17 December 2019

Apa maksud ilmu Fiqh?

My Redz:

Apa maksud ilmu Fiqh?

Dari segi bahasa kalimah Fiqh bermaksud memahami. Pada asalnya ia bermaksud memahami agama secara keseluruhannya. Namun kemudiannya dikhususkan ulamak kepada memahami ajaran Islam yang berkaitan dengan hukum-hakam amali sahaja, iaitu percakapan, perbuatan dan hal-ehwal luaran manusia tanpa menyentuh soal aqidah dan akhlak.


Secara lebih jelas, ilmu Fiqh ditakrifkan oleh ulamak sebagai; “Ilmu berkenaan hukum-hakam Syarak yangbersifat ‘amali yang diperolehi dari dalil-dalilnya secara terperinci”.

Huraian;

1. Para ulamak membahagikan hukum-hakamSyarak kepada tiga iaitu;
a) Hukum-hakam I’tiqad
b) Hukum-hakam ‘Amali
c) Hukum-hakam akhlak.
Medan pengajian ilmu Fiqh ialah yang kedua di atas iaitu hukum-hakam amali. Ilmu Fiqh tidak menyentuh tentang hukum-hakam I’tiqad, begitu juga tidak menyentuh tentang akhlak.

2. Perkataan Syarak bermaksud Allah dan Rasul. Dalil-dalil Syarak pada dasarnya ialah Kitab Allah (yakni al-Quran) danSunnah RasulNya. Namun secara terperinci ia merangkumi juga Ijmak, Qiyas dan sebagainya.

Apakah tujuan mempelajari ilmu Fiqh?

Tujuan mempelajari ilmu Fiqh ialah untuk mengetahui hukum-hakam Syara’ mengenai setiap tingkah laku manusiadan melaksanakan hukum-hakam tersebut dalam kehidupan dalam segenap ruang dan lapisannya.

Ilmu Fiqh amat berguna sama ada kepada ulama’, mufti, qadhi mahupun orang awam biasa. Bagi para ulama, mufti dan qadhi, mereka perlu mendalami ilmu ini untuk mengajar orang ramai tentang hukum Syara’, memberi fatwa dan memutuskan hukuman terhadap sesuatu kes.
Adapun orang awam, mereka perlu mengetahui ilmu ini agar dapat menjalani kehidupan seharian bertepatan dengangaris panduan yang ditetapkan Syara’.

Apa maksud hukum Syarak?

Kita sebutkan tadi bahawa tujuan mempelajari ilmu Fiqh ialah untuk mengetahui hukum Syara’ atas setiap perbuatan kita. Apa yang dimaksudkan dengan hukum Syara’? Hukum Syara’ ialah “Ketetapan dari Allah ke atas perbuatan-perbuatan hamba yang mukallaf sama ada ia perlu dilakukan atau perlu ditinggalkan atau diberi pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya”. Ketetapan ini diketahui berdasarkan penelitian terhadap dalil-dalil Syara’ iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma’, Qias dan sebagainya oleh para ahli Fiqh atau Mujtahid.

Berapakah pembahagian hukum Syarak?

Melihat kepada pengertian hukum di atas, dapat kita simpulkan bahawa perbuatan-perbuatan hamba mengikut hukum Syarak berada dalam tiga bahagian besar;

Pertama; Perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya dilakukan

Kedua; Perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya ditinggalkan

Ketiga; Perbuatan-perbuatan yang diberi pilihan (yakni terserah kepada manusia sama ada ingin melakukannya ataumeninggalkannya)

Kemudian, bahagian pertama dan kedua terbahagi pula kepada dua jenis;

Pertama; Yang dituntut secara jazam iaitu tuntutan mesti.

Kedua; Yang dituntut tidak secara jazam, iaitu tuntutan secara galakan sahaja, bukan tuntutan mesti atau wajib.

Bagi bahagian pertama (iaitu perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya dilakukan), jika jenis tuntutan adalah jazam (yakni mesti), maka ia dinamakan wajib. Adapun jika jenis tuntutan adalah tidak jazam (tidak mesti), iaitu hanya galakan sahaja, maka ia dinamakan sunat. Bagi bahagian kedua pula (iaitu perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya ditinggalkan), jika jenis tuntutanadalah jazam (yakni mesti), maka ia dinamakan haram. Adapun jika jenis tuntutan adalah tidak jazam (tidak mesti), iaitu hanya galakan sahaja, maka ia dinamakan makruh.

Kesimpulan

Setelah memahami pengertian dan pembahagian hukum Syarak di atas, dapat kita simpulkan perbuatan-perbuatan mukallaf mengikut hukum Syarak terbahagi kepada lima jenis;

1. Yang wajib; iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang mesti dilakukan di mana jika ditinggalkan akan berdosa.

2. Yang sunat; iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang digalakkan melakukannya oleh Syarakiaitu diberi pahala sesiapa yang melakukannya, namun tidaklah berdosa jika ditinggalkannya.

3. Yang haram; iaitu amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan yang mesti ditinggalkan di mana jika dilakukan akan berdosa.



