09 February 2012

8 Idea Buat Duit di Internet

Abad ke 21 ini melihat betapa pesatnya penciptaan komputer dan perkembangan industri teknologi maklumat. Sejak awal ciptaan, komputer telah berubah sama sekali samada dari segi bentuk, keupayaan, saiz dan harga. Akibat persaingan yang sengit, banyak syarikat komputer bertungkus lumus membuat rekaan yang lebih baik dari masa ke masa demi untuk memenuhi permintaan ramai orang di seluruh dunia.

Apabila ramai yang mampu memiliki komputer, permintaan terhadap pelbagai infrastruktur teknologi maklumat bertambah. Ini menyebabkan kemudahan seperti penyediaan jalur lebar, internet dan sebagainya menjadi lebih tersedia dengan kos yang tidak terlalu membebankan orang yang menggunakannnya.

Seterusnya, perkembangan tersebut telah menyebabkan banyak peluang terbuka untuk segolongan pengguna yang tahu mengambil peluang ini untuk meraih keuntungan samada dalam jumlah sedikit atau mungkin juga sehingga beratus ribu ringgit.

Pelbagai cara sudah dilakukan oleh ramai orang untuk membuat duit melalui internet. Berikut adalah beberapa cadangan untuk anda memulakan servis yang agak mudah dan buat duit!

Servis buat blog

Kebanyakan orang yang tahu menggunakan komputer dan tahu melayari internet sudah pasti tidak pelik dengan perkataan blog. Ramai juga yang berjaya menjadikan blog sebagai tempat meluahkan hasil karya masing-masing seperti menulis pengalaman dan memuat naik gambar-gambar menarik yang mana pada awalnya perkara ini dilakukan hanya untuk keseronakan sahaja. Akan tetapi, lama-kelamaan wujud pula banyak maklumat dan mentor-mentor jutawan internet dari luar negara yang memberi ide kepada penulis-penulis blog untuk merebut peluang keemasan dan membuat duit di blog masing-masing.

Namun ada pula segelintir pengguna yang hanya tahu apa itu blog tetapi tidak pula berpengetahuan macamana mereka boleh mengikut jejak langkah mereka yang berjaya dan membuat duit dari blog. Jika kita perhatikan, dalam satu blog (sebagai contoh: www.blogspot.com) terdapat banyak komponen yang diletak untuk menarik perhatian orang yang melayari internet datang melawat blog mereka.

Inilah peluang anda pula yang mahir membuat blog untuk menawarkan servis kepada mereka yang tidak mahir. Bagaimana pula anda boleh mengiklan servis anda ini? Pertama sekali anda boleh meletakkan iklan anda di blog anda sendiri. Letakkan sampel blog yang sudah hamper siap supaya bakal pelanggan anda boleh memilih mengikut kesesuaian masing-masing. Anda harus ingat, bakal pelanggan anda tidak mahir membuat blog, jadi bahasa yang anda gunakan untuk mengiklan servis anda mestilah menggunakan bahasa yang mudah difahami. Langkah yang ringkas perlu diberi supaya apabila mereka sudah mempunyai blog hasil daripada servis anda, mereka juga mahir mengurus blog dari masa ke masa.

Anda boleh menyediakan pakej bayaran yang berbeza mengikut isi kandungan atau tahap kesukaran untuk membuat blog tersebut.

Servis menulis

Anda mempunyai komputer? Anda juga melanggan khidmat internet? Anda berminat dengan penulisan dan mempunyai ide kreatif? Anda mempunyai masa terluang dan anda tidak mahu membuat duit dengan bekerja di luar atau di kedai mengikut masa yang ditentukan majikan? Jika anda menjawab “Ya” untuk soalan-soalan tersebut, maka anda boleh memulakan servis menulis buku atau artikel untuk menjana wang pendapatan. Anda tidak perlu keluar daripada rumah untuk kerja ini. Iklankan sahaja servis anda di laman web yang berkenaan contohnya syarikat penerbitan buku dan majalah. Pelbagai bahan yang boleh anda siapkan seperti seperti buku resepi, buku fiksyen atau artikel dan sebagainya. Banyak syarikat penerbitan dalam dan luar negara pada waktu ini sedia menerima hasil karya anda hanya melalui internet dan proses penerbitan juga tidak mengambil masa yang terlalu lama seperti waktu dahulu semasa ketiadaan komputer dan internet.

