06 March 2012

Fahaman dan pegangan yang benar

Fahaman dan pegangan yang benar PDF | Print | E-mail

14. Fahaman dan pegangan yang benar

Manusia yang berada di atas jalan yang benar ada dua golongan. Golongan pertama adalah ahli fikah yang berjiwa tasauf dan keduanya adalah ahli tasauf yang berjalan di atas landasan fikah. Berpegang kepada salah satu di antara fikah dan tasauf bermakna berpegang kepada separuh daripada kebenaran. Berpegang kepada fikah semata-mata dengan menolak tasauf bermakna mengambil bahagia zahir syariat sahaja. Berpegang kepada tasauf dengan membuang fikah bermakna mengambil batin syariat sahaja. Berpegang kepada zahir syariat tanpa batinnya dibolehkan dan sudah memadai untuk diiktiraf sebagai orang Islam tetapi pegangan yang demikian tidak sempurna. Berpegang kepada batin syariat sahaja tanpa zahirnya adalah tidak mungkin, kecuali mereka yang sedang dikuasai oleh jazbah. Mereka yang demikian dimaafkan. Kesempurnaan syariat adalah gabungan zahir dan batinnya.

Istilah syariat hendaklah diberi definasi yang lengkap dan benar. Syariat mengandungi tarekat, hakikat dan makrifat. tarekat, hakikat dan makrifat bukanlah sesuatu yang di luar syariat atau lain daripada syariat. Tindakan mengasingkan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat menjadi jalan menjalarnya kekeliruan dalam masyarakat. Kaum Muslimin haruslah sedar bahawa tarekat adalah satu bahagian daripada syariat. Demikian juga hakikat dan makrifat. Syariat adalah umpama air yang mengalir dan menghidupkan tarekat, hakikat dan makrifat. Tarekat, hakikat dan makrifat yang tidak dibasahi oleh air syariat adalah umpama pokok yang ditanam di atas batu, tidak ada air menghidupkannya. Syariat adalah umpama nyawa yang memberi kehidupan kepada tarekat, hakikat dan makrifat.

Syariat mengajarkan akidah dan peraturan yang benar. Rasulullah s.a.w menolak ketuhanan Isa al-Masih, Uzair dan patung-patung kerana ia bertentangan dengan akidah yang diajarkan oleh syariat. Rasulullah s.a.w menolak keislaman puak Taqif yang meminta dikecualikan daripada mengerjakan sembahyang kerana ia menyalahi peraturan syariat. Abu Bakar as-Siddik memerangi Musailamah bin Hatib yang mendakwa menjadi nabi kerana dakwaan demikian menyalahi akidah yang diajarkan oleh syariat. Abu Bakar as-Siddik juga memerangi kaum Muslimin yang enggan mengeluarkan zakat selepas Rasulullah s.a.w wafat, kerana perbuatan demikian menyalahi peraturan syariat. Tentera Islam berperang, membunuh dan dibunuh kerana menyebarkan syariat. Sekali lagi diperingatkan maksud syariat adalah syariat zahir dan syariat batin, meliputi perkara-perkara seperti Islam, iman, perbuatan tubuh badan dan amalan hati. Al-Quran mengajarkan supaya beriman dan beramal salih, jangan dipisahkan keduanya. Tidak ada amal salih tanpa iman. Tidak berdiri iman tanpa amal salih.

Rasulullah s.a.w memiliki dua jenis ilmu. Pertama adalah ilmu yang mengenai hukum hakam dan peraturan, dinamakan ilmu ahkam. Kedua adalah ilmu mengenai perkara ghaib, rahsia dan misteri, dinamakan ilmu asrar. Ilmu ahkam biasanya dipanggil ilmu fikah dan ilmu asrar dipanggil ilmu tasauf. Istilah ilmu fikah dan ilmu tasauf digunakan selepas zaman Rasulullah s.a.w. Pada zaman baginda s.a.w yang dikenali hanya satu ilmu sahaja iaitu ilmu al-Quran. Dalam ilmu al-Quran ada bahagian fikah iaitu peraturan dan hukum dan ada bahagian tasauf iaitu perkara ghaib dan kerohanian. Rasulullah s.a.w menyampaikan kedua-dua jenis ilmu tersebut kepada sahabat baginda s.a.w secara bersama, bukan terpisah. Para sahabat pula memperturunkannya kepada generasi yang datang kemudian. Ulama yang menerima kedua-dua jenis ilmu tersebut dinamakan pewaris nabi. Memiliki satu aspek sahaja tidak dinamakan pewaris. Ulama yang mengambil bahagian hukum dan peraturan sahaja dinamakan ulama zahir, masih jauh lagi untuk bergelar ulama syariat. Ulama yang mengambil bahagian zahir dan batin itulah yang benar-benar menjadi ulama syariat, pewaris nabi.

Sebahagian orang menyangka ilmu tentang Kebenaran Hakiki iaitu ilmu asrar bermaksud ilmu mengenai wahdatul wujud, kesempurnaan Yang Satu dalam yang banyak dan yang banyak dalam Yang Satu, fana, bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama Tuhan. Fahaman yang demikian adalah tidak benar. Doktrin wahdatul wujud dan yang seumpama dengannya masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. wahdatul wujud adalah hasil daripada kefanaan dan mabuk. Rasulullah s.a.w tidak memasuki suasana fana dan mabuk. Ilmu yang baginda s.a.w bawa adalah ilmu yang muncul dalam kesedaran bukan kelupaan. Ilmu kenabian adalah umpama lautan yang luas. Ilmu kewalian sufi yang kefanaan adalah umpama satu titik air, tetapi bagi orang yang tercampak di padang pasir satu titik air sangat memberi erti kepadanya.

Ada orang menyangka kefanaan lebih tinggi daripada kesedaran. Mungkin mereka memandang kepada kesedaran orang awam. Jika mereka melihat kepada kewalian yang telah sempurna di atas jalan kenabian tentu mereka dapat melihat bahawa Kebenaran Hakiki muncul dalam kesedaran, bukan dalam kefanaan. Kewalian yang sempurna bukanlah yang fana terus menerus tetapi adalah yang kembali kepada kesedaran biasa dan meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. Ketika di dunia ini berbakti kepada Tuhan lebih utama daripada fana dalam-Nya. Ahli makrifat yang sempurna adalah yang makrifatnya dihidupkan oleh air syariat dan mereka melibatkan diri di dalam kegiatan masyarakat sehingga ke akhir hayat mereka. Golongan ini tidak mendakwa melihat Tuhan dalam dunia. Mereka mengakui bahawa melihat Tuhan hanya mungkin di akhirat. Mereka melihat maut sebagai jambatan buat mereka sampai kepada Kekasih mereka.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat beriman kepada perkara ghaib seperti beriman kepada Allah s.w.t dan sifat-sifat-Nya berdasarkan kenyataan yang dibawa oleh al-Quran. Wali-wali Allah yang sempurna juga beriman menurut iman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Bilangan wali-wali yang sampai kepada peringkat ini setelah melepasi kewalian sufi adalah sedikit. Selain mereka, ulama dan orang-orang Islam yang awam juga beriman cara demikian. Iman pada kewalian sufi pula bersumberkan kepada penyaksian, dinamakan iman syuhudi. Sufi yang beriman secara syuhudi mungkin bercampur dengan orang ramai dan mungkin juga tinggal sendirian. Walaupun sufi jenis ini bercampur dengan orang ramai tetapi tidak secara keseluruhan dirinya. batinnya atau hatinya masih memandang ke atas, mencari-cari atau menanti-nanti. Lahirnya sibuk dengan manusia tetapi batinnya karam dengan Tuhan. Keadaan sufi yang demikian berbeza dengan keadaan Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w berhadap kepada makhluk secara keseluruhan, terlibat jiwa dan raga dalam berdakwah mengajak manusia kepada jalan Allah s.w.t. Sufi yang masih memandang atau mencari-cari ke atas menunjukkan dia belum bebas sepenuhnya daripada pengaruh kefanaan dan mabuk dan dia belum mencapai matlamat, sekalipun dia sudah boleh bergaul dengan orang ramai. Sufi yang sudah sampai ke penghujung perjalanannya menetap dalam kehidupan harian secara menyeluruh, berhadap kepada kehidupan dunia secara keseluruhan jiwa raga, tanpa mencari-cari ‘yang di atas' atau mencungkil semula pengalaman yang telah dilalui dalam kewalian sufi dahulu.

Ketika sufi dalam proses menaik yang banyak hilang lenyap, hinggakan asma' dan sifat juga hilang daripada alam kesedarannya, tidak ada yang disaksikan melainkan Wujud Mutlak. Tuhan kurniakan kepada sufi itu apa yang Dia kehendaki, sesuai dengan amanah dan tugas yang akan ditanggungnya kelak. Dalam proses menurun pula sufi kembali sepenuhnya kepada kesedaran biasa yang padanya ada perhatian kepada yang banyak. Dalam keadaan kesedaran semula itu tidak ada yang menarik minatnya kecuali hidup sebagai Muslim biasa. Mereka hanya menjalankan perintah Tuhan dan mengajak manusia kepada jalan Tuhan. Setelah mereka menyelesaikan tugas dakwah dan hampir kembali ke Hadrat Ilahi, mereka beralih daripada iman tanpa penyaksian kepada iman secara penyaksian (iman syuhudi).

Jangan menganggap kembali kepada kehidupan dunia sebagai kecacatan atau ditolak daripada majlis Tuhan. Jangan menyangka fana dalam Tuhan lebih baik daripada berkhidmat kepada makhluk Tuhan. Sufi yang kembali kepada dunia bukan dengan kehendaknya sendiri. Mereka turun dari kesedaran ‘alam tinggi', keluar daripada suasana penyatuan kepada suasana perpisahan adalah dengan perintah Allah s.w.t. Sufi yang kembali kepada dunia tunduk kepada kehendak Allah s.w.t dengan melepaskan kehendak diri sendiri. Golongan sufi yang kembali kepada kehidupan dunia itu bergabung dengan golongan ulama, sama-sama bekerja menyebarkan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu yang menggabungkan zahir dan batin syariat. Dakwah adalah pekerjaan yang paling mulia. Dakwat ulama ditimbang dengan darah syuhada dan lebih berat.

Dalam apa juga keadaan para sahabat Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik untuk semua zaman. Kelebihan para sahabat sabagai generasi Muslim yang pertama tidak boleh ditandingi oleh generasi yang datang kemudian. Generasi pertama melebihi yang lain kerana mereka memiliki iman yang dilahirkan oleh hubungan secara langsung dengan Rasulullah s.a.w. Iman yang lahir daripada penyampaian secara langsung oleh baginda s.a.w lebih berkesan dan utama daripada iman yang lahir daripada cara-cara lain. Para sahabat tidak melalui fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama-Nya. Mereka tidak menerima tajalli atau penzahiran Tuhan. Kelebihan mereka terletak pada takwa bukan pada kasyaf, tajalli, zauk dan mabuk. Kelebihan mereka adalah kerana mereka mempraktikkan Sunah Rasulullah s.a.w, berperang bersama-sama baginda s.a.w dan menanggung berbagai-bagai kesusahan demi agama Allah s.w.t. Mereka mendapat Kebenaran Hakiki dalam kesedaran, melalui bimbingan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Tarekat sufi hendaklah dijadikan jalan untuk mencapai tahap yang diperolehi oleh para sahabat Rasulullah s.a.w, bukan untuk menyingkap misteri alam dan kehidupan atau untuk memperolehi tajalli. Matlamat sufi mestilah mencari kefahaman yang jelas dan keyakinan yang teguh kepada risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kebenaran yang dibawa oleh Rasul Allah adalah jelas dan muktamad, tidak boleh dicabar oleh ahli falsafah atau pun ahli sufi. Fikiran, ilham dan kasyaf bukanlah alat untuk mengadakan kebenaran yang kain daripada kebenaran yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah.

Risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan benda-benda alam yang memiliki sifat-sifat dan keupayaan, boleh bergerak dan bertindak. Tuhan menciptakan makhluk dan dalam penciptaan makhluk itu Tuhan telah meletakkan keupayaan melakukan perbuatan. Perbuatan makhluk adalah ciptaan Tuhan bukan perbuatan Tuhan. Makhluk menggunakan bakat dan keupayaan yang Tuhan bekalkan kepada mereka bukan makhluk menggunakan perbuatan Tuhan untuk melakukan perbuatan. Perbuatan Tuhan tidak bersamaan dengan perbuatan makhluk. Tuhan menciptakan makhluk dan sifat-sifat mereka tetapi Tuhan bukanlah alat kepada sifat-sifat tersebut. Tuhan yang menciptakan perbuatan tetapi bukanlah Tuhan yang bergerak dalam pancaindera makhluk untuk melahirkan perbuatan.

Tauhid af'al, tauhid asma', tauhid sifat dan tauhid zat bukanlah ajaran yang terdapat dalam risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tetapi ia adalah pengalaman kerohanian yang berlaku dalam kewalian sufi. Pengalaman yang demikian hanya untuk sufi yang mengalaminya sementara orang ramai wajib berpegang kepada risalat Rasulullah s.a.w. Orang ramai yang sengaja berpegang kepada fahaman sufi yang dalam mabuk, yang menyalahi syariat, hukumnya adalah kufur. Orang sengaja menyengutukan perbuatannya dan dirinya dengan perbuatan Tuhan dan Zat Tuhan sama keadaannya dengan orang Nasrani yang menyengutukan al-Masih dengan Tuhan. Al-Quran mengecam perbuatan kaum Nasrani itu dan perbuatan demikian dikira sebagai perbuatan kaum musyrikin.

Risalat Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan fitrah manusia. Dalam fitrah itu ada nilai-nilai baik dan buruk, cantik dan hodoh, sempurna dan cacat dan lain-lain. Tuhan kurniakan kepada seseorang manusia itu kediriannya sendiri untuk wujud sebagai satu individu, tidak perlu berebut pada satu kewujudan seperti Adam atau Muhammad. Tuhan ciptakan untuk manusia keupayaan memilih, fikiran, tindakan dan perasaan. Tuhan adalah Pencipta bukan yang dikuasai oleh ciptaan-Nya. Kepercayaan manusia bukan kepercayaan Tuhan. Perasaan manusia bukan perasaan Tuhan. Tindakan manusia bukan tindakan Tuhan. Tuhan tidak dikongkong oleh kepercayaan, perasaan dan tindakan manusia. Manusia yang merasai bahagia dan manusia juga yang merasai kecelakaan. Tidak ada jalan buat manusia untuk mempersekutukan apa yang ada dengannya dengan Tuhan.

Risalat Rasulullah s.a.w memperakui ada kepercayaan yang benar dan ada kepercayaan yang salah. Risalat membezakan yang baik dengan yang jahat, yang benar dengan yang batal. Risalat dengan jelas dan tegas mengatakan bahawa manusia bertanggungjawab ke atas perbuatannya, kepercayaanya dan sikapnya. Tuhan akan mengadili manusia dan akan memberi balasan kepada yang baik dan menghukum yang jahat. Risalat menolak fahaman sebahagian manusia yang meletakkan kesalahan kepada Tuhan.

Rasulullah s.a.w mengajarkan bahawa manusia adalah hamba Tuhan. Tuhan ciptakan manusia supaya mereka berbakti kepada-Nya. Kehambaan atau ubudiah merupakan kemuncak perjalanan suluk orang sufi. Kehambaan yang sempurna adalah yang berbakti kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga, beriman kepada firman-Nya dengan disertai oleh kepatuhan dan ketaatan, menerima peraturan syarak, berdakwah ke jalan-Nya dan menegakkan kerajaan-Nya di bumi. Setiap Muslim, termasuklah wali Allah, mesti menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w sebagai contoh tauladan. Semakin hampir dengan Sunah baginda s.a.w semakin benar dan baiklah seseorang Muslim itu. Tidak ada wali yang bebas daripada Sunah Rasulullah s.a.w atau yang boleh menyamai baginda s.a.w. Apa juga kelebihan dan kemuliaan yang diperolehi oleh seseorang wali adalah kerana syafaat baginda s.a.w dan kerana mengikuti Sunah baginda s.a.w.