4. Yang makruh; iaitu amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan yang digalakkan meninggalkannya iaitu diberi pahala kepada orang yang meninggalkannya (kerana Allah), namun tidak dikira berdosa jika dilakukannya.

5. Yang mubah (harus); iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang diserah kepada pilihan manusia samaada ingin melakukannya atau meninggalkannya di mana sebarang pilihannya tidak akan membawa implikasi dosa atau pahala.

Tidak ada perbuatan mukallaf dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya melainkan tertakluk dengan salah satudari hukum lima di atas.

Apa makna mukallaf? Siapakah yang dikatakan sebagai mukallaf?

Mukallaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif Syarak (yakni tuntutan dankewajipan Syarak). Orang yang mukallaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perbuatan dan perlakuannya tertakluk dengan hukum yang telah ditetapkan oleh agama sama ada wajib, haram, harus dan sebagainya tadi. Syarat-syarat mukallaf ialah:
1. Telah sampai umur (yakni baligh)
2. Memiliki akal yang waras
3. Sampai dakwah kepadanya
4. Sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.

Siapakah orang-orang yang terkeluar dari kelompok mukallaf?

Dari takrif dan syarat-syarat mukallaf tadi, terkeluar dari kelompok mukallaf:
1. Kanak-kanak yang belum baligh. Kanak-kanak yang mati sebelum baligh, ia akan selamat (dari siksaan Allah)sekalipun anak-anak orang kafir.
2. Orang gila atau tidak siuman
3. Orang-orang yang tidak sampai dakwah kepadanya termasuklah ahlul-fatrah iaitu orang-orang yang hidup di antara zaman pengutusan Rasul (*yakni mereka jauh dari Rasul yang terdahulu dan tidak berkesempatan dengan Rasul yang bakal datang) atau hidup di zaman Rasul yang bukan diutuskan kepada mereka. Mereka akan selamat dari siksaan Allah kerana tidak sampai dakwah kepada mereka.
(Rujuk: Hasyiyah Imam al-Baijuri ‘ala Jauharati-Tauhid, hlm. 67-68).

Apa cabang-cabang ilmu yang terkandung dalam ilmu Fiqh?

Ilmu Fiqh merangkumi dua bahagian besar;

1. Ibadah; iaitu hukum-hakam yang menyentuh hubungan manusia dengan Tuhan. Ia merangkumi ibadah solat, puasa,zakat, haji dan sebagainya.

2. Mu’amalat; iaitu hukum-hakam yang menyentuh hubungan manusia sesama manusia. Cabang mu’amalat ini merangkumi pula bidang-bidang berikut;

a) Hukum-hakam tentang kekeluargaan yang merangkumi perkahwinan, perceraian, perwarisan, nafkah dan sebagainya.

b) Hukum-hakam tentang harta seperti jual-beli, sewa-menyewa, gadaian, jaminan dan sebagainya.

c) Hukum-hakam tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran negara merangkumi kewajipan melantik ketua negara, tanggungjawab ketua negara/pemimpin dan hak dan kewajipan rakyat/warga negara.

d) Hukum-hakam tentang kehakiman/pengadilan merangkumi membuat keputusan (al-qadha), pendakwaan, prinsip-prinsip hukuman, kesaksian, sumpah, keterangan dan sebagainya.

e) Hukum-hakam tentang ahli Zimmah (orang bukan Islam yang mendiami dalam negara Islam) merangkumi hak-hak dan tanggungjawab mereka terhadap negara dan sebagainya.

f) Hukum-hakam tentang hubungan antarabangsa merangkumi hubungan negara Islam dengan negara-negara luar di masa damai atau ketika perang.

g) Hukum-hakam tentang kewangan negara merangkumi sumber-sumber pendapatan negara dan perbelanjaan-perbelanjaannya.

h) Hukum-hakam tentang jenayah dan hukuman; merangkumi penetapan perkara-perkara yang terlarang dan hukuman-hukumannnya, cara-cara menetapkan/mensabit kesalahan-kesalahan jenayah dan perlaksanaan hukuman terhadapnya.

Apakah sumber-sumber ilmu Fiqh?

Sumber-sumber ilmu Fiqh bermaksud dalil-dalil yang menjadi sandaran ahli-ahli Fiqh (Faqih atau Fuqahak) dalam mengeluar hukum-hakam Fiqh. Ia terdiri dari sumber-sumber asal dan sumber-sumber sokongan. Sumber asal bagi ilmu Fiqh ada dua sahaja iaitu;

1. Al-Quran
2. As-Sunnah

Sumber-sumber sokongan bermaksud dalil-dalil tambahan yang membantu ahli-ahli Fiqh untuk mengeluarkanhukum-hakam Fiqh menepati prinsip sumber asal di atas (al-Quran dan as-Sunnah). Ia terdiri dari;

1. Ijmak
2. Qiyas
3. Istishab
4. Masalih Mursalah
5. Istihsan
6. ‘Uruf
7. Syari’at terdahulu

Relat

ed posts

Ajaran Pemuda Kahfi


Ajaran Pemuda Kahfi

Pengenalan oleh Penyunting

Saudara-saudari, berhati-hati jika anda didekati oleh kumpulan ini yang menyamar mengajak orang ramai memasuki kelas kuliah tafsir al-Quran. Mereka juga mendakwa negara Islam tulen telah wujud tetapi tersembunyi. Mereka mentafsir al-Quran secara semberono dan menggunakan logik akal tanpa merujuk imam-imam yang muktabar sehingga membuat dakwaan-dakwaan palsu terhadap Rasulullah SAW.

