KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W
Siri Pertama
Tarikh Kelahiran Dan Peristiwa
12 Rabiul Awal
merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari
kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia. Muhammad begitulah
nama indah kepada putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat
keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi. Tujuan perayaan ini
dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi
mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk
mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita. Menurut
sejarah, Malikus Salleh yang merupakan seorang pendakwah yang terkenal pada
masa itu telah memperkenalkan perayaan ini apabila beliau melihat umat Islam di
kepulauan Melayu pada masa itu kurang mengamalkan sunnah serta mengabaikan
akhlak-akhlak yang terpuji yang pernah ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W.
Sesiapa yang menyambut kelahiran Rasul yang mulia ini tetapi hanya untuk
bermegah-megah dan tidak mahu menurut segala apa yang yang dibawa oleh baginda S.A.W serta
menolak hukum Pencipta mereka maka inilah yang dikatakan perayaan yang dibuat
itu adalah bid'ah yang sesat yang menempah siksaan dan bala dari Allah
Subhanahu wa Ta'ala. Kita bukan mengadakan perayaan untuk mengingati baginda
S.A.W sahaja tetapi mestilah diikuti dengan pelaksaan segala perintah dan
sunnah Rasulullah S.A.W. Pelaksaan pula hendaklah meliputi semua aspek dan
bukannya menurut kehendak hati sahaja seperti yang berkait dengan ibadat
khusus, sunnah yang berbentuk amalan sunat dan meninggal apa yang sukar dan
tidak bertepatan dengan nafsu kita seperti politik, ekonomi, perundangan,
pemerintahan, batas-batas pergaulan
harian dan pemakaian pakaian yang menutup aurat bukan sahaja disekolah,
universiti, tempat kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah apabila adanya
mereka yang bukan muhrim ( halal berkahwin ) bersama.
Kelahiran
Rasulullah S.A.W adalah pada tahun Gajah di mana tentera Abrahah yang berpusat
di Yaman telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka'bah. Perancangan ini adalah
bertujuan memastikan manusia pada masa itu tidak lagi tertumpu di Mekah setiap
tahun dalam mengerjakan ibadat haji sebaliknya mengerjakannya di Yaman. Datu
baginda iaitu Abdul Muttalib apabila melihat kemaraan tentera bergajah Abrahah
meminta agar kesemua penduduk Mekah untuk bersembunyi bagi menyelamatkan diri
masing-masing daripada tentera itu. Beliau menyatakan bahawa Ka'bah adalah
milik Tuhan yang mana Dia tetap menjaganya daripada pencerobohan mereka yang
zalim. Akhirnya Allah menghantar burung Ababil untuk menghancurkan tentera
bergajah Abrahah. Tentera Allah yang kecil iaitu burung mampu mengalahkan
tentera bergajah Abrahah dengan lontaran batu-batu kecil sahaja. Ini bermakna
setiap sesuatu tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Pencipta. Pejuang
Islam mesti yakin dengan pertolongan Allah yang akan bersama mereka yang ikhlas
dan bersungguh dalam memperjuangkan Islam sebagaimana keyakinan yang wujud
dalam hati datuk Rasulullah s.a.w iaitu Abdul Muttalib yang begitu yakin bahawa
Ka’bah tetap akan dijaga oleh Tuannya iaitu Allah ketika melihat kemaraan
tentera Abrahah. Kita sebagai pendakwah mesti lebih yakin daripada beliau
terhadap pertolongan Allah dalam mengembalikan ketuanan Islam.