Servis penghantaran iklan percuma

Jika anda sering melayari internet dan gemar mengikuti forum yang terdapat di internet, anda mungkin boleh memulakan servis untuk mebuat penghantaran iklan kepada mereka yang tidak mempunyai masa untuk menguruskan iklan untuk perniagaan mereka. Ini adalah satu servis seperti agen pengiklanan tawarkan tetapi anda akan lakukannya secara atas talian. Struktur bayaran boleh dipakej supaya anda akan menerima pendapatan setiap kali pelanggan membeli produk yang diiklankan oleh anda.

Servis penterjemahan

Kerja-kerja penterjemahan boleh dimulakan jika penguasaan anda terhadap bahasa adalah bagus. Anda seharusnya mempunyai kemahiran untuk menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa supaya anda boleh menawarkan kerja-kerja menterjemah daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Contohnya daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris, daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Jepun dan lain-lain.

Bagaimana pula internet boleh imembantu anda untuk mencari duit dengan kerja-kerja penterjemahan? Beberapa cara yang dicadangkan ialah dengan mengiklankan perkhidmatan anda melalui laman web contohnya www.mudah.my dan www.facebook.com. Internet akan membantu anda mencari pelanggan. Apabila pelanggan bersetuju dengan caj yang anda kenakan, segala proses penterjemahan bermula dari penghantaran dokumen untuk diterjemahkan boleh dilakukan melalui internet juga iaitu melalui emel atau boleh juga dihantar melalui pos. Begitu juga dengan proses mengembalikan dokumen yang telah siap diterjemahkan. Bayaran pula boleh dilakukan melalui internet juga seperti melalui laman web www.maybank2u.com.my atau www.cimbclicks.com.my untuk pelanggan yang mempunyai akaun bank di dalam negara. Jika pelanggan anda tidak mempunyai akaun di Malaysia dan pembayaran dibuat melalui akaun dari luar negara, anda perlu membuka akaun yang lebih bersifat antarabangsa seperti akaun Paypal dan sebagainya. Secara manual pula anda boleh mengarahkan pelanggan untuk membuat pembayaran malalui Western Union yang boleh didapati hampir di setiap bandar di negara kita.

Servis menjual dokumen contoh (template) seperti dokumen undang-undang

Anda seorang pakar dalam sesuatu bidang? Contohnya bidang undang-undang. Pada masa sekarang dengan kemajuan ekonomi negara, banyak transaksi yang melibatkan perniagaan dan perdagangan berlaku antara banyak pihak. Banyak dokumen undang-undang dihasilkan setiap hari untuk memastikan transaksi yang melibatkan wang tidak menjadi sia-sia. Dokumen undang-undang ditandatangani untuk menjaga hak-hak dan kepentingan pihak yang terlibat.

Contoh dokumen undang-undang yang anda boleh jual dan amat diperlukan ramai orang ialah dokumen perjanjian sewa rumah atau pejabat antara penyewa dan pemilik rumah atau pejabat tersebut. Sesetengah pemilik tidak mahu menggunakan khidmat peguam untuk membuat perjanjian sewa rumah atau pejabat kerana kos yang dikenakan agak membebankan. Sesetengah pemilik pula tidak mempunyai banyak masa untuk bertemu peguam untuk tujuan tersebut. Oleh itu, jika anda dapat menawarkan servis yang berpadanan dengan kehendak pemilik tersebut, anda ialah pihak yang akan mendapat sedikit keuntungan dalam transakasi ini! Oleh kerana penjualan dokumen adibuat melalui internet, harga yang dikenakan perlulah tidak tinggi. Tetapi anda perlu menjaga segala peruntukan Akta Hakcipta dan lain-lain, supaya dokumen yang anda jual tidak pula menjadi bahan cetak rompak.