Tempat asal ajaran: Indonesia (Pondok Pesantren al-Zaitun, Indramayu, Jawa Barat). Mula menular secara rahsia di Malaysia sejak 10 tahun lepas.

Modus Operandi

A)Pemilihan ahli

Setiap individu yang telah terpilih menyertai organisasi ini hendaklah menyerahkan nama-nama prospek baru yang difikirkan layak ke dalam “database nama” untuk direkrutkan. Sebelum individu pengikut ajaran ini dibenarkan berjumpa dengan sesorang prospek , pemimpin kumpulan atau ulul amri akan meneliti senarai nama tersebut dan mengarahkan untuk menjalankan proses Iqra’ -1 . Proses ini adalah proses saringan untuk menjamin survival kumpulan ini di masa hadapan. Berikut adalah ciri -ciri individu yang diperlukan:

1.Tidak terlalu tua atau terlalu muda

2.Berharta

3.Sihat tubuh badan

4.Bukan anggota keselamatan

5.Kelihatan belum dipengaruhi sebarang ideologi lain

6.Tidak bekerja syif

7.Bukan seorang muallaf

Setelah selesai melakukan perincian tersebut dan calon prospek melepasi saringan ciri -ciri yang dikehendaki, ahli tersebut bolehlah membuat proses Iqra’ -2 dan membuat temujanji dengan prospek. Kali ini beliau akan ditemani oleh orang lama organisasi ini yang bertindak sebagai penampan bagi mematahkan hujah-hujah prospek. Al -Quran turut dibawa bersama sebagai alat menguatkan hujah mereka. Di penghujung proses Iqra’ – 2 prospek akan ditawarkan mengikuti kelas pengajian tafsif Al Quran secara percuma bagi menarik minatnya menyertai organisasi ini.

Berikut adalah sesi yang mesti dilepasi oleh seseorang individu sebelum layak mengikuti sesi hijrah pertama:

1.Sesi Silatulrahim

2.Sesi Akidah

3.Sesi Sunnah

4.Sesi Ibadah

5.Sesi Perlaksanaan

Sekiranya prospek menunjukkan respon positif sepanjang berlangsungnya kesemua sesi ini, mereka akan diuji bagi menilai tahap keyakinan mereka. Jika dilihat seakan-akan menolak ,pentilawah akan mengulangi berpuluh kali ayat yang sama dan melabelkan prospek sebagai orang kafir yang suka tinggal di dalam tong najis sekiranya enggan berhijrah.

Di dalam sesi perlaksanaan, prospek akan diminta membayar RM 1,500.00 dan RM 70 infaq wajib untuk melayakkannya mengikuti kelas ‘Sistem Pendidikan Islam’ (SPI) selama 6 bulan. Setelah wang diberikan, prospek akan diminta membayar sejumlah lagi ‘Wang Taubah’. Jumlahnya tidak ditetapkan tetapi mengambil kira sebanyak mana dosa yang telah dilakukan sejak lahir hingga sekarang.

Ada yang membayar hingga RM 20,000.00 dan jumlah minimum yang ditetapkan adalah sebanyak RM200.00. Mereka juga diingatkan supaya menyimpan wang sebanyak RM 3,600.00 dan paspot antarabangsa untuk melawat ke Negara Islam yang disebut-sebut sebagai negara Islam tulen yang telah wujud tetapi tersembunyi.

Pada program hijrah pertama, prospek diminta menunggu di transit seawal jam 5 pagi. Hal ini bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak tertentu. Prospek akan dijemput oleh seseorang dengan menaiki kereta atau van ke tempat yang ditetapkan. Sebelum perjalanan dimulakan, mata prospek akan ditutup.

Perjalanan ini kononnya perjalanan ke “GUA”. Perjalanan ke ‘gua’ tersebut tidaklah terlalu jauh. Setelah semua yang terdiri daripada lelaki dan perempuan dikumpulkan di ‘gua’, mereka diberikan taklimat ringkas tentang program yang akan dijalankan pada hari tersebut.

Menjelang jam 9 pagi, sesi hijrah bermula dengan sesi ta’aruf kepada wakil pemimpin ‘Negara Islam’ (NI) . Setiap orang diminta berdiri untuk membacakan lafaz baiah di hadapan 4 orang pemimpin NI tersebut. Majlis berakhir jam 5 petang.

Kelas SPI bolehlah dibahagikan kepada 7 peringkat:

1.Kelas Sambutan

2.Kelas Persediaan Asas District – PAD

3.Kelas P3D

4.Kelas PDU 1

5.Kelas PDU 2

6.Sejarah Am

7.Sejarah Khusus



B) Method Dakwah

Setiap individu diwajibkan membawa tafsir Al Quran setiap kali program berlangsung. Ahli lelaki dikehendaki berkemeja lengan panjang, bertali leher, berseluar panjang dan berkasut. Mereka mendakwa jubah adalah pakaian Rasulullah sesuai dengan keadaan masyarakat pada waktu hidup baginda. Manakala pakaian umum yang sesuai dengan keadaan sekarang ialah kemeja.

Bagi perempuan pula, cukup dengan berpakaian kemas. Sementara menunggu sesi dimulakan, setiap ahli dikehendaki menyerahkan wang program ( rujuk ayat 58:12) ke dalam sampul yang disediakan. Kemudian sesi diteruskan dengan semakan hafazan setiap individu mengikut peringkat yang ditetapkan. Setelah selesai, pimpinan NI meneruskannya dengan mengarahkan ahli membaca ayat tertentu daripada surah tertentu. Kemudian ahli diminta supaya memberi pendapat mengikut fahaman mereka tentang ayat tersebut.

Setiap ahli juga akan disoal bertalu-talu untuk menilai kefahaman mereka. Kebiasaannya tidak akan ada seorang pun yang menjawab mengikut seperti yang dikehendaki oleh ajaran ini. Sebarang persoalan dibenarkan untuk diajukan. Keadaan ini seolah menunjukkan pimpinan bersikap terbuka tetapi jika ada yang berani bertanya, individu tersebut akan disindir dan diherdik kerana cuba menjadi pengacau di dalam kelas tersebut. Sebelum kelas berakhir, setiap ahli dikehendaki menyampaikan kesan dan pesan daripada program tersebut kemudian ditulis di atas kertas untuk direkodkan. Program berakhir jam 11 malam.

C) Infaq

Infaq merupakan elemen terpenting dalam menentukan tahap keimanan individu yang terlibat dalam organisasi ini. Setiap ahli dikehendaki membayar jumlah infaq yang berbeza mengikut tahap dan peringkat tertentu. Alasan yang diberikan ialah di dalam negara yang batil yang diduduki mereka sekarang ini pun bermacam cukai dan benda yang mesti dibayar. Oleh itu, untuk membina Negara Islam lebih banyak wang diperlukan. Ini kerana Allahlah yang meminta anda berjihad harta dan diri sebelum diangkat darjat olehNYA. Antara infaq yang ditetapkan ialah:

1.Harakah Ramadhan

2.Infaq individu

3.Harakah Korban Aidil Adha

4.Infaq Pendidikan

5.Infaq Projek Mega

6.Infaq Taifah ( pentadbiran pejabat kumpulan)

7.Granite

8.Sedekah Program Khas (Ta’lim Ta’lum)

9.Intisodiah

Bayaran lain pula adalah didakwa untuk menampung kos-kos seperti aktiviti setiap minggu, program kepimpinan, SMS, pengangkutan, kos sewa bangunan ,bil air dan elektrik, barang –barang pejabat dan stationery.

Pembelian wajib juga diadakan oleh ulul amri seperti frozen food, jus minuman, minyak angin ,kuih muih dan sebagainya di mana ianya amatlah membebankan ahli. Jumlah keseluruhan boleh dianggarkan sekitar RM 1,000.00 sebulan yang wajib dijelaskan tanpa memberi sebarang alasan.

Jika beralasan, maka akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi menambahkan keyakinan ahli. Ini tidak termasuk kos persediaan berhijrah ke NI iaitu RM 3,600.00 yang mesti di jelaskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

D) Aqidah dan Manhaj

1. Membahagikan tawhid itu kepada 3 bahagian, iaitu tawhid Rubbubiyah,tawhid Mulkiyyah dan Tawhid Ubudiyyah. Tawhid Rubbubiyah merujuk kepada Rabbi iaitu aturan dan sandaran perlembagaan Negara Islam berdasarkan (Al Quran dan As Sunnah). Tawhid Mulkiyyah merujuk kepada kawasan dan wilayah kekuasaan Negara Islam. Tawhid Ubudiyyah merujuk kepada penganut ,rakyat dan warganegara Islam.

2. Segala aturan,perintah dan arahan dari Negara Islam (NI) adalah sama dengan arahan Allah yang wajib dipatuhi.

3. Semua pekerja NI adalah malaikat di sisi Allah.

4. Kerasulan dan kenabian tidak berakhir dengan alasan setiap orang yang menyampaikan da’wah Islam dianggap juga sebagai Rasul Allah.

5. Al Quran diakui sebagai wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, namun manusia mempunyai kebebasan untuk menta’wil dan mentafsir mengikut logika mereka baik ayat-ayat muhkamat mahupun mutasyabihat.

6. Hari Qiamat adalah hari kebangkitan dan kemenangan mereka untuk isytihar futuh ( pembukaan Mekah) .

7. Solat terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu solat actual dan ritual. Solat yang lebih utama ialah solat actual iaitu

segala bentuk aktiviti ,program yang ditetapkan oleh NI. Solat ritual ialah solat lima waktu tidak diwajibkan hingga setelah futuh.

8. Melakukan solat actual adalah bukti laksanakan Negara Islam yang haq dan ibadat paling utama dalam ajaran ini. Antaranya merekrut ahli baru, hafazan ayat Al Quran, mengumpul dana, menjana program dan menjadi umat Islam sepenuhnya dengan berhijrah ke Negara Islam (dengan cara bersyahadah dan berbai’ah kepada pimpinan NI).

9. Menghalalkan apa jua cara bagi melaksanakan matlamatnya termasuk menipu, mencuri barang milik keluarga sendiri,syarikat dan kawan-kawan yang di luar golongan mereka kerana untuk memenangkan agama Allah.

10. Orang yang berada di luar golongan mereka adalah kafir ,munafik dan musyrik tidak kira sama ada mereka itu termasuk ibu bapa, adik beradik, mahupun golongan ulama kerana mereka bukan warganegara Islam tetapi umat demokrasi.

11. Jika berlaku sebarang perlanggaran syariat Islam yang ditetapkan mereka akan dikenakan ‘dam’ yang harus dibayar dengan wang ringgit.

12. Dosa juga boleh ditebus dengan membayar “wang taubah”.

13. Ibadat korban bukanlah dengan menyembelih haiwan ternakan tetapi dengan mengorbankan wang ringgit dan harta benda bagi pembangunan NI.

14. Haram mengahwini pasangan yang di luar golongan mereka kerana ibarat berkahwin dengan orang kafir maka tidak sah perkahwinannya.

15. Negara Malaysia dianggap Mekah dan NI dianggap Madinah. Hanya yang telah berhijrah dan menjadi warganegara NI layak dipanggil umat Islam.

16. Syurga di akhirat hanya layak untuk mereka yang telah Islam iaitu kepada yang telah menjadi warganegara NI. Sebelum mendapat syurga di akhirat hendaklah terlebih dahulu mendapat ‘syurga’ di dunia .

17. Lailatul Qadar adalah hari diturunkan Al Quran kepada pengikut yang baru dalam sesi hijrah pertama. Ia menunjukkan Allah maha adil kerana Lailatul Qadar yang difahami sekarang hanya pada mereka yang bernasib baik dan berlaku sekali dalam setahun.

18. Isra’ dan Mikraj merujuk kepada seseorang ‘rasul’ (dalam tafsiran no. 4 di atas) bertemu dengan pemimpin tertinggi dalam struktur organisasi NI.

19. Menutup aurat tidak diwajibkan kepada semua pengikutnya dengan alasan mereka adalah golongan kahfi ( ahli gua) .

20. Setiap pengikut diwajibkan berjihad harta dan diri. Membayar infaq yang ditetapkan setiap bulan dan sanggup menjadi kuda orang suruhan ulul amri mereka dengan taat setia

21. Harta milik pengikut mereka adalah milik Allah dan hendaklah diserahkan apabila diminta berbuat demikian.

22. Mengerjakan haji bukanlah satu ibadat kerana tujuan Rasulullah ke Mekah adalah untuk menakluk Mekah dengan berselindung disebalik mengerjakan ibadat haji.

23. Pengagihan wang zakat bukanlah semata-mata kepada asnaf yang ditetapkan tetapi juga boleh digunakan untuk pembangunan prasarana NI.

24. Rasulullah tidak mempunyai apa-apa mukjizat selain Al Quran.

25. Rasulullah bukan ‘Ummi’ kerana mustahil seorang cucu pembesar Mekah buta huruf. Rasulullah menulis sendiri ayat-ayat Al Quran yang diwahyukan kepadanya.

26. Nama sebenar Nabi Muhammad ialah Ahmad. Muhammad merujuk kepada suatu ‘Lembaga Kerasulan Muhammad’ yang berperanan sebagai kumpulan dakwah Islam di zaman Nabi Muhammad.

27. Yang menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhamad bukanlah Malaikat Jibrail tetapi kumpulan pemuda “kahfi” di zaman itu.

28. Sunnah bukanlah merujuk pada segala tingkah laku dan amalan Rasulullah dalam beribadat tetapi turun dan naiknya gelombang kejatuhan dan tertegaknya negara Islam dari Adam hinggalah terakhir, kerajaan Turki Othmaniah.

29. Bukti gerakan ini di landasan yang hak adalah merujuk kepada ayat Allah yang menjadikan bumi ini dalam 6 masa. Ia ditafsirkan sebagai fasa (framework) yang mesti dilalui oleh sesebuah Negara Islam dalam 6 peringkat sebagai contoh:

1) Kondisi Mekah

2) Kahfi Pertama

3) Isytihar Negara Islam

4) Kahfi Kedua

5) Futuh atau Pembukaan Mekah

6) Perluasan (penyebaran ke seluruh dunia)

30. Hadis Rasullullah hanyalah satu cerita kosong yang tiada kena-mengena dalam perlaksanaan ibadat dan mendirikan Negara Islam.

31. Hukum menyentuh

kitab Al Quran tidak perlu berwuduk, malah ia boleh dilontar, dipijak, dihempas dan diludahi kerana ia adalah buatan manusia. Yang lebih penting ialah melaksanakan isi kandungannya daripada meghormati rupa bentuknya.

32 Rasulullah tidak maksum dan pernah melakukan banyak dosa tetapi tidak diceritakan dalam sejarah. Mustahil Rasullullah dapat berdakwah pada orang seperti Umar Al Khattab jika peribadi baginda berbeza dengannya.

E) Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, Ajaran Pemuda Kahfi ini bukanlah ajaran Islam seperti yang diperjuangkan atau dilaung-laungkannya. Ia adalah satu aliran agama palsu dan baru yang bertopengkan ajaran Islam bagi mengelirukan pengikutnya yang jahil tetapi dahagakan ilmu agama . Ia dikesan menggunakan metod pemikiran golongan Islam Liberal dan Anti Hadis dalam membuat tafsiran ayat-ayat al-Quran.

Kepada sesiapa yang terlibat dan masih aktif, segeralah bertaubat. Kepada yang belum terlibat, berhati-hatilah dengan perangkap mereka.

Nota Hujung Penyunting

Yang melucukan ialah apabila ditanya dimanakah NI yang disebut-sebut telah muncul dengan segala kesempurnaannya itu berada…. Jawapannya di suatu tempat di kawasan yang beriklim 4 musim!!!

Related posts

Cara-cara mengkhusyukkan solat

Cara-cara mengkhusyukkan solat

Cara-cara mengkhusyukkan solat ini dipetik daripada buku ‘Hidup Bertaqwa’ yang ditulis oleh Al-Ustaz Hj. Ismail Kamus. Marilah kita sama-sama renungkan dan amalkan semoga solat kita diterima olehNya, Insyaallah. Mudah-mudahan solat kita tidak menjadi kain buruk yang dilemparkan ke muka kita akibat tidak khusyuk.

1. Sentiasa melaksanakan solat secara berjemaah.
2. Menjaga makan minum terjamin halalnya.
3. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
4. Jangan bersolat dengan menangguh untuk membuang air besar atau air kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
5. Mengambil wudhu’ dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota yang wajib serta mengingati niat atau doa apakala air melalui di tiap-tiap anggota.
6. Memakai pakaian yang bersih dan suci.
7. Tempat sujud dipastikan tiada gambar yang mengganggu fikiran.
8. Mengingati mati dan kemungkinan itu merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup.
9. Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hambaNya.
10. Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang melihat segala gerak geri kita.
11. Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Quran dan segala zikir.
12. Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, salawat ke atas Nabi S.A.W., Istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13. Memandang ke tempat sujud dan tidak terlalu banyak menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam solat.
14. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
15. Memanjangkan sedikit tempoh semasa ruku’ dan sujud.
16. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan kita bersolat.
17. Jangan memandang ke kiri dan ke kanan.

Sambung....


Related posts




7 Langkah (Bukan Lagi Rahsia) Khusyuk Di Dalam Solat



khusyuk
Khusyuk dalam solat

Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat?
Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan masih kacau semasa mendirikan solat?
Bagaimana pula soal penghayatannya?
Adakah kita dapat merasai apa yang telah kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu adakah kita lakukan dengan sedar?
Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?
“Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun 23: 1-2]

Apakah itu khusyuk?

khusyukSolat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat.
Semasa solat, seseorang itu berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya.
Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk hati itu akur, taat dan patuh kepada Allah.
Diriwayatkan apabila para sahabat Rasulullah SAW solat ditengah padang pasir, burung-burung akan hinggap dibahu, malah ada diatas kepala dan badan mereka, kerana menyangka mereka ialah pohon kayu. Begitulah, diam dan pegunnya jasad mereka ketika solat.
Bagaimana pula dengan kita insan biasa untuk khusyuk di dalam solat?
Saya pasti ramai diantara kita sangat teringin dan tercari-cari formula untuk menjadi salah seorang hamba Allah yang khusyuk di dalam solat.
InsyaaAllah, dalam artikel ini akan berkongsi formula yang dengan izinNya, akan membantu kita untuk khusyuk di dalam solat.
.

Tujuh Langkah Menuju Khusyuk Dalam Solat

1. Mencari Pengertian (Faham)
Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat.
Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu per satu.
Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Namun memahami makna sahaja tidak memadai, kita perlu melangkah ke tahap seterusnya.
.
2. Memusatkan Fikiran (Fokus)
Tahap kedua ialah pemusatan fikiran. Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.
Mungkin kita telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama “orang mengigau” dalam tidur.
Sekiranya seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat (mengingati Allah), keadaan ini samalah seperti orang yang sedang memandu kereta.
Fikirannya tetap fokus kepada destinasi yang hendak dituju walaupun sekali – sekala ternampak juga objek-objek dan pemandangan di tepi-tepi jalan.
Semua itu tidak menggangu fokusnya.
Lain pula halnya jika dia “terlalai” dengan pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia tidak sedar bahawa sudah terlajak jauh daripada destinasinya.
.
3. Membesarkan Allah (Rasa ‘Haibah’)
Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu.
Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf dan ayat serta sebutan, tetapi pada makna dan tafsirannya. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘pengertian’.
khusyuk 2Hanya orang yang kenal raja akan bercakap-cakap dengan penuh penghormatan, rasa takut, malu dan rendah diri.
Sebaliknya, orang yang tidak kenal raja, akan bercakap-cakap dengan baginda secara biasa-biasa sahaja.
Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah “Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala makhluk.
Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat.
Oleh itu pada peringkat permulaan, cubalah untuk merasakan kita sedang berhadapan seorang raja yang sangat berkuasa dan kita perlu fokus dihadapanNya.

4. Kagum dan Takut akan Keagungan Allah (Rasa Khauf)
Hasil daripada merasai kebesaran Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara-perkara lain.
Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatan-Nya. Takut akan harimau, kita lari menjauhinya, tetapi takut akan Allah kita datang menghampirinya.
Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.
Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.
.
5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja’)
Apa yang dimaksudkan dengan rasa mengharap?
khusyukRasa mengharap ialah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah.
Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah.
Padahal dalam reality, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang berdosa.
Oleh sebab itu, ulama berpesan dalam keadaan biasa seseorang hendaklah menyeimbangkan rasa  takut dan harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan stabil dan selamat.
Jangan terlalu takut, nanti timbul sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu harap, nanti terjadi sikap sambil lewa serta “berangan-angan” akan keampunan Allah.
Rasa harap dalam solat ini adalah menerusi penghayatan ketika bacaan al-Fatihah (mengharapkan jalan yang lurus), bacaan qunut (mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan bacaan ketika duduk diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas kasihan, ditinggikan darjat, dan lain-lain)
Manakala melalui perbuatan duduk dalam tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk – semuanya melambangkan rasa pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu.
.
6. Rasa Malu dan Hina Diri (Rasa Haya’) dalam solat
Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah.
Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu.
Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir dan banyak “berhutang” kepada Allah.
Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud).
Manakala dubur yang sentiasa disorokkan dibawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!

7. Memakai Pakaian Yang Paling Selesa Dan Paling Cantik Ketika Solat
khusyukUntuk kaedah yang terakhir ini, tidak berkaitan dengan enam kaedah diatas. Nampak seperti remeh, namun ia juga adalah salah satu langkah yang boleh dipraktikkan untuk mencapai khusyuk di dalam solat.
Sebolehnya pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat.
Pilih pakaian  yang diperbuat daripada material yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat.
Dan juga pilihlah yang paling cantik, sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat sukakan kecantikkan.
Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Buat para Muslimah, boleh mencuba koleksi telekung Siti Khadijah yang sangat selesa digunakan untuk mengerjakan solat.  Ianya berbaloi untuk dicuba
.

Penutup: Solat yang Khusyuk Akan Mendidik Hati Membina Rasa Bertuhan

Sebagai ingatan, ada bezanya antara solat yang khusyuk dan solat yang sah. Solat yang khusyuk sudah semestinya sah. Tetapi solat yang sah belum tentu khusyuk.
Solat yang khusyuk ialah solat yang berjaya menyentuh dan mendidik hati, akal dan nafsu manusia. Ia juga akan membina rasa bertuhan.
Rasa bertuhan akan mendatangkan rasa gagah, berani dan optimis dalam hidup.
bahagia
Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda, segala-galanya dapat diatasi dengan baik kerana adanya “talian hayat” denga Yang Maha Berkuasa.
Diri yang lemah akan menjadi gagah apabila hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir oleh Allah. Rasa bertuhan juga menimbulkan harapan dan impian yang sentiasa hidup dan menyala-nyala.
Inilah booster utama dalam usaha meraih kejayaan dalam kehidupan =)
Artikel ini dirujuk dari buku Pesan Hati Untuk Hati, Ust Pahrol Mohamad Juoi. Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca blog Aku Islam.
...

Khusyuk Dalam Solat Itu Rezeki, 13 Cara Ini Buat Otak Fokus Dan Tenang Ketika Menghadap Allah



khusyuk dalam solat
Khusyuk dalam solat itu rezeki. Bila khusyuk hati jadi tenang dan fokus. Selain memahami bacaan dalam solat, anda juga boleh praktiskan 13 cara yang Dr Rizal Abu Bakar, Brain Expert kongsikan ini. Sebelum itu ketahui dahulu bagaimana khusyuk ini boleh mempengaruhi otak.

Bagaimana Khusyuk Pengaruhi Otak

Solat itu tuntutan. Suruhan dari tuhan. Hadiah untuk insan.
Solat bukan sekadar rutin. Bukan juga aktiviti berdiri, rukuk dan duduk. Ia aktiviti libatkan otak.
Lebih menarik ada beza antara solat khusyuk dan tidak. Keduanya terpamer pada otak manusia.
Apabila seorang insan bersolat tanpa khusyuk, otak bahagian prefrontal cortex (PFC) masih terus aktif. Semua aktiviti dunia berlari di minda seperti tayangan movie.
Tiada tenang. Tiada damai. Tiada perkataan baginda “Arihna Ya Bilal” (rehatkan kami Wahai Bilal) bertakhta di sanubari.
Manusia kekal kalut. Kekal bergelut. Gambar imbasan otak sebelah kiri cerita segalanya. Warna kuning tanda otak masih aktif.
Tiada khusyuk.
khusyuk dalam solat
Apabila hadir solat dengan hati. Merunduk menatap bumi, bahagian PFC senyap sunyi. Bukti tuhan diingati dan dikasihi.
Menarik lagi, bahagian lain pula menjadi aktif. Basal Ganglia, pusat reward atau habuan menjadi aktif. Tanda lega dan tenang bersarang di hati.
Anterior Cingulate Gyrus juga tidak terkecuali. Kesedaran emosi dan sosial berpusat di sini. Kurangkan rasa marah dan anxiety.
Rasa ragu hilang. Rasa sangsi tiada lagi beraksi.
Kajian ini dimuat dalam Journal of Physiology tahun 2015. Kajian ke atas orang yang solat. Solat sebagai rutin berbanding dengan memaknai makna ketuhanan.
Kajian ini berikan makna beza. Antara khusyuk dan solat biasa. Solat dengan khusyuk beri kesan luarbiasa pada otak.
Wujud tenang, damai, kuatkan rasa bertuhan.
Saya tertanya-tanya bagaimana dengan solat saya? Solat tuan/puan pula bagaimana?

Solat Dengan Khusyuk

Apabila kita solat dengan khusyuk, aktiviti OTAK bernama Parietal Lobe menjadi kurang aktif. Fokus hanya pada yang satu. Bukan lagi terkenang kunci yang hilang atau apa yang perlu dibuat selepas ini.
Apabila OTAK masih sibuk fikir hal dunia, tandanya Parietal Lobe masih aktif. Soalnya bagaimana mahu kurang aktiviti parietal lobe supaya solat lebih kusyuk?

13 Cara Tenteramkan Parietal Lobe

Untuk tenteramkan bahagian ini perlu PRAKTIS. Setiap hari. Sama seperti orang berlatih sukan.
Tanpa latihan tiada pencapaian.
Caranya MUDAH. Perlu PRAKTIS dahulu.
1. Cari tempat yang tiada gangguan. Boleh jadi bilik tidur atau mana-mana tempat yang sesuai. Jauh dari gangguan untuk 5 minit sebagai permulaan.
2. Duduk dalam keadaan selesa. Cara duduk terpulang. Asal SELESA. Pejamkan mata atau buka bergantung pada tahap SELESA.
3. Bernafas melalui hidung. Rasakan udara yang masuk. Sejuk @ panas. Hembus nafas melalui mulut. Rasakan udara yang keluar.
4. Teruskan bernafas. Fokuskan pada bahagian dada yang turun naik apabila bernafas. Teruskan bernafas. Rasakan pergerakan itu.
5. Teruskan bernafas. Alihkan fokus pada pergerakan di perut. Turun naik perut. Rasakan.
6. Mungkin fikiran akan melayang. Biarkan. Kembalikan fokus pada rasa udara keluar masuk, gerakan di dada dan diperut.
7. Selepas dua minit, boleh mulakan zikir. Ambil perkataan dua suku kata. Contohnya Allah. Ini akan aktifkan Frontal Lobe.
8. PRAKTIS 5 minit dahulu. Buat untuk 12 hari. Tujuan utama untuk belajar tenteramkan PARIETAL LOBE.
9. Apabila sudah dapat rentak ini, setiap kali sebelum solat, lakukan aktiviti ini. Bernafas dan berzikir.
10. Perlu rancang waktu mahu solat. Beri lebih masa. Perlu ruang bertenang.
11. Selepas zikir dan sebelum mulakan solat bernafas dengan tenang. Berdiri dan bernafas dengan relaks.
12. Semasa solat nafas perlu dijaga. Ritma nafas perlu selari dengan bacaan. Contohnya, tarik nafas dan baca ayat. Berhenti dan tarik nafas untuk ayat berikutnya. Kaedah ini akan tenteramkan parietal lobe.
13. Fokus pada sebutan bacaan. Apabila fikiran melayang, tarik nafas, lepas. Sambung semula apabila dapat fokus kembali.
Perlu PRAKTIS. Tenang tidak bertandang tanpa diundang.
Khusyuk itu rezeki. Salah satu tanda betapa dekatnya kita dengan kiamat ialah Allah tarik nikmat khusyuk ini. Dan kiamat kecil ialah kematian kita.
Apabila tiada juga khusyuk mungkin itu tanda kiamat kecil makin menghampiri kita.
Saya doakan ada manfaat dari kaedah ini apabila kita beramal. Saya doakan khusyuk itu bertandang apabila aktiviti di parietal lobe berkurang.
Sumber/Foto : DrRizal Abu Bakar –