Jalan sufi pada satu seginya menyamai jalan kenabian. Sufi melakukan amalan sembahyang, puasa, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir. Amalan yang demikian diambil dari al-Quran dan as-Sunah. Ia kemudian disusun bagi memudahkan pengikut satu-satu tarekat itu mengamalkannya bagi mendapatkan kesan yang maksima daripada amalan tersebut. Selain daripada amalan yang bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah, terdapat juga bahagian yang benar-benar baharu, tidak kedapatan pada jalan kenabian. Bahagian tersebut adalah yang mengandungi fana, baqa, bersatu dengan Tuhan dan latihan kerohanian yang melahirkan pengalaman tersebut. Bahagian utama jalan kesufian adalah zikir dan tafakur. Bahagian yang paling menonjol adalah pengalaman fana dan baqa. Bahagian yang ada urusan dakwah, jihad dan berbakti kepada orang ramai diberi perhatian yang sedikit sahaja.

Perbezaan yang paling ketara di antara jalan kesufian dengan jalan kenabian adalah pada jalan kesufian terdapat dua keadaan yang terpisah. Pada peringkat pertama sufi membenamkan diri mereka ke dalam Tuhan, mengalami fana dan bersatu. Kemudian sufi mengalami perpisahan dan baqa. Seterusnya sufi kembali kepada kesedaran normal dan kepada dunia untuk berkhidmat kepada orang ramai. Peringkat naik kepada Tuhan dan turun kepada dunia merupakan dua peringkat yang berbeza dalam perjalanan sufi. Pada jalan kenabian pula tidak ada fana dan baqa, tidak ada naik dan turun. Hubungan dengan Tuhan dan hubungan dengan sesama manusia bukanlah dua peringkat yang terpisah pada jalan kenabian. Kedua-dua peringkat tersebut tidak datang secara berasingan. Wali pada jalan kenabian tidak hilang perhatian kepada makhluk ketika sangat hampir dengan Tuhan dan tidak membelakangi Tuhan ketika melayani makhluk. Pada jalan kenabian berkhidmat kepada sesama makhluk merupakan ketaatan kepada Allah s.w.t, didorong oleh rasa kasih dan ingat kepada-Nya. Pada jalan kenabian makhluk tidak menghijab Tuhan dan kehadiran Tuhan dalam ingatan tidak melenyapkan makhluk.

Seseorang yang mahu memasuki aliran tarekat perlulah mengetahui persamaan dan perbezaan di antara jalan kenabian dan jalan kesufian. Pengetahuan tersebut boleh membantunya untuk memilih amalan yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunah dan menolak ajaran yang bercanggah dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Memelihara Sunah Rasulullah s.a.w boleh mengelakkan ahli suluk daripada terperangkap di dalam pusaran wahdatul wujud. Wahdatul wujud bukanlah syarat bagi menyempurnakan perjalanan kesufian seperti memperolehi fana dan baqa. wahdatul syuhud (menyaksikan satu wujud) sudah memadai untuk melalui peringkat tersebut. wahdatul syuhud yang dialami dengan disertai oleh keyakinan kepada ajaran Rasulullah s.a.w akan membawa seseorang melepasi penyaksian, suara, gambaran, cahaya, warna dan rupa-bentuk misal yang ditemui dalam perjalanan. Keyakinan kepada ajaran Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t tidak menyamai sesuatu menjadi tenaga yang kuat menarik ahli suluk keluar daripada medan wahdatul wujud.

Tidak semua sufi terlibat dengan mabuk dan hilang kesedaran. Ada sufi yang melalui jalan yang mengeluarkan pengalaman yang bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah, tidak ada padanya mabuk, hilang kesedaran dan bercakap menyalahi syariat. Di antara sufi yang termasuk di dalam golongan ini adalah Ibrahim Adham, Abdul Kadir Jailani dan Junaid al-Baghdadi. Ada juga golongan sufi yang memasuki pengalaman mabuk, fana, hilang kesedaran dan mengeluarkan ucapan latah, tetapi apabila mereka kembali sedar mereka mengakui kesilapan pada kelakuan mereka. Bila tidak dikuasai oleh jazbah mereka berpegang teguh kepada Sunah Rasulullah s.a.w. Di antara sufi yang termasuk ke dalam golongan ini adalah Abu Yazid, an-Nuri dan Syibli. Sufi golongan ke tiga pula berpegang kepada fahaman yang terang-terang bercanggah dengan prinsip Islam. Di antara mereka adalah Abu Mansur al-Hallaj dan Ibnu Arabi. Sufi kumpulan pertama dipelihara sehingga air syariat yang mereka bawa tidak berubah warna, malah pada setiap peningkatan kerohanian air tersebut menjadi semakin jernih. Apabila mereka meninggalkan kewalian cara sufi dan masuk kepada kewalian cara kenabian, air syariat mereka sudah menjadi sangat jernih dan murni. Sufi kumpulan ke dua pula air syariat mereka berubah warna pada satu peringkat, seumpama tuak menjadi masam dan mereka mengalami mabuk, tetapi dengan rahmat Allah s.w.t mereka dibawa melepasi peringkat mabuk itu dan kembali kepada kesedaran semula. Sufi kumpulan ke tiga hidup terus menerus di dalam mabuk. Walaupun air syariat mereka sudah berubah warna namun, zat air yang asli masih ada dengan mereka. Oleh itu mereka tetap mengerjakan sembahyang dan beristighfar.

Orang jahil yang cuba-cuba menjadi sufi ikutan mudah keliru dengan suasana sufi kumpulan ke tiga. Al-Hallaj yang selalu mengucapkan: "Ana al-Haq" kuat mengerjakan sembahyang dan beristighfar. Apa perlunya sembahyang dan istighfar kepada orang yang mengaku menjadi Tuhan? Bermacam-macam tafsiran diberikan mengenainya. Orang jahat menjadikannya hujah untuk menyebarkan kekufuran. Ada yang mengatakan bahawa ahli makrifat mengerjakan syariat bukan untuk dirinya sendiri tetapi hanyalah untuk memberi pengajaran kepada orang lain yang belum bermakrifat.

Ulama syariat (zahir dan batin) mengerti apa yang menguasai hati al-Hallaj, Ibnu Arabi dan sufi lain yang seperti mereka. Mereka adalah umpama pemuda yang sedang dilamun cinta. Darah muda yang diresapi oleh arak cinta membuat mereka mabuk dan hilang pertimbangan. Yang kelihatan kepada mereka hanyalah yang dicintai, yang lain tidak kelihatan lagi. Tetapi setiap kali mendatangi Kekasih, mereka diperingatkan oleh Kekasih mereka : "Cintailah apa yang Aku cinta demi cintamu kepada-Ku!" Si pencinta memperhambakan diri kepada Kekasihnya dan berkhidmat kepada yang dikasihi oleh Kekasihnya. Si pencinta sering memohon kemaafan kepada Kekasihnya kerana dia melihat kekurangan pada apa yang dipersembahkan untuk Kekasihnya. Sufi-asyikin bermunajat: "Wahai Kekasih. Aku larut dalam CintaMu. Air CintaMu memenuhi setiap zarah wujudku. Zarah-zarah yang hidup dengan air CintaMu hanya mendapat kepuasan dalam salat demi mengingatiMu namun, apabila hendak dipersembahkan kepadaMu tidak ada satu pun layak dipersembahkan, sekalipun mengalir darah dari mataku dalam mengerjakannya. Maaf, wahai Kekasih. Maaf sebanyak keampunanMu mendinding kemurkaanMu". Sufi golongan ini perlu disimpati. Seberat-berat ujian bala bencana berat lagi kerinduan kepada Tuhan yang menguasai hati para pencinta-Nya. Sebagai rahmat dari-Nya sebahagian beban tersebut terangkat melalui salat.
Sebahagian sufi meletakkan segala perkara kepada takdir semata-mata. Tuhan yang memiliki kekuasaan Mutlak. Dia menguasai dan mengadakan peraturan untuk semua makhluk-Nya. Tuhan telah mengadakan ketentuan awal yang mengikat segala sesuatu. Oleh yang demikian sufi tersebut enggan memanggil sesuatu itu baik atau buruk seperti yang dinyatakan oleh syariat. Mereka tenggelam di dalam Qadar Tuhan sehingga tidak ada ruang untuk amr-Nya (peraturan-Nya). Mereka asyik menyaksikan Rububiah sehingga tidak berusaha melakukan tanggungjawab terhadap Uluhiyah-Nya. Kebanyakan mereka tidak melihat ruang untuk berdoa, berdakwah dan berjihad. Mereka percaya segala perkara perlu diserahkan bulat-bulat kepada Tuhan dan mereka perlu menerima apa sahaja yang sampai kepada mereka. Mereka tidak perlu mencari kebaikan dan menghindarkan keburukan. Mereka enggan memperbaiki kerosakan dan menentang kejahatan dan kezaliman.

Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan salah seorang sufi yang tidak jatuh ke dalam fahaman yang disebutkan di atas. Syeikh Abdul Qadir memperakui bahawa manusia boleh masuk ke dalam salah satu daripada dua golongan iaitu golongan yang berada di dalam kedamaian, keamanan dan kebahagiaan dalam melakukan ketaatan kepada Tuhan dan golongan ke dua adalah yang berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan, keresahan dan kekacauan dalam keengkaran mereka kepada Tuhan dan peraturan-Nya. Kedua-dua nilai iaitu ketaatan dan keengkaran ada dalam diri manusia, dalam takdir yang Tuhan pertaruhkan pada manusia. Tuhan meletakkan di dalam takdir manusia itu sesuatu yang unik, iaitu keupayaan atau bakat untuk membuat pilihan. Memilih untuk berbuat taat atau berbuat maksiat merupakan bakat asasi manusia yang dkurniakan oleh Tuhan. Ia merupakan takdir yang Tuhan tentukan sejak azali dan ia juga termasuk dalam perkara Qadak dan Qadar. Bakat memilih itulah yang melahirkan usaha, perasaan, fikiran, pertimbangan dan tindakan. Semua itu adalah sifat atau bakat fitrah manusia. Kebolehan manusia membuat pilihan tidak sedikit pun mencabar kehendak Tuhan kerana memang kehendak Tuhan menjadikan manusia berkeupayaan membuat pilihan, tetapi Tuhan yang memegang kemutlakan. Dia berkuasa menggunakan Kuasa Mutlak-Nya menurut kehendak-Nya tanpa terikat dengan bakat manusia.

Jika manusia memilih jalan yang menjadikan kesucian, kebaikan dan keikhlasan lebih menguasai maka sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi suasana kerohanian dan bahagian diri yang engkar akan dikalahkan oleh bahagian diri yang baik. Jika manusia memilih untuk mengikut hawa nafsunya yang rendah dan kesenangan ego dirinya, sifat-sifat engkar akan menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk menjadikannya engkar dan jahat. Orang yang berjaya mengubah sifat mementingkan diri dan hawa nafsu yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya tidak ada hisab. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru-hara hari kiamat. Orang yang menyedari kesalahannya dan bertaubat akan mengubah haluannya akan mendapati suasana engkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat. Semoga mereka mendapat keampunan Allah s.w.t dan diselamatkan ketika menghadapi maut dan hisab.

Haruslah difahami bahawa Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan yang berkedudukan sama seperti urusan-urusan Tuhan yang lain, yang manusia tidak diberi ilmu mengenainya melainkan sangat sedikit. Qadak dan Qadar Tuhan, Kalam Tuhan, rahmat Tuhan, sifat Tuhan, nama Tuhan, murka Tuhan dan apa sahaja yang mengenai Tuhan adalah ketuhanan yang sedikit sangat ilmu manusia mengenainya. Qadak dan Qadar bukanlah perkara yang mampu diolah oleh akal manusia. Jika perkara tersebut diperbahaskan berlarutan ia akan membawa kepada kekufuran dan bidaah. Tidak ada sesiapa yang boleh menjadikan takdir untuk berbuat jahat. Iblis telah meletakkan kesalahan kepada takdir lalu dia menjadi durhaka, kafir dan dilaknati oleh Tuhan, dibuang jauh daripada keampunan-Nya dan ditutup jalan untuk kembali kepada-Nya. Adam a.s mengakui kesalahan dirinya, tidak menyalahkan takdir, dan memohon keampunan dari Tuhan. Tuhan mengampunkan Adam as. Dan menyelamatkannya. Percaya kepada takdir secara yang ditunjukkan oleh Adam a.s adalah benar beriman kepada Qadak dan Qadar. Percaya kepada takdir seperti yang telah ditunjukkan oleh iblis bukanlah beriman kepada Qadak dan Qadar yang disuruh oleh Tuhan. Kaum Muslimin berkewajipan menjaga batas akal agar tidak berpanjangan mencari kunci teka-teki Qadak dan Qadar, sepertimana mereka tidak boleh menghujah kenyataan : " Allah tidak serupa dengan sesuatu". Memang benar Tuhan telah mengadakan ketentuan sejak azali, tetapi ia bukan seperti yang kita fikirkan, sangkakan, khayalkan dan angankan. Apa sahaja yang pada sisi Tuhan tetap tidak serupa dengan apa yang terlintas pada fikiran, khayalan, angan-angan dan perasaan manusia. Sebab itulah iman yang paling tinggi adalah iman siddiqin, iman tanpa hujah tanpa takwil.

Kasyaf dan ilham sufi

Kasyaf dan ilham sufi PDF | Print | E-mail

13. Kasyaf dan ilham sufi

Setiap makhluk yang diciptakan Tuhan dilengkapkan-Nya dengan fitrah. Fitrah menerbitkan bakat dan keupayaan semulajadi yang membolehkan setiap kejadian itu berfungsi menurut kejadiannya. Fitrah matahari mengheret matahari untuk bergerak pada satu landasan sambil mengeluarkan cahaya yang mengandungi tenaga yang diperlukan oleh kejadian di bumi. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, galian dan lain-lain semuanya mempunyai fitrah masing-masing dan setiap satunya bergerak menurut peraturan fitrahnya. Di antara semua kejadian, manusia dikurniakan fitrah yang paling sempurna kerana manusia berkewajipan memerintah dan mentadbir sekalian makhluk. Malaikat sendiri tunduk kepada manusia. Malaikat yang menguruskan bidang penglihatan tidak menghalang manusia menggunakan penglihatan matanya sekalipun yang dilihat olehnya itu diharamkan oleh Allah s.w.t. Malaikat yang menjaga nyawa tidak mencabut nyawa itu sekalipun manusia melakukan kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah s.w.t.

Fitrah manusia merupakan sebaik-baik persediaan dalam melaksanakan tugas-tugas kehambaan kepada Allah s.w.t. Melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan menguruskan kehidupan di bumi merupakan kewajipan manusia. Dalam melaksanakan hal yang demikian itu fitrah manusia dikurniakan sesuatu yang sangat luar biasa iaitu keupayaan untuk membuat pilihan. Hanya manusia dan jin yang memiliki keupayaan memilih. Makhluk lain tidak diberikan bakat tersebut. Dalam membuat pilihan fitrah manusia boleh menggunakan bakat-bakatnya iaitu fikiran, ilham dan kasyaf.

Melalui bakat berfikir manusia boleh membuat pilihan dalam menguruskan kehidupan lahiriah mereka. Kekuatan fikiran yang ada dengan manusia mengangkat manusia kepada darjat yang tinggi. Mereka mampu menguasai daratan, lautan dan udara. Mereka mampu mengambil manfaat daripada anasir alam yang ada di sekeliling mereka. Sempadan bagi kekuatan fikiran adalah jangkauan pancaindera dan logik. Apa yang tidak mampu dijangkau oleh pancaindera akan menimbulkan kesulitan kepada fikiran dan apa yang tidak termasuk dalam bidang logik akan mengelirukan fikiran.

Bidang yang tidak dapat diterokai oleh fikiran mampu diterokai oleh ilham. Fikiran sangat mahir dalam menyusun sesuatu yang bersangkutan dengan kebendaan. Kebendaan yang menjadi bidang fikiran ini bertindak sebagai hijab kepada bidang ilham. Pengaruh dan tarikan kebendaan menjadi tembok yang menghalang manusia daripada memperolehi ilham.

Pengaruh dan tarikan kebendaan tertuju kepada hati. Jika hati dapat keluar daripada kekuasaan dan ikatan kebendaan hati akan mampu mengeluarkan sinar cahayanya untuk memperluaskan bidang yang dapat diterokai oleh akal fikiran melalui cetusan ilham. Akal fikiran yang dibantu oleh ilham dapat keluar dari bidang logik dan sempadan kebendaan. Manusia dapat menerima kewujudan kuasa ghaib yang menguasai anasir alam yang nyata.

Terdapat dua golongan manusia yang menguasai bidang ilham. Mereka adalah ahli falsafah dan ahli sufi. Ahli falsafah yang menggunakan kekuatan diri sendiri hanya mampu mengambil ilham pada bahagian permukaan sementara ahli sufi berkeupayaan untuk menyelam ke dasar lautan ilham. Walaupun berbeza darjat ilham tetapi oleh kerana ia masih di dalam satu daerah, maka terdapat tolak-ansur di antara sufi yang di dalam daerah ilham dan ahli falsafah yang juga di dalam daerah ilham. Sufi yang begini beranggapan ahli falsafah adalah juga ahli sufi. Begitu juga anggapan ahli falsafah terhadap ahli sufi. Fahaman ahli falsafah dan fahaman ahli sufi tahap ilham banyak persamaan. Sufi pada tahap ini boleh bekerjasama dengan ahli falsafah dalam mengwujudkan kepercayaan atau agama sejagat. Agama sejagat ini mengambil nilai-nilai murni kemanusiaan sebagai peraturan hidup dan keikhlasan sebagai kehambaan kepada Tuhan. Setiap individu diperlukan mempratikkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan bebas melakukan keikhlasan menurut kemampuan dan bakat yang ada dengannya dalam menyatakan khidmatnya kepada Tuhan. Golongan ini sangat mengasihi manusia dan sangat bertolak ansur dengan sesama manusia. Mereka menganggap semua agama adalah baik dan benar. Mereka berfahaman semua agama menyembah Tuhan yang sama walaupun caranya berbeza. Mereka tidak mengutuk perbuatan memyembah Tuhan dengan menggunakan perantaraan seperti patung-patung. Kebanyakan agama dalam dunia hari ini telah diolah semula oleh golongan sufi-falsafah. Maksud sufi di sini termasuklah ahli agama yang selain Islam yang mengamalkan bidang kerohanian dan melatih diri dalam bidang tersebut. Dari kalangan merekalah muncul orang-orang yang membina tempat patung-patung dalam tempat-tempat ibadat agama Nasrani dan Yahudi. Orang yang beragama menyembah berhala tidak berasa janggal apabila mereka memasuki rumah ibadat orang Nasrani dan Yahudi. Pengaruh yang demikian juga menjalar ke dalam masyarakat Islam. Orang-orang Islam yang berjiwa falsafah gemar membina sesuatu yang menonjol dan tersergam di dalam masjid-masjid. Jika penyembah berhala melihat kaum Muslimin sedang sujud mungkin mereka menyangka kaum Muslimin sujud kepada benda yang menonjol dan tersergam itu.

Sufi seterusnya masuk ke dalam bidang kasyaf. Penyaksian mata hati dan pengalaman rasa merupakan bidang kasyaf. Hati menyaksikan dan merasakan suasana ghaib dan hal-hal yang berhubung dengan ketuhanan. Walaupun sufi menyaksikan dan merasakan hal ketuhanan tetapi ia bukanlah Tuhan. Apa yang dibukakan kepada sufi itu adalah ibarat kunci yang membuka pintu makrifat untuk sufi mengenali Tuhan. Kasyaf tahap tertinggi hanyalah pengalaman rasa tanpa penyaksian tentang hal ketuhanan itu. Pengalaman rasa atau zauk tanpa penyaksian membawa sufi bermakrifat tentang Allah s.w.t yang Maha Esa, tiada sesuatu yang menyerupai-Nya. Makrifat cara begini menanamkan kefahaman yang tidak mampu dihuraikan.

Penghuraian yang lengkap tentang Allah s.w.t hanya terdapat dalam wahyu. Apa yang diterangkan oleh wahyu tentang Allah s.w.t dapat difahami oleh seseorang manusia menurut tahap pemikiran, ilham dan kasyafnya. Orang yang mempunyai ke tiga-tiga bakat-bakat fitrah itu secara sempurna akan mengenal Allah s.w.t dengan sempurna. Wahyu menerangi kasyaf, kasyaf menerangi ilham dan ilham menerangi fikiran. Nur wahyu yang menerangi kasyaf, ilham dan fikiran itu membuka simpulan pada lidah sehingga lidah boleh berucap dengan fasih tentang Allah s.w.t, menurut kadar yang Dia izinkan.

Apabila sekalian bakat-bakat fitrah itu sudah disinari oleh nur wahyu baharulah fitrah kemanusiaan itu melonjak kepada fitrah Muslim. Manusia yang fitrahnya belum mencapai tahap fitrah Muslim, walaupun pintar menggunakan akal namun, dia masih belum bersesuaian dengan kehendak Allah s.w.t. Daya nilai fitrah manusia banyak bersesuaian dengan daya nilai fitrah Muslim dalam bidang akhlak tetapi tidak dalam bidang ketuhanan. Kebenaran yang sejati berada pada fitrah Muslim. Apa yang dinilaikan baik oleh fitrah manusia jika bercanggah dengan penilaian fitrah Muslim, maka fitrah manusia mesti akur dengan kebenaran fitrah Muslim. Orang Islam yang bijak sekalipun tidak akan dapat melihat hikmah di sebalik suruhan dan tegahan agama, sekiranya fitrahnya tidak naik kepada tahap fitrah Muslim atau pun jika akalnya enggan tunduk kepada kebenaran yang dinyatakan oleh wahyu. Apabila fitrah manusia mencapai tahap fitrah Muslim, akan ujudlah penyerahan yang sejati kepada Allah s.w.t, tanpa hujah dan tanpa takwil. Dia akan tunduk kepada peraturan Allah s.w.t yang dibawa oleh Rasul-Nya. Dalam jiwanya akan lahir keghairahan beragama. Dia akan cemburu jika Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w, al-Quran dan agamanya dipersendakan apa lagi kalau dikhianati.

Semua bakat-bakat fitrah mestilah menjadi Muslim. Akal fikiran menjadi Muslim, ilham menjadi Muslim dan kasyaf menjadi Muslim. Bila semua bakat itu sudah menjadi Muslim, akan bercahayalah Roh Islam seseorang itu. Roh Islam akan hanya mengeluarkan yang Muslim, tidak ada percanggahan dengan Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah Roh Nabi Muhammad s.a.w. Jibrail a.s membacakan wahyu dan Roh Islam Nabi Muhammad s.a.w mentafsirkannya. Apa yang baginda s.a.w tafsirkan menepati apa yang wahyu maksudkan, tanpa sedikitpun percanggahan. Jika mahu melihat al-Quran dalam rupa manusia, maka Nabi Muhammad s.a.w adalah ‘al-Quran' yang hidup, berkata-kata dan bergerak dalam daerah kehidupan manusia. Selain Nabi Muhammad s.a.w darjat persamaan dengan wahyu itu bertingkat-tingkat menurut darjat akal, ilham dan kasyaf masing-masing.

Fikiran, ilham dan kasyaf sufi bukanlah satu sumber ilmu yang menyamai wahyu atau pun bebas daripada wahyu. Bakat-bakat tersebut hanyalah alat untuk mentafsirkan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w mengenai sesuatu perkara yang diimani. Bakat-bakat tersebut walaupun boleh digunakan sebagai alat bagi menterjemah wahyu tetapi ia bukanlah secara sempurna. Ia berkedudukan seperti ijtihad para mujtahid yang mungkin benar dan mungkin silap. Dalam pembinaan hukum dan fatwa yang mengenai orang ramai, kedudukan ijtihad ahli mujtahid lebih kuat daripada ilham dan kasyaf sufi.

Ilham dan kasyaf sufi lebih bersifat peribadi, berguna untuk sufi itu sendiri dalam menentukan arah tindakannya. Kesan mabuk yang berlaku pada jalan kewalian sufi sukar terpisah daripada seseorang sufi itu dan kesan tersebut boleh mempengaruhi ilham dan kasyafnya. Apa yang diperolehi oleh sufi yang dipengaruhi oleh mabuk mungkin tidak menepati kebenaran yang asli. Sufi tersebut mungkin mengeluarkan pendapat yang kurang benar dan meninggalkan yang lebih benar. Oleh yang demikian kebenaran ilham dan kasyaf sufi itu mesti diuji dengan kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Kedudukan seseorang sufi itu diukur dengan melihat sejauh mana ilham dan kasyafnya bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Sufi yang telah mencapai tahap kewalian peringkat tertinggi, yang telah terlepas daripada kesan mabuk, fana dan bersatu dengan Tuhan, tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunah.

Al-Quran dan Hadis telah memberi penjelasan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah. Perkara yang sudah cukup terang dan jelas ini tidak boleh digugat oleh apa sahaja, termasuklah fahaman, ilham dan kasyaf sufi. Jika terjadi percanggahan di antara ucapan ahli sufi dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah mengenai perkara akidah, ia mestilah ditolak dan perkataan al-Quran dan as-Sunah itu yang wajib diimani. Ucapan sufi yang demikian hendaklah dianggapkan sebagai ucapan yang lahir daripada suasana hati yang dipengaruhi oleh mabuk dan fana dan sufi berkenaan belum lagi menghabiskan perjalanannya. Jika perkataan sufi menyokong kenyataan al-Quran dan as-Sunah, maka perkataan tersebut hendaklah dibenarkan. Dalam memahami maksud al-Quran dan as-Sunah, aliran Ahli Sunah wal Jamaah hendaklah diikuti.

Ada perkara-perkara yang al-Quran dan al-Hadis hanya memberi maklumat secara sepintas lalu atau pun tidak memberi maklumat sedikitpun. Perkara-perkara berkenaan termasuklah soal-soal syurga, neraka, bumi, alam maya, malaikat, jin, makhluk rohani dan lain-lain. Ahli sufi banyak memperkatakan soal-soal yang demikian berdasarkan ilham dan kasyaf mereka, tanpa sokongan nas yang sahih. Dalam soal ini orang ramai tidak dituntut untuk mengimani perkataan sufi. Ilham dan kasyaf sufi boleh jadi benar dan boleh jadi juga tidak benar. Nabi-nabi diperakui oleh Allah s.w.t sebagai maksum, dijamin terpelihara daripada gangguan syaitan dan tidak terjadi kesalahan pada ilham dan kasyaf mereka. Apa juga kekeliruan yang timbul akibat gangguan syaitan diperbetulkan dengan segera dan kebenaran perkataan Nabi-nabi ditetapkan. Jaminan yang demikian tidak diberi kepada golongan yang bukan Nabi. Namun begitu, perkataan sufi mengenai soal-soal yang tidak bersangkutan dengan akidah itu boleh dijadikan iktibar dan mempercayainya tidak menjadi kesalahan. Melalui perkataan mereka orang-orang yang ingin memahami perkara-perkara tersebut mendapat sedikit pemahaman yang boleh dikembangkan melalui kekuatan akal fikiran.

Sufi memperolehi maklumat melalui kasyaf. Kadang-kadang kasyaf berlaku kepada sufi dalam bentuk ibarat atau pembukaan secara umum tanpa perincian. Kasyaf yang demikian perlu ditafsirkan. Biasa terjadi tafsiran yang dibuat oleh sufi itu tidak menepati gambaran atau ibarat yang dibukakan kepadanya Bila sufi menerima berita secara umum maka tafsiran secara umum juga yang diberikannya. Maklumat yang diperolehi secara umum, tanpa perincian, tidak dapat menceritakan sesuatu perkara dengan tepat. Sufi juga mungkin mendapat maklumat mengenai sesuatu kejadian dan maklumat tersebut datangnya daripada sumber takdir yang akan berubah, sedangkan perubahan yang akan berlaku tidak dibukakan kepadanya. Allah s.w.t berfirman:

Apa sahajat ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )

Ayat di atas memberitahukan tentang takdir yang di dalam perbatasan yang boleh berubah dengan kehendak dan perintah Allah s.w.t.

Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( Ayat 64 : Surah Yunus )

Ayat di atas ini pula memberitahukan tentang daerah takdir yang tidak akan berubah kerana Allah s.w.t telah menetapkannya. Kasyaf seorang sufi mungkin hanya sampai kepada daerah takdir yang mungkin berubah, tidak sampai kepada daerah takdir yang tetap. Oleh yang demikian apa yang disaksikannya mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku.

Perlu juga diketahui bahawa seseorang sufi melalui peningkatan kerohanian secara sedikit demi sedikit, bukan sekaligus. Suasana kerohanian atau makam mempengaruhi fahaman dan pegangan sufi. Seorang sufi boleh mengeluarkan beberapa pendapat yang berbeza mengenai perkara yang sama. Pendapatnya di awal perjalanan, pertengahan dan di akhir perjalanan mungkin bertentangan di antara satu sama lain. Pendapatnya yang paling benar adalah pendapat yang diberikannya setelah dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya dan berkamil dengan syariat sepenuhnya.

Sufi yang masih di dalam perjalanan menemui beberapa fahaman yang bercanggah dengan prinsip syariat. Di antara yang demikian adalah konsep tauhid af'al, tauhid sifat dan tauhid wujud. Konsep tauhid yang demikian membawa Tuhan ke dalam perbatasan alam dan mengadakan persamaan di antara Tuhan dengan makhluk. Sufi yang sedang dikuasai oleh suasana kerohanian yang demikian menafikan perbuatan dirinya, sifatnya dan wujudnya. Semuanya diisbatkan kepada Allah s.w.t. Muncullah ungkapan seperti: "Tiada yang berbuat melainkan Allah. Tiada yang hidup melainkan Allah. Tiada yang maujud melainkan Allah" dan lain-lain ungkapan yang seumpamanya. Ungkapan yang paling popular dikaitkan dengan kesufian adalah: "Ana al-Haq!" Ada golongan yang beranggapan kononnya sufi yang belum mengucapkan "Ana al-Haq" belum lagi mencapai makam yang paling tinggi. Golongan sufi ikutan menggunakan ungkapan yang demikian bagi memukau kesedaran diri sendiri dengan cara mengulangi ucapannya sebanyak mungkin dan menghayati maknanya sehingga terpahat kepercayaan yang demikian dalam jiwa mereka. Golongan yang mengikut secara membuta tuli inilah yang menyebarkan kesesatan, berselindung di sebalik perkataan sufi yang sedang mabuk.

Manusia yang masih ada keupayaan untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa, mestilah faham keadaan sufi yang fitrah mereka menerima kejutan alam ghaib sehingga keupayaannya untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa hilang. Sufi yang demikian dikatakan berada di dalam jazbah. Orang yang berada dalam jazbah adalah umpama orang yang keluar ke laut menaiki perahu kecil. Bila dipukul gelombang dia menjadi mabuk dan meracau. Setelah dia sampai ke tengah laut, ombak sudah tenang, mabuknya berkurangan dan akhirnya dia kembali normal. Bila dia sudah sedar dia tidak meracau lagi. Pengalaman jazbah berguna kepada sufi berkenaan kerana pengalaman yang demikian menanggalkan sifat-sifat yang keji dari hatinya dan sifat ikhlas menjadi sebati dengannya. Pengalaman jazbah itu juga berguna kepada guru yang menjadi pembimbing kerana dengannya guru dapat mengetahui suasana dan stesen kerohanian muridnya. Ia juga menjadi tanda bahawa murid berkenaan mempunyai harapan untuk menjadi cemerlang kesudahannya. Guru yang arif akan membimbing muridnya supaya melepasi peringkat-peringkat zauk sehingga sampai kepada penghujung jalan yang tenang dan damai. Murid yang sudah melepasi peringkat jazbah dan kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa akan menyedari akan kekeliruan yang muncul dalam fahamannya sepanjang perjalanannya. Dia bertaubat daripada pegangan yang lalu. Kini dia menyaksikan satu kebenaran sahaja iaitu kebenaran kehambaan kepada Allah s.w.t. Manusia dan jin diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, bukan untuk bersatu dengan perbuatan, sifat atau wujud-Nya.

Fahaman yang keluar dari ilham dan kasyaf sufi sekiranya menyalahi syariat wajiblah ditolak. Jika orang yang mengetahui tentangnya ada kebolehan, ucapan latah sufi haruslah diterjemahkan menurut stesen kerohanian sufi berkenaan dan penjelasan harus diberi kepada orang ramai agar latah sufi tidak disalahertikan. Sufi yang mengeluarkan ucapan latah ketika dalam jazbah haruslah dimaafkan, walaupun ucapannya menyalahi syariat. Harus diingat bahawa sufi tidak terlepas sepenuhnya daripada suasana mabuk sebelum dia sampai kepada makam siddiqiyat. Semua makam di bawah daripada makam siddiqiyat tidak terlepas daripada pengaruh mabuk sedikit atau banyak. Kesimpulannya pendapat sufi yang bertentangan dengan syariat wajib ditolak tetapi peribadi sufi itu sendiri tidak boleh dikutuk kerana dia dikuasai oleh mabuk.

Wahdatul syuhud, wahdatul wujud

Wahdatul syuhud, wahdatul wujud PDF | Print | E-mail

12. Wahdatul syuhud, wahdatul wujud

Wahdatul wujud atau tauhid wujudi adalah fahaman yang membentuk kepercayaan bahawa yang ada hanya satu wujud iaitu Wujud Tuhan dan yang selain Tuhan tidak wujud. Segala kewujudan yang selain Tuhan merupakan penzahiran dan aspek-aspek ketuhanan atau wajah-wajah wujud Yang Esa itu. Dalam doktrin wahdatul wujud, Wujud Tuhan dikatakan bersamaan dengan wujud alam. Apa yang disaksikan dan dipandang adalah alam pada satu aspek dan juga Tuhan pada aspek yang lain. Alam dikatakan Tuhan dalam bentuk penzahiran. Alam dikatakan satu dengan Tuhan dalam keadaan ada perbezaan pada kenyataan tetapi sama pada hakikatnya. Alam adalah Tuhan yang menyata dalam bentuk yang Dia kehendaki.

Wahdatul ma'abud adalah kepercayaan terhadap keesaan Allah s.w.t seperti yang dinyatakan oleh Surah al-Ikhlas.

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tidak beranak dan Ia tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya". ( Ayat 1 - 4 : Surah al-Ikhlas )

Dalam fahaman wahdatul ma'abud kepercayaan kepada keesaan Tuhan tidak memerlukan kepada penafian terhadap kewujudan makhluk dan juga wujud makhluk tidak disamakan sedikit pun dengan Wujud Tuhan. Iman kepada Tuhan didasarkan kepada:

LAISAKAMIS LIHII SYAIUN

Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya.

Tuhan adalah berlainan dan berbeza dengan makhluk. Alam bukan satu dengan Tuhan. Wujud Tuhan adalah hakiki atau benar. Wujud alam pula jika dibandingkan dengan Wujud Tuhan, adalah khayalan, tidak sebenar. Wujud alam dikatakan tidak berhakikat. Oleh kerana wujud alam tidak berhakikat sementara Wujud Tuhan adalah hakiki, mengatakan alam sebagai penzahiran Tuhan adalah tidak benar sama sekali. Wujud yang tidak berhakikat adalah berbeza, berlainan dan tidak boleh disamakan dengan Wujud Hakiki.

Dalam soal Wujud Tuhan dan wujud makhluk, kekeliruan timbul kerana istilah "WUJUD" itu sendiri. Bila dikatakan Tuhan wujud dan makhluk juga wujud maka terdapat sesuatu persamaan pada kedua-dua jenis wujud tersebut. Istilah tersebut boleh menimbulkan anggapan atau khayalan bahawa kedua-duanya ada persamaan atau perkaitan. Sebenarnya jika istilah wujud digunakan untuk menceritakan tentang keadaan makhluk yang ADA, lebih baik jika istilah lain digunakan untuk menceritakan keadaan Tuhan yang ADA. Tetapi dalam kamus manusia tidak ada istilah yang boleh menceritakan keadaan yang ada tetapi tidak bersamaan dengan adanya segala yang ada dan adanya Dia tidak disertai oleh segala yang ada. Oleh yang demikian perkataan wujud juga digunakan untuk menceritakan tentang Adanya Tuhan. Begitu juga halnya dalam menceritakan sifat-sifat Tuhan. Istilah-istilah seperti Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Hidup, Berkehendak, Mengetahui dan Berkuasa digunakan bagi menceritakan keadaan Tuhan. Walaupun istilah yang serupa digunakan dalam menceritakan tentang Tuhan dan makhluk tetapi jika menganggapkan sifat Tuhan sama dengan makhluk maka anggapan yang demikian membawa kepada kekufuran.

Tuhan menciptakan makhluk daripada tidak ada, walaupun makhluk menjadi ada setelah diciptakan namun, hakikatnya tetap tidak ada. Zat makhluk adalah ‘adam (tidak ada). Walaupun sifat berubah namun zat tidak berubah. Kayu yang dijadikan almari, kerusi, pintu dan sebagainya adalah tetap kayu pada zatnya sekalipun sifat sudah berbagai-bagai. ‘Adam (yang tidak ada) tetap ‘adam walaupun sudah menjadi ada. Kewujudan berjuta-juta ‘adam, yang tidak ada, tidak akan mengubah status Tuhan Yang Maha Esa. Tuhan tetap Esa walaupun Dia membuatkan makhluk menjadi ada, kerana pada sisi Tuhan makhluk tidak mempunyai hakikat wujud. Bagaimana ini mungkin terjadi? Ia menjadi mungkin kerana Tuhan membuatnya menjadi mungkin dan kewujudan demikian dinamakan wujud yang mungkin (mumkinul wujud). Hanya Tuhan yang berkuasa mengadakan yang mungkin itu. Sebab itulah dakwaan bahawa Diri-Nya adalah Tuhan memang benar. Yang boleh berbuat demikian hanyalah Tuhan. Yang selain Tuhan tidak ada kuasa untuk melakukannya. Semua pencipta-pencipta selain Tuhan, apabila membuat sesuatu ciptaan mereka akan berkongsi ruang dengan ciptaan mereka dan bilangan juga menjadi bertambah. Hanya Allah s.w.t yang berkuasa menciptakan makhluk tanpa mengubah status wujud-Nya Yang Esa. Hanya akal orang yang bingung atau orang yang dalam mabuk mencuba menghuraikan teka-teki Wujud Tuhan dan wujud makhluk. Orang yang berakal sihat akan menyerah tanpa takwil, tanpa hujah bahawa sesungguhnya: "Tidak ada sesuatu yang berkongsi apa-apa dengan-Nya, baik dari segi wujud, sifat, perbuatan dan apa segi sekalipun. Dia tidak disekutukan oleh sesiapa dan dalam apa perkara sekalipun". Oleh kerana pada hakikatnya Dia tidak bersekutu dengan sesuatu, maka mempersekutukan-Nya dengan sesuatu menjadi kesalahan yang paling besar, yang tidak Dia maafkan.

Tidak semua orang sufi berpegang dengan fahaman wahdatul wujud. Ramai sufi yang tidak bersetuju dan menolak fahaman satu wujud. Pengalaman mereka menceritakan bahawa satu wujud hanya muncul dalam penyaksian atau pengalaman kerohanian yang berlaku pada satu tahap perkembangan kerohanian. Pengalaman menyaksikan atau mengalami satu wujud itu dinamakan wahdatul syuhud atau tauhid syuhudi. Wahdatul syuhud atau tauhid syuhudi merupakan pengalaman kerohanian yang paling tinggi mengenai keesaan. Boleh juga dikatakan ia adalah kemuncak fana, di mana kesedaran seseorang sufi terhadap dirinya dan sekalian makhluk hilang lenyap sama sekali, tidak ada sedikit pun yang tinggal. Pada tahap tersebut sufi masuk sepenuhnya ke dalam suasana "Tuhan Maha Esa". Pada ketika itu kewujudan nyata sufi tidak hilang. Dia masih lagi berjasad dan bergerak di atas muka bumi. Hanya ingatan dan kesedarannya terhadap yang selain Allah s.w.t terhapus sama sekali. Sufi tidak bertukar menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Sufi yang di dalam keadaan menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan itu tidak ada kuasa untuk membelah bulan atau membuat matahari naik dari sebelah barat seperti kekuasaan Tuhan. Apa yang berlaku kepada sufi hanyalah pengalaman rasa. Dia mengalami rasa "Akulah Tuhan. Aku Esa. Tiada sesuatu beserta Aku". Peringkat pengalaman keesaan yang paling tinggi ini berlaku dalam sembahyang. Apa yang dirasakan pada ketika itu adalah: "Sembahyang adalah puji-pujian Allah terhadap Diri-Nya sendiri. Dia yang Memuji Diri-Nya. Dia yang Berkata-kata. Dia Yang Mendengar". Pengalaman yang demikian merupakan saat yang paling lazat dirasakan oleh seseorang sufi. Setiap patah ucapan dalam sembahyang itu sangat mengasyikkan, sangat indah dan sangat merdu.

Ketika mengalami suasana keesaan Tuhan itu bukanlah bermakna sufi sudah menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Ia adalah satu suasana yang Tuhan gubah bagi memperkenalkan keesaan-Nya. Orang yang memasuki suasana tersebut akan kenal, faham dan mengerti maksud Tuhan Maha Esa. Pengalaman yang demikian terjadi tatkala sufi hilang ingatan dan kesedaran kepada segala perkara kecuali Allah s.w.t. Apabila ingatan dan kesedarannya kembali semula pengalaman tentang keesaan Allah s.w.t itu tidak hilang, tidak seperti orang gila yang melupai segala pengalaman gilanya tatkala dia sedar kembali. Pengalaman hati membawa sufi bermakrifat dengan keesaan Tuhan. Apa yang diketahui oleh orang lain secara ilmiah, dalil dan bukti, dialami sendiri oleh sufi. Pengalaman keesaan yang dialami oleh hati itulah yang dinamakan wahdatul syuhud. Sufi yang mengalami wahdatul syuhud berpecah kepada dua golongan. Golongan yang pertama memahamkan apa yang dialami itulah kebenaran yang sejati, kebenaran yang paling tinggi. Hati telah mengalami satu wujud maka tentu sekali satu wujudlah yang benar. Berdasarkan penyaksian atau pengalaman hati mengenai satu wujud itulah terbentuk fahaman wahdatul wujud. Yang wujud hanyalah Tuhan, penzahiran Tuhan atau wajah-wajah Tuhan. Alam dan makhluk adalah bentuk zahir yang dengannya Tuhan menyatakan Wujud-Nya. Alam dan makhluk jika dipandang dari satu segi adalah Tuhan dan jika dipandang dari segi yang lain adalah makhluk. Begitulah fahaman wahdatul wujud yang dibuat sebagai terjemahan kepada pengalaman wahdatul syuhud. Sufi golongan kedua tidak menggubah terjemahan kepada apa yang mereka alami. Bagi golongan ini satu wujud adalah penyaksian atau pengalaman hati, tidak ada sebab mahu mengatakan wahdatul syuhud itu sebagai wahdatul wujud. Golongan ini memahamkan bahawa menyaksikan keesaan Tuhan bukan bermakna menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Memasuki suasana Keesaan Tuhan yang Tuhan gubah bukan bermakna masuk kepada Tuhan. Tuhan tidak dikandung oleh masa, zaman atau ruang. Tidak ada satu perbatasan di mana bertempat Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada sesuatu apa pun yang boleh sampai kepada Zat Tuhan. Walaupun Keesaan Tuhan dikenali dan dialami ia tidak mengubah bangunan alam maya dan tidak mengubah ketuhanan Allah s.w.t. Orang lelaki yang bermimpi menjadi perempuan tidaklah benar-benar bertukar menjadi perempuan. Tetapi pengalaman menjadi perempuan di dalam mimpi itu membuatnya mengenali perempuan dengan mendalam, tahu daya rasa dan citarasa perempuan dan sebagainya. Pengetahuan yang didapati secara pengalaman mengsahkan dan meyakinkan pengetahuan yang diketahui secara pembelajaran dan dalil. Pengalaman menjadi perempuan dalam mimpi dikatakan pengalaman hakikat iaitu lelaki berkenaan mengalami hakikat keperempuanan melalui cara bermimpi. Lelaki tersebut mengenali perempuan secara sempurna.

Sufi mengalami hakikat ketuhanan termasuklah hakikat keesaan Tuhan. Sufi berkenaan masuk ke dalam suasana hakikat dan makrifat bukan masuk ke dalam Tuhan. Hakikat dan makrifat adalah suasana yang Tuhan gubah bagi memperkenalkan Diri-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki berbuat demikian. Seseorang hamba yang menetap dalam makam kehambaan apabila diperkenalkan sifat al-Aziz akan kecutlah hatinya, mengggigil tubuhnya, pucat mukanya hinggakan dia jatuh pengsan. Setelah sedar dari pengsannya dia kenal maksud al-Aziz. Pengenalan secara mengalami itu lebih berkesan dan meyakinkan daripada perkenalan secara ilmiah. makrifat melalui pengalaman hakikat itu melahirkan ungkapan seperti: "Aku kenal Tuhanku melalui Tuhanku; Aku melihat Tuhanku tanpa rupa, tanpa bentuk, tanpa warna, tanpa cahaya; Aku kenal Tuhanku tanpa sesuatu pengenalan". Banyak lagi ungkapan yang seumpamanya.

Sufi yang mengalami wahdatul syuhud tetapi menolak fahaman wahdatul wujud, berpegang kepada fahaman wahdatul ma'abud iaitu kepercayaan kepada keesaan Tuhan tanpa menafikan kewujudan makhluk ciptaan Tuhan. Sufi golongan ini mengakui bahawa wujud makhluk memang tidak berhakikat tetapi oleh kerana makhluk diciptakan Tuhan maka makhluk mempunyai kewujudan yang teguh, stabil, tetap, kekal mempunyai tindakbalas dan sebagainya, bukan seperti wujud khayali yang dibuat oleh ahli silap mata. Jadi, wahdatul syuhud yang membawa sebahagian sufi kepada wahdatul wujud itu juga yang menetapkan sufi pada wahdatul ma'abud. Sufi yang tidak terbalik pandangan kerana pengalaman wahdatul syuhud adalah yang ditetapkan pada makam kehambaan, sekalipun menempuh gelombang Alam Misal, alam bayangan, cahaya dan warna. Apa sahaja yang muncul dinafikannya dengan kalimah : "Laa ilaa haillallah" dengan membawa maksud : "Tiada Tuhan melainkan Allah."

Kalimah Tauhid yang menetapkan sebahagian sufi pada makam kehambaan itu boleh juga digunakan untuk mencabut kehambaan apabila maksud kalimah tersebut diubah kepada: "Tiada yang maujud melainkan Allah". (Laa maujud Illallah). Renungan yang mendalam dan disertakan dengan ucapan yang berulang-ulang bertindak sebagai memukau diri sendiri sehingga terpahat keyakinan dalam jiwa bahawa hanya Wujud Tuhan yang ada. Orang yang memperolehi fahaman wahdatul wujud secara renungan demikian tidak mengalami wahdatul syuhud, tidak ada pengalaman hakikat, tidak mengalami hal-hal ketuhanan kerana mereka belum lagi sampai kepada tahap kesedaran hati (kalbu). Hal ketuhanan hanya dialami oleh orang yang sampai kepada tahap kesedaran hati. wahdatul wujud yang diperolehi secara tafakur itu menjadi pegangan orang yang berada pada tahap ilmu, tetapi ilmu bayang bukan ilmu yang sebenar.

Ada juga sufi yang memulakan perjalanan tanpa membawa atau mengetahui fahaman wahdatul wujud. Sufi ini sangat kuat dikuasai oleh kecintaan kepada Allah s.w.t dan tarikan kepada Tuhan yang kuat itulah menemukannya dengan kepercayaan wahdatul wujud. Kecintaan kepada Tuhan menjadi sangat berpengaruh dan menimbulkan keasyikan apabila sampai kepada tahap kesedaran hati, sama ada dia sampai kepada tahap melalui cara suluk atau b pun dengan rahmat Tuhan dia menjadi majzub. Kecintaan yang membara, mengasyikkan, dicampur dengan kerinduan yang mendalam menyebabkan sufi itu hanya menyaksikan satu wujud sahaja iaitu Wujud Tuhan sementara yang lain terhapus dari pandangannya. Oleh kerana dia tidak menyaksikan yang lain maka dia tidak memperakui kewujudan yang lain. Fahaman yang terbentuk itu adalah hasil daripada zauk atau pengalaman rasa yang bebas dari khayalan. Jika sufi itu menetap pada makam kalbu dan dia kembali kepada dunia dalam keadaan demikian, maka dia kan melihat wajah Kekasihnya pada apa jua yang dia pandang. Segala sesuatu menjadi cermin yang membalikkan wajah Kekasihnya.

Sebahagian sufi, dengan rahmat Tuhan, dapat melepasi makam kalbu dan diberi suasana yang lebih baik iaitu menghadap kepada Tuhan yang menguasai kalbu. Sufi yang sudah keluar dari tahap kesedaran kalbu tidak lagi dikuasai oleh kecintaan yang mengasyikkan, yang mabuk. Kecintaannya sudah kembali rasional. Kecintaan rasional mengecilkan fahaman dan kepercayaan kepada wahdatul wujud. Lama kelamaan fahaman dan kepercayaan yang demikian hilang terus dari hati sufi. Dari golongan sufi yang telah membuang fahaman dan kepercayaan wahdatul wujud ada yang mengecam doktrin tersebut. Sufi yang lain tidak membuat kecaman atau ulasan. Mereka bersimpati dengan sahabat-sahabat mereka yang masih terikat pada makam kalbu dan berpegang kepada fahaman wahdatul wujud bukan dengan kehendak mereka sendiri tetapi pengalaman kerohanian yang menguasai mereka menyebabkan mereka menjadi demikian. Mereka dikuasai oleh hal atau zauk yang menyebabkan mereka tidak berdaya untuk memandang ke arah lain.

Bermukim pada makam kalbu, mengalami berbagai-bagai hal ketuhanan, memasuki suasana bersatu dengan Tuhan, adalah pengalaman yang menyeronokkan dan mengasyikkan. Hati merasai kenikmatan dan kelazatan. Lantaran itu ada sufi yang enggan keluar dari makam tersebut. Apabila kesedaran diri datang kepada mereka, mereka akan kembali membuat latihan untuk menghapuskan kesedaran tersebut. Mereka lebih suka berada dalam zauk terus menerus kerana dalam zauk yang ada hanya Allah s.w.t, kehampiran dengan-Nya dan kesatuan dengan-Nya. Mereka percaya Kebenaran Hakiki adalah kefanaan dan penafian diri. Dari kalangan mereka muncul ungkapan seperti: "Aku mahu sampai kepada ‘adam hakiki (ketiadaan yang sebenar-benarnya) dan tidak kembali lagi kepada wujud". Golongan ini sentiasa bekerja keras melatih diri dengan cara yang payah, beramal dengan cara yang sukar dan membebankan supaya mereka boleh berada dalam suasana penghapusan diri yang terus menerus. Mereka tidak mempunyai masa untuk berehat. Beban pengalaman yang berat itu mendorong mereka kepada satu-satu kegiatan menurut kecenderungan dan bakat masing-masing sebagai mengalihkan mereka daripada beban pengalaman mereka yang berat itu. Ada di antara mereka mencurahkan perasaan kepada alam semulajadi. Ada yang mendapat kerehatan dan keringanan melalui tarian dan nyanyian. Ada yang berpegang kepada fahaman satu wujud dan menyaksikan satu wujud dalam yang banyak. Semua itu merupakan rahmat dari Tuhan agar mereka mampu bertahan dalam beban pengalaman mereka dan dengan demikian mereka memperolehi sedikit kerehatan.

Kumpulan sufi yang maju ke hadapan, meninggalkan makam kalbu, memperolehi hubungan dengan Tuhan yang membawa mereka beriktikad bahawa Tuhan Berdiri Dengan Sendiri dan tidak menyerupai sesuatu. Mereka tidak terlibat lagi dengan fahaman melihat Tuhan dalam alam atau menyamakan alam dengan Tuhan. Iktikad sufi golongan ini sesuai dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w tidak mengajarkan wahdatul wujud tetapi baginda s.a.w mengajarkan wahdatul ma'abud iaitu beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada sokongan al-Quran kepada fahaman wahdatul wujud. Al-Quran mengajarkan konsep ketuhanan : "Laisakamislihii syaiun" - tiada sesuatu serupa dengan-Nya. Rasulullah s.a.w mengajarkan supaya menafikan tuhan-tuhan palsu yang terdiri daripada anasir-anasir alam dan manusia, termasuklah diri sendiri Sama ada yang zahir atau yang batin. Rasulullah s.a.w menentang perbuatan mempertuhankan batu, Isa al-Masih, Uzair, bulan, dan lain-lain. Rasulullah mengatakan konsep ketuhanan yang demikian adalah syirik dan dosanya tidak diampun oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w juga mengajarkan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan. Kebenaran sejati yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah manusia adalah hamba ciptaan Tuhan bukan penzahiran Tuhan. Kesatuan wujud tidak diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Pada zaman para sahabat Rasulullah s.a.w, fahaman wahdatul wujud tidak wujud, malah bayangannya pun tidak ada. Fahaman yang demikian hanya muncul pada zaman yang akhir-akhir ini.

Sufi yang telah menyelesaikan semua peringkat perjalanan kerohanian dan mencapai peringkat tertinggi kewalian akan memperolehi keyakinan yang sama dengan pegangan ulama yang memperolehinya melalui kitab dan akal. Apa yang ulama putuskan secara mentalaah kitab dan menggunakan akal diperolehi oleh sufi melalui kasyaf.

Syariat zahir dan batin

Syariat zahir dan batin PDF | Print | E-mail

11. Syariat zahir dan batin

Ketika di dalam daerah kewalian sufi, mengalami fana dan jazbah, orang sufi melupakan dan membuang segala-galanya kecuali Allah s.w.t. Mereka tidak inginkan syurga dan tidak takutkan neraka. Dosa dan pahala sama sahaja bagi mereka. Mereka menafikan perbuatan diri mereka dan mengisbatkannya kepada perbuatan Tuhan. Mereka tidak beristighfar di atas kesalahan yang terjadi pada mereka. Bagi mereka istighfar menunjukkan mereka mendakwa diri mereka memiliki kekuasaan untuk melakukan sesuatu, sekalipun perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Mengaku diri berkuasa lebih berat daripada dosa itu sendiri. Bagi mereka segala daya dan upaya adalah milik Allah s.w.t. Segala sesuatu adalah ciptaan dan perbuatan Allah s.w.t. Allah s.w.t menciptakan mereka, daya dan upaya mereka, kehendak mereka, perbuatan mereka dan segala-galanya. Oleh itu mereka menerima apa sahaja yang datang kepada mereka dengan reda. Mereka membuang ikhtiar memilih. Bagi mereka cukuplah Allah s.w.t sahaja yang mengadakan pilihan dan mereka menerima pilihan Tuhan itu. Mereka menukarkan kehendak diri mereka kepada kehendak Tuhan. Apa sahaja yang mendatangi mereka adalah kehendak Tuhan. Oleh itu mereka tidak menghindarkan kemudaratan yang sampai kepada mereka. Mereka tidak bergembira dengan nikmat dan tidak berdukacita dengan bala. Nikmat dan bala berjalan menurut kehendak Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya. Jika sesuatu itu ada pada Iradat-Nya, maka Kudrat-Nya melaksanakannya. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.

Sesungguhnya maha hebat Cinta Allah s.w.t yang menguasai hati orang sufi. Sufi sanggup membelakangi syurga demi Wajah Kekasihnya. Sufi sanggup meredah neraka jika itulah jalan untuk sampai kepada Kekasihnya. Sufi sanggup mencabar maut jika maut menghalanginya menemui Kekasihnya. Sekiranya benar ada orang yang sanggup mengharungi lautan api kerana kekasih, maka sufilah orangnya. Layaklah sufi itu mendapat perlindungan dan kasih sayang dari Tuhan. Suasana perlindungan dan penjagaan secara langsung dari Tuhan itulah yang dimaksudkan sebagai kewalian. Al-Waliyyu, Yang Maha Melindungi, memayungkan wali-wali-Nya dengan penjagaan dan perlindungan. Jazbah, fana dan baqa bukanlah kewalian yang sebenarnya. Itu semua hanyalah fenomena yang sering muncul pada orang yang dipayungi oleh al-Waliyyu, atau orang yang berada dalam daerah kewalian, terutamanya kewalian sufi. Tanpa fenomena demikian kewalian tetap wujud.

Sebahagian sufi kekal dengan Cinta Allah s.w.t dan menjadi majzub terus menerus sehingga ke akhir hayatnya. Golongan ini merupakan golongan wali yang tidak mempunyai tugas kekhalifahan. Kewalian mereka hanya untuk diri mereka sendiri, berguna bagi perhubungan mereka dengan Allah s.w.t, tetapi tidak berguna bagi perhubungan sesama manusia. Lagi pun kehadiran wali yang majzub itu berguna kepada masyarakat bagi mengingati orang ramai agar mencintai Allah s.w.t. Cinta Allah s.w.t yang terpancar dari mereka boleh menyedarkan orang-orang yang mempunyai hati tetapi terhijab oleh kelalaian. Cinta Allah s.w.t yang terzahir pada kewalian sufi menjadi besi berani menarik hati orang lain untuk melihat kepada Tuhan dan meninggalkan perkara yang melalaikan.

Sufi yang dipilih untuk menanggung sesuatu tugas di dalam masyarakat akan ditarik kepada jalan mahabbah. Ketika di dalam daerah kewalian sufi, jazbah menghancurkan secara mudah sifat-sifat yang tercela pada diri mereka dan dimasukkan keupayaan sifat-sifat yang terpuji supaya sifat demikian menjadi keperibadian mereka. Mereka menjadi orang yang bersifat baik, bukan orang yang berusaha menjadi baik. Mereka menjadi ikhlas secara spontan bukan yang berperang dengan ria untuk mempertahankan ikhlas. Apabila mereka keluar dari daerah kewalian sufi dan dimasukkan ke dalam daerah kewalian cara kenabian, mereka masuk dengan ada persediaan segala keupayaan yang baik untuk menanggung bebas tugas yang akan diberikan kepada mereka kelak. Pada jalan mahabbah segala bakat dan keupayaan mereka digilapkan bagi melengkapkan kewalian kepada darjat khalifah yang layak memikul beban tugas khusus. Jalan mahabbah bermula selepas kefanaan, iaitu daripada baqa menuju kepada kesedaran sepenuhnya kerana sebelum memperolehi semula kesedaran keinsanan mereka tidak layak menjadi Khalifah Allah yang menguruskan hal-ehwal orang ramai. Apabila meninggalkan kefanaan dan masuk kepada kebaqaan dan kesedaran keinsanan sudah mula kembali, wali yang lebih matang itu dapat melihat perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk, baik dengan jahat dan benar dengan salah. Pada peringkat permulaan menyaksikan perbezaan wali itu masih mempunyai sikap bertolak-ansur dengan sesuatu yang salah dan tidak benar. Walaupun kesalahan diakui wujud namun, mereka tidak bertindak memperbetulkan kesalahan tersebut. Pada peringkat ini mereka lebih banyak menyendiri dan enggan mencampuri urusan orang lain. Walaupun mereka sudah boleh melihat perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk namun, mereka masih merasakan makhluk itu satu wajah atau aspek ketuhanan atau hak Tuhan, bukan ciptaan yang terpisah sepenuhnya daripada Tuhan.

Jalan mahabbah adalah sempadan di antara jalan kesufian dengan jalan kenabian. Fana dan baqa ada dalam daerah kewalian sufi. Peralihan daripada baqa kepada kesedaran keinsanan ada pada jalan mahabbah. Bila kesedaran keinsanan kembali sepenuhnya sufi tadi masuk kepada jalan kenabian. Perjalanannya menjadi lengkap. Dia sudah kembali kepada tempat bermulanya dan bulatan perjalanan kerohaniannya bercantum dan dia sudah boleh menanggung tugas kekhalifahan. Orang yang sampai kepada daerah khalifah ini menjadi sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Mereka menjadi salinan kepada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Pada peringkat akhir ini mereka sudah berupaya membuat perbezaan sepenuhnya. Pegangan mereka juga berubah. Tuhan adalah Tuhan dan hamba adalah hamba. Baik adalah baik dan jahat adalah jahat. Benar adalah benar dan salah adalah salah. Tidak ada tolak-ansur lagi. Sempadannya sangat jelas. Sufi itu pun bertaubat daripada pegangannya yang dahulu. Kini mereka rindukan akhirat, kasihkan syurga dan takutkan neraka.

Wali yang menyempurnakan perjalanannya dan sampai kepada daerah kekhalifahannya bertanggungjawab membersihkan jalan menuju Allah s.w.t daripada pencemaran dan kesamaran. Yang benar adalah jelas dan jalan kepada kebenaran juga jelas. Yang salah adalah jelas dan jelas kepada kesalahan juga jelas. Wali yang bertaraf khalifah mampu menghuraikan ucapan-ucapan ganjil yang muncul dalam daerah kewalian sufi. Nabi adalah umpama titik awal yang tanpanya tidak mungkin dilukiskan huruf. Wali-wali sufi adalah titik-titik yang membentuk garis lengkung. Titik Nabi dan titik-titik wali sufi membentuk huruf nun. Walaupun garis lengkung itu panjang tetapi ia tidak bercantum dengan titik awal. Oleh itu terdapat perbezaan di antara garis lengkung dengan titik awal. Wali pada jalan kenabian iaitu khalifah kerohanian adalah pencantum garis lengkung kewalian sufi dengan titik awal kenabian. Khalifah memahami suasana kewalian sufi dan mampu membawa mereka kepada jalan kenabian. Khalifah menjadi penterjemah perkataan wali dan penegak perkataan Nabi. Kekusutan pada Jalan Kewalian Sufi dihuraikan oleh khalifah. Kebenaran pada jalan kenabian diperjuangkan oleh khalifah. Dari masa ke masa Tuhan menzahirkan khalifah-Nya untuk memperjuangkan jalan kenabian dan melindungi wali-wali yang tenggelam dalam jazbah, fana dan baqa.

Kebenaran sejati seperti yang ditemui oleh para khalifah berada dalam syariat yang lengkap yang menggabungkan syariat zahir dengan syariat batin. Orang yang memasuki Jalan Sufi sangat mementingkan syariat batin hinggakan biasa terjadi ada di kalangan mereka yang tidak mengamalkan sebahagian besar syariat zahir terutamanya yang melibatkan hubungan sesama manusia. Mereka yang tidak memasuki Jalan Sufi pula mementingkan syariat zahir hinggakan kebanyakan penilaian dibuat berdasarkan perbuatan zahir dan mengabaikan amalan hati. Khalifah Allah mengetahui bahawa kebenaran terletak pada cantuman kedua-dua syariat tersebut. syariat zahir adalah peraturan agama seperti yang dibicarakan oleh ilmu fikah. Syariat batin adalah amalan hati seperti yang dibicarakan oleh ilmu tasauf. Keislaman seseorang dikenali melalui syariat zahir. Syariat zahir yang membezakan orang Islam dengan orang kafir. Rasulullah s.a.w menolak permintaan kaum Taqif yang mahu dikecualikan daripada sembahyang lima waktu. Khalifah Abu Bakar as- Siddik memerangi puak yang enggan mengeluarkan zakat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w bertindak tegas terhadap orang yang menolak syariat zahir dan mereka sangat berwaspada terhadap orang diketahui meninggalkan syariat batin. Orang yang menolak syariat zahir kerana engkar adalah kufur. Orang yang membuang syariat batin adalah munafik. Syariat zahir berhubung dengan amalan Islam. syariat batin berhubung dengan amalan hati iaitu iman. Al-Quran menggabungkan iman dengan Islam (amal salih).

Dan berikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih.. ( Ayat 25 : Surah al-Baqarah )

Al-Quran juga menggesa supaya berlaku keras menghadapi kekufuran dan kemunafikan.

Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )

Ketaatan kepada syariat zahir dan syariat batin diperlukan bagi mengelakkan daripada terjatuh ke dalam kekufuran dan kemunafikan. Tidak seharusnya dipisahkan kedua-dua aspek syariat itu. Latihan kesufian haruslah ditujukan ke arah memudahkan seseorang melakukan seperti yang diajarkan oleh syariat. Tujuan utama latihan kesufian adalah untuk melahirkan keikhlasan secara spontan. Tiga bahagian penting di dalam syariat adalah iman, amal dan niat yang ikhlas. Tarekat kesufian sangat berkesan di dalam memupuk keikhlasan. Ketika melalui peringkat fana, sifat-sifat buruk tertanggal dan sifat ikhlas menjadi sebati. Setelah keluar dari kefanaan sifat ikhlas itu menjadi keperibadian. Orang sufi tidak perlu lagi membentuk keikhlasan dalam beramal kerana ikhlas sudah menjadi spontan pada setiap amalannya. Apabila ikhlas sudah menjadi keperibadian seseorang baharulah dia mencapai reda. Ikhlas dan reda tidak berpisah. Orang yang ikhlas dalam amalnya dan reda dengan hukum serta peraturan Tuhan itulah yang memperolehi keredaan Allah s.w.t yang merupakan kurniaan Allah s.w.t yang paling baik di dunia dan di akhirat.

Orang yang tidak menjalani tarekat sufi mendapati sukar untuk mempertahankan keikhlasan. Rangsangan yang mahu merosakkan keikhlasan itu selalu sahaja mendatanginya. Rasa ujub dan riak selalu masuk ke dalam hatinya untuk menghalau ikhlas keluar. Dia mesti memelihara hatinya agar musuh-musuh ikhlas itu tidak dapat masuk. Perjuangan dalam jiwa itu sering menimbulkan kegelisahan dan suasana jiwa yang tenang sukar diperolehi. Ikhlas yang muncul dari paksaan tidak kekal.

Jika iman dan amal boleh diperolehi melalui ketaatan kepada peraturan syariat, ikhlas yang menjadi intisari iman dan amal itu pula mudah diperolehi melalui suluk para sufi. Tanpa melalui perjalanan kepada Allah s.w.t dan perjalanan dalam Allah s.w.t, adalah sukar untuk mencapai keikhlasan yang sebenarnya, ikhlas dalam perkataan dan perbuatan, dalam gerak dan diam, yang lahir secara spontan bukan secara paksaan. Ikhlas yang demikian lahir setelah dibuat penafian terhadap semua jenis tuhan-tuhan yang di dalam dan di luar diri, kemudian masuk kepada fana dan baqa. Dengan cara yang demikian seseorang itu masuk kepada makam kewalian yang khusus. Wali peringkat khusus melakukan apa sahaja kerana Allah s.w.t bukan kerana muslihat diri sendiri, sebab dirinya sudah dikorbankan untuk Allah s.w.t. Wali tersebut tidak perlu menyucikan niat bagi memperolehi ikhlas kerana niatnya telah dipersucikan tatkala dia mengorbankan segala kepentingan dirinya untuk Allah s.w.t semata-mata dan dia masuk kepada kefanaan dan kebaqaan. Orang yang ada kesedaran terhadap dirinya, secara umumnya melakukan sesuatu dengan mengambil kira kepentingan diri, secara disedari atau tidak. Bila kasihkan diri sendiri lenyap diganti dengan kasihkan Allah s.w.t, apa sahaja yang dibuat adalah kerana Allah s.w.t, sama ada dia sengaja memperhatikan niatnya atau pun tidak. Orang yang sudah ada keputusan sejak awal-awal lagi bahawa segala-galanya adalah untuk Allah s.w.t semata-mata, tidak perlu lagi memperjelaskan niatnya, tetapi orang yang masih ada pilihan untuk Allah s.w.t atau untuk diri sendiri, atau untuk sebab yang lain, perlulah memperjelaskan niatnya.

Orang yang tidak mengikuti jalan kesufian biasanya memperolehi kebenaran secara ilmiah semata-mata dan mereka juga memerlukan mujahadah dalam mengerjakan peraturan syariat. Kebenaran yang diketahui secara ilmiah itu dapat disaksikan oleh orang yang mengikuti tarekat sufi. Apa yang diketahui secara ilmiah dialami sendiri oleh orang sufi secara kerohanian. Pekerjaan syariat yang sukar dilakukan oleh orang biasa menjadi mudah bagi orang yang dilatih secara kesufian. Oleh sebab itu apabila orang sufi sampai kepada makam penetapan, keyakinannya sudah sangat teguh. Tanda orang sufi sampai kepada haqqul yaqin adalah apabila kebenaran yang dibukakan kepadanya keseluruhannya sesuai dengan kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Jika ada perbezaan walaupun sedikit itu tandanya sufi itu belum sampai kepada Kebenaran Hakiki. Sufi tersebut belum terlepas sepenuhnya daripada kesan mabuk. Setelah dia melepasi kesan mabuk sepenuhnya dia akan menjadi khalifah kepada dirinya sendiri. Dia mampu menguruskan hal-ehwal dirinya dan menguasai penuh stesennya. Bercanggah dengan syariat adalah tanda nyata yang seseorang sufi masih dalam pencarian dan belum menemui Kebenaran Hakiki.

Ada segolongan sufi beranggapan bahawa syariat hanyalah kulit dan isinya adalah hakikat. Anggapan yang demikian menunjukkan bahawa sufi berkenaan tidak memperolehi pengalaman kerohanian yang benar. Sufi yang masuk kepada pengalaman kerohanian yang benar tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang demikian. Sufi yang benar tidak membezakan syariat dengan hakikat. Sebenarnya syariat terdiri daripada kulit dan isi. Kulitnya syariat zahir dan isinya syariat batin. Penggunaan istilah ‘hakikat' adalah untuk merujukkan kepada satu bahagian syariat batin yang mendalam. Walaupun digunakan istilah hakikat ia tetap juga bahagian syariat. Kebenaran yang dinyatakan dengan jelas dan juga secara simbolik juga termasuk dalam bidang syariat. Ulama zahir memberikan tumpuan kepada syariat zahir. Ulama yang lebih matang memberikan tumpuan kepada syariat zahir dan syariat batin sekaligus, tidak dipisahkan.

Peraturan syariat hukumnya sama bagi semua orang Islam. Orang awam dan ahli makrifat yang sempurna tertakluk kepada hukum dan peraturan yang sama, tidak ada kelonggaran bagi satu pihak dan penekanan pada pihak yang lain. Sufi yang masih baharu atau yang keliru dan orang jahil yang bertaklid melulu cuba membuang dasar syariat dengan mengatakan peraturan syariat terpakai kepada orang yang belum sampai ke makam makrifat. Mereka beranggapan sufi hanya perlu mendapatkan makrifat. Mereka beranggapan tujuan mematuhi syariat adalah untuk memperolehi makrifat. Bila makrifat sudah diperolehi peraturan syariat dengan sendirinya gugur. Golongan ini berpendapat ahli makrifat yang melakukan ibadat hanyalah untuk memberi contoh kepada orang ramai dan galakan kepada mereka untuk menuju kepada makrifat. Mereka mengatakan syariat hanya perlu dilakukan oleh orang yang masih baharu dalam perjalanan kerohanian sedangkan bagi mereka sendiri yang sudah mencapai makrifat tidak memerlukan syariat lagi. Inilah fahaman yang kufur dan sesat.

Ada pula golongan sufi yang hanya mementingkan hakikat, tetapi hakikat yang mereka maksudkan bukanlah syariat batin atau hakikat kepada syariat. Mereka mempunyai definasi sendiri mengenai hakikat dan syariat. Bagi mereka syariat hanyalah kulit semata-mata tanpa isi, tubuh tanpa nyawa. Isi atau nyawa tidak bergantung kepada kulit atau tubuh. Mereka maksudkan hakikat tidak bergantung kepada syariat. Sufi jenis ini membina fahaman berdasarkan pengalaman mereka semata-mata. Walaupun berfahaman demikian mereka menghormati syariat kerana ia datangnya dari Allah s.w.t dan patut dimuliakan. Mereka tidak bersetuju dengan perbuatan mencampakkan syariat kerana tindakan yang demikian menunjukkan tidak bersetuju dengan apa yang Tuhan lakukan. Sufi jenis ini adalah orang yang telah mengorbankan segala-galanya kerana cinta mereka kepada Allah s.w.t. Keasyikan dan mabuk yang menguasai mereka menyebabkan mereka memasuki suasana pengalaman kerohanian yang diistilahkan sebagai peringkat bayang, sehingga timbul fahaman yang berbeza daripada syariat. Namun sebagai orang yang mencintai Allah s.w.t mereka muliakan syariat yang diturunkan oleh-Nya. Golongan inilah yang berhak dimaafkan bukan dikutuk tetapi fahaman mereka tidak boleh diikuti dan dipegang. Perkataan mereka yang menyalahi syariat hendaklah dianggap sebagai ucapan latah orang yang di dalam mabuk.

Sufi golongan ke tiga memahamkan syariat sebagai gabungan kulit dan isi, tubuh dan nyawa. Mereka berpendapat memegang syariat zahir tanpa mencapai syariat batin adalah kurang bermakna, sementara mengambil syariat batin dengan membuang zahirnya adalah tidak sempurna. Mereka berfahaman bahawa seseorang boleh mengambil syariat zahir walaupun batinnya tidak menyerlah. Bagi mereka orang yang memberi tumpuan kepada syariat zahir dan beramal dengannya sudah boleh menyelamatkannya di akhirat kelak. Golongan yang mengambil syariat zahir sahaja adalah mereka yang berkedudukan sebagai ulama zahir dan orang Islam awam. Mengambil syariat zahir sahaja tanpa batinnya dibolehkan tetapi mengambil syariat batin tanpa zahirnya adalah tanda mungkin. Kesimpulan golongan ini adalah kecemerlangan zahir dan batin ditentukan oleh hubungan mereka dengan syarak dan semua kebenaran yang terdapat dalam fahaman agama yang dikenali sebagai Ahli Sunah wal Jamaah. Seribu pembukaan dan penyaksian dalam alam kebatinan tidak dapat menandingi fahaman agama iaitu Tuhan tidak menyamai sesuatu apa pun. Golongan tersebut tidak cenderung dengan pengalaman kerohanian yang bercanggah dengan kebenaran syariat walaupun sedikit. Bagi mereka pembukaan demikian hanyalah ujian yang mengheret mereka ke tempat azab secara perlahan-lahan. Mereka adalah golongan yang mendapat petunjuk dari Tuhan dan paling layak diikuti. Mereka sebenarnya adalah ulama yang berjaya, diberi bimbingan dan petunjuk yang benar oleh Tuhan. Tuhan membantu mereka menyatakan kebenaran syariat dan Tuhan memberi mereka ganjaran kerana mendukung peraturan syariat.

Sufi golongan ke tiga berbeza dengan golongan yang hanya mementingkan batin dan tidak sedikit pun mematuhi peraturan syariat. Golongan yang memisahkan diri dengan syariat menyangka kebenaran yang dicari tidak ada dalam syariat. Mereka menyangka syariat hanyalah tubuh yang tanpa nyawa. Mereka berpegang kepada kebenaran yang muncul dari bayangan dan mereka terpesong daripada arah yang menuju kepada kebenaran yang sejati. Akibatnya kewalian mereka hanyalah dalam perbatasan kewalian bayangan dan kehampiran mereka dengan Tuhan tidak melebihi tahap Sifat. Kewalian golongan ke tiga yang menggabungkan zahir dan batin syariat menemui kebenaran sejati dan asli. Mereka mendapat petunjuk dan menemui jalan kepada Zat Yang Hakiki, yang tiada sesuatu menyerupai-Nya. Mereka berjaya melepasi kebenaran peringkat rendah. Mereka maju sehingga ke penghujung jalan dan kesudahannya mereka memperolehi kewalian cara kenabian. Tahap tersebut dicapai dengan cara tidak sedikit pun meragui syariat dan tidak meninggalkan tuntutan syariat.

Golongan sufi yang berfahaman syariat hanyalah kerangka kosong dan hakikat iaitu kebenaran sejati berada diluar syariat, mendapat fahaman demikian melalui beberapa sebab. Sebahagian daripada mereka menjalani tarekat sufi hanya sampai kepada tahap bersatu dengan Tuhan. Mereka tidak meneruskan perjalanan mereka melepasi tahap tersebut. Ada pula yang mempelajari doktrin wahdatul wujud terlebih dahulu dan memulakan perjalanan dengan membawa kepercayaan doktrin tersebut. Segala usaha ditujukan untuk menzahirkan fahaman dan kepercayaan wahdatul wujud. Apabila mereka memulakan perjalanan di atas landasan wahdatul wujud maka yang mereka temui dan alami adalah wahdatul wujud. Golongan ini juga berhenti pada tahap bersatu dengan Tuhan dan meyakini bahawa yang ada hanya satu wujud iaitu Wujud Tuhan. Mereka membentuk keyakinan bahawa wahdatul wujud adalah kebenaran yang paling tinggi sehingga timbul anggapan bahawa wahdatul wujud adalah pegangan wali-wali. Mengaitkan wahdatul wujud dengan kewalian menambahkan keteguhan kepercayaan kepada doktrin tersebut. Mereka memandang hakikat agama melalui suluhan yang berdasarkan kepercayaan kepada satu wujud. Mereka memperkenalkan tauhid secara doktrin wahdatul wujud dan dengan lantang mengatakan syariat tidak memperkenalkan tauhid yang sebenar. Dari kalangan mereka ada yang mengatakan segala perkara dalam syariat adalah syirik, hanya pegangan wahdatul wujud yang bebas daripada syirik. Begitulah hebatnya pengaruh pengalaman kerohanian dalam membentuk keyakinan tentang kebenaran agama dan tauhid.

Selain sebab-sebab di atas sikap dan pandangan peribadi seseorang sufi itu sendiri memisahkan syariat daripada hakikat. Sufi jenis ini berpendirian hidup dalam pengasingan lebih baik daripada bercampur dengan orang ramai. Mereka berpendapat hanya sedikit sahaja hakikat yang boleh ditemui dalam syariat. Mereka berpendapat bidang hakikat terbuka dalam fana, zauk dan mabuk ketuhanan. Oleh kerana itu mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan berkhalwat dan beribadat sendirian tanpa mengambil bahagian dalam bidang dakwah, berjihad dan berkhidmat kepada masyarakat.

Golongan yang dipimpin kepada penghabisan jalan menemui bahawa syariatlah yang menunjukkan apakah kehidupan agama yang sebenarnya. Syariat bukan sahaja mengajarkan peraturan zahir yang diistilahkan sebagai syariat zahir, malah syariat juga membawa perkara-perkara kerohanian yang meliputi iman, tauhid, mahabbah, syukur, sabar, ikhlas, takwa, ihsan dan lain-lain. Bidang kerohanian seperti pemikiran, perasaan, daya rasa, niat, keinginan dan lain-lain juga berada dalam syariat. Syariat yang mencakupi perkara zahir dan batin adalah Agama Islam yang lengkap dan sempurna. Ia mengajarkan kehidupan beriman, bertakwa dan ihsan yang sempurna. Apa juga aliran tarekat hendaklah menjurus kepada memperteguhkan keyakinan dan pegangan kepada apa yang diperkatakan oleh syariat bukan mencari kebenaran yang lain daripada kebenaran syariat.

Pengalaman kerohanian sufi

Pengalaman kerohanian sufi PDF | Print | E-mail

10. Pengalaman kerohanian sufi

Roh Insan adalah cahaya dan nafsunya adalah kegelapan yang membungkus cahaya itu. Kaum sufi mengadakan latihan untuk menghalau kegelapan nafsu dan memancarkan cahaya roh. Jika tumpuan kepada Allah s.w.t dilakukan dengan penuh kekhusyukan disertai oleh penyerahan kepada-Nya dan penyerapan dalam-Nya dengan cara yang betul, akan muncullah daya dan upaya yang menghalau kegelapan untuk memberi laluan kepada cahaya yang terang benderang. Bila penyerapan (kefanaan) ini bertambah kuat sehingga sufi sampai kepada peringkat melupakan dirinya dan segala yang maujud, sufi itu akan lenyap di dalam penyaksian cahaya-cahaya, seterusnya dia sampai kepada matlamat dengan membawa hijab bersama-samanya. Pada tahap ini dia sepenuhnya berada dalam kefanaan zahir dan batin. Jika selepas pengalaman fana itu penyaksian berterusan dengannya dia akan maju ke hadapan untuk melepasi peringkat fana dan mencapai baqa. Pada makam ini sufi tersebut boleh dianggap sebagai seorang wali. Sebahagian sufi yang sampai kepada makam ini kekal dalam penyerapan terhadap apa yang disaksikannya, lupa terhadap dirinya dan berterusan dalam suasana demikian sehingga ke akhir hayatnya. Sebahagian sufi yang lain melepasi peringkat tersebut, kembali kepada kesedaran keinsanan dan kehidupan dunia, lalu mengambil tugas dalam bidang dakwah, membimbing orang lain kepada jalan Allah s.w.t. Pada tahap ini batinnya tidak berpisah dengan Tuhan sementara zahirnya sibuk melayani makhluk Tuhan. Dia keluar dari bayangan dan hijab kerana cahaya roh sudah menembusi kegelapan nafsu. Bila cahaya sudah menang kegelapan akan tunduk kepada cahaya untuk berbuat ibadat dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Nafsu menjadi suci bersih, tidak lagi mengheret kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Orang yang telah mencapai peringkat di mana cahaya rohnya keluar memancar dari kegelapan nafsu dan nafsu tunduk kepada kebenaran itu layak masuk ke dalam golongan ‘tangan kanan' Tuhan. Golongan yang kembali sedar dan mengambil bahagian dalam kegiatan kehidupan dunia ini akan dikurniakan kejayaan oleh Tuhan dalam tugasnya. Rahmat Tuhan mengalir melalui mereka kepada umat manusia.

Peringkat perjalanan sufi yang sering menimbulkan kekeliruan adalah peringkat yang ada suluk, jazbah, zauk, fana dan baqa. Di antara semua hal dalam peringkat tersebut, penyaksian kepada rupa, bentuk, warna dan cahaya merupakan perkara yang paling menimbulkan tanda-tanya.

Suluk adalah satu bentuk latihan kerohanian yang bertujuan mengosongkan hati daripada sifat-sifat yang keji dan memasukkan sifat-sifat yang terpuji ke dalamnya. Berbagai-bagai jenis ibadat dilakukan semasa bersuluk. Bentuk latihan dan ibadat yang terperinci bergantung kepada perguruan tarekat masing-masing. Semasa bersuluk itu seseorang mungkin mengalami atau merasai sesuatu yang dinisbahkan kepada ketuhanan, di mana hijab terangkat dan orang yang berkenaan menyaksikan atau merasakan suasana alam ghaib. Suasana yang menguasai hati itu dinamakan jazbah dan hati yang dikuasai oleh jazbah itu dikatakan berada dalam zauk. Perkara atau pengalaman yang dizaukkan itu dinamakan hal. Jazbah itu terjadi ketika seseorang itu hilang kesedaran terhadap dirinya dan alam maujud sekaliannya. Kelenyapan kesedaran itu dinamakan fana. Seseorang itu mengalami kefanaan tatkala terbuka hal-hal ketuhanan kepada hatinya. Selepas melalui kefanaan seseorang memperolehi semula kesedaran dirinya tetapi dalam keadaan merasakan dirinya berada bersama-sama Allah s.w.t. Suasana yang begini dinamakan baqa.

Jazbah, fana dan baqa merupakan pengalaman hati, berlaku dalam alam kebatinan orang yang sedang bersuluk. Dalam keadaan demikian hati menyaksikan atau mengalami perkara ghaib. Yang disaksikan itu boleh jadi rupa, bentuk, warna atau cahaya. Walaupun yang disaksikan itu bersifat ghaib, tidak boleh dipandang dengan mata zahir, tetapi ia bukanlah Tuhan. Penyaksian tersebut tertuju kepada bentuk misal yang digubah oleh Tuhan. Bentuk misal bukanlah Yang Hakiki. Yang Hakiki tidak dapat dimisal atau digambarkan. Bentuk misal yang muncul itu bergantung kepada diri orang yang berkenaan dan apa yang dia asyikkan. Orang Hindu yang asyikkan lembu akan menemui bentuk misal lembu dalam alam kebatinannya. Orang Keristian yang asyikkan Isa al-Masih akan temui bentuk misal Isa al-Masih. Orang Yahudi yang asyikkan Uzair akan temui bentuk misal Uzair. Orang yang asyikkan dirinya akan temui bentuk misal dirinya. Bentuk misal menjadi tumpuan orang yang sedang keasyikan dan kerinduan. Seorang kekasih yang sedang keasyikan dan sangat merindui kekasihnya merasakan gambar kekasihnya yang hanya sekeping kertas sebagai kekasihnya sendiri, hidup-hidup. Gambar itu dipeluk dan diciumnya, malah dia berkata-kata dengan kertas ditangannya itu. Bentuk misal pada alam ghaib berbeza daripada gambar pada kertas yang kaku. Misal alam ghaib boleh disaksikan oleh hati. Oleh yang demikian misal alam ghaib meninggalkan kesan yang lebih kuat dan lebih mendalam kepada hati yang menyaksikannya. Orang yang sedang asyikkan Allah s.w.t, tidak ada sesuatu dalam ingatannya selain Allah s.w.t, segala keasyikan dan kerinduannya akan menjurus kepada cahaya atau misal yang disaksikannya dalam alam ghaib. Pada perasaannya apa yang disaksikannya adalah Allah s.w.t, semata-mata Allah s.w.t, tidak yang lain. Orang yang dalam keadaan demikian bukan sahaja dikuasai oleh penyaksian terhadap Allah s.w.t pada alam ghaib, bahkan pada alam nyata juga. Apa yang menyata pada pandangan zahirnya dan pandangan hatinya, baginya adalah Allah s.w.t, tiada yang lain. Bentuk ghaib dan bentuk nyata semuanya menjadi misal untuknya melihat Allah s.w.t. Pengalaman yang demikian terjadi akibat mabuk. Mabuk ketuhanan dialami oleh hati. Ia terjadi kerana insan sebagai bekas yang baharu dan lemah digunakan untuk ‘memasukkan' Allah s.w.t ke dalamnya. Tidak ada satu pun makhluk yang mampu menanggung Tuhan. Bukit Thursina yang dihadapkan dengan tajalli Allah s.w.t telah hancur berkecai. Bukit dan tubuh manusia sama-sama disusun daripada anasir tanah, air, api dan angin. Jika bukit hancur berhadapan dengan tajalli Allah s.w.t, tubuh manusia juga akan hancur dalam keadaan demikian. Oleh kerana yang berlaku pada hati bukanlah tajalli Allah s.w.t tetapi hanyalah misalan yang lahir dari keasyikan dan kerinduan kepada Allah s.w.t, maka tubuh mampu bertahan dan tidak menjadi hancur. Walaupun begitu Cinta Allah s.w.t tetap memberi kesan kepada hati dan tubuh badan. Kesan kepada hati dinamakan mabuk ketuhanan. Tubuh yang menjadi bekas kepada hati yang menerima mabuk ketuhanan itu akan mempamerkan kesan tersebut seperti menggeletar, berubah warna menjadi pucat, menari, menyanyi dan lain-lain mengikut hal mabuk orang berkenaan. Cinta Allah s.w.t dan mabuk ketuhanan itu juga yang melahirkan rasa bersatu dengan Allah s.w.t. Mabuk ketuhanan dan rasa bersatu dengan Allah s.w.t terjadi ketika seseorang itu melupakan dirinya. Apabila kesedaran terhadap kewujudan diri kembali sedikit demi sedikit, rasa bersatu berubah menjadi rasa kekal bersama-sama Allah s.w.t atau baqa.

Pengalaman bersatu dengan Tuhan, sebelum mencapai baqa, menimbulkan keasyikan, mabuk dan terbalik pandangan yang menyebabkan terhijab Yang Hakiki. Penyatuan yang mabuk itu biasanya menimbulkan latah, iaitu terucap kata-kata yang menyalahi syariat. Pengalaman wahdatul wujud atau merasai satu wujud boleh menyebabkan seseorang mengingkari Sunah Rasulullah s.a.w, sedangkan Allah s.w.t memerintahkan supaya mentaati Rasul-Nya. Hanya orang yang dipimpin dan dipelihara akan tetap berada dalam sempadan syariat sekalipun mereka mengalami wahdatul wujud. Mereka yang dipelihara mengekalkan sembahyang lima waktu dan menjauhkan perbuatan dosa. Mereka juga tidak terlibat dengan ucapan latah. Sekalipun sufi yang di dalam mabuk terlibat dengan ucapan latah tetapi mereka tidak boleh dikutuk dan juga orang yang mendengar ucapan demikian tidak menjadikannya pegangan. Sufi yang di dalam keadaan mabuk ketuhanan dikuasai oleh perasaan cinta kepada Allah s.w.t yang bersangatan sehingga hilang kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk sekaliannya. Mereka berhak dimaafkan dari kesalahan mereka mengeluarkan ucapan latah dalam keadaan tidak sedar. Orang ramai yang bukan dalam jazbah, jika mengatakan demikian, beramal menyalahi syariat atau melepaskan syariat, maka mereka adalah sesat dan kufur.

Ketika dalam suasana penyatuan orang sufi tidak dapat membezakan di antara yang betul dengan yang salah, yang benar dengan yang batal, kesenangan dengan kesusahan, emas dengan pasir dan yang baik dengan yang buruk. Jika dia maju ke hadapan lagi dia akan masuk kepada peringkat di mana dia boleh membuat perbezaan di antara benar dengan salah dan baik dengan buruk. Orang sufi yang sudah masuk kepada peringkat ini, walaupun masih dikenali sebagai sufi, tetapi jalan mereka sudah berubah kepada tarekat Islam (jalan kenabian), bukan lagi tarekat sufi. Dalam tarekat Islam orang boleh membezakan Tuhan dengan makhluk, dosa dengan pahala dan sebagainya.

Perpindahan daripada tarekat sufi yang ada wahdatul wujud kepada tarekat Islam yang membezakan Wujud Tuhan dengan wujud makhluk, tidaklah membebaskan sufi daripada kesan wahdatul wujud dengan serta merta. Ketika di peringkat awal mengalami perbezaan, walaupun sufi sudah mula mengenali perbezaan tersebut, tetapi keupayaannya masih lagi lemah dan mereka masih belum mampu mengadakan pemisahan dengan jelas. Mereka masih mempercayai, walaupun sudah melihat perbezaan, bahawa perbezaan tersebut bersumberkan kepada kesatuan. Suasana yang demikian menimbulkan ungkapan: "Pandang yang banyak kepada Yang Satu" ; "Pandang Yang Satu kepada yang banyak" dan "Pandang Yang Satu kepada Yang Satu". Bila mereka maju lagi keupayaan mengadakan perbezaan menjadi semakin kuat dan jelas sehingga akhirnya mereka benar-benar mampu mengadakan perbezaan. Pada akhir perjalanan mereka akan melihat dengan jelas bahawa Tuhan dengan makhluk bukan satu. Tuhan bukan alam dan alam tidak sedikit pun menyamai Tuhan. Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada maklumat, ibarat dan misal yang mampu menceritakan tentang Tuhan. Bila sampai kepada peringkat ini sufi telah terlepas sepenuhnya daripada pengaruh pengalaman wahdatul wujud, bersatu dengan Tuhan dan mabuk. Sufi kembali sedar dan boleh mengawal tutur katanya. Tidak ada lagi ucapan latah. Perkataan dan perbuatannya tidak lagi menyalahi syariat. Mereka kembali kepada syariat dan menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai teladan. Peningkatan tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat. Orang yang tidak berhenti di tengah jalan akan menemui kebenaran yang sejati di penghujung jalannya. Tarekat kesufian berubah kepada tarekat Islam atau jalan kenabian. Tidak ada lagi fahaman yang mensyirikkan Tuhan dengan bayangan, gambaran, rupa, bentuk, warna, cahaya dan sebarang misal. Fahaman dan pegangan mereka sesuai dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah.

Pengalaman kerohanian seperti fana dan baqa, pengalaman rasa dan penyaksian kepada gambaran misal pada alam ghaib, semuanya berlaku dalam alam kebatinan atau alam perasaan sufi, bukan kewujudan yang nyata. Manusia tidak bertukar menjadi Tuhan, tidak bersatu dengan-Nya dan tidak juga kekal bersama-sama-Nya. Tuhan tetap Tuhan dan hamba tetap hamba. Baik cahaya mahu pun suara yang didengar semuanya adalah gubahan Allah s.w.t tetapi bukanlah Dia. Apa juga yang disaksikan dan didengar hendaklah dinafikan dengan memperbanyakkan ucapan:"Laailahaillallah" Kalimah Tauhid ini mestilah membawa maksud : "Tiada Tuhan melainkan Allah" bukan "Tiada yang maujud melainkan Allah". Makhluk tetap wujud pada kenyataan sekalipun hilang pada alam perasaan sufi. Tuhan tetap Berdiri Dengan Sendiri pada makam ketuhanan-Nya dan makhluk tetap wujud dalam sempadan wujud yang Tuhan tentukan untuk mereka. Tuhan menciptakan makhluk dengan peraturan dan ketetapan bahawa tidak mungkin wujud makhluk berlanggar atau bertembung dengan Wujud Tuhan, tidak mungkin berlaku penyatuan atau perpisahan dan tidak mungkin bersamaan. Wujud makhluk tidak boleh disamakan sedikit pun dengan Wujud Tuhan.

Rupa, bentuk, misal, cahaya dan warna yang disaksikan oleh sufi hanyalah gubahan Tuhan bukan Zat Tuhan dan bukan juga Sifat Tuhan. Tuhan menggubahkan yang demikian sebagai tarikan bagi sufi untuk mengenali-Nya. Sufi yang benar akan maju terus untuk melepasi gubahan Tuhan itu menuju kepada Yang Hakiki, yang melepasi segala bentuk gubahan, maklumat, sifat dan misal. Alam Misal yang dipertemukan dengan sufi itu berperanan sebagai batu loncatan untuk sufi bertawajjuh (melonjak) kepada Yang Haq. Peranan misal tersebut samalah seperti peranan al-Quran. Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada sebahagian manusia dijadikan hujah oleh kumpulan manusia yang lain dalam mempertahankan pegangan mereka yang keliru. Manusia dari berlainan mazhab bertengkar sesama sendiri dengan masing-masing menggunakan al-Quran sebagai hujah. Bagi sebahagian manusia al-Quran mendatangkan petunjuk tetapi bagi yang lain pula digunakan untuk menyebarkan fitnah. Begitu juga keadaan misal yang dipersaksikan kepada sufi dalam alam ghaib. Sebahagian daripada mereka mendapat manfaat daripadanya dan mereka didorong oleh yang demikian untuk sampai kepada Yang Haq. Sebahagian yang lain pula tertawan lalu berhenti di situ. Orang yang berjalan terus menemui Yang Maha Esa, yang menggubah bentuk, rupa, cahaya dan warna, yang mengeluarkan semua stesen dan membimbing sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sebelum sampai kepada Yang Hakiki apa juga yang disaksikan hanyalah bayangan, walaupun pengalaman menyaksikan ‘yang banyak pada Yang Satu' atau sebaliknya. Nafikan segala yang datang. Ulangi kalimah: "Laailaaha ilallah" sebanyak mungkin sehingga habis segala penyaksian dan pengetahuan juga tidak ada lagi. Pada tahap ini sufi dikuasai oleh kehairan-hairanan, kerana apa juga yang dibina oleh pengetahuan, penyaksian, khayalan, fikiran, cita-cita dan angan-angan semuanya runtuh dan lemah longlai apabila berhadapan dengan Zat Allah s.w.t. Tidak ada apa yang boleh mengatakan atau menggambarkan tentang Yang Hakiki. Apa yang tinggal adalah kejahilan. Inilah tahap fana yang sebenarnya. Sebelum mencapai kehairan-hairanan dan kejahilan hakiki, seseorang itu sebenarnya belum lagi memperolehi fana hakiki. Jangan cepat menyangka diri sudah mencapai matlamat dan berhubung dengan Tuhan. Perjalanan masih lagi jauh.

Bukanlah pengetahuan (ilmu) dan pengenalan (makrifat) yang menandakan seseorang itu sudah sampai ke penghujung jalan. Selagi ada ilmu dan makrifat selagi itulah jalan belum tamat. Tanda seseorang itu sampai ke peringkat akhir adalah apabila tidak ada lagi pengetahuan dan tidak ada juga makrifat, kedua-duanya mengaku kalah di hadapan Allah s.w.t. Apa yang ada hanyalah kejahilan hakiki. Tidak ada lagi pendapat tentang Tuhan juga tidak ada walau satu bentuk pun pengenalan mengenai-Nya. Pada ketika itu hamba dengan segala kerendahan hatinya mengakui bahawa tidak ada sesiapa yang mampu memecahkan benteng keperkasaan-Nya yang melindungi keesaan-Nya. Pengetahuan sebenar tentang Tuhan adalah tidak tahu. Pengenalan sebenar tentang Tuhan adalah tidak kenal. Setinggi-tinggi ilmu dan makrifat yang boleh dicapai adalah pengakuan bahawa hanya Dia yang kenal Diri-Nya. Abu Bakar as-Siddik yang sentiasa benar telah mengatakan: "Maha Suci Tuhan yang tidak mengadakan jalan untuk Dia dikenali melainkan memberi kita kesedaran dan pengetahuan yang Dia tidak mungkin dikenali".

Haruslah difahami tentang tujuan fana dan baqa. Ia bukanlah jalan untuk mendapatkan kekeramatan atau kebolehan yang luar biasa. Ia juga bukan bertujuan mendapatkan ilmu dan makrifat yang tidak ada dalam al-Quran dan tidak diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ia juga tidak bertujuan mengadakan peraturan baharu yang tidak ada dalam syariat. Fana yang sebenar adalah membuang apa sahaja yang tidak suci, bebas daripada mencintai dunia, dapat membendung fitnah nafsu. Semuanya adalah berdasarkan kehambaan kepada Allah s.w.t. Baqa sebenar adalah melakukan semua perintah Allah s.w.t, menjadikan kehendak-Nya sebagai kehendak diri sendiri tanpa perlu membuang kedirian sendiri. Fana dalam wahyu dan baqa dalam ubudiah adalah jalan yang paling benar dan paling lurus.

Bagi mencapai fana secara sufi, seseorang itu hanya perlu mengalami penyaksian yang satu, diistilahkan sebagai tauhid syuhudi. Dia tidak perlu mempercayai dan berpegang dengan fahaman satu wujud, atau tauhid wujudi atau biasa dikenali sebagai wahdatul wujud. Bukanlah mustahil bagi seorang sufi maju dalam bidang kerohanian, meningkat dari satu makam kepada makam yang lebih tinggi, tanpa dia melibatkan diri dengan fahaman wahdatul wujud atau ikut mengalaminya. Ramai sufi sampai kepada matlamat tanpa melalui pengalaman wahdatul wujud, malah tanpa pengalaman yang demikian perjalanan akan menjadi lebih teratur dan mudah. Orang yang terlibat dengan wahdatul wujud berkemungkinan besar ditawan oleh bayangan yang menyebabkan sukar bagi mereka melepasi suasana tersebut. Orang yang tidak melalui wahdatul wujud mudah sampai kepada matlamat. Golongan wahdatul wujud mengejar bersatu dengan bayangan sementara yang menolak wahdatul wujud menemui Yang Hakiki. Walaupun jalan kesufian sering dikaitkan dengan fahaman dan pengalaman wahdatul wujud tetapi perlulah diketahui bahawa ramai dari kalangan mereka yang beramal menurut tarekat sufi tetapi tidak ditarik kepada hal yang demikian. Jadi, mengikat kesufian dengan wahdatul wujud sebenarnya tidak tepat. Ia hanyalah satu kemungkinan yang ada pada jalan kesufian tetapi bukanlah kemestian. Ramai daripada kalangan sufi yang terdorong kepada wahdatul wujud akhirnya meninggalkan fahaman tersebut dan kembali kepada jalan kenabian. Sufi yang ditarik kepada jalan kenabian memasuki jalan yang dipanggil jalan mahabbah. Kasihan belas Tuhan yang membimbing mereka untuk keluar daripada bayangan awan wahdatul wujud untuk menyaksikan Yang Haq. Sufi yang memasuki jalan mahabbah menafikan wahdatul wujud dan apa sahaja yang disaksikannya. Setelah habis yang disaksikan sufi itu masuk kepada suasana kejahilan dan kehairanan bukan ilmu dan makrifat. Tuhan tidak termasuk di dalam perbatasan ilmu dan makrifat. Setelah sampai kepada kejahilan sebenar, sekiranya seseorang itu dikurniakan pengetahuan maka itulah pengetahuan yang paling benar dan orang yang berkenaan adalah sangat bertuah. Dengan pengetahuan yang sebenar itu seseorang mengetahui bahawa Keesaan yang sebenar tidak muncul di dalam yang banyak. Pengetahuan yang sebenar mengajarkan bahawa hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Itulah pengetahuan yang paling benar selepas mencapai fana yang sebenar, yang diperolehi sesudah menemui kejahilan. Sebelum sampai kepada kejahilan dan kehairanan apa yang dikatakan fana hanyalah kekosongan, bukan kefanaan. Kejahilan ditemui dahulu baharulah kefanaan diperolehi.

Ada sufi yang mengatakan mereka berkata-kata dengan Tuhan dan melihat Tuhan di dalam dunia ini. Sufi tersebut adalah umpama orang yang mendengar bunyi alat muzik lalu menyangka bunyi tersebut adalah suara pemain alat muzik itu. Suara ghaib yang didengar bukanlah suara Tuhan. Itu hanyalah suara gubahan Tuhan, kerana tajalli sifat Tuhan tidak mampu ditanggung oleh manusia, termasuklah tajalli Kalam Tuhan. Kalam Tuhan tidak bersuara dan tidak berhuruf. Perkataan yang didengar bukanlah tutur-kata yang keluar secara langsung dari Tuhan sebagaimana orang bercakap. Ia adalah suara gubahan Tuhan menurut kadar kemampuan manusia menerimanya. Perkataan yang didengar itu sama dengan sesuatu yang dikelaskan sebagai hubungan yang dicipta dengan Pencipta, bukan suara Pencipta sendiri. Kalam Tuhan yang didengar oleh Nabi Musa a.s adalah dalam keadaan perkataan dengan Pencipta perkataan. Begitu juga perkataan yang diterima oleh Jibrail a.s. Perkataan Tuhan Yang Hakiki hanya didengar oleh-Nya sendiri. Apabila berhubung dengan makhluk-Nya Tuhan menggubahkan Kalam yang mampu didengar dan diterima oleh mereka. Oleh kerana perkataan demikian dinisbahkan kepada Tuhan semata-mata, bukan kepada malaikat atau lainnya, maka menafikannya adalah kufur. Kalam Tuhan merangkumi kedua-dua aspek iaitu Kalam Batin dan Kalam Yang Bersuara yang Tuhan ciptakan tanpa sesuatu perantaraan. Kalam yang begini adalah Kalam Tuhan yang sebenarnya, tetapi keadaannya haruslah difahami. Dalam perkara ketuhanan konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan. Mengenai suara ghaib yang didengar oleh orang sufi, walaupun ia dinisbahkan kepada Tuhan namun, ia tidak menyamai wahyu. Wahyu merupakan terjemahan secara langsung kepada Kalam Hakiki. Suara ghaib yang didengar oleh seseorang berhubung dengan hakikat yang menguasai seseorang itu. Perkataan demikian adalah terjemahan perutusan Tuhan yang diterima oleh Diri Batin seseorang. Suara ghaib mengeluarkan perkataan dan maklumat menurut kadar kekuatan batinnya menerima urusan Tuhan, bukan terjemahan Kalam Hakiki secara langsung. Oleh kerana kekuatan batin manusia berbeza-beza maka kedudukan maklumat yang disampaikan oleh suara ghaib juga berbeza. Ada yang menerima maklumat secara jelas dan terperinci dan ada pula yang menerimanya secara samar-samar atau dalam bentuk ibarat yang perlu ditafsirkan. Gaya bahasa yang digunakan dalam penyampaian suara ghaib juga berdasarkan kedudukan seseorang itu. Sebab itu orang yang mendengar suara ghaib menyampaikannya dalam gaya bahasa biasa. Wahyu pula mempunyai gaya bahasa yang tersendiri, tidak boleh ditiru-tiru oleh manusia dan tidak ada bahasa manusia yang mengatasi bahasa wahyu.

Sufi yang berfahaman boleh melihat Tuhan di dalam dunia ini menyamakan cahaya (nur) dengan Tuhan. Mereka percaya nur itu adalah Zat Tuhan sendiri. Anggapan demikian tidak benar. Nur Tuhan berkedudukan sebagai urusan Tuhan, sama seperti kedudukan Kalam Tuhan iaitu wahyu. Kalam Tuhan Yang Hakiki tidak boleh didengar oleh telinga zahir dan juga telinga batin. Hanya Tuhan sendiri yang mendengar Kalam Hakiki-Nya.

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik hijab atau dikirim-Nya utusan, lalu (utusan itu) mengkhabarkan dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi Maha Bijaksana. ( Ayat 51 : Surah asy-Syura )

Manusia hanya boleh berhubungan dengan Allah s.w.t hanya kerana ada ‘pelapik' atau hijab. Manusia tidak mampu menanggung tajalli Allah s.w.t, baik tajalli Zat mahu pun tajalli Sifat. Walaupun sudah dihijabkan hanya manusia tertentu sahaja mampu menanggung apa yang datang dari Allah s.w.t. Wahyu tidak turun kepada semua orang. Wahyu hanya turun kepada golongan Nabi-nabi kerana hanya Nabi-nabi yang mampu menanggung kedatangannya. Manusia yang bukan Nabi akan hancur jika wahyu turun kepada mereka. Apa yang didatangkan kepada manusia lain sudah dihijabkan dengan hijab yang lebih tebal, menurut kedudukan seseorang itu. Baik mendengar perkataan Allah s.w.t atau melihat Allah s.w.t atau melihat Nur Allah s.w.t, semuanya adalah disebalik hijab. Kalam Allah s.w.t Yang Hakiki tidak boleh didengar oleh sesiapa pun dan Nur Allah s.w.t tidak boleh dilihat oleh sesiapa pun, baik secara zahir mahu pun secara batin. Apa yang didengar dan dilihat oleh orang sufi adalah ayat-ayat atau tanda-tanda tentang Allah s.w.t tetapi bukanlah Zat Diri-Nya. Benteng keperkasaan Allah s.w.t tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun, baik secara zahir mahu pun secara batin. Suasana kerohanian yang menyentuh hati insan atau berhubung dengan alam perasaan insan dinamakan Hadrat-Nya iaitu rasa kehadiran-Nya, bukanlah Tuhan sendiri. Tuhan menyampaikan Hadrat-Nya kepada hamba-Nya sebagai jalan bagi hamba berhubung dengan-Nya. Suasana Hadrat yang menguasai seseorang hamba berbeza dengan Hadrat yang menguasai hamba yang lain. Suasana tersebut boleh berubah dari masa ke masa tetapi Zat-Nya tidak berubah.

Dari berbagai-bagai pengalaman yang dilalui oleh orang sufi, tarekat sufi boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama adalah tarekat yang terlibat dengan pengalaman bersatu dengan Tuhan dan tarekat yang kedua adalah yang membezakan Tuhan dengan hamba. Jenis pertama dipanggil tarekat sufi. Jenis kedua pula walaupun ia juga tarekat orang sufi tetapi ia dikenali sebagai tarekat Islam. Dalam tarekat jenis pertama sufi dikuasai oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t yang bersangatan dan mengasyikkan sehingga apa sahaja yang selain-Nya dilupakan. Golongan yang telah membuang segala kepentingan diri sendiri dan melupakan sekalian makhluk ini layak mendapat simpati, kasih sayang dan ganjaran. Walaupun berlaku perlakuan kufur menurut syariat zahir tetapi ia terjadi bukan dalam kesedaran dan bukan disengajakan. Kufur tarekat ini berbeza dengan kufur syariat yang disengajakan dan dalam kesedaran. Kufur syariat berlaku kerana kejahilan dan keingkaran dan orang yang berkenaan patut ditentang. Perbuatan sengaja menggunakan perkataan latah yang diucapkan oleh sufi yang mabuk, sedangkan orang berkenaan di dalam kesedaran biasa, merupakan kekufuran yang nyata dan perlu ditentang dengan keras. Golongan sufi tiruan tidak boleh dibiarkan merosakkan akidah orang ramai.

Latah biasa terjadi kepada sufi yang mengalami kufur tarekat, mengalami mabuk dan tidak berupaya membezakan yang benar dengan yang batal. Bagi mereka semua perkara berada di atas jalan yang benar. Mereka tidak membezakan Tuhan dengan makhluk. Mereka mempercayai satu wujud sahaja iaitu Wujud Tuhan. Apa sahaja yang zahir mereka anggapkan penzahiran Tuhan yang tidak lain daripada Tuhan. Bila mereka benar-benar mencapai tahap bersatu dengan Tuhan dan bermukim pada kufur tarekat mereka melepaskan apa sahaja kecuali Tuhan. Mereka membuang ikhtiar memilih dan melupakan sekalian makhluk. Ucapan latah mereka merupakan luahan perasaan yang gilakan Tuhan atau mabuk ketuhanan. Ucapan yang demikian tidak boleh dipakai oleh orang lain yang di dalam kesedaran, sementara sufi berkenaan perlu dimaafkan. Tetapi jika sufi itu tidak mencapai peringkat tersebut secara sempurna, sedangkan dia masih juga mengucapkan ucapan latah yang menyalahi syariat, percaya bahawa tidak ada perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk, baik dengan jahat, benar dengan salah, maka orang ini benar-benar kufur kerana mendustai apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w secara sedar dan sengaja. Latah boleh keluar dari mulut sufi yang benar lagi lurus, yang dikuasai oleh hal ketuhanan yang mereka tidak berupaya mengawalnya. ‘Latah' juga boleh keluar dari mulut orang jahat lagi pendusta yang menjadi racun, menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Ramai orang yang dalam kesedaran biasa terikut-ikut dengan doktrin yang digubah berdasarkan ucapan latah orang sufi. Akibatnya mereka merosakkan agama sendiri dan masuk kepada kesesatan. Sufi yang benar walaupun terlibat dengan ucapan latah yang menyalahi syariat namun, mereka teguh melaksanakan peraturan syariat seperti sembahyang lima waktu, sekalipun mereka dikuasai oleh mabuk. Seorang sufi besar yang terkenal dengan mabuk, Abu Mansur al-Hallaj, walaupun dikuasai oleh mabuk dan terlibat dengan ucapan latah, beliau kuat mengerjakan sembahyang. Beliau biasa mengerjakan sembahyang sunat 500 rakaat sehari semalam.

Sufi yang dikurniakan tarekat Islam selamat daripada suasana mabuk dan latah. Mereka menuruti jejak Rasulullah s.a.w dalam kehidupan batin dan mengamalkannya dalam kehidupan zahir. Dalam tarekat Islam ada pengalaman perpisahan dan perbezaan di antara Tuhan dengan hamba, selepas peringkat penyatuan. Sufi kembali menyaksikan perbezaan di antara yang benar dengan yang salah, baik dengan jahat. Sebenarnya tarekat Islam itu sendiri merupakan sebahagian daripada syariat Islam yang sempurna. Tarekat adalah sebahagian daripada syariat bukan sesuatu yang berasingan. Berlainan istilah digunakan bagi membezakan syariat pada zahir dengan syariat pada batin atau antara Hakikat Syariat dengan keadaannya yang zahir. Lebih tidak mengelirukan jika digunakan sahaja istilah syariat zahir dengan syariat batin yang berkumpul sebagai syariat yang sempurna. Memanggil syariat zahir sebagai syariat dan syariat batin sebagai tarekat mudah menimbulkan kekeliruan dan membuka jalan kepada sufi tiruan menabur fitnah dan syak wasangka dalam hati orang yang jahil.

Sufi yang dalam keasyikan dan mabuk adalah umpama seorang bayi yang dijaga sepenuhnya oleh ibunya. Ibunya menyayangi dan melindunginya. Si bayi boleh membuang air besar dan kecil di merata tempat, ibunya tidak akan marah. Tidak ada beban yang diletakkan oleh si ibu kepada bayinya. Apa juga yang si bayi lakukan si ibu menerima dengan penuh kasih sayang. Si ibu memperakui bahawa si bayi tidak berupaya menjaga dirinya sendiri. Bila si anak itu sudah baligh, kasih sayang dan perlindungan ibu tidak boleh dijadikan alasan untuk dia terus berkelakuan sebagai bayi. Dia sudah bertanggung-jawab memikul beban dirinya dan tertakluk kepada peraturan dan adab sopan.

Orang majzub dijaga sepenuhnya oleh Tuhan. Tuhan murka kepada sesiapa yang menyakiti orang majzub. Biasanya orang yang menyakiti orang majzub menerima balasan dengan segera. Perkataan orang majzub biasanya menjadi kenyataan. Keadaan yang demikianlah menyebabkan orang ramai yang berminat dengan aliran tarekat tasauf menganggap orang majzub sebagai orang keramat. Sebenarnya kekeramatan bukanlah milik seseorang. Ia adalah hak Tuhan yang dizahirkan dalam melindungi para pencinta-Nya yang tidak berupaya melindungi diri sendiri. Setelah ahli majzub kembali sedar, maka bakat dan keupayaan dirinya kembali berfungsi dan fenomena kekeramatan jarang atau pun tidak lagi berlaku pada dirinya. Dia menyelesaikan sesuatu perkara dengan menggunakan bakat kemanusiaan biasa tanpa melalui kekeramatan.