Servis menaip

Perkhidmatan jenis ini boleh dilakukan oleh ramai orang kerana pada zaman teknologi maklumat ini, setiap orang pasti mempunyai kemahiran menaip. Anda pasti pula tertanya-tanya dan merasakan seperti mustahil untuk buat duit melalui servis menaip oleh kerana ramai orang sudah mahir menaip. Masa adalah faktor utama yang menyebabkan segolongan orang yang mahir menaip tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk melakukannya. Contoh golongan tersebut ialah pelajar terutamanya mereka yang mengambil kelas diwaktu malam atau hujung minggu atau diluar waktu bekerja. Mereka yang sibuk dengan kerja harian selalunya memerlukan khidmat seseorang yang lain untuk menyiapkan latihan-latihan atau kerja kursus untuk kelas-kelas yang mereka ambil.

Cara untuk mengiklan servis anda cukup mudah. Pertamanya anda boleh pamirkan iklan di papan kenyataan di universiti-universiti dan kolej-kolej samada berdekatan atau jauh dari kawasan anda. Lokasi pelanggan anda tidak menjadi faktor yang membebankan kerana anda boleh menghantar hasil kerja anda yang telah siap melalui internet sahaja. Anda juga boleh mengiklan servis menaip anda di laman web atau forum yang boleh anda ikuti di atas talian. Panduan mudah ialah anda perlu memilih forum yang bersesusaian dengan servis menaip yang anda ingin iklankan. Semasa membuat iklan, anda perlu fikirkan apakah maklumat yang perlu anda letak supaya bakal pelanggan tertarik dan mahu melanggan. Satu kelemahan yang harus anda atasi ialah faktor kurangnya atau mungkin tiadanya komunikasi secara lisan apabila anda menawarkan servis menaip melalui internet. Walaubagaimanapun masalah ini boleh diatasi dengan meletakkan iklan anda dalam bentuk video dan jika anda kreatif boleh juga membuat iklan secara video dua hala.

Servis menyediakan kertas kerja

Tahukah anda bahawa permohonan anda untuk mendapatkan pinjaman wang daripada pihak bank juga bergantung kepada mutu dan persembahan sesuatu kertas kerja? Apabila kertas anda lengkap dan mempunyai maklumat yang dipelukan oleh pihak bank atau pemberi pinjaman seperti pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan sebagainya, peluang permohonan anda untuk lulus adalah lebih tinggi.

Pepatah tak kenal maka tak cinta amat sesuai diguna pakai dalam situasi ini. Satu pihak sudah tentu tidak mahu melepaskan wangnya kepada seseorang yang tidak dikenali. Untuk mengenali sebuah syarikat dengan lebih mendalam, kertas kerja yang anda sediakan perlu serlahkan kebaikan yang ada pada syarikat tersebut. Anda pasti boleh melakukan servis ini dengan baik dan efektif jika anda mempunyai pengalaman bekerja di bank atau institusi kewangan.

Servis membuat kertas kerja penyelidikan atau tesis

Servis ini bersesuaian jika anda mempunyai sedikit pengetahuan tentang cara-cara membuat penyelidikan samada secara manual atau penyelidikan bahan-bahan melalui internet. Anda perlu tahu membezakan maklumat yang dicari benar-benar mempunyai integriti atau sebaliknya. Suatu penyelidikan atau tesis harus dihasilkan dengan membuat rujukan yang berkualiti. Maklumat tidak harus diambil dari blog persendirian atau laman web yang tidak boleh dipercayai. Anda juga mesti ingat untuk sentiasa menjaga hak penulis lain sebagaimana yang tercatat di dalam Akta Hakcipta.

No comments: