ‘ala kulli syai in Qadir”.
Masa yang selebihnya setelah dilakukan ibadat-ibadat yang telah dinyatakan, gunakan untuk membaca Quran dan lain-lain pekerjaan ibadat.
Related posts
Mimpi
Mimpi yang dimimpikan di antara masa seseorang hampir lena hingga dia tidur lena adalah benar dan berfaedah. Mimpi-mimpi ini selalunya merupakan pembawa pembukaan dan perantaraan kepada yang luar biasa. Bukti kebenaran mimpi dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27).
Dan memang benar Nabi s.a.w memasuki kota Makkah yang masih dikuasai oleh musuh-0musuh baginda, tahun sesudah baginda bermimpi. Contoh lain ialah mimpi Nabi Yusuf a.s:
“Tatkala Yusuf berkata kepada bapanya, ‘Wahai bapaku, sesungguhnya aku melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan – aku lihat – bersujud kepadaku”. (Surah Yusuf, ayat 4).
Nabi s.a.w bersabda, “Tidak ada nabi yang datang selepas aku tetapi boleh datang pembukaan-pembukaan yang lain. Orang yang beriman akan melihat pembukaan itu dalam mimpi mereka atau pembukaan itu akan ditunjukkan kepada mereka menerusi mimpi”.
“Bagi mereka pembukaan tentang khabar baik dalam dunia ini dan di akhirat”. (Surah Yunus, ayat 64).
Mimpi datangnya dari Allah tetapi kadang-kadang ada juga yang datang dari syaitan. Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi sesungguhnya dia benar-benar melihatku kerana syaitan tidak dapat mengambil bentukku”. Syaitan juga tidak dapat mengambil bentuk mereka yang mengikut iman, jalan kebenaran, makrifat, kebenaran dan cahaya Nabi s.a.w. Orang arif mentafsirkan hadis Nabi s.a.w di atas dengan mengatakan syaitan bukan sahaja tidak dapat mengambil bentuk Nabi s.a.w malah syaitan juga tidak dapat berpura-pura mengakui seseorang atau sesuatu yang ada sifat kemurahan dan kebaikan atau kasih sayang dan lemah lembut dan beriman. Sesungguhnya Nabi-nabi, wali-wali, malaikat, Masjidil haram, matahari, bulan, awan putih, Quran yang suci, merupakan kewujudan yang ke dalamnya syaitan tidak boleh masuk juga tidak dapat mengambil bentuk mereka. Ini kerana syaitan adalah tempat dan keadaan yang menzahirkan kekerasan, hukuman dan kesengsaraan. Ia hanya boleh menggambarkan kekeliruan dan keraguan. Bila seseorang sudah memiliki di dalam dirinya kenyataan nama Allah, ‘Pembimbing Mutlak Kepada Kebenaran’, bagaimana sifat yang membawa kekacauan itu boleh menyata dalam dirinya? Sifat-sifat yang bertentangan satu sama lain tidak boleh bertukar tempat, seperti air dengan api. Kemurkaan tidak dapat mengambil tempat kemurahan, juga tidak boleh api menyerupai air. Mereka menolak sesama mereka, mereka berjauhan, mereka kepunyaan ruang yang berlainan. Allah Pisahkan kebenaran daripada kepalsuan:
“Demikianlah Allah nyatakan kebenaran dan kepalsuan… dengan misalan dan ibarat…”. (Surah ar-Ra’d, ayat 17).
Tetapi syaitan boleh mengaku menjadi Allah dan menipu manusia, membawa mereka menjadi sesat. Ini hanya boleh dilakukan dengan izin Allah. Allah mempunyai banyak sifat-sifat yang kelihatan bertentangan satu sama lain. Misalnya sifat-Nya Yang Gagah dan Keras kelihatan berlawanan dengan sifat-Nya Yang Indah dan Lemah-lembut. Syaitan dilaknati hanya boleh berpura-pura mengambil watak kemarahan dan keperkasaan kerana ia secara kejadian asalnya adalah bentuk menyatakan kekerasan Allah. Allah memiliki kedua-dua sifat, Pembimbing Mutlak kepada kebenaran dan juga Pembawa kepada kesesatan. Syaitan tidak boleh menjelma dengan watak sifat yang mengandungi nilai pembimbingan. Jika syaitan berpura-pura menjelmakan sebarang sifat Allah, ia lakukannya dengan kehendak dan izin Allah, bagi membimbing orang yang beriman kepada kebaikan dengan menentang kejahatan, membawanya kepada kebenaran dengan cara menentang kepalsuan. Dalam kenyataannya syaitan tidak ada sebarang kuasa untuk merampas iman daripada seseorang yang beriman; ia hanya boleh mengambilnya jika orang yang beriman itu sendiri mencampakkan imannya.
Allah memerintahkan Nabi-Nya supaya:
“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”. (Surah Yusuf, ayat 108).
Dalam ayat ini ‘orang yang mengikuti daku’ adalah manusia sempurna, guru kerohanian yang sebenar yang akan datang selepas Nabi Muhamamd s.a.w, yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan kebijaksanaan baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. Manusia yang demikian digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar’. (Surah al-Kahfi, ayat 17).
Ada dua jenis mimpi; subjektif (memberi pandangan atau perasaan sendiri) dan objektif (bermatlamat), masing-masing dibahagi kepada dua jenis. Jenis pertama mimpi subjektif ialah bayangan atau gambaran suasana kerohanian yang tinggi dan hasil daripada keharmonian, dan kelihatan dalam gambar seperti matahari, bulan, bintang, pemandangan padang pasir putih bermandikan cahaya, taman syurga, mahligai, roh yang cantik dalam bentuk malaikat dan lain-lain. Ini semua adalah sifat-sifat hati yang murni. Jenis kedua mimpi subjektif mengandungi gambaran yang berkaitan dengan suasana seseorang yang bebas daripada keresahan, yang mengenal diri dan menemui ketenteraman fikirannya. Gambaran-gambaran ini adalah kelazatan yang dia akan temui dalam syurga, bau-bauan dan suara di dalam syurga. Dia akan bermimpikan beberapa jenis haiwan dan burung yang menyerupai yang paling cantik yang jenisnya ada dalam dunia. Haiwan yang dilihat di dalam mimpi itu adalah haiwan syurga. Misalnya, unta adalah haiwan syurga. Kuda dihantar sebagai haiwan yang membawa tentera suci di dalam peperangan menentang orang-orang kafir di sekelilingnya dan di dalamnya. Lembu jantan kepada Nabi Adam a.s bagi menenggala tanah untuk ditanam gandum. Kambing biri-biri datangnya dari madu syurga, unta diciptakan dari cahaya syurga, kuda daripada selasih manis di dalam syurga, biri-biri daripada kunyit syurga.
Baghal menggambarkan suasana terendah seseorang yang menemui hati dan fikiran yang tenang. Bila dia mimpikan baghal itu tandanya dia cuai dan malas di dalam melakukan ibadat sebab hawa nafsu badannya menahan, dan usaha kerohaniannya tidak memberi hasil. Kemudian dia harus bertaubat dan teruskan melakukan kebajikan supaya dia akan mendapat hasil.
Keldai diciptakan dari batu syurga dan diberikan untuk berkhidmat kepada Nabi Adam a.s dan keturunannya. Keldai adalah lambang jasad dan keperluan kebendaannya, ego dan pentingkan diri sendiri. Jasad adalah haiwan yang membawa beban, membawa roh. Jika seseorang menjadi hamba kepada jasad dia adalah umpama orang yang memikul keldai di atas bahunya, tetapi manusia sebenar menunggangi keldai jasad kebendaannya. Jadi, keldai melambangkan cara atau alat dia mengarahkan urusan akhiratnya di dalam dunia ini.
Berkata-kata dengan jejaka tampan dengan wajah yang berseri-seri adalah tanda kenyataan Ilahi sampai kepada seseorang itu kerana mereka yang sudah memperolehi makrifat kepada kenyataan Ilahi di dalam syurga akan muncul di dalam rupa yang cantik. Nabi s.a.w menggambarkan orang demikian sebagai berkeadaan serba-kena, serba-elok, lemah lembut dan mempunyai mata kehitaman yang indah. Baginda bahkan mengatakan, “Aku lihat Tuhanku dalam rupa jejaka tampan”. Kerana Allah tidak menyerupai sesuatu, hadis ini dimengertikan sebagai kenyataan sifat-sifat Allah Yang Maha Indah digambarkan di dalam cermin roh yang suci. Gambaran ini dinamakan bayi bagi hati. Rupa kebendaan, badan, adalah cermin kepada kebijaksanaan ketuhanan yang mengajarkan dan membentuk kita. Gambaran ini juga adalah perhubungan di antara hamba dengan Tuhan. Saidina Ali r.a berkata, “Jika aku tidak dibentuk oleh Tuhanku aku tidak akan mengenal-Nya”.