Lahirnya
Rasulullah s.a.w daripada bangsa arab berketurunan Quraisy selain daripada
menempelak Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa bani Israel merupakan anak
dan kekasih Allah, ia juga memberi pengajaran kepada kita bersama bahawa
lahirnya pendakwah daripada keturunan yang baik disertai pula dengan akhlak dan
keperibadian yang soleh akan menjadi pemangkin yang begitu penting dalam
penyebaran dakwah. Oleh itu kita perlu menitik beratkan mengenai keturunan kita
dalam memastikan dakwah Islam yang kita bawa akan lebih tersebar. Ingatlah
bahawa keluarga merupakan fitnah yang begitu besar kepada pendakwah di mana
ramai dikalangan mad’u atau mereka yang didakwah akan melihat bagaimana keadaan
keluarga pendakwah sebelum menerima dakwah yang dibawa. Memang tidak dinafikan
bahawa bukannya hanya faktor keturunan yang akan membantu dalam berdakwah
kerana ramai juga yang dilahirkan dalam keadaan keturunan yang tidak terkenal
tetapi mampu dan berjaya untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Ada juga yang berketurunan baik tetapi
dirinya sendiri terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar sehingga menjadi
seorang yang tidak berguna malah penentang kepada Islam itu sendiri. Namun
begitu persoalan mengenai keturunan yang mulia dibantu oleh sifat yang terpuji
serta amal yang mulia merupakan gabungan yang ideal dalam memastikan
kerja-kerja dakwah yang lebih berjaya. Oleh itu Allah melahirkan baginda s.a.w
dalam keluarga yang berketurunan yang mulia dan dihormati pada masa itu bagi
membantu baginda s.a.w ketika menyampaikan dakwah. Mereka yang masih kufur
tidak boleh lagi berhujjah bahawa Islam tidak dapat diterima kerana ia dibawa
oleh seorang yang berketurunan biasa kerana baginda s.a.w berketurunan baik dan
terpilih.
Keadaan Jahiliah Dan Material
Lahirnya baginda
di celah-celah kegemilangan kerajaan Rom, Parsi,
India dan
beberapa buah lagi kerajaan yang lain menunjukkan kepada kita bahawa kemajuan
sesuatu tamadun itu bukannya terletak pada kemajuan material semata-mata tetapi
mestilah selari dengan pembangunan insan. Kemajuan yang berasaskan maddiah
dengan mengenepikan pembangunan ruhiah tidak mampu memberikan kebahagian yang
berkekalan kepada sesuatu bangsa. Kita pernah membaca dan melihat sendiri kesan
kegemilangan kerajaan-kerajaan tersebut seperti kerajaan Rom di Jordan yang
begitu hebat dari segi seni binanya tetapi mereka tidak mampu berlaku adil pada
rakyat mereka sehingga adanya undang-undang yang melahirkan lapisan masyarakat
yang berbeza taraf serta perhambaan di kalangan mereka. Mereka lebih
mementingkan kehebatan dari segi material dan meninggalkan kepentingan
pembinaan insan kerana mereka berada jauh daripada petunjuk wahyu Ilahi. Sikap
mereka ini menular kembali ke dalam pemerintahan di negara yang menggunakan
ideologi ciptaan manusia dan meninggalkan hukum Allah Yang Maha Kuasa pada masa
kini. Oleh itu tujuan sebenar kedatangan Rasulullah S.A.W adalah untuk memberi
sinar iman setelah begitu lama manusia lemas dalam lautan jahiliah dan
kekufuran serta mengubah daripada perhambaan sesama manusia kepada tunduk dan
patuh kepada Allah yang Maha Kuasa. Namun begitu Islam bukanlah menafikan
sebarang pembangunan material tetapi Islam mahu melihat bagaimana pembangunan
material dan rohani mampu diselaraskan demi melihat kejayaan di dunia dan
akhirat. Adakah masyarakat hari ini menjadikan Jepun atau negara barat sebagai
model terbaik dalam pembinaan tamadun moden semata-mata pembangunan material
yang tersergam indah atau pun kerana disiplin masa dan ketekunan mereka dalam
bekerja dan mengkaji?. Kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku dalam negara
di mana berbilion wang dihabiskan untuk membina bangunan yang tinggi-tinggi
demi mencipta nama di mata dunia walau pun semakin hari semakin tinggi jumlah
hutang negara yang ditanggung sedangkan berapa banyakkah wang yang dihabiskan
untuk pembinaan manusia. Sikap memandang remeh terhadap pembinaan insan ini
menyebabkan ramai rakyat yang terlibat dengan amalan yang tidak sihat malah
menggugat keamanan negara. Berapa bilion terpaksa dihabiskan untuk membina
penjara, pusat serenti dan pelbagai lagi dalam membendung penagihan dadah,
jenayah seks dan sebagainya. Pemimpin sendiri terlibat dengan masalah politik
wang yang mampu menggadaikan keseluruhan hasil dan tanah negara dalam masa
terdekat dan jaka panjang.
Kehidupan baginda
s.a.w dalam suasana jahiliah yang dipenuhi oleh amalan penyembahan berhala
mengingatkan kita bagaimana suasana itu tidak mampu menggoyah dan memberi kesan
kepada keperibadian Rasulullah s.a.w yang sentiasa berada di bawah naungan
tarbiah Ilahi. Suasana ini juga memberi pengajaran kepada kita bersama
bagaimana Rasulullah s.a.w menjadi baik dan berakhlak mulia bukannya disebabkan
suasana sekitar yang baik dan soleh sebaliknya kerana didikan Allah. Ini bagi menafikan
dakwaan yang menyatakan bahawa baginda s.a.w menjadi soleh dan berakhlak mulia
kerana terasuh dan terdidik oleh suasana sekitarnya yang baik. Kita sebagai
pejuang Islam mestilah berusaha dalam membina keperibadian muslim sejati walau
pun berada dalam suasana jahiliah moden yang mencengkam bagi menyahut maksud
hadis di mana Rasulullah s.a.w menyifatkan keadaan muslim yang sejati
sebagaimana ikan di laut yang mana ia tidak masin seperti air laut sebaliknya
dagingnya tetap manis.
Yatim Piatu Dan Miskin
Semenjak kecil
lagi Rasulullah telah diuji dimana seorang demi seorang mereka yang merupakan
tempat baginda bergantung dan mengharapkan kasih sayang sebagaimana anak-anak
kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq iaitu dengan
dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam kandungan
ibundanya lagi. Kemudian diikuti dengan kematian ibundanya Aminah ketika mana baginda baru
mula mengerti erti belaian kasih sayang seorang ibu. Selepas itu datuknya Abdul
Muttalib pula pergi menemui Ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu
diambil alih oleh bapa saudaranya Abu Thalib. Ujian ini telah mematangkan
baginda dan menunjukkan kepada kita bahawa usaha dakwah kepada kebaikan
memerlukan pengorbanan disamping di uji dengan mehnah atau cabaran. Ujian ini
juga adalah untuk menjauhkan Rasulullah S.AW daripada tuduhan liar bahawa ilmu
yang beliau sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang baginda S.A.W
perolehi daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W sebaliknya ia adalah wahyu
Ilahi. Begitu juga untuk menghindar daripada tuduhan yang mengatakan segala
kematangan dan perilaku yang mulia pada diri Rasulullah S.A.W adalah kerana
hasil penjagaan dan didikan daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W. Kehidupan
sebagai anak yatim piatu juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi lagi
rasul untuk berdikari dan juga melahirkan dalam diri baginda s.a.w sifat kasih
terhadap orang susah dan menderita terutama anak yatim piatu.Sebagaimana
sekarang kita dapat dapat bezakan antara yang menjadi ahli koprat kerana
dilahirkan dalam keluarga koprat berbeza dengan mereka yang menjadi ahli koprat
hasil usahanya sendiri. Tanggapan orang ramai mengenai kedua-dua mereka adalah
berbeza walaupun kedua-duanya merupakan ahli koprat dan mereka yang lahir
menjadi ahli koprat hasil daripada usahanya sendiri biasanya lebih matang
kerana pernah menghadapi cabaran dan jatuh bangunnya perniagaan sebelum lahir
sebagai ahli koprat. Ingatlah bahawa perjuangan untuk meninggikan kalimah La
ila ha illallah bukannya dihamparkan dengan permaidani merah tetapi
dibentangkan dengan onak dan duri di sepanjang perjalanan menuju matlamatnya
yang suci.
Kehidupan baginda
s.a.w juga tidak dihiasi dengan warisan kekayaan keluarga sebaliknya dipenuhi
dengan kemiskinan sehingga jika kita membaca kitab sirah nabawiyyah ada
menceritakan bagaimana keluarga ibu susunya Halimatus Sa’diyah hanya bersetuju
untuk menjaga baginda s.a.w setelah mereka tidak mendapati kanak-kanak selain
baginda s.a.w untuk diasuh. Ini adalah bertujuan untuk mendidik baginda s.a.w
dengan erti kesusahan dan juga bagi mengelakkan kekayaan itu menjadi fitnah
kepada tujuan mereka yang memeluk Islam selepas kenabian nanti. Ia juga
mengingatkan bagaimana sebagai pendakwah Islam yang tulen kita mesti meneruskan
usaha dalam memastikan bendera La ilaha illaLlah akan berkibar megah samada
ketika senang atau pun susah. Kewangan bukanlah penghalang yang besar kepada
kerja dakwah sebaliknya ia hanya sekadar bantuan sahaja dalam melancarkan
tugas-tugas kita sebagai pendakwah.