Bagi pembentukan kerohanian, seseorang itu memerlukan petunjuk, bimbingan dan teladan daripada pembimbing yang masih hidup. Guru-guru yang menjadi pembimbing adalah nab-nabi dan orang-orang yang hampir dengan Allah yang mewarisi kebijaksanaan nabi-nabi. Melalui pengajaran mereka hati dan diri seseorang diterangi cahaya, menerangi perjalanan mereka. Murid menemui roh yang diilhamkan di dalam dirinya melalui mereka yang menjadi guru kerohanian tersebut.
“Dia jualah yang tinggi darjat-Nya, yang memiliki arasy. Dia kirimkan roh (dari perintah-Nya) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya buat Dia ancam dengan hari pertemuan”. (Surah Mukmin, ayat 15).
Untuk keselamatan hati kamu mestilah mendapatkan guru yang mengilhamkan kamu dengan roh itu.
Imam al-Ghazali berkata, “Tidak menjadi kesalahan bagi seseorang melihat Allah dalam mimpinya sebagai gambaran yang indah. Gambaran itu adalah symbol menurut peringkat kerohanian seseorang. Apa yang dilihat tentu sekali bukan Zat Yang Maha Suci yang tidak serupa dengan sesuatu. Begitu juga Nabi s.a.w tidak dapat dilihat dalam rupa baginda yang asli, kecuali mereka yang menjadi waris kepada hikmah kebijaksanaan baginda, ilmu dan amalan baginda, dan yang mengikuti baginda secara keseluruhan. Yang lain, bila mereka mimpikan Rasulullah s.a.w, mimpikan simbol menurut kemampuan dan suasana mereka, tetapi mereka tidak sebenarnya melihat baginda”.
Kata qil (kata orang bijak pandai), “Dibolehkan melihat Allah di dalam mimpi sebagai cahaya atau rupa manusia”. Dia menyatakan Diri-Nya dalam bentuk sifat-sifat-Nya. Kepada Nabi Musa a.s Dia kelihatan sebagai api pada pokok jujube yang terbakar. Itu adalah penzahiran tentang Kalam Suci yang Nabi Musa a.s dengan sebagai Belukar Terbakar, mengatakan,“Wahai Musa, apakah di tangan kamu?’ (Surah Ta Ha, ayat 15).
Apa yang kelihatan kepada Musa a.s sebagai api adalah cahaya Ilahi. Dia melihatnya sebagai api menurut peringkat dan hasratnya, kerana dia sedang mencari api. Bagi manusia, peringkat kewujudan terendah pada dirinya ialah tumbuh-tumbuhan, kemudian haiwan. Apakah yang ganjil jika manusia yang telah menyucikan dirinya daripada tahap-tahap rendah itu sehingga menjadi manusia sempurna, melihat kenyataan Tuhan dizahirkan sebagai Belukar Terbakar. Bagi manusia sempurna yang lain Allah menzahirkan Kalam-Nya sebagai perkataan mereka sendiri, keluar daripada mulut mereka. Bayazid al-Bustami berkata, “Zatku adalah Yang Maha Mulia. Betapa besarnya kemuliaan daku”. Kalam Suci keluar daripada mulut Junaid al-Baghdadi, “Tiada yang lain kecuali Allah di dalam jubahku”. Terdapat rahsia-rahsia besar di dalam peringkat seperti ini yang dicapai oleh manusia sempurna. Terlalu sukar untuk menerangkannya dan terlalu panjang untuk menghuraikannya. Ia hanya berkaitan dengan mereka yang menghabiskan hayatnya mengejar ilmu batin.
Untuk menjadi penerima penzahiran Ilahi dan untuk berhubung dengan roh Nabi s.a.w, seseorang mesti diajar dan dididik dan dibawa ke peringkat kerohanian tersebut. Orang yang baharu memasuki perjalanan kerohanian tidak boleh berharap dapat berhubung dengan Allah dan Rasul-Nya. Di antara guru yang suci yang hampir dengan Allah dan Rasul-Nya ada hubungan yang mengatasi zahiriah. Jika Nabi s.a.w masih hidup seseorang boleh mengambil ilmu secara langsung daripada baginda dan tidak perlulah kepada perantaraan. Tetapi oleh kerana baginda sudah wafat dan berpindah kepada alam baqa, baginda berpisah dengan keadaan keduniaan dan kebendaan. Jadi, seseorang tidak dapat berhubung secara langsung dengan baginda. Hal yang sama juga terjadi pada guru yang benar. Bila mereka meninggal dunia orang ramai tidak boleh lagi belajar dengan mereka.
Kamu akan faham jika kamu mempunyai pengertian yang mendalam, jika kamu mencari bukan untuk menjadi luar biasa. Mencari untuk memperolehi kefahaman ini dengan renungan mendalam, agar kamu melepasi kegelapan ego diri kamu dengan cahaya yang dinyalakan. Kamu perlu cahaya untuk melihat, untuk mengerti. Kamu tidak boleh melihat di dalam kegelapan. Cahaya itu hanya jatuh pada tempat yang sesuai, yang teratur dan suci, tempat yang mulia. Orang yang baharu, dengan dirinya sendiri, tidak dapat meletakkan dirinya dalam kesesuaian dan sebab itu memerlukan guru.
Guru yang masih hidup mestilah ada hubungan dengan Nabi s.a.w – iaitu jika dia benar-benar pewaris suasana Nabi s.a.w. Dalam perjalanannya dia menerima bimbingan daripada Nabi s.a.w dan diajarkan untuk menjadi hamba Allah yang sabar. Dengan bantuan ini dia menjadi alat bagi penerusan jalan batin. Selebihnya adalah rahsia. Hanya orang yang layak mengalaminya akan mengalaminya.
“Bagi Allah jualah kemuliaan dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang mukmin”. (Surah Munafiquun, ayat 8).
Suasana yang mulia ini adalah rahsia.
Latihan kerohanian bukanlah perkara mudah. Roh kebendaan berada di dalam tubuh dan dilatih dengannya. Tempat roh kerohanian di dalam hati. Tempat roh sultan adalah pusat hati. Tempat roh kudus (roh suci) adalah rahsia. Rahsia itu adalah jalan yang menghubungkan yang hak dengan orang yang beriman. Ia adalah juru bahasa, menterjemahkan yang hak kepada si pencari, kerana rahsia itu kepunyaan Allah, adalah hampir dengan-Nya dan amanah-Nya.
Ada juga mimpi akibat kelakuan buruk. Ia menunjukkan sifat-sifat ego yang menguasai atau kesedaran terhadap kesalahan tetapi dia tidak mampu menghentikannya.
Malah dalam suasana yang lebih baik bila seseorang diingatkan oleh Allah tentang kesalahan dan dosanya dia mimpikan haiwan liar seperti harimau dan singa, serigala dan beruang, anjing dan babi jantan, dan haiwan-haiwan kecil – musang, arnab, kucing ular, kala jengking dan haiwan yang memakan daging dan juga haiwan berbisa, haiwan yang merosakkan.,
Untuk menyatakan sebahagian kecil kejahatan yang ditunjukkan oleh gambaran-gambaran itu: Harimau adalah simbol; ujub dan besar diri serta takabur yang sampai kepada peringkat angkuh dengan Allah:
“Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan tidak mahu terima dia, maka tidak akan dibuka pintu-pintu langit dan tidak akan mereka masuk syurga sehingga unta boleh masuk ke lubang jarum”. (Surah al-A’raaf, ayat 40).
Hukuman yang sama juga bagi mereka yang angkuh dengan sesama manusia.
Serigala adalah simbol kasihkan diri yang melampau dan inginkan pujian. Beruang melambangkan kemarahan dan keberangan dan kezaliman ke atas orang yang dia kuasai. Serigala melambangkan kerakusan tanpa memperdulikan haram dan halal, bersih atau kotor. Anjing melambangkan kasihkan dunia dan huru harinya. Babi melambangkan kedinginan, cita-cita tinggi, berendam dan hawa nafsu yang kuat. Musang menunjukkan penipuan, pembohongan, menipu dalam urusan dunia. Arnab menunjukkan kelakuan yang sama, kecuali dilakukan secara tidak sedar dan dalam kelalaian. Harimau bintang – usaha yang digunakan tanpa pertimbangan dan menyakitkan hati, juga ingin menjadi terkenal. Kucing – kebakhilan dan memutar belit. Ular – berbohong, mengata-ngata, membuat tuduhan palsu dan menyakitkan orang lain dengan perkataannya. Kala jengking – kritik yang tidak sihat, mempersendakan orang dan tidak menerima mereka. Tebuan – bahasa kesat yang menyakitkan hati orang.
Jika seseorang bermimpi berlawan dengan salah satu daripada haiwan tersebut tetapi tidak dapat mengalahkannya dia perlu memperkuatkan lagi usaha, ibadat dan ingatan secara sedar, sehingga sekali pukul binatang itu dapat dihapuskan. Jika bermimpi membunuh binatang itu bermakna dia telah berhenti melakukan kesalahan dan menyakitkan hati orang lain. Allah berfirman:
“Dia akan hapuskan daripada mereka kejahatan dan Dia akan perbaiki keadaan mereka”. (Surah Muhammad, ayat 2).
Jika dia bermimpi salah satu daripada binatang itu berubah menjadi manusia itu tandanya suasananya yang salah dahulu telah diperbetulkannya dan taubatnya diterima, kerana tanda sebenar taubat diterima ialah ketidak-upayaan melakukan kesalahan yang sama.
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan akal salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan…” (Surah al-Furqaan, ayat 70).
Bila seseorang diselamatkan daripada kejahatan dan kesalahan dia mesti menjaganya sungguh-sungguh, jangan berasa sudah selamat, kerana hawa nafsu dan ego mendapat kembali kekuatannya melalui ingatan yang sedikit terhadap keingkaran, bangkangan dan kejahatan, dan membawa seseorang kembali kepada cara lama. Suasana roh yang sejahtera dengan mudah akan hilang. Tujuan Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya menahan diri daripada yang haram adalah mengwujudkan amaran yang berterusan untuk menjaga seseorang agar sentiasa berwaspada.
Ego jahat yang memerintah kadang-kadang kelihatan dalam mimpi sebagai orang kafir; diri yang mengkritik diri sendiri boleh kelihatan sebagai orang Yahudi; diri yang berperangsang kadang-kadang kelihatan sebagai orang Kristian.
Related posts
Pengikut jalan Kerohanian
PENGIKUT-PENGIKUT JALAN KEROHANIAN
Orang-orang yang mengikuti jalan kerohanian terbahagi kepada dua bahagian atau golongan. Golongan pertama ialah yang termasuk ke dalam kumpulan Sunnis; mereka yang mengikuti peraturan Quran dan amalan serta peraturan yang berasal daripada kelakuan dan perbuatan Rasulullah s.a.w. Mereka ikuti peraturan ini dalam perkataan, perbuatan, pemikiran dan perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin agama – iaitu mereka mengerti bukan ikut secara taklid buta. Mereka beramal dan hidup menurut peraturan agama, merasainya dan menikmatinya, bukan semata-mata menanggung sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka. Inilah jalan kerohanian yang mereka ikut. Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih sayang. Sebahagian daripada mereka dijanjikan syurga tanpa hisab, yang lain akan menderita sedikit azab hari kiamat dan kemudian masuk syurga. Namun ada juga sebahagian yang memasuki neraka beberapa ketika yang singkat untuk menyucikannya daripada dosa sebelum masuk syurga. Tiada yang akan kekal di dalam neraka. Yang akan kekal di dalam neraka ialah orang kafir dan munafik.
Golongan kedua terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang bidaah. Nabi s.a.w telah memberi peringatan, ” Kamu, seperti Bani Israil sebelum kamu, seperti umat Isa anak Maryam, akan dibahagikan dan dipisahkan di antara satu sama lain. Sebagaimana mereka mereka-reka dan mengubah-ubah, kamu juga akan mengadakan bidaah. Dengan masa berlalu dalam bidaah, tentangan dan dosa, kamu akan jadi seperti mereka dan berbuat yang sama. Jika mereka masuk ke dalam lubang ular yang berbisa kamu juga akan mengikuti mereka. Kamu patut tahu Bani Israil berpecah kepada tujuh puluh satu kumpulan. Kesemuanya dalam kesesatan kecuali satu. Dan orang Nasrani berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan semuanya sesat kecuali satu. Aku bimbang umatku akan dipecahkan kepada tujuh puluh tiga kumpulan. Ini terjadi kerana mereka mengubah yang benar kepada yang salah dan yang haram kepada yang halal menurut pertimbangan mereka sendiri, untuk muslihat dan keuntungan mereka, kecuali satu, semua kumpulan itu akan ke neraka, dan kumpulan yang satu itu akan selamat.” Bila ditanya siapakah yang satu diselamatkan itu baginda bersabda, “Mereka yang mengikuti kepercayaan dan perbuatanku serta para sahabatku”.
Di bawah ini dinyatakan sebahagian daripada jalan bidaah yang dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengakui diri mereka orang kerohanian:
Hululiyya – percaya kepada penjelmaan dalam bentuk makhluk atau manusia, mendakwa halal melihat tubuh dan wajah yang cantik, samada perempuan atau lelaki, siapa sahaja samada isteri-isteri atau suami-suami, anak-anak perempuan atau saudara-saudara perempuan orang lain. Mereka juga bercampur dan menari bersama-sama. Ini jelas bertentangan dengan peraturan Islam dan menjaga kesucian dan kehormatan di dalam peraturan tersebut.
Haliyya – mencari kerasukan zauk dengan cara menari, menyanyi, menjerit dan bertepuk tangan. Mereka mendakwa syeikh mereka berada dalam suasana yang mengatasi batasan hukum agama. Jelas sekali mereka terpesung jauh daripada perjalanan Nabi s.a.w yang dalam tindak tanduk mematuhi hukum agama.
Awliya’iyya – mendakwa mereka berada dalam kehampiran dengan Allah dan mengatakan bila hamba hampir dengan Tuhan semua kewajipan agama terangkat daripada mereka. Seterusnya mereka mendakwa seorang wali, orang yang hampir dengan Allah, menjadi sahabat akrab-Nya, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada nabi. Mereka mengatakan ilmu sampai kepada Rasulullah s.a.w melalui Jibrail sementara wali menerima ilmu secara langsung dari Tuhan. Pandangan salah tentang suasana mereka dan apa yang mereka sifatkan kepada diri mereka adalah dosa mereka yang paling besar yang membawa mereka kepada bidaah dan kekufuran.
Syamuraniyya – percaya dunia ini kekal abadi, dan sesiapa yang mengucapkan perkataan abadi akan terlepas daripada tuntutan agama, lagi mereka tidak ada hukum halal dan haram. Mereka menggunakan alat musik dalam upacara ibadat mereka. Mereka tidak memisahkan lelaki dengan perempuan. Mereka tidak membezakan dua jantina itu. Mereka adalah kumpulan kafir yang tidak boleh diperbetulkan lagi.
Hubiyya – mengatakan bila manusia sampai ke peringkat cinta mereka bebas daripada semua kewajipan agama. Mereka tidak menutup kemaluan mereka.
Huriyya – seperti Haliyya, enggan menjerit, menyanyi, menari dan bertepuk tangan, mereka menjadi kerasukan dan di dalam suasana kerasukan itu mereka mendakwa mengadakan hubungan jenis dengan bidadari; bila keluar dari kerasukan mereka mandi junub. Mereka dimusnahkan oleh pembohongan mereka sendiri.
Ibahiyya – enggan mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Mereka menghukumkan haram sebagai halal. Mereka memahatkan pendapat ini kepada kaum perempuan. Bagi mereka semua perempuan halal bagi semua lelaki.
Mutakasiliyya – menjadikan prinsip kemalasan dan meminta sedekah dari rumah ke rumah sebagai cara mendapatkan keperluan harian mereka. Mereka mendakwa telah meninggalkan segala hal ehwal dunia. Mereka gagal dan terus gagal di dalam kemalasan mereka.
Mutajahiliyya – berpura-pura jahil dan dengan sengaja berpakaian tidak sopan, cuba menunjukkan dan berkelakuan seperti orang kafir, sedangkan Allah berfirman, “Jangan cenderung kepada yang berbuat dosa”. (Surah Hud, ayat 113). Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang cuba berlagak seperti satu kaum dia dianggap salah seorang dari mereka”.
Wafiqiyya – mendakwa hanya Allah yang boleh kenal Allah. Jadi, mereka membuang jalan kebenaran. Kejahilan yang disengajakan membawa mereka kepada kemusnahan.
Ilhamiyya – berpegang dan mengharapkan kepada ilham, meninggalkan ilmu pengetahuan, melarang belajar, dan berkata Quran adalah hijab bagi mereka, dan fikiran puisi adalah Quran mereka. Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang, sebaliknya mengajarkan anak-anak mereka puisi.
Pemimpin-pemimpin dan guru-guru dari kumpulan Sunni mengatakan para sahabat, dengan berkat kehadiran Rasulullah s.a.w di tengah-tengah mereka, berada dalam suasana zauk dan keghairahan kerohanian yang sangat tinggi. Pada zaman kemudian peringkat kerohanian yang demikian tidak tercapai lagi oleh orang ramai dan ia menjadi semakin hilang. Yang masih tinggal diturunkan kepada pewaris-pewaris kerohanian pada jalan kebenaran Ilahi, yang kemudiannya terbahagi kepada banyak cabang-cabang. Ia berpecah kepada terlalu banyak kumpulan sehingga kebijaksanaan dan tenaganya menjadi sangat berkurangan dan berselerak. Dalam banyak kes segala yang tinggal hanyalah rupa yang dibaluti oleh pakaian guru kerohanian tanpa sebarang makna, kekuatan dan tenaga di bawah pakaian tersebut. Walaupun dalam suasana kosong itu ia masih juga berpecah dan berganda, bertukar menjadi bidaah. Sebahagian menjadi Qalandari – peminta sedekah yang mengembara. Yang lain menjadi Haydari dan berpura-pura menjadi wira. Yang lain pula menamakan diri mereka Adhami dan berpura-pura mengikuti wali Allah Ibrahim Adham yang meninggalkan takhta kerajaan dunia ini. Masih ramai lagi yang lain.
Dalam zaman kita mereka yang mengikuti jalan kebenaran sesuai dengan hukum agama menjadi semakin berkurangan. Pengikut-pengikut yang benar pada jalan ini boleh dikenali melalui dua kenyataan. Pertama, kenyataan zahir, yang menunjukkan keadaan kehidupan harian mereka yang dibentengi oleh hukum dan amalan agama. Kedua kenyataan dalaman, contoh teladan yang si pencari itu ikuti dan lahirkan dan dengan apa yang dia dibimbingkan. Sesungguhnya tiada yang lain untuk diikuti melainkan Nabi Muhamamd s.a.w, yang menjadi teladan, yang pada satu masa dahulu baginda sendiri berada dalam suasana mencari dan kebenaranlah yang baginda cari. Tanpa ragu-ragu roh suci baginda sahaja yang menjadi perantaraan. Itulah undang-undang yang mesti dipatuhi oleh orang yang beriman bagi penerusan kehidupan agama dalam kehidupan. Cara lain, wali yang memiliki pesaka kerohanian Nabi s.a.w boleh memberkati si pencari dengan kewujudan kebendaannya. Sesungguhnya syaitan tidak boleh mengambil rupa Nabi s.a.w.
Waspadalah wahai pengembara pada jalan kerohanian, orang buta tidak boleh memimpin orang buta. Perhatian kamu mesti bersungguh-sungguh agar kamu dapat membezakan kebaikan yang paling kecil daripada kejahatan yang paling kecil.
Related posts
Bukit Abal Kelantan
Ahmadiah Bukit Abal Kelantan
S. Ahmad Idis
S. Ibrahim Rashid
S .Muhammad Dandarawi
S. Muhammad AlAzahari
TUAN TABAL(Haji Abdul Samad b. Mohd. Saleh al-Kalantani) –
PENYEBAR THARIQAT AHMADIYAH PERTAMA DI NUSANTARA
Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan. Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.
KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN
Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.
Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur. Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa’id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.
AKTIVITI
Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,”… orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal …” Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau. Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato’ Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.
PENULISAN
Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:
1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.
2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.
3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.
4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis “… al-Awbah …” bukan ” … Auwab …”. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).
5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.
6. Bidayatu Ta’limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.
7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.
8. Mun-yatul Muridin fi Ba’dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.
Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad, Mufti Haji Wan Musa dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya.
Tn Guru Haji daud Bukit Abal
Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal (1903 – 1976)
Syeikh tarekat Ahmadiyah Idrisiah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa / Sidi Muhammad al-Azhari / Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat / Gong Kemudu.
Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin b. Hj. Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad b. Haji Ismail. Manakala bapanya, Hj. Omar b. Hj. Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.
Antara guru-guru awalnya ialah Hj. Awang Limbat, Tok Kenali, Tok Seredik, Maulana Tok Khurasan dan lain-lain. Beliau pernah belajar di Mekah dengan beberapa guru seperti Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan Syeikh Mohd. Shafie Kedah dan lain-lain.
Setelah kembali dari Mekah pada awal tahun1941, beliau berkebun sambil mengajar agama di beberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula pondok peninggalan bapa mertuanya, Hj. Awang Limbat.
Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan – mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuluddin, furu’uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengalaman zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan para muridnya, beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956) dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.
Beliau telah meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976. Antara muridnya yang terkenal ialah Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam), Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi dan Drs Abdul Rahman Hj Ahmad.
Menurut Guru kami, sewaktu Tuan Guru Haji Daud meninggal telah berlaku satu peristiwa yang pelik iaitu kedatangan manusia yang sangat luarbiasa ramainya malah tidak diketahui dari mana datangnya sehingga memaksa pihak berkuasa mengawal keadaan dan lalulintas. Malah pengurusan dan penghantaran jenazah beliau dari rumah ke tempat pengebumiannya sangat cepat kerana orang ramai meng’pas‘-‘pas‘kan jenazah beliau dari kediamannya hingga ke tanah perkubururan dimana beliau dikebumikan..
Al-Fatihah untuk Tuan Guru.
Silsilah Tareqat Ahmadiah Idrisiah Ustaz Zakaria Awang Al-Ahmadi
1) Sayyidina Muhammad bin Abdullah s.a.w
2) Sayyidi Imam Ali Karramallahu Wajhah.
3) Sayyidi Al Kurkhi. Hasan bin Ali.
4) Sayyidi Al Hasan Al Basri.
5) Sayyidi Habib Al Ajami.
6) Sayyidi Daud bin Nasir at Toie.
7) Sayyidi Maaruf bin Fairuz
8) Sayyidi Sirri bin Al Mughlas as Siqti.
9) Sayyidi Abul Qasim Junaid Al Baghdadi.
10) Sayyidi Abu Bakar bin Jahdar Asy Syibli.
11) Sayyidi Abu Al Fadhl at Tamimi.
12) Sayyidi Abu Al Farj at Tortusi.
13) Sayyidi Abu Ali Al Hasan bin Yusof.
14) Sayyidi Said Al Mubarak.
15) Sayyidi Abdul Qadir Al Jailani.
16) Sayyidi Abdur Rahman Al Madani.
17) Sayyidi Abdul Salam Mashish.
18) Sayyidi Abul Hasan as Syazili.
19) Sayyidi Abu Al Abbas Al Mursi.
20) Sayyidi Ahmad bin Atho’ilah as Iskandar.
21) Sayyidi Daud bin Bakhili.
22) Sayyidi Muhammad Bahru Sofa.
23) Sayyidi Ali bin Muhammad bin Wafa.
24) Sayyidi Yahya Al Qadiri.
25) Sayyidi Ahmad bin Aqabah Al Hadrami.
26) Sayyidi Ahmad bin Zaruq.
27) Sayyidi Ahmad bin Yusof Al Ghilani.
28) Sayyidi Ali bin Abdullah al Ghilani.
29) Sayyidi Abul Qasim Al Ghazi.
30) Sayyidi Ahmad bin Ali Al Haj Ad Dar’ei.
31) Sayyidi Muhammad bin Nasir.
32) Sayyidi Al Izzi Al Ghishtali.
33) Sayyidi Umar bin Muhammad Al Hawari.
34) Sayyidi Abdul Aziz bin Mas’ud Ad Dabbagh.
35) Sayyidi Abdul Wahab at Tazi.
36) Sayyidi Qutub an Nafis Ahmad bin Idris Al Hasani.
37) Sayyidi. Ibrahim Rashid
38) Sayyidi .Muhammad Dandarawi
39) Sayyidi Muhammad AlAzahari
40) Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
41) Ustaz Zakaria Awang
Related posts
Subscribe to:
Posts (Atom)